Selamat Datang

Selasa, 14 Disember 2010

Hukum dan Penilaian Wanita Bekerja menurut Syariat

Baru-baru ini, saya diminta untuk mengulas fiqh kewanitaan. lalu saya diberi tajuk ini. Artikel ini saya tulis untuk majalah Ilham keluaran PMTIS (pelajar2 Maahad Tabbiah Islamiah-Derang- di Syria).

Perhatian : Artikel ini tidak menyediakan matan nas dlm bahasa arab disebabkan komputer saya tidak boleh berbuat demikian. Terimakasih.

Harap ada manfaat.


Penilaian Wanita Bekerja Menurut Syariat

Disediakan oleh : Azfar bin Abdullah

Sesungguhnya sesuatu pekerjaan yang menjadi sumber rezeki yang halal merupakan sesuatu yang sangat dititikberatkan oleh agama. Justeru ia adalah masdar pembinaan masyarakat madani yang patuh dan taat kepada agama. Mana tidaknya, diri yang membesar dengan rezeki yang halal dan bersih, keluarga dan anak-anak yang disajikan rezeki yang baik-baik tanpa syubuhat apatah lagi haram menjadikan peribadi-peribadi yang hidup dalam masyarakat orang yang bersih dan soleh.

Oleh sebab itu Nabi mengajar betapa harta yang paling bersih dan mulia itu ialah harta yang dihasilkan dengan tangannya sendiri. Antara hadis yang warid kepada kita ;

“Tiada seorang pun yang makan sesuatu makanan yang lebih baik dari orang yang makan hasil tangannya sendiri” (Riwayat Bukhari bil: 1966)

Islam memberikan hak yang sama kepada lelaki dan wanita dalam memilih dan bekerja sesuatu pekerjaan yang baik. Malah Islam turut memelihara tuan punya harta pencarian tanpa membezakan jantina. Firman Allah swt;

“Bagi lelaki bahagian apa yang telah mereka usahakan dan begitu juga bagi perempuan bahagian apa yang telah mereka usahakan” (An-Nisa’ ayat 32)

Namun pada dasarnya, tanggunjawab bekerja, mencari nafkah, memelihara dan menjaga adalah terletak di atas bahu lelaki. Samada dia bapa, suami, saudara atau anak lelaki bertanggungjawab menyediakan nafkah dan menjaga ibunya, isterinya, saudara perempuan atau anak perempuannya. Manakala wanita pula pada asalnya langsung tidak dipikulkan tanggungjawab menyediakan nafkah hatta ke atas dirinya sendiri apatah lagi untuk orang lain. Kerana nafkah yang perlu baginya itu adalah kewajipan ke atas lelaki. Demikian tanggungjawab yang diamanahkan kepada kaum adam terhadap golongan hawa.

Kerja bagi wanita

Kerja utama bagi seseorang wanita pada asalnya ialah kerja menguruskan rumahnya (rumah suaminya). Itulah kerjanya yang paling mulia di samping sangat menepati fitrah kewanitaannya, fitrah kemasyarakatan serta fitrah kekeluargaan. Walaupun dilihat oleh sesetengah pihak seperti terkongkong, tidak elegan atau sebagainya, justeru itulah pekerjaan yang merupakan ibadah mulia yang sangat besar pula pahalanya.

Kerja ini merangkumi 4 aspek penting;

1. Aspek keisterian : Taat suami, tugas-tugas terhadap suami serta memastikan keharmonian dalam kehidupan suami-isteri. Nabi saw dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi, dari Ibnu Umar menyebut;

“bahawa janganlah dia (isteri) melarang suaminya untuk mendapatkan dirinya (isteri) dan jangan pula dia berpuasa (sunat) walaupun sehari tanpa izin dari suaminya. Sekiranya dia berbuat yang demikian itu, maka berdosalah dia dan tidak pula diterima amalnya itu”

Daripada Abdillah bin Abi Aufa ra, Rasulullah saw bersabda:

“kalaulah aku menyuruh seseorang untuk sujud kepada selain Allah, nescaya aku akan suruh perempuan untuk sujud kepada suaminya. Sesungguhnya demi diri Muhammad di tangan tuhannya, tidaklah terlaksana hak seorang perempuan terhadap tuhannya sehinggalah dia melaksanakan haknya pada suaminya” (Riwayat Imam Ahmad, Ibn Majah)

2. Aspek keibuan : tugas melahirkan generasi penerus di samping meneruskan keturunan ummat Muhammad saw. Allah swt berfirman

“Dan ibu-ibu itu mereka menyususkan anak-anak kelahiran mereka 2 tahun lengkap, (dan penyusuan 2 tahun ini) bagi orang yang inginkan penyempurnaan dalam penyusuan” (al-baqarah, ayat 233)

3. Aspek tarbiah : Pemeliharaan, penjagaan serta pentarbiahan anak-anak supaya si anak dapat membesar dengan sempurna dalam persekitaran akhlak dan ehsan agama. Ini merupakan tugas penting yang mesti diperanankan langsung oleh kaum hawa berdasarkan naluri keibuan yang penuh dengan belas, cermat, sabar sehingga kesasaan lelaki belum pasti setanding apa yang dipikulnya.

Satu hadis mursal yang dikeluarkan oleh Tirmizi, Nabi saw bersabda : “tidaklah ada sesuatu pemberian bapa (juga ibu) yang lebih afdal kepada anaknya dari adab yang baik”

4. Aspek rumahtangga : Juga menjadi tanngungjawab isteri menjaga serta menguruskan harta dan rumah suaminya dengan amanah. Nabi saw bersabda :

“sebaik-baik wanita (isteri) itu ialah orang yang apabila kamu (suami) melihatnya dia menggembirakan kamu, dan apabila kamu menyuruhnya dia mentaati kamu, apabila kamu berjanji kepadanya dia melepaskan kamu, dan apabila kamu pergi dari sisinya dia menjaga dirinya dan hartamu demimu” – (hadis riwayat Nasai dan selainnya. Sanad hasan).

Kerja Wanita di Luar Rumah.

Dalil Pensyariatan tentang Keharusan wanita bekerja di luar rumah sangat banyak. Selain Nas Quran dan Hadis, kisah dan sejarah wanita muslimah bekerja di zaman Rasulullah saw juga sangat banyak. Antaranya ialah;

Firman Allah swt tentang kisah Musa as.:

"Dan tatkala dia (Musa a.s) sampai di sumber air negeri Madyan ia menjumpai di sana sekumpulan orang (lelaki) yang sedang meminumkan (ternakannya), dan dia mendapati di belakang lelaki-lelaki itu, ada dua orang wanita yang sedang memegang (ternakannya dengan terasing dari lelaki), lalu dia (musa) bertanya, apa masalah kamu berdua? Mereka menjawab, kami tidak akan memberi ternakan kami minum sehingga perginya kumpulan lelaki terbabit, dan bapa kami seorang yang sangat tua”. (Al-Qasas, Ayat 23)

Antara hadis dan riwayat langsung sokongan Nabi kepada wanita untuk bekerja;

1. Ar-Rubaiyyie’ binti Mua’wwiz ra berkata : “ Kami pernah berperang bersama Nabi saw, dan kami berkhidmat kepada mereka. Kami menghantar tentera yang terbunuh (syahid) dan cedera pulang ke Madinah” (Riwayat Bukhari bil: 2727)

2. Ummu Athiyyah menceritakan dalam satu hadis bahawa beliau pernah bekerja dalam medan peperangan bersama Rasulullah saw. Beliau berkata : “ Aku pernah turun ke Medan perang bersama Rasulullah dalam 7 peperangan. Aku berada di belakang rombongan mereka. Aku menyiapkan kepada bala tentera makanan mereka, dan aku merawati tentera yang cedera dan aku mengubati tentera yang sakit” (Riwayat Muslim bil: 1812)

2 Hadis ini menunjukkan penglibatan langsung kaum wanita dalam urusan ketenteraan. Dalam hal sebesar ini juga dibenarkan wanita terlibat, maka apatah lagi urusan-urusan pekerjaan biasa.

3. Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut : al-Hakim telah meriwayatkan di dalam ‘Manaqib’ dari ‘Mustadrak’nya, dari saidah Aisyah ra bahawa beliau pernah berkata : Zainab (ummul mukminin) adalah merupakan seorang wanita pengusaha hasil tangannya sendiri. Dia menyamak kulit lalu menjahitkannya dan disedekahkan hasil tersebut fi sabilillah” (Al-Hakim berkata, riwayat ini di atas syarat Muslim)

4. Jabir bin Abdullah ra ada meriwayatkan bahawa ibu saudaranya yang telah diceraikan mahu untuk terus bekerja memetik buah, lalu ada seorang lelaki menghalangnya dari keluar rumah (kerana dia masih di dalam iddah). Lantas ibu saudaranya itu langsung mengadu kepada nabi. Nabi saw menjawab : “ bahkan, teruskanlah kerja memetik itu. Sesungguhnya semoga kamu bersedekah atau melakukan sesuatu yang maaruf’” ( Riwayat Muslim bil: 1483)

5. Jabir ra juga pernah meriwayatkan bahawa nabi pernah memberi motivasi kepada wanita untuk bekerja. Nabi saw pernah bertemu Ummu Mua’ssyir al-Ansariah, beliau merupakan orang yang pekebun. Nabi bersabda kepadanya : “ tidaklah seorang muslim itu menanam sesuatu tanaman, lalu di makan dari tanaman tersebut oleh manusia atau binatang atau burung, kecuali (dijamin) baginya itu pahala sedekah” (Riwayat Muslim bil: 1552)

Nas Fiqh Mazhab dalam membenarkan Wanita bekerja di luar rumah

Para ulama dalam mazhab Syafie menyatakan : Apabila si suami dalam keadaan susah, tidak mampu memberi nafkah dan tertanguh nafkahnya, maka si isteri dibenarkan keluar untuk mendapatkan nafkah (perbelanjaan) melalui pekerjaan, perniagaan atau permintaan. Tidak boleh bagi suami melarangnya kerana sekiranya dia melarang, maka wajib dia sediakan nafkah tanpa si isteri bekerja. Si isteri boleh keluar mencari perbelanjaan sepanjang tempoh tertangguhnya nafkah dari suami. [Ar-Raudhah, Mughnil Muhtaj, Majmuk]

Bagi ulama Hanabilah pula : Apabila si suami susah untuk menyediakan Nafkah kepada si isteri, si isteri berhak memilih antara fasakh nikah ataupun teruskan pernikahan. Dan tidak boleh ketika itu si suami melarangnya bekerja dan tidak boleh juga si suami menahannya untuk terus hidup dalam kesusahannya jika dia tidak memilih fasakh. Kerana yang demikian itu memberi mudharat kepada isteri. Dan suami berhak melarangnya bekerja sekiranya suami mencukupkan perbelanjaannya dan menyiapkan segala hajatnya. [ar-raudhul Murabba’ , Al-Mumti’ fi syarhil Muqni’]

Dhowabit keharusan wanita bekerja.

Prof. Dr. Muhammad Az-Zuhailiy menggariskan 4 nilai yang harus dilihat dalam pengizinan wanita bekerja di luar rumah (kitab: Al-Maratul Muslimatul Muasarah)

1. Hajat: wanita dibenarkan bekerja di luar sekiranya mempunyai keperluan walaupun keperluan tersebut merupakan keinginan atau cita-cita semata-mata. Namun keperluan-keperluan yang mendorong dia bekerja itu harus ditimbangkan dengan mizan syariat seperti izin suami atau wali, adab-adab, qadar hajat dan seumpamanya.

2. Aman: wanita yang bekerja harus memastikan keadaan kerjanya aman. Aman bagi maruahnya, dirinya, hartanya, perjalanannya, pengangkutannya dan sebagainya.

3. Iltizam: wanita yang bekerja harus menepati dan menuruti adab dan hukum-hakam berkenaan kewanitaan seperti izin (dari suami atau wali), hijab, tabarruj, fesyen, pergaulan, penjagaan mata, permusafiran dan sebagainya.

4. Tanggungjawab: wanita yang bekerja harus menyelesai semua tanggungjawabnya dengan baik. Selain dari tanggungjawab kepada tugas kerjanya, dia lebih penting mengutamakan dan menyiapkan tanggungjawabnya terhadap ibadat, suami, anak-anak dan hal ehwal rumahtangganya. Nabi saw bersabda;

“dan orang lelaki itu pemelihara (bertanggungjawab terhadap) keluarganya (isteri dan anaknya) lalu dia akan dipersoalkan nanti tentang tanggungjawabnya itu, dan perempuan itu pemelihara (bertanggungjawab terhadap) rumah suaminya, dan dia akan dipersoalkan nanti tentang penjagaannya itu” (Riwayat Bukhari bil: 8553, Muslim bil: 1829)

“sesungguhnya bagi Tuhanmu ke atas kamu hak, dan bagi pasanganmu (suami-isteri) ke atas kamu hak, dan bagi badanmu ke atas kamu hak, maka berikanlah kepada setiap yang punya hak akan haknya” ( Riwayat Bukhari bil: 1874, Muslim bil 1159)

Ciri-ciri yang membolehkan wanita bekerja diluar tersebut bolehlah dirumuskan seperti berikut;

1) Terdapat keperluan : menyebabkan dia harus keluar dari tanggungjawab asalnya (iaitu tanggungjawab rumahtangga) seperti kematian suami dan memerlukan belanja hidup, membantu urusan suami, mempunyai keistimewaan yang hebat sehingga kemahiran tersebut sangat diperlukan oleh masyarakat dan sebagainya.

2) Kerja yang bersesuaian dengan fitrah kewanitaan dan kemampuan fizikal.

3) Kerja yang terjamin keamanan dirinya, hartanya, maruahnya dan sebagainya.

4) Menjaga hukum-hakam agama dengan baik ( aurat, pergaulan, permusafiran, jauhi fitnah dan seumpamanya)

5) Tidak memilih kerja-kerja yang mendedahkannya kepada fitnah ( seperti ikhtilat, khalwat, bersentuhan dan sebagainya)

6) Dengan izin suami atau wali dan syariat.

7) Tidak menjejaskan tanggungjawab terhadap suami, anak-anak dan rumahtangga.

Hukum berkenaan Gaji dan Pendapatannya

Gaji merupakan balasan terhadap sesuatu pekerjaan. Gaji yang diperolehi dari sesuatu pekerjaan adalah hak milik sempurna kepada pekerjanya samada lelaki atau wanita, muda atau tua.

Wanita pada pandangan islam mempunyai keahlian sempurna dalam pemilikan sesuatu harta. Sesuatu harta yang diberi pemilikan (tamlik) kepada wanita samada dari gajinya, atau faraidh, hadiah, wasiat dan segala bentuk muamalat yang membawa maksud memberi milik adalah menjadi miliknya secara mutlak. Maka tidak ada sesiapa pun berhak berkongsi atau menggunakan miliknya itu tanpa kebenarannya.

Firman Allah swt;

“Dan berikanlah kepada perempuan mahar mereka sebagai pemberian, sekiranya mereka berbaik hati bertolak ansur kepada kamu untuk menggunakan sebahagiannya, maka makanlah supaya mendapat kebaikan kepada engkau” (An-Nisa’, ayat 4)

“Bagi lelaki bahagian apa yang telah mereka usahakan dan begitu juga bagi perempuan bahagian apa yang telah mereka usahakan” (An-Nisa’ ayat 32)

Maka dengan sebab itu, gaji yang diperolehi hasil kerja si isteri menjadi milik si isteri sepenuhnya. Si suami (malah bapanya atau saudanya lain) tidak boleh mengambil atau menggunakan harta tersebut tanpa kebenarannya.

Firman Allah swt; “janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan cara yang batil” (An-Nisa’ ayat 29)

Namun, si isteri mempunya peluang untuk berbakti. Si isteri digalakkan membantu suami walaupun pada asalnya itu bukanlah tanggungjawab si isteri. Malah dalam hal-hal tertentu seperti suami dalam kesusahan (sakit dan seumpamanya yang menghalang lelaki mendapatkan nafkah), maka wajib ke atas isteri bekerja bagi membantu suaminya (sekiranya si isteri tersebut memilih untuk setia dengan akad).

Nafkah wanita bekerja

Nafkah wanita (isteri) adalah mutlak di atas bahu lelaki (suami). Samada wanita tersebut bekerja atau tidak, itu tidak memberi kesan terhadap tanggungjawab suami.

“maka hendaklah orang yang mempunyai kesenangan menginfakan (memberi nafkah) dari kesenangannya itu” (at-tolaq, ayat 7)

“Berikanlah mereka (isiteri-isteri) tempat tinggal sepertimana tempat yang kamu tinggal dengan penuh kasih sayangmu dan janganlah kamu memberi kemudaratan kepada mereka dengan menyempitkan hidup mereka” (at-tolaq, ayat 6)

“dan wajib ke atas bapa (menyediakan) rezeki mereka (ibu) dan pakaian mereka dengan maaruf” (Al-Baqarah ayat 233)

Jabir ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah berkhutbah : “ Bertakwalah kalian kepada Allah dalam masalah perempuan. Sesungguhnya kalian mengambil mereka (nikah) dengan amanah dari Allah, kalian meminta dihalalkan faraj mereka dengan kalimah Allah, dan wajiblah ke atas kalian menyediakan rezeki dan pakaian (nafkah) kepada mereka dengan cara yang baik” (hadis riwayat Muslim. Bil: 1218)

Nabi saw pernah bersabda dalam satu hadis soheh, baginda berkata kepada Hindun isteri Abu Sufian; “Ambillah (dari harta suamimu) apa yang mencukupkan kamu dan anakmu dengan cara yang baik-baik” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah Ra)

Haruskah suami melarang isteri bekerja?

Pada asalnya pernikahan itu membawa maksud tanggungjawab untuk saling melengkapkan. Tugas asasi bagi isteri ialah menjaga amanah suaminya, memberikan keturunan, mengasuh dan mendidik serta menguruskan rumahtangga dengan baik. Manakala tugas si suami ialah membalas kerja-kerja isterinya tersebut dengan nafkah yang secukupnya. Oleh itu, si suami sangat perlu bertanggungjawab menyediakan kehidupan yang baik terhadap keluarganya.

Bertitik tolak dari dasar ini, si suami berhak melarang isteri bekerja di luar rumah, malah berhak memaksa isteri meninggalkan kerjanya apabila tidak ada keperluan untuk itu. Bahkan si suami perlu melarang sekiranya segala tanggungjawab asasi isteri tidak lagi diurus dengan baik (di samping suami telah menyediakan nafkah yang cukup).

Prof. Dr. Muhammad Az-Zuhailiy menambah, sekiranya seseorang wanita itu bekerja sebelum pernikahan, maka wajib bagi calon suami (yang tidak inginkan isterinya bekerja) berterus terang dan membuat syarat jelas supaya calon isteri meninggalkan kerjanya dan menumpukan sepenuhnya kepada tugas-tugas rumah tangga. Dengan syarat tersebut, maka wajib secara mutlak ke atas suami menyediakan segala perbelanjaan dan keperluan isteri, manakala wajib pula ke atas isteri (sekiranya bersetuju) menurut syarat tersebut “kerana golongan mukminun itu berpegang dengan syarat mereka”.

Sekiranya calon suami tidak menyatakan syarat tersebut dengan jelas dan terus terang, maka difahami dari sikapnya itu dia mencabut haknya dari mewajibkan isteri tidak bekerja di luar. Maka ketika itu si isteri boleh menuntut supaya dia dibenarkan bekerja di luar.

Namun, si suami tidak punyai hak sama sekali untuk memaksa si isteri bekerja di luar.

Kebimbangan terhadap kesan apabila wanita terlalu memilih untuk bekerja di Luar

Walaupun jelas syariat tidak melarang untuk wanita hidup berkerjaya, tetapi bagi wanita muslimah seharusnya mereka memikirkan kebimbangan terhadap kesan negatif sekiranya segala prasyarat yang telah digariskan para ulama tidak diikuti. Sebagaimana sedia maklum, bahawa punca utama kerosakan bani israil itu adalah fitnah perempuan. Oleh kerana itu, bagi wanita islam, konsep mencegah mafsadah harus diutamakan berbanding mencari maslahah.

Prof Dr. Muhammad az-Zuahailiy menyatakan kebimbangan beliau terhadap kesan-kesan yang mungkin terhasil dengan budaya wanita bekerja di luar rumah. Antara kesan bahaya yang disebutkan oleh beliau ialah;

1. Perasaan ingin bebas. Disebabkan wanita memikul tanggungjawab kerja yang banyak dan besar di pejabat atau di luar rumah, kesan psikologi boleh sahaja mengakibatkan perasaan ingin bebas dari mengikut telunjuk lelaki. Kesannya boleh membawa sehingga isteri mahu mengasingkan diri dari suaminya dalam hal-halnya secara umum atau hal ekonominya secara khusus. Kehidupan saling berkongsi dan saling menyempurnakan akan terhakis.

2. Mencabar kekuasaan (qawwamah) lelaki. Allah swt berfirman; “Golongan lelaki itu lebih berkuasa (qawwamun) ke atas perempuan dengan sebab apa yang telah diberikan kelebihan oleh allah kepada sebahagian mereka berbandiang sebahagian yang lain, dan dengan sebab apa yang telah mereka infaqkan dari harta mereka” (An-Nisa’, ayat 34).

Ayat ini menunjukkan secara putus bahawa kuasa dalam urusan rumah tangga itu terletak di tangan suami (lelaki).

Oleh kerana kebiasaannya sekarang, banyak wanita sudah mula berjawatan besar dan ramai pula yang telah menjadi ketua kepada golongan lelaki dalam ruang pejabat dan kerjayanya, maka kebiasaan memimpin itu dibimbangi memberi kesan kepada kehidupan rumahtangga. Sekiranya sikap kepimpinan di dalam kerja tersebut tidak dapat diolah dengan baik kepada kehidupan berumahtangga, isteri tadi mungkin akan merendahkan suaminya, berasa tidak selesa diarah-arah, malah ingin pula mengarah dan menyuruh suami dan bermacam lagi tabiat pejabat mungkin meresap dalam kehidupan suami isteri tersebut.

3. Perkongsian hidup dan hubungan intim suami isteri mampu terhakis. Al-Allamah Abul A’la al Maududi pernah berkata pada kurun ke 20 ini, “wanita yang berasa bebas dengan kehidupan mereka dan kewangan mereka menjadikan mereka perempuan yang tidak lagi perlukan lelaki. Dengan itu mereka menukar konsep “lelaki mencari makan, perempuan mengurus rumah” kepada konsep “ kedua-duanya mencari makan di luar, dan rumah bertukar keadaannya seperti hotel”, maka hilanglah ketika itu keinginan untuk menghabiskan kehidupan berumah tangga di rumah, dan tidak lagi kekal hubungan suami-isteri melainkan semata-mata keinginan seksual sahaja” [ al-Hijab ]

4. Menambahkan kecemburuan sehingga mampu menghilangkan rasa saling mempercayai. Ini merupakan keadaan yang terlalu banyak berlaku dalam masyarakat. Lelaki sangat kuat cemburunya. Malah perasaannya dalam beberapa ketik sangat sensitive berbanding wanita. Oleh itu, si isteri seharusnya mencegah sedaya mungkin kecemburuan lelaki tersebut.

5. Penjagaan anak-anak terabai. Maksud terabai bukan sahaja dilihat pada makan minumnya. Tetapi kepada masa yang diluangkan bersama anak-anak, pendidikan, asuhan dan hubungan. Kebanyakan ibu bapa yang bekerja akan menghantar anak-anak ke rumah asuhan. Anak-anak pula lebih banyak menghabiskan masa dengan orang lain berbanding orang tuanya sendiri. Anak-anak membesar tanpa suhbah (persahabatan/ perhatian) dari ibunya. Harus diingatkan, persekitaran sangat mempengaruhi kehidupan anak-anak.

6. Wanita selalunya sangat susah mengawal emosi. Dibimbangi hasil tekanan kerja di luar menyebabkan perselisihan dalam hubungan suami isteri tidak dapat dikawal. Keadaan juga menunjukkan, banyak ibu yang bekerja melepaskan tekanan mereka terhadap anak-anak.

Penutup

Sebagai merumuskan perbahasan, beberapa nota penting harus diberi peringatan;

1. Keizinan syariat kepada wanita untuk bekerja tidak membawa maksud menggalakkan mereka bersosial tanpa batas. Adab-adab dan hukum agama malah lebih rumit harus mereka perhatikan.

2. Pekerjaan mereka sebenarnya menjadikan mereka memilih untuk menanggung lebih banyak tanggungjawab dan bebanan di samping bebanan utama itu adalah kepada suami, anak dan keluarga. Sekiranya berlaku sebarang kecacatan kepada semua tanggungjawab ini (keluarga dan kerjaya), wanita tersebut berisiko menanggung dosa dari kesilapannya.

3. Wanita harus sedar, kedudukan yang ditempatkan kepada mereka oleh syariat adalah satu posisi yang sangat penting dalam mencorak dunia. Pepatah yang mengatakan “tangan yang mengayun buaiyan juga mampu menggoncang dunia” itu sangat tepat. Ramai yang mengenali tokoh hebat dunia. Namun, kehebatan tokoh tersebut tidak tercipta tiba-tiba sahaja. Tangan-tangan ibu yang tersembunyi itulah mencorakkan ketokohan mereka. Orang mungkin tidak kenal Umar Abd Aziz kalau bukan kerana keprihatinan ibu, nenek serta isterinya dalam menguruskan hal ehwal keluarganya.

4. Kerja ibu dan isteri itu sangat besar di sisi Tuhan. Tuhan menjanjikan syurga kepada wanita dengan sekadar taat kepada suami selain menguruskan keluarganya dengan baik tanpa perlu bersesak-sesak di keriuhan dunia luar.

5. Kebenaran oleh syara’ untuk wanita bekerja ini tidak membawa maksud golongan suami boleh bergoyang kaki sahaja di rumah sambil menggemukkan diri menelan hasil usaha isteri. Justeru, tanggungjawab itu adalah tanggungjawabnya selagi dia ada kudrat. Kebenaran ini seharusnya menjadikan golongan lelaki lebih serius dan lebih hebat bekerjaya berbanding wanita.

Sebagai rujukan lanjut, para pembaca juga boleh mencari di laman-laman internet berhubung perbahasan panjang yang lebih mendalam dan keputusan yang telah dicapai oleh Persidangan Fiqh Sedunia yang berlangsung kali ke-16 bertempat di Dubai (UAE) bertarikh dari 30 safar sehingga 5 Rabiul Awal 1426h bersamaan 9 – 14 April 2005m berhubung isu ini.

Rujukan;

1. Al-Maratul Muslimatul Muasarah : Prof. Dr. Muhammad Az-Zuhailiy

2. Al-maratul Muslimah- Qodhoyal Asr : Muhammad Haitham Al-Khayyath

3. Al- Usratul Muslimah fil Alam al-Muasir : Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhailiy

4. Tafsir al-Baidhowi


Tiada ulasan: