Selamat Datang

Khamis, 4 Mac 2010

Perbezaan antara Lelaki dan Perempuan

2-3 hari lepas sempat bersembang dengan rakan tentang perbezaan jantina. Dia mengulas tulisan saya tentang ' Status Kepimpinan Wanita menurut pelbagai kacamata' dalam satu majalah pelajar di syria ini yang bernama ILHAM. Kebetulan saya pernah membaca beberapa fakta menarik tentang perbezaan jantina ini. Justeru saya berjanji dengannya akan paparkan apa yang pernah saya baca itu dalam blog saya. Marilah sama-sama kita kongsi jika bermanfaat.

Perbezaan Kemahiran Komunikasi Antara Lelaki dan Wanita

Lelaki
1) Satu-satu isu perbincangan dalam satu masa
2) Penyampaian maklumat secara ringkas.
3) Pertuturan langsung dan spontan.
4) Gemar berbalah.
5) Berminat pada fakta dan isu penting.

Perempuan

1) Pelbagai isu perbincangan serentak dalam satu masa.
2) Penyampaian maklumat secara terperinci.
3) Pertuturan ekspresif dan bersintesis.
4) Gemar berkompromi.
5) Berminat pada cerita panjang dan hal rumit.


Wanita Suka Membebel?!
Antara Fenomena Wanita Suka Membebel dan Fenomena Lelaki ‘Masuk Telinga Kanan Keluar Telinga Kiri’
( Olahan petikan dari Majalah Dewan Kosmik Oktober 2007 )
Oh dengarlah tuan-tuan
Sebuah kisah suami isteri
Kadangkala terdapat si isteri
Memerintah suami
Disuruh duduk, duduk
Dijerit-jerit dibentak-bentak,
Suaminya dulu handsome
Rambut panjang dah jadi botak

Mungkin ramai antara kita yang masih mengingati bait lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tersebut. Walaupun mesej yang disampaikan berbentuk anekdot (kisah ringkas yang selalunya agak lucu), realitinya agak besar untuk dunia komunikasi antara jantina. Dilihat kepada konteks lirik tersebut, benarkah wanita suka membebel?

Fenomena wanita suka meleteri suami, anak pinak atau teman lelaki masih belum terbukti secara tepat dan selalunya dianggap propaganda misoginis. Tetapi semakin hari semakin banyak penemuan dalam bidang neurosains, biologi, sains sosial dan psikologi membuktikan hakikat wanita membebel sebagai faktor azali yang sukar dikawal.

Laporan daripada kajian yang dijalankan di Sheffield University, England, mendapati penerimaan bunyi oleh otak manusia berbeza mengikut jantina. Suara wanita lebih sukar diterima oleh otak lelaki. Hasil kajian mendapati otak lelaki mentafsir suara wanita menggunakan bahagian auditori yang sama digunakan bagi memproses nada muzik. Apabila mendengar suara kaum mereka sendiri, otak lelaki lebih pantas mengenal pasti dan menterjemah bunyi yang diterima kerana melibatkan mekanisme yang lebih mudah.

Menurut Michael Hunter, seorang penyelidik fenomena ini, suara wanita lebih unik berbanding dengan suara lelaki berikutan saiz dan bentuk saluran vocal serta larinks yang berbeza. Faktor biologi ini menyebabkan suara yang dilontarkan oleh wanita mempunyai irama. Secara saintifik, melodi yang terhasil dalam pertuturan wanita mempunyai frekuensi berbeza-beza dan kompleks untuk ditapis oleh otak lelaki secara lewa.

Kebanyakan wanita membebel kerana mereka menganggap mereka terpaksa membebel demi memastikan segala hal terurus. Mereka juga membebel kerana mereka lebih mengambil berat hal-hal yang dipandang remeh oleh lelaki. Wanita juga berpendapat lelaki adalah spesis yang berat mulut untuk berbincang. Lelaki pula berpandangan wanita hanya pandai bercakap tetapi tidak pandai melaksanakan tugas. Jadi, siapakah yang betul sebenarnya? Hasil imbasan MRI oleh pakar neuron mendapati bahagian otak yang mengawal percakapan dan bahasa adalah lebih gelap pada otak wanita. Oleh itu, bukti ini secara langsung menyokong teori lelaki pada wanita tadi.

Bilangan neuron yang lebih pada bahagian otak yang mengawal percakapan dan bahasa ini, membolehkan wanita menghasilkan lima nada vocal berlainan apabila bertutur. Wanita juga mampu membezakan kelima-lima nada tersebut. Bagi lelaki, otak mereka hanya dapat mengenal pasti tiga daripada nada-nada itu. Wanita menggunakan nada yang berbeza-beza kerana ingin menyampaikan emosi bersama–sama percakapan mereka. Oleh sebab itulah, dalam perbualan seharian antara lelaki dan wanita, mesej asal tidak selalu sampai dengan jelas.

Berbeza dengan otak wanita, otak lelaki boleh menumpu pada satu topik perbincangan dalam satu-satu masa. Sekiranya penyampaian wanita bercampur aduk dengan emosi, konotasi (idea yang dimaksudkan) dan semantik (penambahan makna sesuatu kata), lelaki gagal memahami maksud sebenar. Punca utama kegagalan ini jelas lahir daripada struktur otak lelaki dan bukan kerana ego ataupun sikap keras kepala. Oleh itu fenomena wanita suka berleter dan fenomena lelaki yang ‘masuk telinga kanan keluar telinga kiri’ seringkali berlaku dalam komunikasi antara jantina tersebut.

Menurut, Michael Gurian, seorang lagi ahli falsafah sosial menjelaskan bahawa factor biologi juga adalah punca utama wanita bersikap lebih terbuka berbanding dengan lelaki. Oksitosin dan serotonin adalah kimia yang dirembes oleh otak sebagai agen intimasi dan penenang. Kedua-dua agen ini wujud dalam kadar yang rendah dalam otak lelaki. Kekurangan oksitosin menjadikan lelaki seringkali memilih bagi menyendiri daripada berkomunikasi. Lelaki juga lebih mudah tertekan dan gelisah apabila dibebel kerana nilai serotonin yang dimiliki rendah.