Selamat Datang

Rabu, 30 Januari 2008

Kembalinya Pejuang ke pangkuan Kekasihnya - Takziah buat keluarga SS Dato Ishak Baharom

Semakin malap dunia Islam bila cahaya bebintangnya dipadamkan Tuhan. Dalam 10 yang dipadamkan belum tentu disinarkan semula bintang yang baru. Begitulah resam dunia dan sunnatullah. Benar bagai maksud sabdaan nabi, Allah tidak mencabut Ilmu dari dunia ini dengan cabutan biasa tetapi Allah akan memanggil para Ulama' kembali kepadanya. Maka sedarlah bahawa dunia kita semakin kekurangan Ilmu Allah yang maha luas di samping petanda hari penamatan proses alam bakal tiba.

Ramai manusia menangisi dan menyesali pemergian seseorang ulama' tetapi sedikit manusia yang menghargai kewujudannya semasa hidup.

Sahibus Samahah Dato' Seri Utama DiRaja Dato' Haji Ishak bin Haji Baharom Tahun yang pernah berkhidmat sebagai Mufti Negeri Selangor 1985 - 1997 merupakan tokoh agamawan tersohor di Tanah Melayu khususnya. Ketegasan dalam kelembutan pribadi beliau menggentarkan musuh-musuhnya. Pandangan dan nasihatnya yang jarang sekali menyrang mana-mana individu selain tidak pernah menggunakan kata-kata kesat dan kasar menjadikan beliau ulama negara yang disegani dan dihormati oleh semua pihak. Sikap lemah lembutnya amat memukau. Tutur bicaranya yang penuh sopan dan tertib itu acap kali menyentuh hati-hati yang mendengarnya. Tidak hairanlah kenapa majlis beliau yang walaupun tidak berapi itu mampu bertahan dengan jumlah pendengar yang selalu ramai.

Semoga Allah tempatkan beliau bersama para solihin dan pejuang-pejuangnya yang dimudahkan urusan hisab diakhirat kelak.

Pelajar-pelajar Maahad Tarbiah Islamiah Derang (PMTIS) akan menganjurkan solat jenazah ghaib ke atas almarhum Sohibus Samahah pada hari Khamis 31/1/2008 jam 8 malam di rumah pentadbiran PPMS. Semua pelajar Malaysia dijemput hadir !

* Dimaklumkan kepada bayu, Dato Syeikh Azmi bin Hj Ahmad ( Bekas Mufti dan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Pulau Pinang ) sedang tenat. Sama-samalah kita doakan semoga beliau sihat dan ummat masih sempat mengambil manfaat darinya.



sedikit biodata Sohibus Samahah Dato' Ishak Baharom (sumber : Harakahdaily)

Almarhum Dato' Ishak Baharom dilahirkan pada 1 Januari 1928 di Kampung Batu 22, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Ayahnya Haji Baharom bin Jabar, berasal dari Banjarmasin, Sumatra. Manakala ibunya Hajah Fatimah bt Haji Junid berasal dari Melaka. Beliau mempunyai 5 orang adik-beradik. Allahyarham meninggalkan balu, Datin Khalijah Abdullah serta tiga orang anak.
-->
Almarhum mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 - 1941. Semasa pemerintahan Jepun, beliau tidak dapat meneruskan persekolahan selama 2 tahun. Pada tahun 1945, Almarhum menyambung pelajaran di di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India.


Jawatan terakhir Almarhum sebelum dilantik menjadi Mufti Negeri Selangor pada 1985 ialah sebagai Mudir Sekolah Menengah Agama Batu 38, Sabak Bernam. Bagaimanapun pada 1997, ekoran fatwa yang dikeluarkannya yang menegaskan pertandingan ratu cantik adalah haram, beliau telah dipecat daripada jawatan mufti walaupun perkhidmatannya baru sahaja di sambung.
Selepas pemecatan tersebut, Almarhum meneruskan perjuangannya dengan turun ke padang sebagai penceramah dan pendakwah bebas. Almarhum bergiat serius dalam PAS bermula pada 2003 setelah dilantik menjadi Ahli Majlis Syura Ulama' PAS sehingga 2007

2 ulasan:

Izariza berkata...

Innalilillahi waiina ilaihi rajiuun ..

Moga ditempatkan bersama para aulia' dan anbiya' .. amin ..

uda berkata...

patah tumbuh hilang berganti...
semoga bayu bertukar menjadi mentari suatu hari kelak...
insyaAllah..