Selamat Datang

Isnin, 18 April 2011

10 Sifat Gersang!!!

Diriwayatkan daripada Imam As-Thauri, seperti disebut oleh Imam As-Samarqandi di dalam kitabnya Tanbihul Ghofilin, bahawa Imam As-Thauri pernah berwasiat;

10 perkara dari sifat orang yang gersang (bakhil dan rugi);

1. Seseorang yang berdoa untuk dirinya, sedangkan tidak berdoa juga untuk orang tuanya dan sekelian mukminin.

2. Seseorang yang membaca quran, sedangkan dia tidak mampu membaca 100 ayat setiap hari.

3. Seseorang yang masuk ke masjid dan keluar, tetapi tidak pula solat dua rokaat.

4. Seseorang yang melintasi perkuburan, namun tidak memberi salam kepada ahli kubur dan tidak juga berdoa untuk mereka.

5. Seseorang yang memasuki sesuatu pekan pada hari jumaat, kemudian dia keluar tetapi tidak solaat jumaat.

6. Seseorang yang datang tinggal di temptanya oleh seorang yang alim, tetapi dia tidak pergi bertemu dengan si alim itu untuk belajar sesuatu ilmu darinya.

7. Dua orang yang saling berteman, tetapi tidak pernah bertanya nama temannya itu.

8. seseorang yang diundang menjadi tetamu, tetapi tidak pula dia memenuhi undangan tersebut.

9. Pemuda yang mensia-siakan masa mudanya tanpa belajar ilmu dan adab.

10. Seseorang yang kekenyangan sedangkan jirannya dalam kelaparan, dan tidak pula dia memberikan sedikit pun makanannya buat jirannya itu.


p/s : 10 wasiat ini sekurang-kurang perlu menjadi sandaran peribadi daie. Setiap petugas dakwah harus mencorak dunia dengan lisanul hal. Inilah cerminan cara hidup yang prihatin.

Ahad, 17 April 2011

Pesan Umar ra buat pejuang!

Umar ibn Al-Khattab ra di dalam suratnya kepada Saad bin Abi Waqqas dalam peristiwa pembukaan qodisiah, Beliau berwasiat

"Sekiranya kita tidak tewaskan mereka dengan ketaatan kita, nescaya kita tidak akan mampu kalahkan mereka dengan kekuatan kita"


Wadiah al-Ansari pernah berkata, beliau pernah mendengar Umar menasihati seseorang dengan katanya;

" Janganlah berbicara apa yang tidak memberi makna kepadamu, Kenalilah musuhmu, berhati-hatilah dengan kawanmu kecuali seorang yang amanah, dan tidaklah dia itu amanah kecuali dia orang yang takut kepada Allah, janganlah kamu berjalan dengan orang jahat nanti dia akan ajar kamu tentang kejahatannya, janganlah kamu membongkar rahsiamu, dan jangan pula kamu berbincang tentang urusanmu kecuali dengan orang yang takut kepada Allah sahaja"

Sumber :
Sifatus Sofwah dan Tafsir Dr Wahbah Az-Zuhaili

Rahsia Pemilihan Semenanjung Arab sebagai Tapak Mula Dakwah

Rahsia Pemilihan Semenanjung Arab sebagai tempat keputeraan Rasul Akhir Zaman.

sebelum menyusur lebih jauh dengan perbahasan ini, elok terlebih dahulu kita mengenali keadaan dunia ketika itu.

Keadaan Dunia ketika kelahiran NAbi s.a.w.

Ketika kelahiran Nabi s.a.w, Alam sedang menyaksikan kelahiran dan keunggulan 2 Kuasa besar dunia iaitu Parsi dan Rom selain kedatangan 2 pengaruh lagi dari Yunan dan India. Masing-masing mempunyai pengaruh dan tamadun sendiri dalam keadaan arab ketika itu sedang hanyut dengan kejahilan hidup dalam bersistem kesongsangan.

Parsi : Pengaruh Parsi ketika itu ialah keunggulan mereka dengan ilmu falsafah. Dengan kata lain mereka mengagungkan hujah logika dalam menggariskan hukum selain panduan hidup. Namun menjadi hakikat, logika apabila tidak berpandukan wahyu ilahi pastinya akal yang menganggap logik tersebut tersasar jauh dari fitrah kemanusiaan. Begitulah yang sedang berlaku di Parsi. Antara falsafah yang sering diperjuangkan ketika itu ialah membenarkan perkahwinan dengan ibu atau saudara kandung atau tidak juga menjadi kesalahan berkahwin dengan anak sendiri. Sehinggakan pemerintah, Yazdajir ke-2 mengamalkan falsafah ini bila berkahwin dengan anaknya sendiri. Antara kesongsangan lain tamadun Parsi ketika ini ialah falsafah menjadikan wanita sebagai barang perkongsian seperti lain-lain harta.
Namun apa yang ingin diketengahkan ialah, Parsi ketika itu unggul dengan ilmu pemikiran dan tamadun falsafahnya.

Rom : Pengaruh empayar Rom pada waktu itu pula ialah dengan kegagahan menjadi negara penyebar pengaruh Masihi atau kristian. Sebenarnya dengan matlamat menyebarkan pengaruh kristian ke seluruh dunia, mereka menjadi agung dengan jalan penjajahan, Dalam keunggulan menawan dan menguasai banyak negara takluk, Empayar Rom semakin tersimpang dengan kuasa yang terlalu luas sehingga menjadi zalim dalam pelbagai aspek terutama memonopoli ekonomi.

Yunan : keadaan Yunan ketika kelahiran nabi sebenarnya tidak banyak berbeza dengan Parsi. Mereka juga terlalu mengagungkan falsafah dan logika. Bersandarkan pemikiran tersebut, mereka mencipta agama dan sembahan sendiri.

India : Imam Abu Hasan Ali An-Nadwi mengatakan bahawa semua pengarang sejarah bersepakat bahawa India ketiku itu subur dengan kehidupan beragama dengan akhlak dan masyarakat yang baik. India dapat membina pengaruh Tamadun dan Masyarakat dengan bertapak di atas dasar kebendaan. Namun, tamadun dan masyarakat sebegitu tidak mampu berdiri lama apabila menjadikan material sebagai keutamaan kerana melahirkan masyarakat yang tidak berfikiran secara tulus.

Melihat perkembangan dunia ketika itu, kita dapat menyimpulkan bahawa kesesatan Arab yang berlaku pada waktu itu disebabkan kejahilan, manakala umat lain pula disebabkan kecelaruan dalam tamadun iaitu dengan sebab berfikir.

Oleh itu, tersingkaplah sudah kepada kita beberapa hikmah disebalik pemilihan Arab sebagai tempat menerima kelahiran Nabi s.a.w, antaranya :

1. Sekiranya Nabi dilahirkan dalam tamadun falsafah, masyarakat madani atau tamadun penaklukan, pihak musuh mempunyai hujah mengatakan Dakwah yang dibawa nabi sebenarnya terkesan dari peredaran pemikiran falsafah dan tamadun-tamadun tersebut. Allah yang memilih dan memelihara RAsulnya itu, mempunyai rancangan sendiri memilih tempat kelahiran baginda. Allah mahukan manusia dapat menerima bahawa dakwah yang dibawa oleh rasulullah itu sebenarnya secara tulin terus diajar oleh Allah kepada rasulnya tanpa sebarang pengaruh luar. Dilahirkan dengan dakwah yang bertepatan fitrah kemanusiaan dan logik pemikiran dari masyarakat yang terlalu jahil dan mundur dalam pemikiran menjadi hujah betapa dakwah itu pasti berasal dari suatu kuasa Agung yang lain. Selain itu, hal ini dikuatkan lagi dengan menjadikan Nabi seorang yang alim dan seorang yang bertamadun menjangkaui masa sedangkan Baginda tidak pula boleh membca dan menulis.

2. Antara hikmah lain ialah kewujudan Baitullah di Mekah., Allah mahukan Nabi menguruskan Baitullah (kaabah) sehingga menjadi syiar teragung agama Islam yang dibawanya.

3. Selain itu Semenanjung Arab dan Mekah khususnya berada di titik geografi yang terlalu strategik untuk urusan dakwah. Semenanjung Arab berada tepat di pusat dunia yang menjadikan laluan antarabangsa dari semua sudut. Oleh itu, hal ini amat sesuai untuk menjadikan Semenanjung Arab sebagai pusat Sebaran Agama Islam.

4. Melihat dari sudut bahasanya, pemilihan Semenanjung Arab mehjadi hikmah pemilihan bahasa arab itu sendiri sebagai bahasa rasmi Dakwah Islam. Disebabkan bahasanya yang paling cantik selain mempunyai balaghah yang unik, bahasa ini juga mudah disebarkan ke seluruh dunia. Oleh itu, pemilihan Semenanjung Arab merupakan faktor terpenting untuk penyebaran kitab Al-Quran. Al-Quran yang di bawa ke tengah-tengah bangsa arab yang terlalu mengagungkan karya bahasa menjadikan semua pensyair (yang ketika itu merupakan manusia paling berpengaruh di Mekah) mengakui bahawa kalam ini bukan kalam dari manusia biasa.

Sejarah Kemasukan Berhala Ke Kota Suci Mekah

Hubungan Jahiliyah Dengan Agama Hanifiyah


Hanifiyah merupakan nama dari nama-nama Islam. Masyarakat Arab pada zaman Jahiliah menggelar manusia yang beragama dengan agama Ibrahim alaihissalam sebagai Hanif.

Oleh itu, fahamlah kita bahawa sisa baki dan kesan dari akidah, prinsip dan adab dari agama yang murni ini sentiasa wujud dan dikenali di semenanjung Arab ketika kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w.

Dari itu, adakah jahiliyah juga berasal dari agama hanif yang dengan peralihan zaman yang panjang merubah pegangan mereka dari agama hanif kepada menyembah berhala?

Kita akan rungkai masalah ini dengan penerangan sejarah peralihan zaman tersebut...

Bagaimana tersebarnya Berhala dan penyembahannya di Semenanjung Arab?

Sudah menjadi makluman bahawa bangsa arab merupakan keturunan Ismail Alaihissalam. Maka sudah tentu mereka mewarisi tauhid, suluk serta syariat yang dibawa oleh moyang mereka itu. Semua itu terbukti dengan sikap mereka yang mengagungkan Baitullah Al-haram. Sikap ini yang menjadi kewajipan semua orang di Mekah ketika kelahiran Nabi, menjadi bukti kesan pewarisan millah atau jalan yang dibawa oleh moyang mereka Ibrahim dan Ismail alaihimassalam.

Bagaimanapun, pertukaran zaman demi zaman yang panjang menyaksikan percampuran arab dengan bangsa lain yang berbilang sehingga pengaruh agama Hanif tersebut telah terkesan kebatilan-lebatilan dari sumber luar. Dengan pengaruh luar yang berdikit menjangkiti umat arab dari semasa ke semasa sehingga akhirnya telah merubah akidah generasi-generasi yang lewat kepada akidah yang batil dan cara hidup yang songsang. Bukan setakat itu, malah yang lebih parah mereka memerangi pula akidah dan cara hidup asal yang dibawa oleh moyang mereka sehingga memasyarakatkan cara hidup yang tidak bertamadun dan penuh kejahilan. Demikianlah masyarakat yang menerima kelahiran Penghulu Segala Rasul.

Amru ibnu Luhai merupakan orang pertama membawa masuk berhala ke Mekah :

Orang pertama yang membawa masuk syirik dan berhala ke Mekah ialah Amru ibnu Luhai ibnu Qama'h yang merupakan moyang kepada kabilah Khuzaa'h.

Diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam (Pakar Sejarah Islam) dengan sanadnya menceritakan bagaimana Amru membawa masuk pengaruh sembahan berhala ke Mekah. Ketika beliau keluar ke Syam atas beberapa urusannya, beliau singgah di Maab suatu tempat di kawasan balqa' dan beliau terlihat di sana masyarakatnya menyembah berhala bertanya "apakah benda yang kamu sembahkan ini?" mereka menjawab "inilah Yuhan yang kami sembah. Bila kami meminta hujan, diberinya kami hujan. Bila kami meminta pertolongan, dia menolong kami." kata Amru pula selepas terpengaruh "tidakkah kamu mahu berikan aku satu patung ini? Aku ingin membawa pulang ke Tanah Arab maka masyarakat arab juga boleh menyembahnya," maka mereka memberikannya satu berhala yang dikatakan bernama 'habal' lalu dia membawa pulang dan masyarakat arab selepsa itu mula menyembahnya.

Inilah permulaan kemasukan berhala ke Mekah. selepas beberapa lama ketika itu tersebarlah pengaruh sembahan berhala ini ke serata Mekah dan terus merubah akidah ahli Mekah sedikit demi sedikit sehingga bertambahnya berhala dari waktu ke waktu yang akhirnya ketika Nabi dilahirkan, bilangan berhala di sekeliling Kaabah sahaja mempunyai sebanyak 360 jenis berhala.

Apa yang berlaku merupakan proses pensyirikan bangsa arab sewaktu itu. Tetapi tidak dapat dinafikan,apa yang dibawa oleh Ibrahim dan Ismail a.s masih menjadi pegangan mereka. Cuma cara mereka sahaja yang telah mengubah mereka menjadi bangsa yang songsang. Ini terbukti apabila mereka masih mempercayai Allah tetapi dalam waktu yang sama mereka sembahkan berhala dengan alasan berhala tersebut menjadi pengantara dengan Allah. Mereka percaya dengan hari pembalasan dan balasan syurga neraka tetapi mereka nafikan kebangkitan Utusan Akhir Zaman.

Oleh itu, boleh dikatakan kecelaruan akidah yang terjadi kepada bangsa Arab di Mekah itu telah menrosakkan akidah dan cara hidup mereka tetapi dalam masa yang sama pengaruh tauhid dan akidah yang dibawa oleh moyang mereka tetap menular. Hal ini dikuatkan lagi dengan kewujudan beberapa orang yang masih pegang kukuh dengan agama Hanif ketika Nabi dilahirkan.

Berdasarkan keterangan tersebut, keadaan sebegitu menjadi satu hikmah kenapa Nabi dipilih dari kelompok arab sebegitu. Sejarah menerangkan, walau sebegitu tidak bertamadunnya hidup masyarakat mekah ketika itu tetapi sebenarnya mereka merupakan masyarakat yang paling sedikit menyimpang dari ajaran Islam yang asal dari masyarakat dan bangsa lain yang lebih jauh dari Islam. Oleh sebab pengaruh Akidah Hanif yang masih wujud di sanalah menjadi salah satu hikmah pemilihan Masyarakat Jahiliyah Mekah menerima kelahiran Rasul Akhir zaman.

Hubungan Dakwah Antara Rasul

Hubungan Saidina Muhammad Dengan Dakwah Samawiyah Yang Terdahulu


Ramai yang bersoal adakah agama yang dibawa oleh sdna. Muhammad adalah agama baru yang berbeza dari agama rasul-rasul sebelumnya?

Ulama menjawab, agama yang dibawa oleh nabi dan rasul semuanya itu, bermula dari Adam sehingga Muhammad alaihimus salam adalah agama yang satu. Agama itu dinamakan Islam dan pengikutnya dipanggil muslim. Firman Allah “ Dia menamakan umat sebelumnya sebagai muslimin dan juga pada umat ini..” – al-Haj: 78

Dakwah setiap rasul itu bersaskan 2 faktor terpenting iaitu Aqidah dan Pensyariatan serta Akhlak.

Aqidah:
Faktor ini dibawa oleh semua rasul tanpa ada sebarang perselisihan antara satu sama lain. Frman Allah “sesungguhnya Agama di sisi Allah itu adalah Islam” ali Imran – 19.

Oleh itu, isi kandungannya semenjak kebangkitan Adam sehingga Penutup Segala Rasul adalah benda yang sama iaitu mengesakan Allah Yang Maha Suci serta menafikan segala sifat yang tidak layak bagi-Nya, disamping mengajak mengimani Hari Kebangkitan, syurga dan neraka serta perkara-perkara ghaibiyat yang lain. Setiap Nabi akan membenarkan dakwah rasul sebelumnya dan mengkhabarkan pula kebangkitan Rasul selepasnya. Mereka juga akan memperkenalkan hakikat kejadian manusia dan kehidupan selain memperkenalkan hakikat ibadah kepada Allah s.w.t.

Demikianlah resam kebangkitan Nabi dan segala Rasul walau berbeza masa, umat dan kaum. Perkara tersebut adalah kerana hal akidah merupakan urusan yang datang dengan khabar. Dan khabar pula mustahil akan berbeza sesama rasul kerana sifat wajib bagi rasul ialah benar.

Pensyariatan dan Akhlak:
Faktor ini merupakan urusan suluk dari Agama. Dan telah sabit bahawa setiap syariat yang datang samada menasakhkan syariat sebelumnya, atau diam dan menguatkan lagi syariat tersebut.

Daripada hikmah perbezaan syariat-syariat dari langit ini ialah untuk menyesuaikan agama Islam dengan masyarakat waktu itu. Oleh itu, perbezaan syariat ini datang mengikut kaum dan waktu tertentu. Oleh itu, syariat Nabi Musa sesuai untuk kaumnya sehingga kebangkitan rasul selepasnya. Syariat Nabi Isa juga sesuai sehingga dibangkitkan Muhammad. Maka selepas kebangkitan Muhammad, syariat sebelumnya langsung tidak sesuai dipraktikkan ketika itu. Syariat ini dihantar oleh Allah yang Maha Mengetahui. Maka dengan Ilmu Allah, syariat terakhir kepada Nabi Muhammad merupakan syariat yang paling sesuai diamalkan untuk beribu tahun sehingga kedatangan Hari Kiamat tanpa sebarang keraguan walau berbeza zaman dan suasana.

Daripada perkara tersebut, jelaslah bahawa tidak wujud agama samawiyah yang berbilang-bilang tetapi wujud syariat dari langit yang berbilang.

Jumaat, 15 April 2011

Taubat - Nota sebelum tidur

Nota Sebelum Tidur. Moga Sempat kembali ke jalan benar.


Allah berfirman, Maksudnya : dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nur : 31)

Nabi saw bersabda :
“Orang yang bertaubat daripada dosa seperti orang yang tidak punya dosa. Dan Apabila Allah mencintai seseorang hamba, sebarang dosa tidak akan memudaratkannya. – lalu Nabi membaca ayat ini – Mafhum ayat: sesungguhnya Allah mencintai orang yang gemar bertaubat dan Allah juga mencintai orang yang sering bersuci.” (Al-baqarah 122) – Baginda ditanya, wahai Rasulullah, apakah alamat Taubat? Jawab baginda : “Penyesalan”.
(HR Tirmizi, Ibn Majah dan Al-Baihaqi)

Berkata Syeikh Abu Ali Ad-Daqqaq :
Taubat itu 3 peringkat, pertamanya taubah, kedua inabah dan ke-tiga aubah. Taubah itu permulaannya, Aubah itu kemuncaknya dan inabah itu tengahnya. Sesiapa yang taubat kerana takut akan balasan Allah maka itu Tubat. Sesiapa yang taubat kerana tamak dengan ganjaran pahala, maka itu Inabah. Sesiapa yang bertaubat kerana melaksanakan perintah Allah dan rasa tanggungjawab, maka itu ialah Aubah”.
Beliau mengambil dalil;
1. At-Taubat : Sifat mukmin – Firman Allah;
Maksudnya : dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nur : 31)

2. Al-Inabah : Sifat auliya’ dan muqarrabin – Firman Allah;
Maksudnya : "(Iaitu) orang Yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah) Dengan hati Yang tunduk taat". (Qaf : 33)

3. Al-Aubah : Sifat para nabi dan rasul – Firman Allah;
Maksudnya : “Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat).” (Sod : 30)

(Nota: ketiga-tiga istilah tersebut membawa makna yang sama dari segi bahasa, iaitu pulang)


Berkata pula Imam Ibnu Athoillah As-sakandari;
Taubat itu 2 macam,
1. Taubatul Inabah : Taubat seseorang kerana takut balasan Allah
2. Taubatul Istijaabah : Taubat kerana malu dengan kemuliaannya


Al-Imam Abul Qasim Al-Qusyairi menaqalkan bahawa, para imam usul dari kalangan Ahlus Sunnah menyatakan bahawa syarat taubat itu ada 3;
1- Penyesalan di atas salahlakunya.
2- Tinggalkan, tanggalkan dan cucikan diri dari kesalahan tersebut. (jika kesalahan tertakluk dengan makhluk, maka pulangkan setiap haq mereka)
3- Azam tidak mahu ulangi lagi kesalahan tersebut.

Berkata Imam as-Suyuthi: “Taubat Nasuha itu ialah taubat yang tidak meninggalkan kesan maksiat kepada si pelakunya samada dalam keadaan tersembunyi ataupun terang-terangan”.

Berkata Imam zun Nun : “Istighfar tanpa menanggalkan dosa adalah taubat golongan penipu”

Ditanya syeikh al-Busyanji tentang taubat, lalu dijawabnya : “Apabila diingati tentang sesuatu dosa, sambil dia tidak lagi berasa manisnya dosa itu, maka itulah Taubat”

Imam As-Syairazi menaqalkan dengan riwayatnya bahawa Iman Al-Junaid pernah diceritakan oleh seseorang bahawa orang itu didatangi oleh seorang pemuda bertanyakan tentang taubat. Lalu orang itu menjawab : Taubat itu adalah bahawa engkau tidak lagi mengingati dosa lampau. Lalu si pemuda itu membantah cakapnya. Pemuda itu berkata : Bahkan taubat itu ialah mengenangkan dosa.
Lalu Imam Al-Junaid berkata : “Aku beranggapan sama dengan pemuda tersebut”. Orang tadi lalu bertanya, kenapa? Jawab Imam Al-Junaid : “sekiranya aku berada dalam keadaan gersang (memerlukan), kemudian aku berpindah kepada keadaan yang selesa (serba ada), maka mengingati keadaan gersang tadi di ketika selesa merupakan kegersangan juga (bermaksud : masih mengharap walaupun dalam keadaan selesa – tidak lupa diri dalam keselesaan) . Maka diam si pencerita tersebut.

Maha Suci Tuhan, Ingatlah, keampunan Allah dan Kasih sayangnya kepada makhluk jauh lebih luas dari murkanya kepada makhluk.

Firman Allah,
“Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang Yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi Yang Luas ini terasa sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin Bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan kembali bertaubat kepadanya, kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.”
(At-Taubah : 188)


Petikan Risalah Al-Qusyairiah, Imam Abul Qosim Abdul Karim ibn Hawazin Al-Qusyairi