Selamat Datang

Jumaat, 27 April 2007

Pandang2....




sambil2 dok sibuk nak periksa, sempat juga tengok dunia luar !!!!

Rabu, 25 April 2007

Nak ambil cuti !!!!

Kata orang, kalau mahukan sesuatu terkadang perlu mengorbankan sesuatu yang lain. Mungkin kata itu yang bakal bayu pegang buat seketika ini. Banyak masa yang perlu bayu berikan untuk hari-hari sebelum peperiksaan bertamu di hujung sepertiga mei depan. Dengan bakal menghadapi 11 subjek, rasanya tenaga dan masa perlu dibekalkan sempurna.

Tentang detik detik berbaki ini, bayu perlu betul menghargai. Nasihat orang, "Berikanlah masa untuk fikirkan masa depan sebagai perancangan, dan peruntukanlah masa untuk mengenang masa lampau sebagai penyesalan dan pembaikan".

Dalam tempoh terakhir ini banyak teori perlu dikaji dan diselami. Banyak perkara perlu diselesaikan. Banyak nota harus disiapkan. Banyak kalam harus dihafal. Semua kaedah perlu dicuba. Kata motivasi dari seseorang, "tidak berjaya dengan tidak mencuba (sesuatu) akan lebih dikesalkan dari tidak berjaya walau telah mencuba..."

Dengan suatu matlamat mencedok ilmu sabanyaknya dari telaga yang luas ini, sememangnya menjanjikan keletihan dan kesabaran. Tetapi kelelahan harus dilupakan. Pernah diungkap orang, "Manusia pastikan letih mengejar ilmu jika diri tiada hala tuju.."

Dalam keadaan suasana peperiksaan yang melanda semua pelajar di sini, sesuatu yang sering dipesan orang jangan pula terlalu pentingkan diri dan lupa orang kiri dan kanan. Falsafah yang sering ditanam ke benak, 'makan ramai-ramai lebih sedap dari makan bersendirian walau terkadang makanan itu tidaklah seberapa...'

Menyejukkan naluri yang sentiasa beralun tidak tenang ini, Bayu selalu berhembus halus sendiri, "Kita mengharapkan sebuah kejayaan, namun memadailah sekalipun gagal kita masih punya insan yang sudi berteman". Terlalu takut berlaku sebaliknya.

Pesanan Penaja : Buat semua rakan pengunjung, sudi2kanlah mendoakan kejayaan bayu. Bayu akan berhenti aktif seketika dan mungkin kunjungan bayu ke halaman teman semua selepas ini tidak lagi meninggalkan tapak. Keadaan akan berterusan sebegini sehingga selesai imtihan (peperiksaan).
TerimaKasih :)

Ahad, 22 April 2007

PAK LONG !!

Hari ni, saja berjalan-jalan di sekitar Damascus. Ke kelas terasa tiada mood. Suasana mula hangat. Matahari kian terasa teriknya. Sejuk yang telah empat bulan dulu semakin menghilang. Namun, bayu yang menyapa masih membawa khabar dari musim dingin dulu.

Buah-buah badam putik yang masam semakin di penghujung musim mungkin. Sudah tidak sebanyak dulu dijual. Strawbery pula semakin banyak dan jenuh mengambil ruang pasar. sayang sekali, bayu tidak bersama kamera hari ni..

Hari ini, Kota Damascus serta seluruh bumi Syria sibuk dengan Pilihanraya Umum. Sedikit sebanyak menjadikan bayu terasa hangat Rakyat Malaysia di Ijok.

Suasana pilihanraya sini banyak juga bezanya dari Malaysia. Terlalu ramai yang bertanding. Kekuatan Kelompok berparti dan bebas sama berat untuk menang. Seperti yang di ceritakan rakan arab di sini, setiap 3 orang terbanyak mendapat undi di setiap kawasan akan ke kerusi di Dewan. Mula-mula terkejut juga. Tetapi bila diperhati, kawasan mereka bukan seperti kita di Malaysia, selalu di pecah kecil. Damascus ini contohnya, hanya dua kawansan iaitu Damascus bandar dan Damascus Rif (Pinggir). Jadi tidak mustahillah, pemilihan mengambil pemenang yang ramai.

Sepanjang jalan tadi, bayu melihat proses pilihanraya tidak langsung mengganggu perjalanan pengajian Anak-anak sekolah. Pusat pembuangan undi tidak di buat di sekolah. Mereka menjadikan dewan hospital, dewan bank dan dewan2 masyarakat lain sebagai tempat proses pengundian. sayang sekali hal ini tidak digambarkan. Kamera tidak bersama.

Bangsal panas juga tiada, seperti Malaysia sekarang. Perayu Undi juga jarang-jarang kelihatan. Kelihatan pusat buangan undi tidak semeriah Malaysia. Manifesto calon tidak semaju calon Pilihanraya di Malaysia. Rakat masih takut. Bicara juga hanya berbisik jika menyentuh pemerintah. Sebulan berkempen bagai tidak punya manfaat. Kalau calon-calon di Malaysia diberi peluang berkempen selama sebulan macam di sini, alangkah baiknya. Mungkin kerana terkesan dengan kezaliman sistem sosialis dan kekejaman pentadbiran dulu masih menghantui proses Demokrasi di sini. Suara rakyat mungkin masih terasa bagai tersekat. Mungkin.

Sekarang ramai yang menunggu 'PakLong' pula bersedia mengadakan pemilihan Presiden. Pemilihan yang adil dan telus. Mungkin juga mustahil. Mungkin.

Pesanan Penaja : Sebenarnya sampai sekarang pun masih tak berapa paham lagi dengan sistem pilihanraya di sini...

Jumaat, 20 April 2007

Barang itu...

Ketika itu aku sedang bersiap untuk keluar. Seorang sahabat masuk ke bilik lalu duduk di hujung katil. Keadaan sunyi seketika. Matanya liar menguasai ruang bilik. Sebentar kemudian dia bersuara ' nak pi mana ni?' sepatah pula dijawab aku 'jalan-jalan'. Dia sengih. Dia sudah memahami maksud itu. mahu ke cyber cafe.

Aku calitkan sedikit atar di telapak tangan lalu diusap ke seluruh baju. Dia ke rak kitab yang berada di penjuru bilik. Dia mencari2 kitab untuk rujukannya. Tiba2 dia bersuara kembali. Dia ternampak barang pemberian 'orang itu'.

"ait !! hang dok simpan lagi barang2 dia?''
"dah tu? awatnya?"
"hey, ada apa2 lagi ka? dok sayang lagi kot?"
(sambil tersengih macam beruk mak ye)
"La.. barang tu mahal. Nak buang rugi. Nak bagi kat orang pun rugi. Nak jual rasanya takdak orang nak beli. Nak bagi balik, kesian pulak kat dia. Nanti buruk siku"
(sambil membalas sengihan)

"dok teringat lagi kot?"
(sambil buat2 kompius dan sengaja nak cari pasal ngan aku)
"barang tu dah takdak apa2 makna. Hilang pun takdak apa2 rasa. Tapi dah dok ada, biar la dia kat situ. kot2 ada orang nak curi...."

sama-sama ketawa sambil berlalu keluar. Lampu dipadam. Bilik ditutup rapat.

Dan barang itu masih di situ. sampai bila pun aku tak tahu....


Papan Iklan : Anak Kedah Syria menang 5 - 2 dengan Anak Selangor Syria (Perlawanan Persahabatn)... hehe, bangganya bayu sebagai anak kelahiran Hijau Kuning :)

Isnin, 16 April 2007

Kampung itu kampung aku..

antara bangunan terawal
sumbangan dari Tuan Guru Hj Ahmad Sungai Petai

Di kampung itu ayah dan ibu mengirimkan aku,
Di kampung itu 7 tahun yang lalu menerima aku,
Di kampung itu aku kenal erti hidup,
Di kampung itu aku diajar, diasuh dan dibentuk,

Kampung itu jauh bertemankan hutan,
Kampung itu jauh dari riuh pekan,
Kampung itu sudah 2 kali dimusnah banjir hujan,
Kampung itu sudah berkali menyaksi kebakaran,

Namun kampung itu tetap subur dengan iman,
Sungai dulu masih setia mengalirkan kehidupan,
Pepohon nan rendang masih berimbun,
bayunya tetap sesegar embun,

Kampung itu tak pernah bosan melihat kenakalan anak,
Kampung itu sering tersenyum melihat ragam bebudak,
Kampung itu hidup untuk anak-anak,

Kampung itu milik rakyat,
Membentuk ilmu rakyat dengan sumbangan rakyat,

Kampung itu rakyat yang punya,
Kampung itu kampung agama,
kampung itu tak pernah buat angkara,
Kampung itu tak mengganggu sesiapa,

Di kampung itu pendidiknya ikhlas dan baik hati,
Kampung itu pernah berkali tangis sendiri,
Sedih dan menyentuh hati,
Melihat pengorbanan yang tidak bertepi,
Kesanggupan permuafakatan di dalam diri,
guru-guru hanya dapat saguhati bukannya gaji,
Kerana terkadang berbulan-bulan baru sekali diberi,

Kampung itu jauh di pendalaman,
Namun sudah dikunjung ramai tetamu kenamaan,
Dari luar negara yang kejauhan,
Juga dari dalam negara tidak ketinggalan,

Kampung itu tiada gerbang,
Sentiasa terbuka mengalukan tetamu bertandang,

Bangunan di atas bukit (boleh selamat dari banjir)
yang bakal menampung semua kelas,
pejabat, perpustakaan dan semua keperluan.


Kampung itu kampung pendidikan,
Si anak kecil punya tempat jagaan,
Pra sekola juga ada tempat asuhan,
Peringkat rendah dan menengah sudah ada bangunan diisi setengah hari dengan pembelajaran,
Sesudah menengah tersedia pula program lanjutan,
Bagi para dewasa dan orang biasa usrah kampung terus berjalan,
Di samping kelas terbuka di masjid tak pernah dihentikan,

Kampung itu cita-citanya tinggi melampai,
Bukan sebarangan mampu tercapai,
Selagi ombak menampar pantai,
Selagi itu usaha kan pasti terus dirantai,
Tidak mustahil cita-cita itu akan juga tercapai,

Kampung itu bercita membina tamadun pendidikan,
Kampung itu berhasrat menjana jaringan sampai ke Selatan,

Kampung itu mahu cipta rujukan serantau ,
Mampukan kampung itu manjadi pusat tamadun hanya bermula dari sebuah dangau?!


Bangunan Dewan Pengajian Tafaqquh (kelas tinggi)

Pesanan Penaja : Kampung itu ialah Kampung Derang, Pokok Sena, Kedah. tempat aku belajar selama 5 tahun. Kampung itu dibuka oleh Almarhum Ayahanda Syeikh ar-Rahil Niamat Yusof ( Al-Fatihah buat ayahanda Tuan Guru..) pada tahun 1980. ketika itu, Derang belum wujud di muka dunia. Merantau masuk ke tengah-tengah hutan tebal, membina sendiri kampung itu. Mula beroperasi dengan membina Maahad Tarbiyah Islamiah Derang pada tahun 1981 dengan satu bangunan pertama sahaja iaitu rumahnya sendiri sebagai kelas dan pusat operasi.
Kampung itu kampung ku sendiri. Aku berbangga pernah hidup di kampung itu. Untuk tujuanMu itu, tunggukan kepulanganku untuk terus merantai perjuangan orang-orang terdahulu...

Khamis, 12 April 2007

Cerita Cinta - Novel Maria



Hari ini, bayu telah mencipta sejarah sendiri dalam dunia bacaan, bila buat kali pertamanya membeli sebuah novel...

Sebelum ini sudah banyak novel yang habis dikhatam, cuma saja tidak pernah memiliki.. hanya sekadar pinjam dan terus-terus saja berprinsip begitu. haha...

Novel yang berjudul Maria tersebut pernah 2 kali bayu khatamkan, tetapi entah kuasa apa yng menarik minat bayu untuk membeli dan membacanya lagi seterusnya dijadikan bahan simpanan.

Novel berkisahkan cinta seorang gadis German yang berkecamuk ditengah-tengah perang hujah antara agama ini ditulis oleh Emine Senlikoglu, beliau merupakan penulis wanita terkenal Turki yang penulisannya banyak menyentuh konflik agama. Penulis pernah dipenjarakan ekoran beberapa tulisannya yang tidak disenangi pemerintah.

Kisah Maria yang beribukan seorang yang taksub Kristian Katholik dan berbapakan seorang penggerak fahaman Aties menjadi bingung bila menyintai seorang pemuda Islam Turki. Dia sering saja menginginkan pemuda tersebut dikristienkan lalu berkahwin di gereja.

Dalam masa yang sama, seorang sahabat Maria yang berasal dari Mesir bernama Abd. Wahab sering pula dijadikan tempat beliau berhujah tentang Islam. Tujuan asal untuk mengelirukan Abd. Wahab tentang islam, bertukar menjadikannya pula berminat kepada Islam. Namun hubungan mereka terbatas bila Abd. Wahab terlalu berpegang kuat dengan Agama Islam di samping terlalu menyayangi tunangnya Salwa.

Kisah yang padat ilmiah tentang hujah antara fahaman ini dikuatkan dengan hujah dari Al-Quran, bible dan logik akal.

Kisah cinta Maria bertukar dari mencintai seorang pemuda aties kepada seorang pemuda Islam Turki yang kemudiannya pemuda tersebut berubah fahaman kepada aties ketika Maria sudah bersedia dan mengimani Islam sebagai agama. Ketika itulah cintanya dengan Abdul Wahab mula berputik segar. Hubungan sebagai kawan yang sering berbalas hujah tentang agama bertukar menjadi sepasang tunangan. Namun, dalam kemelut kebencian keluarga Maria yang meluap-luap kepada mereka yang telah jelas mengaku Islam dan mahu berkahwin atas nama Islam ditambahperitkan pula dengan berita Salwa tunang lama Abd. Wahab sebenarnya masih hidup...


TAMBAHAN : Novel ini berlatarkan zaman kejatuhan Kerajaan Othmaniah Turki dengan pelbagai propaganda Barat dan aties terutamanya. Mendedahkan kepesongan akidah kristien dan kepincangan dan kecelaruan falsafah aties. Novel ini juga membentangkan senario umat Islam yang terlalu ghairah membanggakan cara hidup barat yang kononnya bertamadun sehingga lemas dan hanyut jauh dari Ajaran Islam yang sebenar.
Maria, gadis German tersebut berada di tengah-tengah pergolakan antara fahaman Aties yang telah berjaya membina pengaruh antarabangsa (oleh ayahnya sendiri) , Ketaksuban Ibunya dengan pegangan kristien katholik selain kemurnian pekerti kekasihnya yang Islam di samping Masyarakat Islam lain di seluruh dunia sedang jatuh dengan kerosakan hasil rancangan Barat.


Pesanan Penaja : Mula mula terasa mahu menulis tentang Mawi, tetapi bila tadi menerima kad berwarna merah jambu berisi jemputan ke majlis perkahwinan Ketua bayu di dalam Majalah Itqan, serasa mahu saja kalungkan TANIAH kepadanya yang akan diakadkan oleh Syeikh Rusydi (kalau tidak silap) pada malam ini :)
Beruntung betul mereka ni, dan beruntung juga bujang-bujang seperti kami yang dapat menjadi tetamu kepada sahabat2 yang berkahwin... pastinya makanan sedap-sedap :)

Isnin, 9 April 2007

Cerita Cinta

mungkinkah cinta itu resam Mawar,
berputik untuk segar kian lama, layu berguguran sudahnya..
cantik mawar hanya ketika mekar,bila layu hanya layak dilempar..

peminat mawar:
Biar saja tajam berduri, ketika mekarnya berseri sanggup saja dilukai..Sesudah hilangnya seri, mekar seri tadi sudah tiada erti..

pastinya cinta itu suatu keperluan,
hakikatnya keperluan yang mendebarkan..

pastinya cinta itu berdosa buat insan,
hakikatnya hanya untuk mereka yang lemas dilanda cinta tanpa panduan..

pastinya cinta itu menyakitkan,
hakikatnya bila harapan bergunung itu berlalu bersama angin tiupan..

pastinya cinta itu membahagiakan,
hakikatnya hanya mereka yang benar mengerti makna cinta bisa bahagia dengan percintaan..

pastinya cinta itu tidak berpanjangan,
hakikatnya kerana manusia juga tidak berkekalan..

pastinya cinta ilahi itu suatu tuntutan,
hakikatnya Dia lah yang mencipta cinta di hati Insan..

Mahu mencintai dan dicintai insan naluri biasa,
Adam juga bercinta dengan Hawa,
Asmara mereka suci di dalam syurga,
namun bisikan Iblislah punya angkara,
meleraikan 2 insan mulia itu dengan kisah cinta pertama di dunia...

cinta itu mahukan kesetiaan,
cinta itu mahukan pengorbanan,
cinta itu mahukan kesabaran,
cinta itu mahukan kesefahaman...

Bila mahukan sesuatu yang terbaik untuk cerita cinta sendiri.. bersoallah kepada diri, apakah sudah yang terbaik kita beri?!

Papan Iklan : terasa sejuk angin di hujung musim ini menerpa kepala menembusi ke otak... pokok2 rambut yang lebat itu sudah ditarah rata :)

Rokok..

Rokok..
Harga rokok di Malaysia antara paling murah di rantau ini, laporan Berita Harian..
Harga minyak dinaik, harga gula naik, barang-barang lain juga naik. Semuanya sudah tidak murah. Harga rokok masih murah?!

apakah cukup Amaran Kerajaan Malaysia : Merokok Merbahaya Kesihatan itu mampu mengurangkan perokok tegar dan menghalang penjinak baru rokok?!

Kata Prof. Dr. Syed Muhamed Al Junid Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, harga sekotak 20 batang rokok di Malaysia 4 kaliganda lebih murah dari Thailand dan Singapura.

Cukai yang dikenakan kerajaan pula masih di bawah paras 50 yang membolehkan Syarikat rokok mengaut keuntungan besar tanpa sebarang jejas..

katanya, cukai yang dikenakan kerajaan sekarang masih boleh diserap syarikat tembakau kerana pendapatan tahunan mereka yang tinggi. Hanya jika cukai dinaikkan antara 65 hingga 75 peratus, syarikat rokok tidak dapat menyerap kenaikan itu yang akan menyebabkan harga lebih mahal dan tidak mampu dibeli perokok..

tapi bayu berhembus,
Dadah dan segala jenisnya pun harga terlalu mahal, tapi peratus penagihan tetap tak surut..

kata Pa'chik Iklan rokok sudah dihentikan.. alhamdulillah sekurang2nya :)

tapi mungkin, Syarikat Rokok banyak memberi sumbangan kepada negara...
mungkin..

Papan Iklan : Hukum rokok, Anda Sudah Tahu....

Rabu, 4 April 2007

sempatkah menanti pagi?

Di ketenangan maya dihembus bayu
Kesunyian hanya berteman gelap mengalun mimpi…
Aku,
Di hamparan itu
Bertimpuh sendiri…
Apakah bumi yang ditamu dahi penuh dosa ini
Nantinya kan bersaksi suatu syafaat?
Telapak penuh noda diangkat
Mengharap arang hitam yang berparut pada hati
kan bercucian dengan rahmat Yang Maha Suci…
Air jernih itu terlalu kontang menyesali
Mana perginya kalbu yang lembut berkisah cinta manusia
Karat membatu dengan kotor najis maksiatnya
Apakah sabda Baginda Agung itu realiti menimpa diri,
Hati kan dititik hitam tatkala tiada sesal dengan noda sendiri..
Astaghfirullah…

Apakah sempat menanti pagi untuk kembali??!!

Selasa, 3 April 2007

Undi Calon Anda

Tengok Luar Tingkap:
Damascus si kota lama sedang hangat di musim bunga ini dengan Puluhan gambar dan slogan berselerak sana-sini. Sudah lebih 2 minggu perang poster antara calon menghangatkan kempen pilihanraya pada 22/4/2007….
Terdetik persoalan di hati, “kenapa habiskan duit bertanding? suara itu sudah tidak bebas..”

bayu berhembus,
Undilah Calon Anda “Syeikh Mahmud Dahla”

Papan Iklan:
Bila seorang lelaki ditanya berkenaan wanita tentang kecantikannya lalu dia menjawab ‘boleh la…’ maka pastilah wanita itu sebenarnya tidak cantik.
- analisis jawapan lelaki oleh seorang kawan yang tidak boleh harap :)


yang baru pula...


Ahad, 1 April 2007

Sampaikan Selawat dan Salam untuk Nabi Muhammad s.a.w

kelahiran Baginda Nabi salawatullahi wa salamuhu alaih..

12 Rabiul awal hari Isnin pada tahun 570 masihi - tahun Gajah ( seperti pendapat yang masyhur atau sebahagian ulama tarjihkan tarikh 9 Rabiulawal 571) telah lahir ke muka dunia makhluk terbaik di langit dan di bumi, nur kepada segala nur, penutup pembawa risalah, penghulu segala nabi dan rasul, manusia yang akhlaknya adalah al-Quran, dan baginda adalah kekasih Allah.. yang terlalu menyayangi umatnya melebihi dirinya sendiri.

Berketurunan yang terpilih baginda ialah Muhammad bin Abdullah bin Abd. Mutalib bin Hasyim bin Abd. Manaf bin qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin an-nudhr bin ibnu Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrakah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Maadd bin Adnan dari keturunan Ismail bin Ibrahim alaihimassalam..

Kelahiran Baginda sebagai yatim menjadi kelebihan kepadanya, buta-hurufnya pula menjadi mukjizat agung kepadanya.
Hidupnya yang tidak dimanja malah sekecil umurnya juga berdikari melebihi tua lain menjadikan Manusia Agung ini Pemimpin agung Umat Akhir zaman.
Semua manusia sayang kepadanya, sehingga musuhnya sendiri..
Membesar dalam suasana Kebobrokan Akidah masyarakatnya, Namun sedikit pun jahiliah itu tidak terkesan dalam hidupnya. Pembentukan peribadi mulia seagung itu timbul dari masyarakat serosak itu menjadi bukti pemeliharaan Allah khusus buatnya.

Hidup Nabi tidak pernah mewah. Seksanya nabi membawa risalah untuk memurnikan tamadun umat akhir zaman. Darah yang mengalir memenuhi sepatunya menjadi bukti cintanya Baginda kepada kita. Batu yang diikat di perut untuk menahan lapar menjadi bukti unggulnya kasih beliau kepada umatnya.. biarlah umatnya senang dan aman dengan akidah yang murni tanpa peduli jasadnya yang menahan sengsara. gigi yang patah di medan uhud itu petanda kesungguhan nabi dalam dakwahnya..

Pokok menangis untuk Nabi, Batu dan segala binatang juga terlalu sayang kepadanya...
benarlah firman itu : "tidaklah aku utuskanMu (muhammad) ke dunia melainkan menjadi rahmat buat sekelian Alam"

Perjuangan yang 23 tahun itu hanyalah membawa akhlak al-Quran dan sistem hidup berpandukan ilahi.. tugasnya memurnikan kembali hanyir kedurjanaan manusia yang bertuhankan akal. benarlah sabdanya : "Sesungguhnya aku diutuskan ke Dunia untuk menyempurnakan kesempurnaan dan kemuliaan akhlak"

Nabi terdahulu pernah mengungkap "kalau diberi peluang, aku mahu menjadi kaumnya(muhammad)"

bagaimana dengan kita umatnya?!

"sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas Nabi Muhammad, wahai orang mukmin berselawat dan ucap salamlah keatasnya.."

Alfatihah buat baginda Nabi dan Selawatlah keatasnya selalu... jangan terlalu kedekut dengan selawat itu :)

salam Maulidurrasul dari bayusenja.

nota : apakah tokoh maulidurrasul itu sudah ikut cara hidupnya?! kita pula bagaimana?!
semalam bayu hadiri majlis maulid bersama tuan2 guru di Syria.. sunggu meriah dan menyentuh hati.
mungkin nanti HakimDirani masukkan gambar dalam entrinya :)