Selamat Datang

Ahad, 9 Oktober 2011

WEIL CHINA - Novel Karya Emine Syenlikoglu Yang Merungkai Makna Sebenar Revolusi Berkiblatkan Komunis


Weil China memaparkan pengalaman sebenar Qan, seorang rakyat China berdarah Turki Muslim yang tinggal di China bersama keluarganya yang masih kuat dengan pegangan Islam. Qan bersama abangnya, Turghut, berpeluang melanjutkan pelajarannya di bandar. Namun, si ayah sangat membimbangi keadaan tersebut. Kerisauan si ayah terhadap pegangan hidup dan aqidah kedua-dua beradik tersebut yang mendapat tawaran belajar di bandar semakin bertambah apabila gerakan ateis dan komunis semakin mendapat tempat.

Kebimbangannya menjadi realiti apabila Qan dan abangnya mula terpengaruh dan menyertai gerakan komunis menghapuskan masyarakat Islam. Mereka terlupa asal usul dan janji mereka terhadap keluarga. Namun, penglibatan Qan dalam gerakan bangsat itu tidak lama apabila dia cepat menyedari keburukan fahaman itu. Berbeza dengan Qan, abangnya Turghut semakin melampau dan semakin bangga dengan komunisme yang telah meracun jiwanya.

Pelbagai peristiwa berlaku semenjak abangnya meninggalkan keluarga; ibu dan kakak Qan ditangkap dan dihantar ke luar Negara sehingga tidak dapat dijejaki sehingga kini, ayah Qan dibunuh secara kejam oleh tentera komunis, bayi kepada kakak ipar Qan juga disiksa dan dibunuh tanpa belas, malah kakak iparnya yang gila akibat pembunuhan kejam bayinya itu turut menerima nasib yang sama. Bunuh!

Segala kekejaman dan kerakusan meratah darah keluarga muslim itu ditonton sendiri dengan mata kepala Qan. Qan kemudiannya ditangkap, disiksa dan dikurung berpuluh-puluh tahun oleh komunis. Namun, dalam kelam penjara itulah hidayah Allah kembali menyapa jiwanya.

Kecekalan hatinya menghadapi semua seksaan itu akhirnya menemukan dia dengan orang yang sangat dinantikannya selama berada dalam kurungan itu, iaitu abangnya sendiri yang sudah lama menghilang. Tetapi Turghut, abang kandungnya kali ini muncul bukan sebagai abang yang bersifat pengasih dan pembela seperti zaman kanak-kanak mereka, bahkan dia muncul sebagai pengarah penjara yang menentukan setiap seksaan terhadap banduan-banduan. Termasuk adiknya sendiri!

Tergamakkah si abang menyaksikan penyeksaan yang dikenakan kepada adiknya sendiri?

Dapatkah Qan menghadapi abangnya?


Semua itu bakal anda jawab dengan membaca Novel pembedahan ideology sesat ini. Novel yang dikarang oleh seorang novelis terkenal Turki yang juga penggerak kesedaran ummat agar kembali kepada pegangan Islam yang tulen, Emine (Aminah) Uzqan Syenlikoglu.

Seperti novel Maria (sila baca di sini), pengarang mampu menayangkan kepada kita wayang kekejaman komunis dan ateis. Ideology yang meracun minda dan jiwa dengan laungan revolusi dan kebebasan itu menghilangkan naluri kemanusiaan sehingga ikatan darah tidak lagi menjadi mahal untuk dibela.

Namun keutuhan pegangan dan kepercayaan kepada agama yang dianggap kolot oleh komunis telah menjadikan seseorang itu sangat kental jiwanya.

Nota hujung : Novel yang diterjemahkan dari bahasa asal selalunya memang mempengaruhi gaya penulisan dan pembawaan cerita. Apatah lagi bahasa asal itu bukan bahasa kebiasaan di Malaysia. Begitu juga berlaku dalam novel ini.

Namun sesuatu yang menarik, walaupun begitu keadaan bahasanya, jiwa pembaca mampu diruntun untuk menjadi pemerhati langsung tragedy yang sangat menghina ummat itu. Hati mampu tergetar tatkala ummat diperkotak-katikkan.

Kisah yang dirakamkan dalam novel ini penuh dengan debaran, diselit kisah percintaan dan kekeluargaan, dan penuh dengan aksi yang mampu menjadikan kita menginsafi keterlanjuran kita, menjadikan kita ummat yang bersyukur, dan ummat yang lebih bermotivasi untuk mendaulatkan Islam di muka bumi milik Sang Pencipta.

Tiada ulasan: