Alhamdulillah, kelmarin diberi peluang oleh Allah menyertai rombongan Teras menjadi perwakilan dalam Persidangan Penubuhan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, Ipoh. Majlis semalam telah berjaya menghimpunkan lebih kurang 30 NGO Islam seluruh Malaysia. Walaupun begitu, MAPIM buat masa sekarang telah mendapat sokongan hampir 50 NGO Islam seluruh Malaysia atas hasrat penubuhan tersebut dan dijangka akan bertambah.
Penubuhan MAPIM ini bertujuan mencipta satu mekanisma baru dalam menyatukan semua pertubuhan islam di Malaysia dalam menghadapi krisis Ummat yang semakin tenat yang berlaku di negara kita sekarang. Asas saling membantu dan saling meraikan perbezaan telah membuahkan muafakat antara semua NGO yang terlibat dalam merangka gerakerja bersama agar projek pemurnian ummat dapat digerakkan secara lebih efektif.
Apa yang bayu dapat simpulkan semalam, kesemua pertubuhan-pertubuhan yang bersama semalam (Semuanya pertubuhan bukan kerajaan), bersepakat mengatakan keadaan negara memang dalam keadaan sangat tenat. Malah mereka juga mengakui bahawa keadaan politik malaysia hari ini juga sangat kelam kabut. Krisis kepimpinan tertinggi negara juga seakan tidak ada ubatnya lagi. Namun pendekatan untuk menangani isu tersebut, pihak pimpinan tertinggi dalam semua NGO yang terbabit akan sekali lagi bermesyuarat untuk menyatakan hasrat dan suara bersama NGO islam dalam melihat suasana kalut dalam politik tanah air.
Kita bukan sahaja bimbang jika kerajaan yang kalut sekrang terus memerintah tanpa peduli kemahuan rakyat yang mahu melihat perubahan yang akhirnya kepentingan Ummat Islam semakin terhakis, tetapi kita juga bimbang apakah kerajaan yang akan ambil alih kerajaan yang sedia ada akan mampu membela nasib Islam dan Ummatnya?
P/S: sayang, kamera bayu tertinggal. banyak perkara menarik tidak dapat diabadikan dalam memori...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan