Selamat Datang

Jumaat, 4 Januari 2008

Pemurnian Ummat – Keseragaman dakwah dan pendisiplinan Jamaah


Dunia islam tidak dapat menafikan bahawa imprealisme barat masih kuat mendominasi dunia islam keseluruhannya walaupun dunia islam sudah diisytihar merdeka kebanyakannya. Secara keseluruhan, Umat islam seantero dunia bagai terasing dari penghayatan islam dalam dunia Islam sendiri. Dalam waktu yang sama pula Negara-negara minoriti umat islam semakin hebat mendiskriminasi dan mencengkam umat. Namun, kita masih boleh mengakui keadaan islam di Malaysia masih boleh dianggap baik jika dibandingkan Negara-negara Islam yang lain. Namun apa yang amat dibimbangi, keadaan tersebut semakin tercabar. Symptom2 pencabulan kemuliaan ummat mula menggejala dalam banyak ruang di Negara kita.

Dalam kegawatan umat yang hebat berlaku, aktivis sering pula pantas memberi alasan ketidakupayaan memperbaiki keadaan. Tidak cukup petugas sepenuh masa, tidak mempunyai sumber dan kemudahan yang sempurna dan anggota-anggota organisasi yang hanya bekerja secara sukarela adalah alasan yang kerap didengari. Namun begitu dalam masa yang sama, mereka jugalah yang bercakap soal iltizam, komitmen dan pengorbanan. Mereka jugalah yang terus menyatakan gerakan Islam perlu ditingkatkan kecekapan dan keberkesanannya.

Secara hakikatnya, organisasi Islamlah yang masih ketara menunjukkan ketidakcekapan dan kelembapan dalam bertindak. Sementara dunia bergerak pantas, isu kemanusiaan semakin kompleks dan rumit, gerakan Islam masih ketinggalan dalam menampilkan pengurusan yang amat asasi untuk mengenengahkan kewibawaannya sebagai badan yang boleh membawa impak melalui penyataan mahupun tindakan.

Seringkali didapati anggota-anggota terputus hubungan dari maklumat dan perkembangan semasa sehingga ramai pula yang ‘menganggur’ ketika berada dalam organisasi. Ekoran dari itu anggota yang sebegitu ramai bukan lagi menjadi asset tetapi menjadi liabiliti kepada organisasi. Ketidakseragaman fahaman dan perspektif dalam menanggapi sesuatu isu kerana tidak dilengkapkan dengan maklumat yang kemaskini menyebabkan anggota-anggota terus bersimpang siur dalam berfikir dan bertindak.

Setiap pertubuhan Islam perlu membuat analisis yang mendalam untuk mengukur pencapaian masing-masing dalam menangani masalah umat jika ia benar-benar mahu mewakili perjuangan umat.

Retorik mengenai Islam semata tidak akan dapat menangani dan memenangi sokongan masyarakat. Sesebuah gerakan Islam perlu siap mendepani pelbagai masalah umat bukan sahaja dengan ungkapan dan pernyataan tetapi dengan aksi dan penyelesaian alternatif.

Gerakan Islam perlu membuat anjakan yang cukup berani dan bijak. Anjakan yang diperlukan ialah merubah orientasi, konsep dan perspektif operasi dari sekadar berlegar-legar di sekitar pernyataan-pernyataan yang besar dan terlalu abstrak kepada gerakerja serius yang menterjemah konsep kepada amal. Harus ada kejujuran untuk turun mendatangi masyarakat marhain bukan sekadar untuk melakukan kerja-kerja kebajikan tetapi untuk melancarkan pembebasan. Pembebasan yang dimaksudkan ialah golongan terlantar dibantu, kalangan yang tertindas dibela, pihak yang terpinggir diangkat dan ditempatkan ke posisi yang bermaruah. Gerakan Islam sebarusnya turun ke lapangan memberi suara kepada mereka yang dirampas hak untuk bersuara, memberi keberanian kepada mereka yang diperkerdilkan, memperkasa mereka yang lemah, mengesat air mata golongan yang menderita, mempertahankan hak mereka yang dinafi, menuntut keadilan bagi mereka yang dizalimi, memulihkan golongan terlanjur, memurnikan golongan belia yang tersasar, mencerdaskan umat dengan kepekaan sekeliling, memperkasa mahasiswa, menyemarakkan aliran agama dalam masyarakat dan mengeluarkan masyarakat dari kekeliruan agama dan politik.

Sudah sampai waktunya gerakan-gerakan yang wujud meminimakan perselisihan antara gerakan. Semua gerakan harus mula memahami dan meraikan perbezaan. Semua gerakan Islam harus mencari titik temu untuk bersama dalam dakwah dan usaha pembaikpulihan di samping menjauhi sikap menyerang sesama gerakan. Sepatutnya, kita mengambil dan menerima peluang prebezaan lapangan yang pelbagai sebagai suatu keistimewaan dakwah. Sudah tiba waktunya kita menyedari hakikat di lapangan lebih mendambakan waktu dan tenaga yang banyak dari setiap aktivis. Kita amat bimbang perselisihan yang berlaku membudayakan permusuhan sesama gerakan sedangkan dalam waktu yang sama umat semakin jauh dari landasan. Apa yang penting kita perlu menolak fikrah sempit yang mengecilkan konsep wahdatul fikr kepada satu jemaah dan satu kepimpinan yang hanya membuahkan perbalahan antara gerakan dakwah.

Selain itu, gerakan Islam juga harus kembali membina jaringan dengan umat massa yang terbanyak jika ía tidak mahu menjadi terpisah, terasing dan tercabut dan missi nubuwwah yang ingin dilanjutkannya. Keinginan kita melihat negara yang berakyatkan “khaira ummah” hanya akan menjadi mimpi jika para aktivis dan gerakan tidak mendisiplilkan semula gagasan dakwah mereka.


Panduan:
Kertas kerja Tn. Haji Azmi bin Abd. Hamid, Presiden Teras;
1) Disiplin Keorgabisasian Gerakan Islam Perlu Pembaikan Segera.
2) Gerakan Islam Perlu Berganjak Dari Sindrom Retorik

3 ulasan:

QUDS REALCLOCKWISE berkata...

salam.

tu la beb aku kekadang tak paham dgn gerakan Islam ni...mcm malas berpikir pun ada..ntah apa yg nak dipertahan atau nak di perjuangkan pun aku tak tahu..aku sokong kenyataan kau kita kena cari titik persamaan,, mesti ada satu matlamat..kalau benar iklas untuk Islam..tapi yg banyaknya nakkan E-class.
bagi aku dalilnya simple jer...kalau sebagai org kita tau plak ...pagi nak makan roti..tengahari nak makan nasi..malam tomyam ker ..tapi kalau perjuangan nak buat satuuu tu jer ada yg tolak pilihanraya...ada plak yg tolak gaya tablik..ada yg tunggu kilafah mcm hizbultahrir...cuba la bersatu...tolak kemungkaran tegakkan makruf..entahlahhhhhhhh

CerminDiri berkata...

salam kehidupan,

itulah ragam kita sebagai penegak agama. ada sahaja yg tak kena. ramai kita pandai bercakap.....nak kerja bersama hanya dua tiga kerat...

azidul awfa berkata...

ramai yang hanya bercakap tanpa terjun menyelami sendiri pahit maung perjuangan islam.
walaupn ilmu banyak tapi kalo iman tipis belum tentu mampu bersama dlm kepimpinan islam krn ranjau berduri yang perlu d lalui terlalu mencabar di segenap sudut kita melangkah...
tapi jgn lupa bhwa janji Allah sentiasa benar untuk org yg menolong agamanya..
membangun bersama islam!!!!!!!!!