Selamat Datang

Sabtu, 26 Mac 2011

Bahaya menjadi agen penyambung Qazaf

Apabila menqazaf (tuduh zina/liwat) oleh seseorang akan seseorang lain, lalu berkata orang ke-tiga: benar dakwaan mu.. maka orang ke-tiga itu juga qazif (pembuat qazaf) ~ al-Mughni li ibni Qudamah (m/s 258, jilid 12, cetakan Dar Hadis Qaherah 2004)



3 hukum bg orang yang qazaf tanpa penyaksian 4 orang saksi (yang adil):

1. 80 sebatan.

2. Penyaksian tidak diterima selamanya (tidak diterima walaupun setelah bertaubat - mengikut pandangan kebanyakan ulama tabien seperti AlHasan Al Basri, Ibrahim An-Nukhai, Saied bin Jubair, Sufian As Thauri, Abu Hanifah dan Syuraih al-Qadhi)

3. Dihukum sebagai fasiq.

- Hukum ini diistinbat dari surah An-Nur, ayat 4.



Ingatlah, Nabi saw bersabda. "Milikilah lidah kamu" (sohih, riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi) dengan erti, jangan mudah melafazkan sesuatu yang tidak pasti dan keji. Allah bagi peringatan " tidak melafazkan sesuatu perkataan kecuali ada di sisinya roqib atid ( mencatat untuk dihadapkan di hadapan Allah nanti) " - Qaf, ayat 8.



Bagi yang diqazaf atau difitnah, semoga pesanan Yaaqub kepada dirinya terhadap ujian yang dihadapi anaknya Yusuf alahimassalam menjadi penawar;

" kalau begitu sabarlah dengan baik, Allah jua lah yang dipohonkan pertolongannya di atas apa yang kamu (saudara-saudara Yusuf yang lain) lakukan" - Yusuf, ayat 18.

Rabu, 16 Mac 2011

Cara Memilih Calon Isteri.

Catatan ini diterbitkan bersempena musim pernikahan. Bagi yang masih memilih, moga menjadi panduan kita bersama. Bagi yang telah mengambil keputusan, maka berazamlah lalu bertawakkal kepada Allah dengan keputusan tersebut.

“wahai Tuhan kami kurniakanlah kami daripada isteri-isteri dan anak-anak kami sebagai penyejuk mata kepada kami, dan jadikanlah kami kepada orang bertaqwa sebagai imam” [al-Furqan -74]

Ditanya kepada seorang ahli falsafah, Bagaimana kriteria isteri yang dia ingin pilih?

Lalu dijawabnya, “ aku mahukan seorang yang tidak cantik kerana nanti orang lain sangat teringin kepadanya, tetapi aku juga tidak mahu yang hodoh kerana nanti diriku berasa geli geleman terhadapnya. Aku tidak mahu yang tinggi kerana nanti aku terpaksa mengangkat-angkat kepalaku kepadanya, dan tidak juga yang pendek lalu aku terpaksa pulak menundukkan-nundukkan kepala ku kepadanya. Aku tidak mahu yang gemuk kerana dia nanti akan menutup ruang angin daripadaku, aku juga tidak mahu yang kurus keding sehingga ku rasa dia itu mamcam khayalan (bayang) aku. Aku tidak inginkan yang putih sampai seperti lilin, tetapi aku juga tidak mahu yang hitam sampai ku lihatnya macam hantu. Aku tidak mahu seorang yang jahil sehingga dia tidak memahami aku, tetapi tidak jugak terlalu cerdik sehingga dia selalu berdebat dengan aku terhadap apa keinginannya. Aku tidak mahu perempuan yang kaya lalu dia akan selalu sebut “hartaku..hartaku..”, aku juga tidak mahu yang miskin kerana takut nanti dia dihina oleh anak-anakku.”

Bagi kita yang beriman, saya fikir memadailah kita menjadikan sandaran panduan yang telah tercatat dalam Al-Quran dan apa yang telah ditinggalkan oleh Nabi saw dalam hadis-hadis baginda. Nabi yang merupakan manusia yang dihantarkan wahyu langsung dari Allah itu pastinya memberikan cadangan yang meraikan sifat kemanusian kita di samping memberi penekanan utama kepada beberapa aspek lain supaya kehidupan selepas perkahwinan nanti tidak akan dikesali.

“Maka nikahilah olehmu apa yang baik bagi kamu daripada perempun walaupun dua, tiga dan empat” [Nisa- 4]

“dan Nikahilah ayama (yang belum bersuami bagi perempuan atau yang belum beristeri bagi lelaki) dari kalangan kamu dan orang-orang soleh dari hamba lelaki dan perempuan, sekiranya mereka fakir maka nanti akan dikayakan mereka oleh Allah dengan kelebihanNya” [An-Nur – 32]

“nikahilah walud (yang berketurunan subur) dan wadud (penyayang). Sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya kalian menjadi umatku pada hari Qiamat” [ HR Abu Daud – 2050]

“Dinikahi perempun itu dari 4 sebab, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilih dan menangkanlah yang punya agama nescaya akan beruntunglah kamu” [HR Bukhari – 4802, Muslim- 1466]

“ apabila telah dipelawa kepada kamu orang yang telah kamu redho akan agamanya dan akhlaknya maka kawinilah dia. Sekiranya kamu tidak berbuat sedemikian nescaya nanti akan jadi fitnah di atas muka bumi dan akan berlaku kerosakan yang pincang” [ HR Tirmizi – 1084]

Indeks kebebasan akhbar 2010 bagi Malaysia yang mengejutkan

Tulisan ini saya sedut langsung dari http://www.kedahlanie.info


Indeks kebebasan akhbar 2010 bagi Malaysia yang mengejutkan

Oleh: Zulkifli Yahaya

Indeks kebebasan akhbar adalah kedudukan tahunan bagi setiap negara di dunia ini mengenai kebebasan akhbar yang wujud di negara itu. Ia dibuat dan diterbitkan oleh kumpulan Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Without Borders, RWB) berasaskan penilaian organisasi terhadap rekod kebebasan media. Negara paling kecil sekalipun, seperti Andorra juga termasuk dalam penilaian tersebut.

Laporan dibuat berdasarkan soal selidik yang dihantar kepada pertubuhan yang menjadi rakan kerjasama RWB (14 kumpulan organisasi dari lima benua) serta 130 koresponden di serata dunia yang terdiri dari wartawan, penyelidik, pengamal undang-undang serta aktivs hak asasi manusia.

Soalan kajiselidik bertumpu pada aspek serangan langsung terhadap bidang kewartawanan dan media sepertimana tekanan sumber tidak langsung lain terhadap kebebasan media. RWB amat berhati-hati dalam mencatat indeks kerana penumpuan hanya terhadap aspek kebebasan akhbar dan bukan mengukur kualiti jurnalisme.

Apa yang paling mengejutkan dalam laporan tersebut bagi tahun 2010 ialah kedudukan Malaysia jatuh merudum ke tempat 141 dari 178 negara yang dibuat penilaian. Jika dihitung kedudukan Malaysia dari bawah, maka negara kita menduduki tempat 38; merupakan pencapaian ‘cemerlang’ bagi kalangan negara yang sangat tebal kongkongan medianya.

Angka paling kecil dijadikan indeks paling baik tahap kebebasan akhbarnya, manakala paling besar sebagai paling buruk. Maka bagi tahun 2010 Malaysia memperolehi 50.75, merupakan indeks tercorot dalam tempoh lapan tahun. Catatan indeks Malaysia adalah seperti berikut; 2009 (44.25), 2008 (39.50), 2007 (41.00), 2006 (22.25), 2005 (33.00), 2004 (39.83), 2003 (32.00) dan 2002 (37.83).

Di Malaysia, penilaian yang dibuat tentulah kepada semua akhbar, tidak terhad kepada akhbar berbahasa Malaysia sahaja yang hampir keseluruhannya dibawah kongkongan kerajaan BN. Akhbar berbahasa Cina, sekalipun masih terkongkong di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan tetapi mereka masih mempertahankan sikap bebas, menyiarkan laporan seimbang terhadap semua pihak.

Jika indeks kebebasan akhbar dibuat terhadap akhbar berbahasa Melayu sahaja (yang berat sebelah) yang lebih besar pengaruhnya terhadap kaum majoriti negara ini, maka catatan indeks akan lebih buruk dan mungkin setanding dengan Burma, Korea Utara dan Eritrea.

Apa yang mengejutkan ialah kedudukan indeks kebebasan akhbar Malaysia jauh lebih buruk dari Mesir, Algeria dan Jordan yang sedang bergelut dengan kebangkitan rakyat kini. Antara rakan dalam kelompok Malaysia ialah Libya dan Tunisia, juga dua buah negeri yang karam dalam kebangkitan rakyat.

Maka timbul persoalan sekarang, apakah azam untuk menawan Putrajaya masih terdapat cahaya harapan di hujung terowong dalam keadaan semua media utama (khususnya media berbahasa Melayu) di negara ini tidak bebas, sentiasa berat sebelah dengan memihak kepada BN seratus peratus dan tidak pernah memberi ruang kepada pembangkang barang sepicing pun?

Penilaian terhadap parti politik di mana-mana pun dalam sistem demokrasi di dunia ini ditentukan oleh persepsi. Persepsi pula ditentukan oleh maklumat yang diterima. Oleh kerana rakyat Malaysia keseluruhannya dimomokkan oleh versi sebelah pihak sahaja, maka secara logiknya BN akan terus mendapat mandat sampai bila-bila selagi persoalan kebebasan media tidak dibetulkan.

Harus diingat bahawa itu baru persoalan kebebasan media. Belum lagi bicara soal jentera kerajaan yang diperkudakan, rasuah untuk pengundi dihalalkan dan manipulasi oleh SPR sebagai pengadil yang berat sebelah.

Sebahagian besar masalah dan ‘kelemahan’ dalaman Pakatan Rakyat adalah angkara manipulasi media. Mereka sangat berkuasa dalam membuli PR kerana kerana tiada media konvensional yang menjadi alternatif kepada PR. Masalah kecil berkaitan PR diperbesarkan, manakala jawapan terhadap persoalan yang ditimbulkan digelapkan. Kerajaan Pulau Pinang di bawah teraju DAP digambarkan sebagai anti Melayu/Islam tetapi penjelasan balas oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng terhadap semua isu yang dibangkitkan tidak pernah disiarkan. 30 orang penyokong BN berdemonstrasi di hadapan pejabat Menteri Besar Selangor disiarkan di semua media, walhal lebih 30 ribu pemuda PAS berhimpun di Kota Sarang Semut tidak disiarkan oleh media tersebut, walaupun dengan gambar sebelah kaki.

Maka cabaran terbesar PR untuk menghadapi PRU 13, bukannya isu tetapi bagaimana mempastikan isu dan maklumat sampai ke setiap pemikiran rakyat secara langsung dan pantas. Himpunan Bersih ke dua baru di peringkat ugutan. Setengah juga rakyat Malaysia pernah berhimpun di Kuala Lumpur untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil pada 2007. Apabila PR berjaya menawan lima buah negeri, Bersih pun menyepi sekian lama, walhal tiada satu pun tuntutan bersih yang ditunaikan oleh kerajaan yang memerintah.

Himpunan Bersih 2 yang dirancangkan adalah antara langkah membersihkan negara dari pelaksanaan demokrasi yang tidak bersih. BN pasti takut jika rakyat berjaya menggerakkan demonstasi besar seperti itu kerana mutakhir ini banyak kerajaan-kerajaan tua di dunia tumbang melalui demonstrasi jalanan.

Oleh kerana sukarnya untuk menumbangkan BN dalam suasana demokrasi tidak bersih, maka kerja membersihkan demokrasi adalah lebih aula dari menyertai pilihanraya dalam keadaan yang kotor.