Selamat Datang

Khamis, 20 Oktober 2011

Orang Politik Tak Perlu HIMPUN, Orang Islam Perlu HIMPUN

Terlalu banyak cakap-cakap dan telahan yang dibuat oleh pelbagai pihak terhadap HIMPUN yang bakal berlangsung sabtu ini demi menunjukkan rasa prihatin dan kesungguhan Ummat Islam Malaysia Mepertahankan Aqidah dan menghalang agama lain dari wewenang menyebarkan dakyah mereka.

Umno, Perkasa dan sekutunya telah suarakan kecenderungan untuk bersama HIMPUN. Niat dan tujuan itu tidak pasti.

Pas, Pkr dan beberapa pimpinan melayu yang cenderung kepada Pakatan Rakyat mengambil keputusan tidak ikut serta dalam himpunan tersebut.

Satu pihak sedang terdesak meraih sokongan melayu semula. Satu pihak lagi sedang juga kalut memastikan sokongan bukan Islam kekal bersama mereka.

Politik Malaysia yang diwarnai oleh orang-orang islam sekarang penuh dengan prasangka, dan terlalu mengambil kesempatan. Orang politik selalunya menjadikan kepentingan politik adalah yang pertama. Maka wajar masing-masing bertindak dan mengambil keputusan seperti yang telah diambil.

Saya pernah sebut dahulu, Politik bukan segala-gala bagi Islam, tetapi politik adalah sebahagian dari Islam. Orang politik kebanyakannya melihat apa pun cuma dalam percaturan politik.

Bagi saya, siapa pun yang menganjurkan program memperkasa aqidah, dan usaha mempertahankan aqidah harus disokong. Alangkah bagusnya pimpinan politik melayu islam cuba bersama dalam menunjukkan rasa cinta kepada aqidah yang murni ini. Bahawa hal yang menyentuh persoalan aqidah tidak harus hanya sekadar mengeluarkan pernyataan-pernyataan sahaja. Ketegasan amat perlu dalam tindakan yang memberi amaran bahawa dakyah syirik sama-sekali harus disekat kepada golongan muslim di dalam sebuah daulah islam.

Atas semangat demokrasi yang ditunjukkan dalam himpunan Bersih, saya selaku rakyat Malaysia tetap Menyokong HIMPUN dan berharap dapat dijalankan dengan baik.

Saya juga sangat percaya kepada Pengerusi bersama Himpun, Tn. Hj. Azmi Abd. Hamid yang sangat dikenali ikhlas dan tekun dengan usaha-usaha menyelamatkan ummat. Bukan sekadar diperingkat kampung-kampung, malah nasional dan antarabangsa. Bukan hanya atas isu kampungan bahkan isu-isu berkenaan dengan Islam, antarabangsa, isu alam sekitar, demokrasi dan sebagainya telah lama diperjuangkannya dan telah pun menjadi rekod sebagai bukti ketelusan penglibatannya dalam usaha membela rakyat dan masyarakat.

Beliau telahpun jelaskan bahawa usaha pihak yang sengaja mahu mengelirukan kefahaman umat Islam atau cubaan memurtadkan mereka perlu sentiasa diwaspadai.

“Kami akur bahawa sememangnya cara mendidik dan memberi kefahaman yang mendalam adalah cara terbaik dalam memperkukuhkan akidah umat Islam, namun usaha pihak yang sengaja mahu mengelirukan kefahaman umat Islam tetap perlu diwaspadai,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Tn. Hj. Mohd Azmi juga mengundang semua kepimpinan Islam dari semua parti politik untuk turut hadir pada perhimpunan Sabtu ini dalam “semangat ukhuwwah sejati untuk menjunjung amanah Allah dan mengembalikan izzah ummah”.

Saya fikir penjelasan ini sudah cukup menjadi jaminan bahawa HIMPUN bukanlah wayang untuk menaikkan semula nama Zul Kulim, Ezam atau individu-individu yang dikenali tidak setia itu. Bahkan saya tidak fikir pun bahawa menyertai HIMPUN adalah satu sokongan kepada UMNO, Perkasa atau ‘katak-katak’ yang diistilahkan rakyat sekarang.


SAYA SOKONG HIMPUN.

Ayuh Selamatkan Aqidah Ummat!

Tiada ulasan: