Selamat Datang

Khamis, 13 Oktober 2011

Membina Masyarakat dan Negara yang Aman


Diriwayatkan di dalam Sohih Al-Bukhari, bahawa Saidina Ammar ra pernah berkata : Sesiapa yang dapat menghimpunkan 3 perkara ini maka dia telah Berjaya menghimpunkan segala bahagian iman;
  1. Menyedari Hakikat diri sendiri.
  2. Menegakkan keselamatan bagi seluruh alam.
  3. Suka menderma walaupun dalam keadaan memerlukan.

Imam An-Nawawi menyebut dalam Bustanul Arifin, sebenarnya di dalam ketiga-tiga perkara tersebut telah terhimpun segala kebaikan dunia dan akhirat dan di atas tiga perkara inilah terletaknya segala pengajaran islam.

Menyedari Hakikat Diri

Apabila seseorang itu menyedari hakikat diri sebagai hamba, maka dia telah mengetahui hak-haknya yang mesti dipenuhi sebagai seorang hamba. Dia juga tahu apa hak-hak Allah yang mesti dia tunaikan, malah hak-hak sesama makhluk lain yang dipertanggungjawabkan ke atas bahunya. Inilah orang yang disebut oleh Imam An-Nawawi bahawa dia merupakan orang yang benar-benar menaruh belas kasihan kepada dirinya bahkan dia sudah pun di peringkat tertinggi dalam membina kesedaran diri. Moga kita sedar siapa kita.

Menegakkan Keselamatan Bagi Seluruh Alam

Perkara ke dua ini membawa makna antara lain ialah melenyapkan perasaan takabbur dan membuang jauh perasaan mengangkat diri melebihi orang lain. Ini bermakna dia telah membebaskan dirinya dari belenggu hasad, buruk sangka, permusuhan dan selainnya dalam merobohkan dinding pemisah untuk hidup besama dengan damai.

Rentetan ini jugalah saranan Nabi agar disebarkan ucapan Salam, iaitu sejahtera. Salam membawa mesej kesejahteraan dan keselamatan. Islam menjadikan keamanan dan kesejahteraan itu inti kepada kehidupan bermasyarakat. Maka setiap dari ummat yang memahami falsafah salam ini, pastinya menjadi orang yang faham benar dengan konsep keamanan dan kesejahteraan yang dipupuk oleh Islam.

Bukankah kedatangan nabi itu menjadi rahmat untuk keseluruhan alam? Maka sebagai pengikut Baginda Nabi saw, pastinya kita turut bertanggungjawab untuk adil kepada diri dan alam. Alangkah indahnya hidup apabila setiap ahli masyarakat menjaminkan kesejahteraan dan keadilan bagi masyarakatnya. Pasti dunia menjadi tenang.

Suka Menderma Walaupun Dalam Keadaan Faqir

Ini merupakan kemuncak sifat pemurah. Allah telah memuji golongan ini di dalam surah al-Hasyr;

وَيُؤْثِرُوْنَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ

dan mereka melebihkan orang lain berbanding diri mereka sendiri walaupun sebenarnya mereka masih memerlukan”ز

Ayat ini seperti disebut di dalam kitab-kitab tafsir bahawa diturunkan sebagai memuji sifat sahabat Nabi saw yang memuliakan tetamu sedangkan beliau dan keluarga sangat memerlukan. Maka Nabi meredhoi sikap ini.

Terkandung dalam sifat kemurahan seperti ini adalah 2 sifat mulia yang lain iaitu;

  1. Tawakkal yang jitu, berpegang dengan rasa luasnya kemurahan dari Allah dan percaya dengan benar janji rezeki dari Allah.
  2. Menimbulkan rasa zuhud terhadap dunia. Tidak terlalu sibuk memikirkan urusan dunia apatah lagi berbangga-bangga dengan kemewahan dunia.

Diriwayatkan Imam As-Syafie pernah menyebut: 3 perkara menjadi tanda seseorang itu benar-benar soleh.

  1. Wara’ ketika bersindirian.
  2. Pemurah dalam kesusahan.
  3. Berkata benar kepada orang yang dihajati darinya sesuatu dan berkata benar kepada orang yang ditakuti.

Lihat lah bagaimana Islam mendidik ummatnya bersikap dalam kehidupan di dunia. Islam sebagai agama membawa rahmat tidak pernah mengajar permusuhan. Islam mengajk kepada kehidupan di dunia ini harus diisi dengan kesaksamaan dan penuh keinsafan. Bersama kita membina masyarkat yang bertanggungjawab dan tidak pentingkan diri sendiri.

Tiada ulasan: