Selamat Datang

Khamis, 30 Disember 2010

Khilaf-Perbezaan dalam pendapat: Rahmat yang perlu diurus dengan akhlak

Disediakan oleh : Azfar bin Abdullah

Sesungguhnya perbezaan dan kepelbagaian dalam sesuatu perkara merupakan sunnah alam yang telah ditentukan oleh Allah swt pada ciptaannya. Perbezaan yang berlaku bukanlah sesuatu yang mencacatkan sifat Tuhan.

Allah swt berfirman;
“dari tanda-tanda (kebesaran Tuhan) ialah ciptaan langit dan bumi, dan perbezaan(ikhtilaf) lidah-lidah kamu (wahai manusia) dan warna (kulit) kamu, sesungguhnya pada yang demekian itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui” (Ar-Rum, 22)

Ayat tersebut menceritakan bahawa perbezaan dan kepelbagaian sesuatu itu merupakan sunnatullah. Ketidakseragaman dalam satu-satu perkara bukanlah aib bagi tuhan malah ia menunjukkan betapa hebat dan agungnya Tuhan.

Perbezaan pandangan dan penentangan antara pendapat juga salah satu bentuk kepelbagaian yang dimaksudkan. Ia menunjukkan betapa Tuhan yang Maha Ilmu itu, memberikan kefahaman dan pertimbangan yang berbeza kepada manusia-manusia yang berbeza. Kita lihat, penentangan antara pandangan bukan sahaja berlaku antara manusia yang berbilang-bilang, bahkan dalam diri kita sendiri juga kerap berlaku penentangan dan khilaf antara pandangan kita sendiri.

Nabi kita Muhammad saw pernah mengkhabakan tentang betapa dirinya juga adakala melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza dari satu masa dengan masa yang lain;
“sesungguhnya aku, demi Allah, insyaAllah aku tidak bersumpah (janji setia) dengan sesuatu sumpah, kemudian setelah aku melihat ada sesuatu yang lebih baik dari sumpahan tadi kecuali akan ku kaffarahkan sumpahku itu lalu aku akan datangi apa yang lebih baik itu. Atau aku akan datangi apa yang lebih baik tersebut kemudian aku kaffarahkan sumpahku tersebut” (HR Bukhari no: 6249)

Selain itu, islam sangat menggalakkan manusia untuk berijtihad dalam urusan-urusan ijtihadiah. Satu pahala bagi yang silap, dan dua pahala bagi yang betul. Ini sebenarnya satu galakan supaya kita berfikir luar dari fikiran orang lain supaya dapat menghasilkan pertimbangan yang pelbagai, dan akhirnya kita dapat memilih pertimbangan yang terbaik. Sebab itu kita lihat, perbezaan pandangan berlaku dalam semua marhalah kehidupan. Dari mulanya alam sehingga hujungnya nanti. Nabi sesama nabi pun pernah berbeza-beza pandangan.

Al –Quran menceritakan bagaimana Nabi Daud as pernah berijtihad dalam satu perkara. Lalu dia memberi hukum terhadap ijtihadnya itu dengan satu keputusan. Namun anaknya Sulaiman as pula berijtihad dalam urusan tersebut dengan ijtihad yang berbeza dari ijtihad bapanya. Allah swt memuji kedua-dua mereka, memuji ilmu dan ijtihad mereka. Kemudian barulah diberitakan oleh Allah bahawa ijtihad Sulaiman itulah yang terbaik. [sila rujuk Surah Al-Anbiya’, ayat 78]

Sejarah islam menunjukkan betapa para sahabat -Allah meredhoi mereka semuanya- yang hidup dalam nasihat, wasiat, mandat, pimpinan dan didikan langsung dari nabi saw subur dengan pelbagai ijtihad dan pandangan. Perbezaan pendapat bukan sahaja berlaku di kalangan para sahabat ra ketika Nabi telah meninggalkan mereka, malah ketika Nabi masih bersama mereka pun perbezaan itu berlaku. Dilihat dalam beberapa ketika, sepertinya nabi sengaja membiarkan para sahabat berbeza pandangan supaya subur budaya fikir yang matang.

Dalam satu hadis menceritakan, ketika Nabi dan muslimin baru sahaja selesai dari peperangan Khondaq, datang kepadanya malaikat membawa arahan menuju pula ke Bani Quraizhoh. Lalu Nabi mengarahkan tenteranya bertolak ke sana segera. Nabi saw bersabda: “Jangan solat asar kecuali di Bani Quraizhoh”, maka dengan arahan tersebut, berlaku 2 ijtihad di kalangan sahabat. Ada sebahagian yang solat dalam perjalanan walaupun tidak sampai lagi di Bani Quraizhoh, dengan ijtihad arahan tersebut memberi maksud bergerak cepat supaya sempat mendapat asar di Bani Quraizah, bukan bermakna melarang solat asar di selain Bani Quraizhoh sekiranya tidak sempat, dan ada juga yang tidak solat asar kecuali setelah sampai di Bani Quraizhoh walaupun sudah habis waktu asar. Lalu perselisihan itu diceritakan kepada Nabi, dan Nabi tidak menyalahkan yang mana satu pun daripada 2 pendapat tersebut. (HR Bukhari no:904).

Begitu juga contoh-contoh permesyuaratan Nabi dalam beberapa kes terutama dalam urusan politik dan peperangan. Kita melihat Sahabat sangat gemar menyatakan pandangan yang berbeza. Akhirnya keputusan yang dipilih oleh rasul, adalah keputusan yang terbaik.

Lihat contoh khilaf yang berlaku antara Umar dan Abu Bakr -Allah meredhoi keduanya- dalam peperangan Badr tentang perihal tawanan. Sdna Abu Bakr mencadangkan agar tawanan dikenakan fidyah, semoga dengan rahmat tersebut, mereka akan diberi hidayah oleh Allah swt di samping kekuatan ekonomi Islam dapat dimantapkan. Manakala sdna. Umar dengan jelas berkata “aku tidak berpandangan dalam hal tersebut seperti pandangan Abu Bakr” beliau berpandangan agar dibunuh sahaja tawanan-tawan tersebut kerana meraka merupakan pembesar, asset dan kekuatan pihak musuh. Walaupun pada mulanya Nabi yang penuh dengan sifat rahmat lebih berminat dengan pandangan Abu Bakar, namun pembetulan yang diwahyukan oleh Allah memilih keputusan yang sangat tepat dengan mentarjihkan pandangan Umar melalui ayat 67-69 dari Surah Al-Anfal (Hadis yang panjang, Riwayat Muslim No:1763)

Namun, dalam perkisahan-perkisahan tersebut, apa yang lebih penting dapat kita sedut intipatinya ialah kita dapat melihat dan mengambil iktibar betapa kejayaan Nabi menanamkan adab untuk didahulukan dalam segala bentuk perselisihan. Hatta di tengah-tengah kekalutan fitnah besar ummat sekalipun. Lihatlah sikap yang diambil oleh Ummul Mukminin Aisyah ra dan Sdna Ali ra dalam peristiwa menuntut darah pembunuh sdna Uthman al-Affan. Perselisihan dalam isu fitnah terbesar yang pernah dihadapi oleh Islam, namun kedua-duanya penuh dengan akhlak dan sifat saling menghormati.

Oleh itu, perbezaan pandangan bukanlah sesuatu yang pelik atau keaiban dalam satu-satu masyarakat. Ia merupakan fitrah dan sunnah alam. Namun perbezaan yang berlaku sesama manusia ini harus dikawal dengan ketentuan syara’.

Islam merupakan agama perpaduan, yang menyatupadukan semua bangsa, warna kulit, fahaman hatta menerima agama bukan islam di dalam masyarakat Islam. Islam bukan agama yang membawa kepada perpecahan dan perkelahian. Islam mengajar bagaimana hubungan kehidupan masyarakat muslim sesama muslim, dan Islam juga mengajar bagaimana kehidupan bersama golongan bukan Islam. Dalam kehidupan bermasyarakat sudah pasti akan berlaku perbezaan pandangan dalam banyak hal samada sesama muslim ataupun bersama bukan islam. Oleh itu, syariat membawa datang prinsip-prinsip yang mesti dipatuhi. Ada hal-hal yang tidak boleh disentuh dalam perbezaan tersebut, ada hal yang ummat islam kena bersatu, dan ada juga ruang-ruang yang dibenarkan untuk diperselisihkan dalam keadaan perlu bijak bertoleransi. Kehidupan bermasyarakat yang diajar oleh islam ialah menghormati setiap orang dan setiap pandangan. Namun sebagai muslim, semestinyalah kita mengurus pandangan-pandangan ini melalui etika yang diajar oleh syariat.

Asas dan Prinsip Perbezaan Yang Dibenarkan Oleh Syariat
1. Bersatu dan bersekukuh dengan nas (al-Quran dan Sunnah) tanpa menyalahinya.

2. Iltizam dengan apa yang telah disepakati oleh Ummah (ijma’). “kita saling menguatkan apa yang kita sepakati, dan kita bertolak ansur terhadap urusan yang kita ada perbezaannya”.
2 nota ini menunjukkan kesepakatan wajib berlaku kepada dasar-dasar am yang berbentuk yaqini dalam agama. Ada pun perkara yang dibenarkan untuk diperselisihkan ialah dalam urusan-urusan furui’yah- ranting permasalahan sahaja.

3. Iltizam dengan manhaj umum yang telah dipegang oleh salafus soleh khususnya Khulafa Rosyidin. Sepertimana yang diwasiatakan di akhir hayat Baginda “sesungguhnya nanti sesiapa yang hidup dari kamu (ummat Muhamad) akan melihat perselisihan yang sangat banyak, maka jauhilah perkara-perkara baru dalam urusan agama, maka sesungguhnya ia adalah sesat. Sesiapa yang bertemu dengan hal itu maka wajiblah atas kalian (ummat Muhammad) berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ ar-rosyidin yang diberi hidayah, gigitlah dengan gigi gerham –yakni bertaut kuat dengan sunnah tersebut” (HR Tirmizi, no:2676 – Tirmizi berkata hadis ini Hasan Sohih)

4. Tidak membawa kepada perkelahian, pergaduhan, perpecahan dan permusuhan. Nabi saw bersabda “telah melata kepada kamu (wahai ummatku) penyakit ummat terdahulu, iaitu hasad dan kebencian, ia adalah pencukur. Aku tidak mengatakan ianya pencukur rambut, tetapi menjadi pencukur kepada agama” (Hadis ini disebut dalam at-Targhib wat Tarhib. Kata Imam al-Munziri: Hadis ini riwayat al-Bazzar dengan sanad yang jayyid, al-Baihaqi dan selainnya)

5. Perbincangan (hiwar) yang baik, beradab dan tenang.

6. Dalam urusan yang tidak datang nas yang jelas, umat Islam harus bersedia membuka pintu untuk menerima pro dan kontra sesuatu pandangan. Menerima kritikan dan perbezaan yang membina.

7. Iltizam dengan Fiqhul Inkar (fiqh perbalahan)
i. Tidak ingkar dalam perkara-perkara ijtihadiah yang berselisih padanya pandangan antara ulama. Mujtahid tidak menginkar mujtahid yang lain malah menghormati mereka dengan ijtihad mereka. Imam as-Safie pernah berkata “pandangan aku betul, tetapi berkemungkinan salah. Pandangan mereka (selain mazhabku) salah, tetapi berkemungkinan betul”. Hal ini berputar dalam urusan siapa mendapat dua pahala dan siapa pula mendapat satu pahala.

ii. Pengikut mujtahid tidak mengingkar pengikut mujtahid yang lain selama mana mujtahid tersebut dalam mazhab yang muktabar di sisi Ahlul Sunnah wal Jamaah.


iii. Bagi masalah-masalah/ urusan-urusan yang berhajat kepada pertimbangan para mujtahid, maka orang biasa (yang tidak punya kemampuan) tidak digalakkan menyentuh persoalan yang dianggap mungkar padanya. Kecuali para ulama yang berkemampuan sahaja yang meyakini dan mempunyai hujah yang kukuh bahawa perkara tersebut memang ternyata mungkar tanpa ada khilaf.

Imam an-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebut (dalam mensyarah hadis sesiapa yang melihat kemungkaran), sesungguhnya urusan menyuruh kepada maaruf dan mencegah mungkar ini ialah tugas orang yang alim tentangnya (maaruf dan mungkar tersebut), yang demekian itu dilihat dalam keadaan yang berbeza;
Sekiranya hal tersebut daripada urusan kewajipan-kewajipan yang zahir ataupun perkara-perkara haram yang masyhur (urusan agama yang darurat -tidak dapat tidak diketahui umum) seperti solat, puasa ramadhan, zina dan arak, maka seluruh muslimin dikira orang alim ketika itu.

Andaikata pula perkara yang dianggap mungkar ketika itu ialah penghalusan masalah ucapan atau perbuatan yang mana ia bersangkut dengan ijtihad, maka tidak ada bagi orang awam campurtangan pada hal tersebut. Tiada kewajipan kepada mereka, tetapi menjadi kewajipan para ulama sahaja.

8. Tidak berijtihad kecuali mereka yang betul berkelayakan. Ini bukan menutup pintu ijtihad. Tetapi orang yang mahu selamat tidak akan bercakap tetang agama Allah apa yang tidak baik dan sesuai dengan waqie’. Orang yang tidak ada kelayakan haram berijtihad kerana itu membawa dia berkata sesuatu tentang Allah (agama Allah) apa yang dia tidak tahu. [rujuk surah al-A’raaf, ayat 33]

Adab-adab Berselisih Pandangan Yang Diajar Oleh Syariat
1. Saling memohon ampun dan penuh dengan kerendahan diri.
Tidak menghukum seseorang yang berbeza pendapat dengan kita (dalam perkara-perkara furu’iyah) sebagai sesat atau berdosa dan sebagainya.
Yunus As-Sodafi berkata, ‘aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih matang aqalnya berbanding as-Syafie. Aku pernah berdebat dengannya pada suatu hari dalam satu masalah. Kemudian kami berpisah. Dan tatkala dia bertemu aku selepas itu, dia memegang tanganku lalu dia berkata: wahai Abu Musa, bukankah kita masih terus sebagai saudara walaupun kita tidak sepakat dalam masalah dulu?” [ Siarul A’lam an-Nubala]
Nabi saw bersabda: “ sesiapa yang menuduh seorang mukmin dengan kafir, maka dia seperti membunuhnya” (HR Bukhari No:5700)

2. Insaf dan bersifat adil. Ammar ra berkata: 3 perkara apabila dapat dihimpunkannya, maka dia telah menghimpunkan Iman. 1. Insaf dari dirinya, 2. Memberi salam kepada orang alim, 3. Memberi nafkah kepada orang yang tidak cukup nafkahnya buat keluarganya (Disebut oleh Bukhari dalam Kitab Iman, Bab ke 18: Memberi salam sebahagian daripada Islam)

Antara maksud Insaf dan adil ini ialah dengan menganggap perbuatas dan tingkah saudara kita dengan anggapan yang baik. Berbaik sangka. Silap menghukumnya dengan cara kita menghukum yang terlebih ringan adalah lebih baik berbanding kita silap menghukumnya dengan sesuatu yang lebih berat. Misalnya, apabila sesorang itu pada zohirnya dilihat beriman, namun diceritakan ada salahlaku yang bertentangan dengan ajaran islam, maka kita lebih baik mengatakan bahawa dia masih beriman. Kerana iman itu lebih mulia dari kufur. Jika sekiranya hakikat menunjukkan dia tidak beriman, sedangkan kita mengatakan dia masih beriman, maka itu lebih baik daripada sekiranya kita menghukum bahawa dia sudah kafir tetapi hakikatnya dia masih islam.

3. Mengambil sesuatu yang bersifat zahir. Tidak kepada sesuatu yang bersifat niat atau dalam hati.
Nabi saw bersabda, “Aku tidak diperintahkan untuk mengorek (cari dan menghukum apa yang di dalam) hati manusia dan membelah perut mereka” (HR Bukhari no: 4094)

4. Tidak membuka keaiban orang lain. Juga tidak mencerobohi urusan-urusan peribadi (yang disembunyikan)
Nabi saw bersabda: “ wahai kaum muslimin, Janganlah mengumpat saudara muslimin, janganlah mencari dan mendedahkan keaiban orang muslimin. Sesungguhnya sesiapa yang mencari dan mendedahkan keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mendedahkan keaibannya, dan sesiapa yang telah Allah dedahkan keaibannya, Allah akan membuka juga keaibannya yang walaupun ditengah-tengah rumahnya” (berkata al-Haithami: Hadis Riwayat Abu ya’la. Dan rijalnya thiqah-thiqah)

5. Mencari titik persepakatan dan banyakkan perbincangan untuk saling menguatkan dalam hal tersebut. Kurangkan perbahasan terhadap perkara khilafiah yang boleh membawa kepada jadal (perdebatan) yang tidak baik.
Nabi saw mengingatkan sekirannya perselisihan tidak diisi dengan persaudaraan, maka jadal dan perselisihan yang berlaku boleh membawa kepada kerosakan. “Jangan berselisih, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu mereka berselsisih lalu mereka binasa” (HR Bukhari No:2279)
Nabi juga menyebut, “Tidak sesat sesuatu kaum selepas hidayah kecuali setelah mereka mendatangi perdebatan” (HR Tirmizi No:3253. Katanya, Hadis Hasan Sohih)

Perbezaan Antara Agama.
Hubungan antara islam dan bukan islam boleh dilihat seperti apa yang diajar nabi dalam pembentukan Negara Islam Madinah. Islam sepertimana yang dibawa oleh rasul menawarkan kepada Negara-negara kafir 2 perkara, pertama, Islam-selamat atau ke dua, tidak islam- bayar cukai dengan jaminan keamanan. Jika tidak memilih antara dua tersebut, pilihan ke tiga ialah perang.

Golongan kafir yang dikategorikan sebagai harbi (musuh peperangan) tidak ada sebarang kerjasama dan toleransi. Manakala kafir yang boleh berunding dan mahukan perdamaian, maka islam terlebih dahulu menawarkan perkara tersebut. Peperangan bukan pilihan pertama yang ditawarkan.

Apa yang penting kehidupan berbilang agama menghendaki masing-masing menghormati pegangan agama orang lain. “Bagi kamu agama mu dan bagi aku agama ku” (al-Kafirun, ayat 6) namun, urusan dakwah masih harus diteruskan oleh ummat terutama dalam lisanul hal.

Dalam persoalan perbezaan agama ini pun, Allah mengajar agar muslim berbicara dan berdebat secara baik. Kerana dakwah tetap menjadi tanggungjawab muslim. Firman Allah;
“dan janganlah kalian berdebat dengan ahli kitab kecuali dengan cara yang baik” (al-ankabut ayat 46)

Lihat pesanan Allah buat Musa dan Harun as, “pergilah kamu berdua kepada firaun sesungguhnya dia telah melampau. Maka berkatalah kepadanya dengan ucapan yang lembut semoga dia akan beringat dan takut” (Toha, ayat 44)

Rumusannya, islam tidak menghalang malah melarang ummatnya mencegah kegiatan penganut agama lain. Mereka bebas dengan kepercayaan dan aktiviti mereka selama mana tidak mengancam Islam dan kedaulatan Negara Islam. Jadi, sikap harmonis yang ditunjukkan dalam akhlak bernegara seperti yang dibina oleh Rasul adalah contoh hubungan antara kaum dan agama yang terbaik dalam sejarah kehidupan manusia.

Antara persefahaman yang termaktub dalam perjanjian yang dipelopori nabi itu menyatakan;
- Yahudi Bani Auf adalah sebahagian yang bersama ummat mukminin. Bagi yahudi agama mereka, dan bagi muslimin agama mereka. Kecuali orang yang melanggar dan melampau. Dia Cuma membinasakan dirinya dan keluarganya.
- Setiap insiden dan perbalahan yang berlaku yang dibimbangi merosakkan keharmonian ini, maka tempat kembalinya itu kepada Allah dan Rasulnya.

Oleh itu, perbezaan antara agama merupakan perbezaan yang harus diisi dengan nilai kemanusiaan. Adil itu adalah segalanya. Berikan setiap yang punya hak akan haknya. Islam memberi kebebasan kepada manusia memilih. Jika memilih islam, maka turutilah ajaran Islam yang betul. Sekira tidak memilih islam, maka urusan itu dikembalikan sepenuhnya kepada agama mereka dengan syarat tidak memerangi dasar-dasar yang telah disepakati.

Andai dasar-dasat am ini dikhianati, maka orang yang menimbulkan kekecohan itu segera akan diambil tindakan yang sewajarnya, kerana dia adalah peruntuh kepada keharmonian yang telah dicapai.

Contoh jelas diambil oleh nabi dalam kisah peperangan apabila masyarakat yahudi jelas mengkhianati perjanjian dan secara sengaja menimbulkan ketegangan antara agama, maka Islam mengajar kebiadapan mereka dengan peperangan. Itu pun, peperangan bukanlah pilihan pertama, tetapi setelah diberi peluang dan amaran beberapa kali. Boleh rujuk ceritanya dalam kisah Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizhoh.

Perbezaan Pegangan Yang Mengancam Kesatuan Islam
Seperti disebut di awal tadi, selama mana sesuatu hal itu tidak terkeluar dari panduan Al-Quran dan Sunnah, maka setiap muslim harus saling menghormati antara satu sama lain. Perbezaan antara mazhab fekah tidak memberi kesan negatif kepada kesatuan ummah bahkan memberi rahmat supaya syariat itu tetap dapat dilaksanakan dalam apa ketika dan kondisi sekalipun.

Lihatlah, Islam sentiasa bersifat menghormati dan beradab dalam meraikan perbezaan. Sehingga perdebatan antara agama seperti disebut di atas tadi, islam tetap menanamkan kesopanan dan kelembutan. Apatah lagi perselisihan sesama muslim maka lebih-lebih lagilah perlu diisi dengan sikap persaudaraan. Namun, seperti juga kafir, seandainya ada muslim yang sengaja mencabar dan menyalahi agama, maka tindakannya tetap harus diambil. Lihat bagaimana sikap yang diambil oleh sdna Abu Bakr memerangi golongan yang menghalang zakat ketika alam masih sedih dengan kewafatan nabi.

Demekian halnya ketika sesuatu ideology wujud bertentangan dengan Quran dan Sunnah, seperti menghukum sesuatu yang thabit sebagai tidak, atau menisbahkan sesuatu dasar yang tidak ada dan dijadikan pegangan, menambah dan mereka-rekakan masdar tasyrie yang baru, maka ummat islam ketika itu tidak ada kompromi sama sekali. Perbezaan yang berlaku apabila menyalahi Sumber (tasyrie- al-quran, sunnah) akan mewujudkan mazhab aqidah dan perbezaan tersebut akan mencabar dasar agama. Ini yang mencemarkan agama dan membawa agama kepada perpecahan.

Bagi peringkat penguasa, sesuatu ideology salah yang boleh mengelirukan masyarakat harus dibendung. Pemerintah islam harus membendung dakyah yang salah yang cuba diresapkan ke dalam masyarakat Islam.

Ada orang kata, kenapa hak kafir boleh diraikan sedangkan hak orang yang mengaku islam seperti syiah atau seumpamanya dinafikan? Di manakah kedudukan mereka. Kafir bukan islam pun bukan? Jawapannya mudah, islam memberi kebebasan kepada semua agama untuk dianuti oleh pengikutnya. Islam juga memberikan hak sepenuhnya kepada mereka untuk menjaga dan mentadbir agama mereka sebagaimana yang diajarkan oleh agama mereka.

Begitu juga Islam bertanggungjawab mengawal dan mentadbir penganutnya supaya patuh dengan ajaran yang betul. Sebarang bentuk fahaman yang menyalahi Islam tetapi dinisbahkan kepada Islam merupakan sesuatu yang sesat dan salah. Sama juga halnya dengan agama yang lain. Andai kata ada satu kumpulan yang mengaku hindu sedangkan segala bentuk fahamannya menyalahi agama hindu, pasti orang yang bertanggungjawab terhadap agama tersebut mengambil tindakan membersihkan agamanya dari ‘kesesatan’ tersebut, dan Islam memberikan hak itu kepada mereka. Maka setiap ajaran baru atau lama yang dinisbahkan kepada sesuatu agama tetapi jelas tidak menepati ajaran agama tersebut merupakan hal yang harus disekat dan diambil tindakan kerana semestinya ia dapat diterima oleh semua agama.

Nota : Penulis akan keluarkan artikel tentang syiah selepas ini. InsyaAllah.

Peringatan Tentang Salahlaku Ketika Berbeza Pandangan

Antara sifat negatif yang dikesan berlaku dalam masyarakat ketika berselisih pandangan;
1. Sesorang itu memutuskan bahawa ijtihadnya sahaja yang betul. Sedangkan dalam urusan ijtihadiyah, syariat membenarkan pendapat yang berbilang-bilang.

2. Menganggap orang yang tidak sependapat dengannya sebagai musuh sehingga membawa kepada perpecahan dan putus hubungan silatur rahmi antara mukmin. Sedangkan hakikatnya perbezaan itu sepatutnya dalam persaudaraan dan kasihsayang kerana perbezaan yang berlaku menunjukkan saudaranya yang berbeza pandangan tadi mengambil berat apa yang difikirkannya.

3. Perbincangan seharusnya terhadap hujjah dan pandangan, tetapi banyak yang berlaku bertukar menjadi perkelahian menyerang peribadi.

4. Menolak persaudaraan dalam perbincangan. Hiwar tanpa adab yang penuh dengan kejian. Ingatlah amaran Tuhan dalam surah Hujurat ayat 11 bahawa cercaan itu merupakan sikap golongan zalim.

5. Memaksa orang lain menerima pandangannya sahaja. Dan tidak terbuka untuk menerima pandangan yang berbeza. Sikap ini diceritakan oleh Al-Quran sebagai satu sifat dari sifat-sifat Firaun (rujuk surah Ghofir ayat29)

6. Tergesa-gesa memberi hukum sesuatu pandangan dan melulu menghukum orang yang berpandangan dengan pandangan yang berbeza. Sedangkan, hal-hal tersebut perlu kepada pengamatan yang teliti, berhati-hati dan pertimbangan yang panjang.


Penutup
Akhirnya ingin dirumuskan bahawa;
1. Khilaf hanya berlaku dalam perkara-perkara furuiyah (cabang) yang tidak bercanggahan dengan nas Qoti’eyyatis Thubut (yang tetap soheh kesabitannya- tidak boleh pertikai) dan Qothieyyatid dilalah (yang putus- tetap dan soheh tunjukan dan kehendaknya) .

2. Perselisihan itu dibenarkan, tetapi adab dan persaudaraan itu adalah kewajiban.

3. Haram berkompromi dengan sesuatu yang jelas menyalahi nas syariat (quran dan hadis).

4. Tidak menghukum orang yang berbeza pandangan dari apa yang kita pegangi dengan label-label tidak berakhlak. Pegangan kita boleh jadi betul dan boleh jadi salah, begitu juga dengan pandangan mereka.

5. Nabi saw pernah bersabda;
“sesiapa yang mendakwa seseorang lain sebagai kafir atau dia berkata; Musuh allah, sedangkan lelaki itu tidak demekian, maka akan kembalilah apa yang diungkapnya tadi kepada dirinya sendiri” (HR Muslim No:61)

6. Ingatlah amaran nabi;
“jauhilah kalian dari buruk perhubungan (permusuhan dan kebencian), sesungguhnya ia adalah pencukur (agama). (HR Tirmizi, No: 2508. Beliau berkata: hadis ini Sohih lagi Ghorib)

7. Memahami banyak mazhab membuka ruang untuk kita lebih sesuai hidup dalam kepelbagaian keadaan dan suasana. Ketaksuban dengan cuma satu-satu pandangan menyempitkan kehidupan yang Allah luaskan.

8. Jangan membekukan minda dengan pendapat sendiri sahaja, bukalah ruang melihat dan menilai hujjah-hujjah pandangan yang berbeza itu.

9. Menghormati ulama-ulama ahlus sunnah yang lain dengan ijtihad mereka. Dan bersangka baiklah dengan ilmu dan amanah ilmu mereka walaupun kita tidak sependapat dengan mereka.

10. Bagi seseorang yang mampu untuk membuat pertimbangan antara hujjah dan pandangan ulama, maka dia digalakkan membuat tarjih (memilih pandangan yang kuat berdasarkan hujjah dan perbahasan) kerana memilh pandangan yang lebih dekat kepada kefahaman dan nas itu adalah amanah ilmu dan amanah kepada diri sendiri. Berkata Imam Qurthubi dalam tafsirnya: ‘orang yang berbincang harus melihat kepada semua perbezaan pandangan yang wujud, dan dia melihat dan mengkaji apa yang lebih hampir dengan nas kitab dan sunnah sekiranya dia mampu. Apabila dia telah diberi pertunjuk oleh Allah kepada sesuatu yang telah Dia kehendaki, maka ketika itu berazamlah dengan pilihan tersebut lalu dilaksankanlah apa yang dipilih itu dengan tawakkal kepada Allah’ [al-Jamie li ahkamil Quran, lil Qurthubi]

11. Ingatlah bahawa agama ini adalah agama Allah, dan ummat ini ialah ummat islam, nabinya satu iaitu Muhammad saw, dan setiap kalam pada agama ini menjadi tanggungjawab dan amanah yang digantung di setiap leher pembicaranya. Maka berhati-hatilah. Dan dengarlah semua kalam yang diucapkan oleh ummat ini.
Jika disangka, pembicara bebas berbicara apa yang dia fikirkan, maka ingatlah bahawa kebebasan itu bukannya mutlak. Dia akan dipersoalkan nanti tentang kesahehan kalamnya itu dan dia turut bertanggungjawab terhadap kesan yang ditinggalkan dari setiap pandangannya.

-------
Rujukan:
Al-Ikhtilaf- Ususuhu wa adabuhu : Syeikh Ismail Majzub
Fiqhus Sirah : Prof. Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Bouti
Fiqhus Sirah : Dr. Muwaffaq Salim Nuri

Tiada ulasan: