Selamat Datang

Selasa, 7 September 2010

Tazkirah Eidul Fitri.. Selamat Tinggal Ramadan

Disebut di dalam Sahih Bukhari dan Muslim, Hadis dari sdna Abu Hurairah ra dari Nabi saw bahawa baginda bersabda,

“ sesiapa yang puasa pada bulan Ramadan dalam keadaan penuh beriman dan perhitungan, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah berlalu. Dan sesiapa yang menghidupkan lailatul qadar dalam keadaan penuh beriman dan perhitungan, diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu."

Daripada Abu Hurairah melalui riwayat Muslim juga menyebut sabdaan Nabi saw;

“ Solat Lima waktu, Jumaat hingga jumaat yang lain, Ramadan hingga Ramadan yang lain,menjadi pengkifarah bagi dosa-dosa antaranya selama mana tidak melakukan dosa besar”

Ibnu Rejab Al Hanbali berkata, pada hadis ini ada 2 takwilan (andaian kefahaman);

1. Pengampunan bagi segala dosa ini disyaratkan dengan tidak melakukan sebarang dosa besar. Sekiranya ada dosa besar yang dilakukan, maka semua fardhu ini (Solat5 waktu, Solat jumaat dan Ramadan) tidak akan menghapuskan dosa kecil mahupun dosa besar

2. kehendak hadis adalah, semua kefardhuan ini Cuma menghapuskan dosa-dosa kecil secara khusus dalam apa keadaan sekalipun, samada ia melakukan dosa besar ataupun tidak. Namun fardhu-fardhu tersebut tidak sama sekali menghapuskan dosa besar.

Ala kullin, demikian maha pemurahnya Tuhan dengan pengampunan. Manusia yang terlalu jenuh dengan khilaf dan dosa pasti tidak tertanggung balasan dan azab yang disediakan. Namun sifat Penyayang dan belas kasihan dari Tuhan, Dia menyediakan kepada kita pengampunan yang cukup luas. Namun terserah kitalah samada mahu mengambil peluang itu ataupun tidak.

Kita doakan setiap dari kita tidak meninggalkan Ramadhan melainkan segala amalan diterima dan segala kelebihan yang luar biasa jaminan Tuhan sepanjang ramadan dapat diisi dalam mizan amalan soleh.

Namun, harusnya kita menyedari bahawa setiap dari kita sekarang sangat berbeza cara mewida’ (mengucap selamat tinggal) Ramadan. Kita sekarang gembira meninggalkan Ramadan. Sedangkan salafus soleh menangis, luluh resah, rasa kerugian, kecewa, bimbang, takut dan segalanya yang meruntun hati menjadi sedih dan tidak keruan.

Kita gembira kerana Syawal menjelma. Mereka sedih kerana Ramadan akan berlalu.


Ikhwati,

Sebelum terbenamnya mentari terakhir ramadhan, marilah kita bermuhasabah dengan Ramadan. Adakah kita sudah menjadi ahli solat, ahli ibadat dan ahli taat? Apakah amalan kita diterima Tuhan?

Cubalah bezakan diri kita dengan salafus soleh. Mereka pulun dalam menyempurnakan sesuatu amal dan pulun mencantikkan pula amal tersebut. Kemudian selepas itu, mereka sangat bimbang Adakah amal itu maqbul di sisi Tuhan ataupun tidak. Bahkan mereka sangat takut amal itu ditolak. Mereka inilah yang tergolong dalam hujung firman Allah swt dalam surah Mukminun ayat 60.

Diriwayatkan bahawa sdna Ali bin Abi Tolib pernah berpesan : ‘Jadilah kamu orang yang lebih mementingkan dan mengambil berat kepada maqbulnya sesuatu amal berbanding amal semata-mata’

Fadholah bin Ubaid pernah mengungkap, ‘kalau aku mendapat tahu bahawa sebesar zarrah amalan ku telah ditemita Tuhan, maka itu adalah lebih aku suka berbanding dunia dan isinya, kerana Tuhan berfirman “sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) daripada orang yang bertaqwa sahaja” surah al-maidah ayat 27.

Malik Ibnu Dinar pula pernah berkata ‘Takut terhadap amal yang tidak diterima adalah lebih berat dari amal’.

Diriwayatkan dari salafus soleh bahawa ‘Mereka berdoa sepanjang 6 bulan agar dipertemukan mereka dengan Ramadhan, kemudian mereka berdoa pula selama 6 bulan agar diterima ramadhan mereka itu’.

Maka jangan diingat amal kita mampu menebus kita dari neraka. Sedangkan para salafus soleh yang sangat tekun dengan taat itu lagi bimbang adakah ibadah mereka diterima, ini kan pula kita yang nisbah sedikit habuk kaki mereka pun tidak ada berbanding kesungguhan mereka. Justeru, pohonlah dengan Rahmat Tuhan yang maha luas itu, agar diberati segala amalan kita dalam mizan hasanah di mahsyar nanti. Juga pohonlah dengan belas kasihan Tuhan yang sangat luas itu agar diharamkan setiap juzu’ dari diri kita dari disentuh azab jahannam.


Apakah kita layak menyambut Eidul Fitri?

Dalam satu kisah, Wuhaib bin al-ward melihat satu kumpulan manusia sedang ketawa terbahak-bahak pada suatu hari raya lalu dia berkata, ‘ sekiranya mereka ini golongan yang diterima puasanya, maka adakah sepatutnya ini perbuatan orang yang bersyukur? Dan andainya pula mereka ini orang yang tidak diterima puasanya, maka adakah patut ini perbuatan orang yang takut?’

Al-Hasan pula berkata, ‘ Sesungguhnya Allah menjadikan bulan Ramadhan rahsia kepada hambanya supaya mereka berlumba melakukan taat supaya mendapat RedhoNya. Maka ada kaum yang berlumba lalu mereka berjaya. Namun ada juga kaum yang tidak berlumba, maka rugilah mereka. Aku hairan teramat hairan dengan orang yang terlampau berseronok bermain dan gembira pada hari ini yang telah berjaya padanya orang yang muhsinun dan kalah padanya orang yang mubtilun’

Dalam menyambut Eidul Fitri, mengucapkan wida’ kepada Bulan Rahmat dan Maghfirah ini selayaknya biarlah benar kita mendapat kasih sayang Allah dan Pengampunan darinya.

Hadis riwayat ibnu Khuzaimah dari Salman Alfarisi yang sangat masyhur di kalangan kita namun padanya isnad yang dhoif . “Bulan Ramadhan bulan yang pada awalnya Rahmat, tengahnya Maghfirah dan akhirnya pembebasan dari neraka”

Bahkan Ramadhan itu seluruhnya adalah rahmat, maghfirah dan pembebasan dari azab neraka.

Hadis Soheh menyebut, “di buka padanya pintu-pintu Rahmat”. Hadis-hadis Soheh juga menyebut pengampunan Tuhan yang luas pada Ramadhan ini termasuk hadis yang disebut di awal tadi, dan Hadis juga menyatakan Ramadhan adalah pembebas dari neraka, antaranya Hadis soheh yang dikeluarkan oleh Ibnu Majah menyebut, “Sesungguhnya bagi Allah taala ketika setiap kali waktu iftor (berbuka) ada sahaja golongan-golongan yang dibebaskan dari neraka, demikian ada pada setiap malam”

Apakah sekarang, ketika kita sedang menantu gerbang syawal dibuka, kita telah peroleh kasih sayang dari Tuhan? Keampunan yang luas dari Tuhan? Dan apakah kita telah berjaya menebus diri dari disentuh Jahannam?

Insaflah wahai diri. Insaflah wahai saudara sekelian.

Nabi pernah mengaminkan doa jibril ketika menapak naik ke atas mimbar pada suatu hari. Rasul saw bersabda “ Jibril berdoa, Barangsiapa yang mendapati ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya maka masuklah dia ke neraka. Lalu aku mengucap ‘Amin’ ” -Hadis riwayat Ibnu Hibban, Imam Ahmad dan Tirmizi. Hadis dihukum hasan oleh Tirmizi.

Berkata Said dari Qatadah, pernah dikatakan : ‘Sesiapa yang tidak diampunkan dosanya pada bulan Ramadhan, tidak akan diampunkan dosanya pada selain Ramadhan’


Sedarlah wahai diri dan nafsu, Sesungguhnya istighfar yang memberi manfaat itu adalah istighfar yang disertai dengan taubat.

Berkata Kaab, ‘Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan dia berkata pada dirinya bahawa dia tidak akan melakukan maksiat pada Allah, maka dia akan masuk syurga tanpa soalan. Tetapi jika dia berpuasa Ramadhan sedangkan dia berkata pada dirinya yang dia akan melakukan maksiat bila selesai ramadhan maka puasanya itu ditolak’. – dikeluarkan oleh Salamah bin syubaib an-Naisaburi

Nah, Demekian erti wida’ Ramadhan dan menyambut syawal dalam perhitungan salafus soleh.


Oleh itu, berpesanlah pada diri bahawa selepas terbenamnya nanti mentari terakhir ramadhan, itu bukan bererti tertutupnya segala buku amalan. Maka, teruskanlan semangat Ramadan untuk hari-hari yang mendatang. “Ya Allah ya Tuhan, Berilah kami kekuatan ya Allah untuk meneruskan kesungguhan beramal soleh walaupun di luar ramadhan nanti.”

Tatkala Ramadhan melabuhkan tirainya dengan kedatangan maghrib Syawal, Maka perbanyakkanlah ibadah menunjukkan rasa syukur yang tidak berbelah bagi. Laungkanlah Takbir dan Tahmid dengan penuh penghayatan. Jiwai rasa kehambaan dalam menanti fajar Syawal.


Berwasiatlah pada diri sendiri agar tidak ingkar dengan Tuhan dalam menyambut syawal. Biarlah gembira dan seronok kita dalam ibadah. Sambutlah dengan taat dan ibadah, jangan dengan ingkar dan ghoflah.

Rasulullah saw bersabda, “ sesiapa yang menghidupkan (dengan ibadah dan taat) 2 malam hari raya (eidul fitri dan eidul adha), Allah tidak akan matikan hatinya ketika dimatikan hati-hati lain”

Imam Al-Alusi menakalkan bahawa saidina Ali mentafsirkan ayat 14 dan 15 dari surah sabbihis berdasarkan amalan eidulfitri seperti berikut “ Sesungguhnya telah berjaya orang yang mengeluarkan zakat (iaitu zakat fitrah) . dan orang yang menyebut nama Tuhannya (iaitu takbir raya) kemudian dia sembahyang (iaitu solat eidul fitri).

Puasa enam seperti biasa jangan dilupa, demikian penyempurna kepada Ramadhan.

Imam Muslim meriwayatkan hadis Abi Ayyub al-Ansari bahawa Nabi bersabda; “Barangsiapa yang berpuasa syawwal kemudian diikuti dengan puasa enam hari dari syawwal, maka orang itu seperti puasa ad-dahr (Puasa setahun)”

Akhirnya ambillah peringatan sepanjang menyambut eidul fitri ini dengan ungkapan hukama'

لَيسَ العيد لِمَن لَبِسَ الجدِيد، وإنما العِيد لِمَن طاعتُه تَزيد

"Bukanlah raya itu untuk orang yang berpakaian baru, tetapi raya itu untuk orang yang bertambah taatnya.."


Semoga Ramadan Kita diterima. Maaf Zahir dan Batin

Selamat Menyambut Syawal Al Mubarak.

Kulla Am wa Antum bi Khair

2 ulasan:

hakim dirani berkata...

sedap hg tulis. penuh ilmu dan maklumat. tima kasih. cewah. haha

we, hg p umrah makin gelap x? hg doa kat aku x?

Bunga Rampai berkata...

Salam Aidilfitri Bayu,

Terima kasih tazkirah ini yang amat mengilmukan.

Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin :)