Selamat Datang

Rabu, 11 Ogos 2010

Wasiat Ramadan

Merujuk kalam Syeikh Syamsuddin Muhammad As- Safiri rahmatullah alaih yang dinukilkan oleh Al Allamah Al Alusi dalam kitabnya Gholiyatul Mawai’z bahawa adalah disyariatkan mengucap tahniah kepada saudara semuslim dengan kedatangan Ramadhan kerana Nabi seperti dikatakan oleh Ibnu Rejab akan mengucap tahniah dan menyampaikan berita gembira kepada sekelian sahabatnya dengan ketibaan Ramadan, lalu ku ucapkan pada kalian, Selamat Menghidupkan Ramadan Al Mubarak.

Moga dibantu kita pada siangnya nanti untuk puasa dengan makna yang benar, di malamnya dianugerahkan kepada kita qiam, di pelihara pandangan dan lidah di sepanjang kita berada di dalamnya, serta quran menjadi zikir di detik-detik mahal Ramadan ini.

Saudaraku,
Kebaikan bukan cuma untuk Ramadan, tetapi hak untuk setiap saat kita bernafas. Jangan kita tertipu dengan Ramadan.

Ramadan Bulan Quran. Bukan bermakna selain dari Ramadan kita tidak perlu meneliti kalam suci itu.

Ramadan Bulan Puasa. Bukan bermakna ibadah istimewa dengan ganjaran surprise itu tidak ada pada lain-lain bulan.

Ramadan Bulan sabar. Bukan bermakna harus sabar menahan lapar dahaga di kala Ramadan sahaja. Marah, benci, meluat harus dibuang. Sabar dengan tiga konsep itu harus dibawa ke luar Ramadan juga. Sabar dari maksiat, sabar dalam taat dan sabar menerima ujian.

Ramadan bulan ganjaran. Jangan difikir pula di luar Ramadan Tuhan yang Maha kaya itu kedekut.

Maha Suci Allah Tuhan sekelian alam, Sesungguhnya Ramadan itu tapak semai yang sangat subur untuk kebaikan. Moga tatkala menjelang syawal, segala kebaikan Ramadan mula berputik dan manisnya hidup bertuhan dapat dirasa sehingga bertemu pula Ramadan yang akan datang.

Saudaraku,
Ramadan tetap Ramadan.Di dalamnya digandakan segala ganjaran. Di dalamnya satu hadiah teristimewa menanti, iaitu malam al-Qadar.

Ketika pintu Syurga dibuka luas, maka rebutlah peluang mencari dan menempah pintu yang paling istimewa untuk kita. Ketika pintu neraka pula sedang dikunci, jangan pula kita mencari kunci membukanya. Sedang Syaitan dirantai, jangan kita pula yang menjadi syaitan. Ambillah peluang mendidik jiwa dan nafsu. Merotan Ammarah, Mentarbiah lawwamah dan cubalah berjinak dengan mutmainnah.

“wahai nafsu yang mutmainnah, kembalilah kepada TuhanMu dengan Redho dan di redhoi. Lalu Masuklah engkau di kalangan Hamba-hambaku dan jemputlah ke Taman SyurgaKu”

Saudaraku,
Aku ingin wasiatkan diri ku, mungkin bermanfaat juga buat kalian.

Ramadan mengajar kita hidup bersama. Ramadan mentafsirkan budaya hidup muslim bersaudara. Berlumbalah berkhidmat kepada makhluk Tuhan, apatah lagi makhluk semulia insan.

Maafkanlah saudara mu di samping pohonlah maaf dari sekelian saudaramu.

Aku tatkala risalah ini ditulis, telah memaafkan segala kesalahan saudara-saudara terhadapku. Aku ingin pohon agar kesalahan ku pula diampunkan kalian.

Ulama berhikmah, “Janganlah kau pandang dosa orang lain seakan kamu Tuhan, tetapi pandanglah diri mu dan dosa mu sebagai kamu seorang hamba hina”.

Saudara,
Kesempatan yang ada, kita rebut doa agar disatukan suara ummat. Biar siapa pun kita dan dari mana pun asal kita, moga kita diberi petunjuk untuk bersama dalam satu saf yang benar. Yang dikhilafi sama kita hormati, yang disepakati sama kita bantu. Cita kita sama, impian kita tiada beza, agar ada tunas baru terus semarakkan dunia dakwah.. moga kita antaranya.

Saudaraku,
Aku panjatkan doa buat Tuhan pensyariat puasa, Bebaskan lah Masjid al-Aqsa.
Aku Bertawasul dengan barakah Nabi, Aku meyakini Janji Robbi, Ya Allah, Bukalah bantuan dan kemenangan yang hampir buat Ummat Islam.

Saudaraku,
Buat akhirnya, rebutlah Ramadan ini bagai ia yang terakhir. Kalau ada lagi jodoh dengan Ramadan yang akan datang, maka itu Bonus dari Tuhan. Andai tidak, biarlah Ramadan ini yang terbaik dalam rekod buku catatatan amalan kita.

‘Engkau datang ke bumi diserukan azan di telinga mu, Nanti bila engkau mati akan ditakbirkan solat keatasmu. Demikian singkatnya hidup. Cuma antara azan dan takbir’.

Jika dahulu ketika kamu dilahirkan, ramai yang tertawa gembira menyambutmu. Namun, apakah mampu engkau menangiskan alam dengan pemergian mu nanti? Maazallah, supaya alam tidak menyumpah gembira berpisah dengan kita!

Ramadan menghimpunkan kita. Semua kita mengucap ahlan wa sahlan kepada Ramadan yang sama. Tetapi setiap dari kita akan ucapkan selamat tinggal kepada Ramadan dengan ukuran yang berbeza.

Kulla Am wa Antum Bi Khair