Laman-laman web dan weblog bukanlah besar sangat kuasanya. Kuasanya cuma kuasa hujung jari. Cuma ada akal untuk menilai. Ada otak yang berfungsi untuk berfikir. Ada perasaan yang sering diselar oleh pihak yang ada kuasa negara. Ada hati yang tidak dipenjara dan terpenjara. Ada jiwa yang merdeka untuk tidak selamanya mengatakan ya kepada kebatilan. Ada keberanian untuk tidak dayus dan bacul melihat kebobrokan bermaharajalela. walaupun jihad tidaklah sebesar perang fi sabilillah, tetapi sekurang-kurangnya lebih baik dari iman mereka yang sentiasa diam dan benci dalam hati sahaja terhadap kemungkaran. Apa yang tidak betul, diluahkan dalam laman peribadi. Kalau ada yang baca alhamdulillah. Kalau takdak yang baca pun takpa...
Para blogger dan pengendali-pengendali web yang dilabel 'anti-kerajaan' cuba menyedarkan masyarakat dengan kudrat yang termampu. Cerdik biar ditumpang. Apa salahnya, bila masyarakat ditipu, orang-orang kerdil yang bukan menteri, bukan juga wakil rakyat dan bukan penceramah melainkan penulis sahaja bersuara menghurai isu yang berlaku. Penulis harus jujur dengan tulisannya. Bukan seperti sesetengah pihak yang menulis ikut nafsu ketua-ketua mereka dan mencari dalil untu mengiyakan apa yang salah.
Laman web dan weblog bukanlah terlalu besar untuk menjatuhkan kerajaan yang dah berakar lebih 50 tahun. Jangan salahkan laman-laman 'anti-kerajaan' kerana rakyat sudah berubah. Rakyat sudah erti mengenal baik buruk. Rakyat sudah muak dengan laporan putar-belit kerajaan dan media 'pro-kerajaan'. Sedarkah, sebenarnya bukan laman 'anti-kerajaan' yang menyebabkan rakyat tidak lagi berminat dengan kerajaan sekarang tetapi rakyat sudah benci dan mual dengan kerajaan yang terlalu lama tanpa ada sebarang perubahan masyarakat yang positif.
Amatlah jumud dan dayus mana-mana pihak yang membuat usul supaya laman-laman yang tidak setuju dengan kerajaan dikengkang. Mereka ini cumalah mahu terus mengampu dan mencucuh supaya kerajaan yang sedia ada terus melakukan kekejaman dan kezaliman. Mungkin seronok rasanya bila kerajaan zalim terus bertakhta dan rakyat terus menderita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan