Selamat Datang

Jumaat, 21 Oktober 2011

Lagi Kejayaan Kedah Agro.. Jom p Ramai-ramai esok pagi


Esok Sabtu 22 Oktober 2011 dijemput semua muslimin muslimat yang berkelapangan ke majlis ilmu, Kuliah Dhuha bertempat di Tapak Pengumpulan Produk Tani Kedah Agro Industries & Marketing di Sungai Petani, bersebelahan Hospital Sultan Abdul Halim Sg. Petani, bermula jam 8.30 pagi yang akan disampaikan oleh Ustaz Amri Nason, antara pimpinan utama Maahad Tahfiz Mutmainnah.

Seterusnya dijemput juga untuk meneruskan program mingguan tersebut yang baru bermula pada minggu lepas dan akan terus berlangsung setiap minggu dengan izin dari Allah swt. Siri pertama minggu lalu majlis tersebut telah diisi oleh Ustaz Zainol Asri Hj. Ramli, Penceramah Radio 3 Kedah. Moga-moga tempat tersebut dapat terus dimanfaatkan untuk mendidik jiwa menjadi muslim yang beretika dan bertaqwa.

Alhamdulillah, ini merupakan satu lagi tanda keprihatinan Kerajaan Kedah untuk membawa masyarakat kembali kepada kesedaran dan ke pangkuan agama walaupun dalam kesibukan mengurus kehidupan dunia.

Tahniah dan syabas kepada GM Kedah Agro Industries & Marketing, Tn. Hj Ir Zamri Yusuf, serta Pengerusi Lembaga Pengarah Kedah Agro Industries & Marketing YB Tuan Haji Abdulla bin Jusoh di atas usaha ini.

Tn Hj. Abdullah Jusoh merupakan YDP Pas Kawasan Sungai Petani yang juga ADUN Pantai Merdeka. Semenjak beliau terpilih sebagai Ahli Yang Berhormat DUN Pantai Merdeka, wajah Pantai Merdeka berubah bukan sahaja lebih cantik dan baik kemudahan dan panoramanya, bahkan Dataran Pantai tersebut juga tidak lagi sekadar menjadi tempat perkelahan semata-mata. Banyak program telah dijayakan bagi menjadikan tempat kehadiran pelancong itu dimanfaatkan juga untuk menyemarakkan kefahaman islam. Program penerangan agama (ceramah agama) terbuka di dataran tersebut dibuat secara mingguan. Bahkan setiap tahun sambutan kemerdekaan di situ disambut dengan pelbagai ceramah agama, forum dan program-program yang lebih mendidik.

Selain itu antara kejayaan beliau juga ialah mencetuskan program ceramah pacak di pasar-pasar malam sekitar Dunnya. Masjid dan surau setelah kerajaan diambil alih di peringkat negeri, dilihat sangat rancak dengan program-program taalim dan taamir. Alhamdulillah, suasana itu sangat menyenangkan.

Kini, setelah dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Kedah Agro Industries & Marketing , beliau sekali lagi menunjukkan cinta beliau kepada majlis ilmu dengan menjadikan pusat pengumpulan produk tani yang berpusat di Sg. Petani itu tidak lagi sekadar pasar, tetapi menjadi medan masyarakat menimba ilmu agama.


Khamis, 20 Oktober 2011

Orang Politik Tak Perlu HIMPUN, Orang Islam Perlu HIMPUN

Terlalu banyak cakap-cakap dan telahan yang dibuat oleh pelbagai pihak terhadap HIMPUN yang bakal berlangsung sabtu ini demi menunjukkan rasa prihatin dan kesungguhan Ummat Islam Malaysia Mepertahankan Aqidah dan menghalang agama lain dari wewenang menyebarkan dakyah mereka.

Umno, Perkasa dan sekutunya telah suarakan kecenderungan untuk bersama HIMPUN. Niat dan tujuan itu tidak pasti.

Pas, Pkr dan beberapa pimpinan melayu yang cenderung kepada Pakatan Rakyat mengambil keputusan tidak ikut serta dalam himpunan tersebut.

Satu pihak sedang terdesak meraih sokongan melayu semula. Satu pihak lagi sedang juga kalut memastikan sokongan bukan Islam kekal bersama mereka.

Politik Malaysia yang diwarnai oleh orang-orang islam sekarang penuh dengan prasangka, dan terlalu mengambil kesempatan. Orang politik selalunya menjadikan kepentingan politik adalah yang pertama. Maka wajar masing-masing bertindak dan mengambil keputusan seperti yang telah diambil.

Saya pernah sebut dahulu, Politik bukan segala-gala bagi Islam, tetapi politik adalah sebahagian dari Islam. Orang politik kebanyakannya melihat apa pun cuma dalam percaturan politik.

Bagi saya, siapa pun yang menganjurkan program memperkasa aqidah, dan usaha mempertahankan aqidah harus disokong. Alangkah bagusnya pimpinan politik melayu islam cuba bersama dalam menunjukkan rasa cinta kepada aqidah yang murni ini. Bahawa hal yang menyentuh persoalan aqidah tidak harus hanya sekadar mengeluarkan pernyataan-pernyataan sahaja. Ketegasan amat perlu dalam tindakan yang memberi amaran bahawa dakyah syirik sama-sekali harus disekat kepada golongan muslim di dalam sebuah daulah islam.

Atas semangat demokrasi yang ditunjukkan dalam himpunan Bersih, saya selaku rakyat Malaysia tetap Menyokong HIMPUN dan berharap dapat dijalankan dengan baik.

Saya juga sangat percaya kepada Pengerusi bersama Himpun, Tn. Hj. Azmi Abd. Hamid yang sangat dikenali ikhlas dan tekun dengan usaha-usaha menyelamatkan ummat. Bukan sekadar diperingkat kampung-kampung, malah nasional dan antarabangsa. Bukan hanya atas isu kampungan bahkan isu-isu berkenaan dengan Islam, antarabangsa, isu alam sekitar, demokrasi dan sebagainya telah lama diperjuangkannya dan telah pun menjadi rekod sebagai bukti ketelusan penglibatannya dalam usaha membela rakyat dan masyarakat.

Beliau telahpun jelaskan bahawa usaha pihak yang sengaja mahu mengelirukan kefahaman umat Islam atau cubaan memurtadkan mereka perlu sentiasa diwaspadai.

“Kami akur bahawa sememangnya cara mendidik dan memberi kefahaman yang mendalam adalah cara terbaik dalam memperkukuhkan akidah umat Islam, namun usaha pihak yang sengaja mahu mengelirukan kefahaman umat Islam tetap perlu diwaspadai,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Tn. Hj. Mohd Azmi juga mengundang semua kepimpinan Islam dari semua parti politik untuk turut hadir pada perhimpunan Sabtu ini dalam “semangat ukhuwwah sejati untuk menjunjung amanah Allah dan mengembalikan izzah ummah”.

Saya fikir penjelasan ini sudah cukup menjadi jaminan bahawa HIMPUN bukanlah wayang untuk menaikkan semula nama Zul Kulim, Ezam atau individu-individu yang dikenali tidak setia itu. Bahkan saya tidak fikir pun bahawa menyertai HIMPUN adalah satu sokongan kepada UMNO, Perkasa atau ‘katak-katak’ yang diistilahkan rakyat sekarang.


SAYA SOKONG HIMPUN.

Ayuh Selamatkan Aqidah Ummat!

Jumaat, 14 Oktober 2011

Hudud : Orang Bukan Islam Mula Memahami, Ada Orang Islam masih Sombong Dengan Tuhan

MARANG, 14 Okt 11: Masyarakat bukan Islam sebenarnya tidak perlu gusar dan bimbang dengan isu hudud yang kini menjadi polemik Umno dan Barisan Nasional (BN) menyerang PAS dan Pakatan Rakyat.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr B.Chandran berkata, orang bukan Islam sepatutnya tidak perlu mempersoalkan isu hudud kerana ia hanya melibatkan orang Islam.

Katanya, jika ia masih timbul, mereka sebenarnya sengaja menimbulkan perkara yang tidak mempunyai kaitan dengan diri sendiri.

“Isu hudud ini sebenarnya tidak ada kaitan dengan orang bukan Islam. Kenapa perlu kita takut. Kita tidak perlu bimbang kerana hukum hudud hanya untuk orang Islam.

“Jika ia (hudud) masih timbul, itu (isu) sengaja ditimbulkan pihak tertentu yang menjadikan hudud sebagai polemik untuk kepentingan politik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis bersantai sempena Program Al-Falah anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) Pengkalan Berangan, di perkarangan Pasti Merchang, Marang, kelmarin.

Menurutnya, hudud tidak menjadi isu yang ‘menakutkan’ terutama kepada ahli DHPP kerana memahami dasar tersebut.

Katanya, DHPP Terengganu menyokong semua dasar yang dibawa oleh parti itu tetapi tumpuan kepada Negara Berkebajikan lebih penting.

“Negara Berkebajikan patut dilihat sebagai satu perkara penting daripada hudud yang tidak ada kena mengena dengan kita (bukan Islam).

“Di Terengganu, perkara ini jelas dan tidak ada langsung isu berkaitan hudud dibangkitkan kerana kita memahami tujuan hudud,” tegasnya.

Justeru itu, katanya pemimpin DHPP di seluruh negara disarankan agar bersama-sama dengan PAS bagi merealisasikan agenda sebuah negara berkebajikan.

Beliau mengingatkan ahli parti termasuk rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat agar tidak terpengaruh pihak yang menentangnya.

Sebaliknya, kata beliau semua pihak perlu memahami pelaksanaan hudud itu hanya melibatkan kesalahan dan jenayah yang dilakukan orang Islam.

Sumber Cedokan Berita : Ibnu Hasyim


Ulasan Saya: Nabi saw antara kelebihannya berbanding Nabi-nabi yang lain ialah Baginda dibantu oleh Allah dengan dicampakkan rasa gerun dari jauh sejauh sebulan perjalanan ke dalam hati-hati musuhnya.

نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيْرَةَ شَهْرٍ- متفق عليه

Begitu juga dakwahnya digeruni musuh. Antara dakwahnya ialah hukum-hakam agama. Antaranya pula ialah hudud. Memang wajar sangat kalau hudud sangat digeruni oleh orang bukan islam. Maka, penjelasan dan penerangan dengan penuh hikmah sangat perlu kepada golongan ini supaya jelas bahawa hudud itu HANYA UNTUK MUSLIM. Mereka (bukan islam) pula, terserah untuk membuat pilihan.

Yang menjadi kehairanan, orang yang dok riuh sambut mauled Nabi pula yang takut dengan apa yang Nabi bawa. Mereka menjadi gementar dan sangat gerun dengan Hudud. Mungkin ada sesuatu yang tak kena…

Manusia Kalah Dengan Seekor Merpati

لَقَدْ هَتَفَتْ فِي جُنْحِ لَيْلٍ حَمَامَةٌ # عَلَى فَنَنٍ وَهْنًا وَإِنِّي لَنَائِمُ

كَذَّبْتُ وَ بَيْتِ اللهِ لَوْ كُنْتُ عَاشِقًا # لَمَا سَبَقَتْنِي بِالبُكَاءِ الحَمَائِمُ

وَأَزْعُمُ أَنِّي هَائِمٌ ذُو صَبَابَةٍ # لِرَبِّي فَلَا أَبْكِي وَتَبْكِي البَهَائِمُ



Sesungguhnya merpati berteriak memanggil di kegelapan malam # Di atas dahan terus memanggil sedang aku terus tidur.

Aku berbohong (kata cintakan Allah) sedangkan demi Bait Allah sekiranya aku orang yang a'syik dgn Allah # Sudah tentulah burung tidak akan mendahuluiku menangisi (kerana Allah).


Aku mendakwa bahawa aku seorang pencinta yang merindui kekasihnya # Namun kenapa aku masih belum pandai menangis kerana cinta seperti tangisnya binatang-binatang.



Syair ini dinaqalkan di dalam kitab Ayyuhal Walad (wahai anakandaku) - Karya Imam Al-Ghazali Hujjatul Islam. Renung-renungkan pada diri kita sendiri.

Hanya Orang Seperti Abu Nawas Sahaja yang gamak mempersenda Ulama seperti ini..

إن الله لا يقبض العلم انتزاعا ينتزعه من الناس ، ولكن يقبض العلم بقبض العلماء حتى إذا لم يترك عالما اتخذ الناس رءوسا جهالا فسئلوا فأفتوا بغير علم فضلوا وأضلوا رواه الشيخان

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekali cabutan sahaja dari manusia, tetapi Allah mencabutnya (sedikit demi sedikit) dengan mencabutnya para ulama sehingga tidak tinggal lagi seorang pun yang alim lalu manusia akan mengangkat pemimpin dari kalangan orang jahil. Mereka (pemimpin yang jahil) pun ditanya, lalu mereka memberi fatwa tanpa berdasarkan ilmu. Maka mereka itu sesat lagi menyesatkan.”

Lihat ke dalam gambar tersebut, dua tuan guru yang sudah usianya lanjut. Namun tetap lagi besar khidmat mereka kepada ummah. Entah kenapa terasa sayu sangat melihat gambar sosok tubuh Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus yang terbaru. Melihat keadaannya yang uzur, menjadikan kita mula rasa kerugian sekiranya tidak sempat lagi mengutip hikmah dari mulut alim sepertinya.

Hadis Sohih di atas jelas memberi ingatan bahawa ulama akan tidak lagi dijadikan panduan. Suara-suara lantang akan menenggelamkan hikmah para ulama. Apatah lagi golongan ulama semakin uzur menua. Seorang ulama yang hikmah dan arif dengan Allah meninggalkan alam dunia, 10 graduan agama yang baru belum tentu menggantikannya. Ilmu di kalangan ulama bukan hanya bacaan dan hafalan, tetapi pengamatan, pengalaman dan penghayatan yang disuluh keikhlasan mencari redho Allah Jalla Wa Ala.

Alangkah ruginya dunia tatkala seorang ulama dimatikan. Demikianlah ketentuan Tuhan membawa dunia ke penghujung zaman. Orang-orang baik dimatikan tanpa diganti. Orang-orang derhaka semakin ramai dan meramai. Sehingga ada yang suka-suka mewawarkan kematian ulama itu ini dengan pelbagai cerita rekaan demi menyeronokkan hawa nafsu tanpa menyedari bahawa bahan olokannya itu satu petanda bahawa si pembawa cerita itu sangat tidak sabar mahu ulama-ulama mati.

Bezanya apabila mati ulama dan mati pencaci ulama, yang satu alam akan merasa kehilangan sejuk cahaya hidayat. Sedangkan yang satu lagi diucap syukur oleh alam kerana satu bara panas telah terpadam. Tapi yang sorang nama abu nawas tu, rasanya sapa pun tak heran kot kalau mati. Sebab dengan alas an ‘aku tak mengaji agama’ dia boleh kata apa sedap mulut nak kata kat golongan lebai, banyak sangat dah macam-macam cerita tidak beradab yang tidak memberi kepentingan sedikit pun kepada ummah disiarkan di tapaknya.

Entah orang bodoh mana boleh menghina dan membuat cerita-cerita bodoh tentang ustaz ismail kamus. Dah tidak ada lagi bahan jenaka untuk dibuat lawak bodoh. Bising memaki kebiadapan utusan, tengok-tengok diri sendiri pun lebih kurang saja.

Dalam scenario yang berlaku dalam kebangkitan rakyat hari ini, Saya melihat satu usaha sedang berjalan dalam keadaan mood masyarakat mahu menurunkan sesuatu rejim, gerakan sosialis sedang berusaha menempatkan diri mereka dalam senarai pejuang yang menyahut obor itu. Yang malangnya ialah ada usaha untuk mengenepikan peranan ulama dan agamawan dalam usaha itu. Ini yang mungkin dimaksudkan oleh Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya ketika sambutan 60 tahun pas tempohari bahawa “Sejarah gerakan islam banyak menunjukkan yang berjuang itu pejuang mereka, yang mati itu pejuang mereka, yang ditimpa susah derita itu pejuang mereka, namun orang lain pula yang menyambut obor dan mengisi kejayaan itu. Pas perlu melihat dan berhati-hati dengan fenomena itu.”

Maka kerja dan usaha itu sangat hebat berjalan. Golongan lebai dan agamawan sering dilontar pelbagai tohmah dan sindiran mutakhir ini terutama di kalangan agamawan yang menyertai medan politik. Kepimpinannya dibenci sungguh. Gerakan yang mengajak masyarakat lebih mempercayai sosok berperwatakan liberal sangat lumayan gerakerjanya. Mereka Berjaya menggambarkan golongan agamawan sebagai pengganggu kepada kebangkitan dan sebagainya.

Lihat satu contoh bagaimana sombongnya seorang yang menjadikan alas an ‘aku tak mengaji agama’ untuk memaki dan menghamun sesiapa pun sahaja termasuk mereka-reka cerita karut terhadap diri seorang ulama seperti Ustaz Ismail Kamus. Anda boleh lihat di sini.

Inilah suatu perjuangan yang sangat sempit apabila cuma melihat dunia perjuangan hanya dalam cabang politik sahaja. Yang hanya melihat keberanian itu ialah bersuara memaki perdana menteri. Sehingga luntur sudah akhlak dan adab berbicara. Tak perlulah berbangga dengan kehebatan bercakap ‘mulut tanpa insuran’ itu.

Ini yang saya maksudkan dengan hikmahnya ulama. Tidak seperti manusia yang konon merekalah berperanan membawa perubahan lalu wewenang mencaci maki orang itu dan orang ini.


P/s: Gambar Ustaz Ismail Kamus: Kredit untuk Fb Jeng!Jeng!Jeng!