Selamat Datang

Sabtu, 19 Jun 2010

"Kisah cinta Ustaz Ustazah.."

Kisah kuliah cinta ustaz ustazah ni sebenarnya kisah kebanyakan mahasiswa berumur gedik. Si ustaz dengan naluri kemanusiaannya sedang meniti umur air naik ke kepala, dan si ustazah pun tiada bezanya. Naluri kewanitaannya mahukan dia diteman, diambil perhatian dan dijaga orang. Orang itu yang selayaknya pasti sekali bukan dari kaum sejenis. Lain benar erti kawan dari kekasih, lain juga makna sayang sahabat dari sayang kekasih. Apa pun, kita kena terima, itu adalah fitrah manusia. Malah itu adalah tabii, bukannya sesuatu yang luar tabii. Allah memberi jalan keluar, Nikah !

Tidak usah kita bicarakan kisah cinta tanpa batas kebanyakan muda-mudi. Tak usah kita lihat kepada ketelanjuran siswa siswi bukan aliran Islam. Maksud ‘terlanjur’ itu ialah, tidak menjaga batas agama. Ya lah, berpegang tangan, berikhtilat (percampuran), berdua-duaan, berpeluk malah tidak kurang ramai juga lebih dari itu. Bagi manusia yang berakal dan berbudi sopan, pastinya budaya cinta seperti itu tidak dapat diterima oleh norma nilai akhlak dan moral. Apatah lagi kalau kita bincang dalam soal hukum dan agama. Jelas sekali cinta jenis ini cinta yang Haram. Malah, Haram Jadah.

Apa yang ingin dibawa dalam entri ini ialah cinta ustaz ustazah. Cinta yang diwatakkan oleh santri syariah. Mereka kenal halal haram. Mereka Hafaz dalil dan nas syarak. Mereka tahu apa yang menjadi khilaf (perbezaan) dan ittifaq (sepakatan) ulama’. Jubah, kopiah, tudung dan purdah mereka menunjukkan mereka berbudi pekerti. Ada sopan pada zahirinya. Ada ‘thiqah’ yang membolehkan si ustaz disukai dan si ustazah dicintai… alahai, ketika cinta bertasbih la kunun.

Sebenarnya apa yang saya bimbang ialah talbisu iblis dalam kisah cinta ustaz ustazah ini. Kan sememangnya lagi tinggi seseorang itu dalam agamanya, maka lagi tinggilah pangkat syaitan yang dihantar menemani. Kita kena berhati-hati. Iblis sentiasa memakaikan sesuatu yang haram itu dengan pakaian yang baik, dilihatkan kepada mata kepala mangsanya dengan hiasan-hiasan indah lalu yang haram itu dilihat ‘ tidak mengapa’ dan ‘dibolehkan’.

Maka sebab itu ustaz ustazah muda yang tahu haram halal itu tidak kisah dengan ‘chating’, YMnya tak pernah ditutup. Sehari yang 24 jam itu seakan tidak cukup untuk direbut bercerita dan bersembang. Dari sekecil-kecil cerita sampai ke sebesar-besar kisah lumat dikongsi. “Amboi ‘caring’nya kekasih ku… itulah kata hati si ustazah. Entahlah, mungkin habis luar dalam dah kenal rasanya kalau itulah lagaknya.

Nak bertemu dan berdating macam orang lain nanti ‘persatuan’ marah. Tambah pulak yang angau itu, aktivis persatuan… Nak luahkan rasa cinta macam mana lagi, sedangkan hati dah bergelodak sangat menahan rasa cinta dan rindu.. itulah gelodak rasa jiwa pecinta-pencinta yang ada. Kalau pun hati Cuma sebesar telapak tangan, tapi besar dan luas lagi kasih, rindu, cinta, sayang si ustaz pada si ustazah. Begitu juga sebaliknya. Sudah melimpah pun. Dah tak tertanggung lagi. Lalu sms, ym, facebook, friendster, surat dan lain wasilah pun menjadi bekas diluahkan segala rasa, ditadah segala air mata dan itulah juga taman bunga cinta kepada ustaz ustazah tadi.

Kita faham, ingin berkasih dan berteman itu adalah fitrah. Fitrah seorang lelaki. Fitrah seorang perempuan. Walaupun mereka berjubah dan berkopiah, tetapi dalamnya mereka tetap lelaki. Walaupun bertudung dan berpurdah, di dalamnya mereka tetap perempuan. Bukan malaikat. Sebab itu tidak lah menjadi kehairanan (Cuma geli geleman – istilah orang kedah) sikap ‘hero akhawat’ dan sikap ‘layoq’ budak-budak ni. Ya lah, kalau ada apa-apa sikit pasal perempuan, dialah yang dulu ke depan. Kalau diberi mikrofon, perempun lah juga sasaran cakapnya. Suka benar. Di mana saja, bila saja, siapa saja tentang perempuan, dia tak kisah. Yang penting dia mahu dilihat hero. Mengambil berat. Tak mahu perempuan susah.. ‘layoq’ pula ialah istilah kami kepada budak-budak yang suka sangat lagak hensem, poyo, suka buat kemas depan perempuan dan lain-lain tabiat yang sewatu dengannya. Budak perempuan pun ramai sangat suka layoq ni. Nak dilihat ayu. Suka sangat ambil perhatian. Lihat gaya saja kita dah tahu…

Sudahlah, itu perangai budak-budak bergetah. Kalau pun umur dah tua, tapi masih berperangai semacam itu, tahulah kita betapa budak-budaknya akal dia. Kita kembali kepada kisah cinta ustaz-ustazah tadi..

Sepastinya diciptakan manusia ini berlainan bangsa, kaum, latar belakang, jenis, dan jantina supaya manusia itu dapat saling mengenali, memahami dan berkongsi. Kan itu yang difirmankan Tuhan. Tapi harus diingat falsafah hamba yang menumpang, Islam itu memberi kebebasan tapi bertali. Binalah hubungan, tapi jaga batasnya. Lelaki dan perempuan yang Bukan mahram itu sangat sempit hubungannya. Jangan diluaskan. Ustaz ustazah kan lebih faham hal ini.

Si ustazah tu buanglah perangai buat-buat rajin masak bagi lauk atau kuih kat ustaz tu. Tidak perlu lah jugak cari mana-mana rumah mutazawwij (pasangan yang dan menikah) jadikan tempat pertemuan atau wasilah untuk keluar bersama. Tidak ada nas dalam kitab yang mengatakan pasangan mutazawwij itu tiket menghalalkan apa yang haram kepada pasangan yang bercinta sepertimana ‘angkat’ kepada hubungan adik dan abang angkat itu tidak menghalalkan apa yang haram kepada bukan mahram. Kalaulah haram berdating di tempat lain, maka haram juga berdating di dalam rumah pasangan mutawwij pun. Kalaulah haram bermusafir sendirian kepada perempuan, maka haram juga kalau dia bermusafir dengan pasangan mutazawwij (tanpa ada mahram). Itu hukum. Mereka pandai. Banyak nas dan kitab yang dah dibaca..

Kalau dah tahu si dia tu sudah membalas cinta di hati, Cuma kata dua sahaja yang diberikan oleh syariat, kawin atau jangan berlagak macam dah kawin. Kita sarankan mereka berkahwin terus. Kalau tidak, tak usahlah bermabuk dengan cinta. Hentikanlah hubungan bebas itu. Ulama’ kontemporari sudah pun mengeluarkan fatwa tentang haramnya chating lelaki perempuan tanpa sebab yang membolehkan. Hukumnya sama seperti ikhtilat. Sebab itu seorang kawan mengistilahkan budaya chating antara lelaki dan perempuan yang agak melampau sekarang ini dengan istilah yang agak kesat, ‘beromen handset’. Hentikanlah telefon menelefon, sms, chating, facebook, friendster yang menjadi medan ustaz ustazah bersosial hari ini.

Ulama tasauf mengungkap, ‘ apa yang dianggap baik oleh orang baik (awam), sebenarnya belum baik di sisi muqarrabin ( yang dekat dengan Allah )”. Bagi orang awam, tidak bercumbuan, Cuma sekadar sms itu sudah bagus, tetapi bagi orang yang mengenali Tuhan, malah hukum hakam dan nas.. perkara itu adalah haram dan tidak sepatutnya dia lakukan.

Islam sangat mengambil berat tentang persoalan hubungan lain jenis ini. Penghalalnya Cuma kahwin. Banyak yang haram dari halal dalam hubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Jangan lah menjenamakan pelbagai alasan untuk bergeli-gelian tanpa kahwin. Kalau hubungan yang semacam ini pun sudah haram, maka ketahuilah yang lebih bebas dari itu adalah HARAM JADAH.

2 ulasan:

muaddib berkata...

As Salam...
terima kasih ana ucapkan...
artikel ni btul2 m'beri jwpan yg sdh lama ana cari...
Ana minta izin c0py utk paste dibl0g ana...

Bunga Rampai berkata...

Salam Ramadhan Bayu,

Terima kasih tulisan ini.

Mohon izin untuk pautkan dalam entri terkini saya.