Selamat Datang
Rabu, 13 Mac 2013
Rabiul Akhir : Mengenang Pembunuhan As-Syahid Hassan Al-Banna
Selasa, 29 November 2011
Tokoh Maal Hijrah: Dr. Abdul Aziz Hanafi - Tokoh Ulama Yang Bersungguh Menentang Syiah Di Malaysia

Dekan Kulliyah Syariah Kolej Universiti Insaniah, Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1433H/2011 Peringkat Negeri Kedah.
Beliau yang dilahirkan pada 28 Julai 1948 mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kodiang, Kedah dan Sekolah Menengah Agama Alawiah, Kangar, Perlis.
Panggilan ilmu telah membawa beliau untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau menyambungkan pelajaran ke Kolej Islam Malaysia dan memperoleh Diploma Pendidikan.
Kemudiannya menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah sekitar tahun 1972 hingga 1984. Beliau adalah kelulusan Ph.D Perundangan Islam (Ekonomi Islam (Al-Azhar), M.A Syariah & Undang-undang (Al-Azhar), B.A (Sijil Tinggi Kolej Islam Malaya)
Beliau turut terlibat dalam menyampaikan kuliah di radio, mengajar kitab di masjid-masjid dan juga menyertai seminar di peringkat negeri dan kebangsaan dalam usaha mengembangkan syiar Islam.
Dr. Abdul Aziz Hanafi yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah (bermula 2009) pernah menerima anugerah Darjah Kebesaran Setia Diraja Kedah (SDK) sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman yang ke-83 pada 20 Januari 2010.
Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Pendakwah sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah Februari awal tahun ini yang juga disampaikan oleh KDYMM Sultan Kedah.
Berperwatakan sangat sederhana, zuhud dan wara', tokoh ulama ini sangat mudah didekati oleh masyarakat. Beliau dihormati oleh semua pihak di kalangan masyarakat. mungkin cuma syiah yang membencinya. Hubungan beliau juga sangat baik dengan Sultan Kedah.
Apa yang lebih besar dan penting, jasanya dalam memerangi syiah di Malaysia sangat luar biasa. Dalam keadaan umur yang agak lanjut dan jasad tidak lagi terlalu kuat itu, Dr. Abdul Aziz masih kuat berhadapan dengan kejahatan dan provokasi Syiah yang semakin melampau. Kita doakan kesejahteraan beliau dan kita menyokong penuh perjuangan beliau menegakkan syariat Islam.
Alhamdulillah, KDYMM Tuanku Sultan Kedah telah berbesar hati merasmikan Seminar Fahaman Syiah yang mengupas isu-isu aqidah yang bersangkut dengan syiah yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Kedah Oktober lalu. Dr. Abdul Aziz Hanafi antara yang sangat berjasa dalam penganjuran siri-siri penjelasan terhadap bahaya syiah khususnya di negeri Kedah.
Antara Nasihatnya yang saya ambil, "maaf cakap.. dalam Pas pun banyak syiah"
Khamis, 28 Julai 2011
Almarhum Syeikh Niamat Yusof - nota rindu dakapan tarbiahnya..

MENATAP PERIBADI PENGASAS MAAHAD
ALMARHUM SYEIKH NIAMAT YUSOFF
DERANG YANG PERMAI
Inilah kelahiran anak kedua dari empat orang anak hasil perkongsian hidup Tuan Guru Syeikh Yusof Bin Said dengan Che’ Tah Binti Abdul Hamid seorang tokoh yang disegani kerana pengalaman dan keterlibatan dalam masyarakat dalam membantu menerajui pusat pendidikan pondok di beberapa daerah dalam negeri Kedah ketika itu. Manakala anak menantu semuanya mewarisi usaha beliau di bidang kerjaya yang sama.
Kehidupan Tuan Guru Syeikh Yusof Bin Said amat sederhana. Ketika inilah Syeikh Niamat menerima pengalaman dari ayahnya yang sering berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Perpindahan yang pertama ialah dari Kepala Batas Seberang Perai ke Padang Sera Kedah, dimana beliau (Tuan Guru Syeikh Yusoff) telah mengasaskan sekolah agama An-Nahdhah Al-Hasanah Melele bersama seorang sahabat dari Indonesia bernama Ustaz Ali Bustamam. Kemudian beliau berpindah ke Kubur Panjang untuk menggantikan Tuan Guru Haji Husin Misri sebagai mudir di Pondok Madrasah At-Tarbiyah Al-Auladiyah. Akhirnya pada tahun 1952 beliau berpindah ke Alor Setar untuk mengembangkan ilmu pengetahuannya kepada masyarakat umum menerusi masjid-masjid, surau-surau dan parsatuan-persatuan. Suasana kehidupan yang sederhana dan perpindahan yang berlaku sewaktu inilah telah banyak membantu Syeikh Niamat dalam memahami aspek-aspek kemasyarakatan dan tanggungjawab diri.
Disamping pengalaman dan pendidikan informal yang diperolehi dari ayahnya, beliau juga mendapatkan pendidikan formal dari beberapa buah sekolah. Pertama, beliau dihantar belajar di sekolah Melayu pada tahun 1947 sehingga 1948 sehingga darjah dua, kemudian menuntut di Madrasah At-Tarbiyah Al-Auladiyah, Kubur Panjang sehingga darjah tiga pada tahun 1952. Beliau kemudian mendapat kesempatan melanjutkan pelajaran di Maktab Mahmud Alor Setar dan lulus Syahadah Nihaiyah(menengah) di Sekolah tersebut pada tahun 1960.
Laluan pengajian diselarikan dengan latihan mengajar yang dipertanggungjawabkan oleh ayah beliau. Walaupun dalam usianya yang terlalu muda, beliau telah menimba pengalaman menjadi guru Al-Quran dan tajwid di rumah-rumah dan di surau-surau sejak tahun 1954 sehingga 1960 ketika usia baru menjangkau umur 14 tahun. Kemudian beliau telah berkesempatan mengajar bahasa arab di beberapa buah sekolah agama rakyat di negeri Kedah pada tahun 1960 sehingga 1964. Sebelum berangkat ke Mesir, beliau juga telah sempat menjadi guru agama dan guru bahasa kebangsaan di sebuah sekolah swasta Darul Aman English School, Alor Setar dan di kelas khas Maktab Mahmud.
PENULISAN
Disamping itu, beliau juga memiliki minat yang mendalam di bidang penulisan, sejak usianya 17 tahun lagi tulisan-tulisan beliau telah termuat di dalam pelbagai majalah dan akhbar yang ringan. Mulai tahun 1958 tulisan-tulisan beliau telah mula tersiar dalam majalah Mastika yang dianggap paling popular ketika itu. Dari tahun 1957 hingga 1960 sahaja, beliau telah menghasilkan 50 buah sajak, 5 buah cerpen dan 2 buah cerpen terjemahan, beberapa artikel tentang sejarah dan 2 buah drama. Di saat-saat inilah beliau terlibat dengan Badan Seni Seri Budaya Kedah sebagai Ahli Jawatankuasa pada tahun 1963/1964. Selepas tahun 1964 beliau lebih berkecenderungan menulis artikel-artikel yang menyentuh persoalan agama, falsafah, sejarah dan pendidikan. Manakala selepas tahun 1974 ketika arus kebangkitan Islam melanda, tulisan yang dihasilkan beliau lebih bercorak dakwah dan tarbiyah sehinggalah ke saaat terakhir kehidupan beliau.
PERKAHWINAN & KELUARGA
Beliau mendirikan rumahtangga pada tahun 1961 dengan Puan Khadijah Binti Othman dan dikurniakan 14 orang anak (8 orang lelaki dan 6 orang perempuan) dan Puan Engku Faizah Engku Mohsin pada November 1990 dan dikurniakan seorang anak lelaki. Sebelas orang daripada anak-anak beliau telah berumahtangga sementara 4 orang masih bersekolah.
MELANJUTKAN PELAJARAN
Pada tahun 1964 beliau telah berangkat melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar di Mesir dengan dokongan dan sokongan masyarakat. Kemiskinan yang melatari kehidupan beliau dan keluarganya adalah satu-satunya sebab yang mendorong beliau terpaksa merayu belas kepada masyarakat. Dengan bekalan yang sangat terbatas beliau telah berangkat ke Mesir dengan menaiki sebuah kapal laut dari Singapura dengan meninggalkan seorang isteri dan seorang putera yang masih kecil bernama Muhammad Naim yang pada masa itu baru berusia 10 bulan.
Dugaan kedua mengiringi beliau apabila sampai ke Singapura, perjalanan beliau tergendala oleh peristiwa peperangan kaum yang sedang berlaku di sana pada waktu itu. Akhirnya, setelah dua hari terkepung di rumah sahabatnya, En. Rahman Bee, perjalanan beliau dapat diteruskan sehingga pada tanggal 16 Oktober 1964 beliau tiba dengan selamat di Kaherah. Beliau mendaftarkan diri dalam pengajian di bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar.
Untuk membiayai keperluan pengajian, beliau juga terpaksa bekerja sambilan sebagai pengedar buku-buku dan kitab-kitab agama ke tanah air. Beliau adalah seangkatan dengan Dato’ Syeikh Yusof Haji Ismail, bekas Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah, dan almarhum Al-Fadhil Ustaz Fadhil Muhammad Noor, mantan Presiden PAS. Semasa di Kaherah, beliau turut terlibat di dalam mengendalikan Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu ( PMRAB ) sebagai anggota badan pengurus. Antara tahun 1967 hingga 1968 hakikat pahit getir dan laluan yang serba tercabar akhirnya membawa natijah yang amat bermakna. Tepat pada tanggal 18 Oktober 1968 beliau telah kembali ke tanah air dengan segulung ijazah di bidang usuluddin dari Universiti Al-Azhar.
KETERLIBATAN DENGAN MASYARAKAT
Setelah kembali ke tanah air nama beliau mula terserlah di mata masyarakat kerana penglibatan beliau dalam kerjaya pendidikan Islam disamping keterlibatan beliau dalam wadah-wadah Islam dan gerakan sosial. Beliau mula terlibat sebagai Penolong Setiausaha Persatuan Mahasiswa Timur Tengah Bahagian Negeri Kedah pada tahun 1970. Dalam masa yang sama, beliau juga terlibat dalam Persatuan Kebajikan Islam (PERKIM) Bahagian Negeri Kedah sebagai Ketua Biro Pendidikan.
Beliau juga adalah diantara peribadi yang bertanggungjawab mengasaskan Angkatan Belia Islam (ABIM) cawangan Negeri Kedah pada tahun 1972. Penubuhan cawangan ini merupakan diantara yang pertama ditubuhkan setelah diasaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan sahabat-sahabatnya di Kuala Lumpur pada tahun 1971.
Beliau menjawat jawatan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Kedah yang pertama setelah diasaskan. Di peringkat ABIM pusat, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Syuro yang merupakan induk kepada pertubuhan tersebut. Namun, atas alasan mahu menumpukan perhatian terhadap proses penubuhan sebuah sekolah agama, maka beliau telah mengundurkan diri sebagai Yang Di-Pertua ABIM Kedah pada tahun 1978. Walaupun begitu, disebabkan kepimpinan beliau masih lagi diperlukan, maka jawatannya dalam Exco ABIM negeri Kedah masih lagi dikekalkan sebagai Naib Yang Di-Pertua sehinggalah menjelang tahun 1989. Inilah wadah yang dipilih olehnya untuk berperanan di dalam masyarakat dalam bidang dakwah dan tarbiyah.
Pada awal tahun 70-an ini juga beliau terlibat secara aktif dalam Persatuan Ulama’ Kedah. Satu persatuan yang menjadi tunggak aspirasi seluruh ulama’ Negeri Kedah sejak ia ditubuhkan pada tahun 1948. beliau menjawat jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa dari tahun 1971 hingga 1987. kemudian dipilih sebagai Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Ulama’ Kedah sejak dari tahun 1987 hingga ke akhir hayat beliau.
Pada akhir 90an beliau mula melibatkan diri secara serius dengan parti politik iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan menjawat jawatan sebagai Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Kedah serta Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan Pokok Sena.
Beliau serta beberapa orang rakan telah mengasaskan Nadwah Persuratan Islam Malaysia (NAFIS) satu wadah dalam mengumpul serta membangunkan penulisan-penulisan bercorak Islam.
Penglibatan beliau di arena pertubuhan Islam memberi peluang untuknya bukan sahaja melawat ke seluruh pelusuk tanah air, malah ke beberapa buah negara luar. Diantara lawatan rasmi beliau ialah ke Amerika Syarikat pada tahun 1983, Arab Saudi pada tahun 1983, Indonesia pada tahun 1985, Kuwait dan Mesir pada tahun 1988, Pakistan dan India pada tahun 1987, ke United Kingdom pada tahun 1989 dan 1990, ke Sudan yang dilawatinya pada bulan September 1990, dan beberapa buah negara Timur Tengah serta di Eropah pada awal hingga akhir 90 an, yang mana melalui lawatan inilah beliau banyak menimba pengalaman untuk melanjutkan usaha ke arah melangsungkan pendidikan yang beliau pelopori itu.
KERJAYA
Di bidang pendidikan beliau telah diterima menjadi guru penolong di Maktab Mahmud, Alor Setar sejak dari tahun 1969. Pada tahun 1972 hingga tahun 1978 pula, beliau telah dipilih menjadi Pensyarah dalam Darjah Latihan Perguruan Guru-guru Agama Kedah. Tahun 1981 merupakan tahun yang merubah suasana kehidupannya dalam kerjayanya. Pada tanggal 5 Jun 1982 dengan rasminya meletakkan jawatan sebagai guru di Maktab Mahmud setelah berkhidmat selama 12 tahun. Perletakan jawatan yang didorong atas kesedaran tentang keperluan menubuhkan sebuah sekolah agama yang mendokong aspek keilmuan Islam tradisional yang mampu berinteraksi dengan suasana semasa sebagai teras pendidikan generasi akan datang.
MAAHAD TARBIAH ISLAMIYAH
Lantas kerana itu pada awal tahun 1980 tertubuhnya Maahad Tarbiyah Islamiah di bawah pimpinan dan ilham dari beliau. Penerokaan ini merupakan yang pertama di Malaysia memandangkan pengajian bermula dari peringkat rendah berasrama penuh. Berbanding dengan skolah-sekolah agama yang lain, pengajian hanya dimulakan di peringkat menengah rendah.
Penerokaan ini oleh beliau adalah satu perkara yang di luar dugaan. Ketika mana keputusan ini dibuat, beliau sedang berkhidmat di bawah payung Maktab Mahmud dengan skim gaji terakhir RM 2000 sebulan, tetapi dengan kekuatan yang ada pada dirinya, langkah ke hutan belantara bernama Derang, atas nama tanggungjawab survival pendidikan bangsa, dengan penuh keyakinan yang lebih kuat dari segala halangan yang merintanginya. Antara halangan-halangan tersebut adalah saraan hidup yang belum menentu, suara-suara dari rakan gaulan yang tidak pernah merasa yakin dengan perjuangannya tanpa modal dan wang ringgit serta suasana sekitar yang belum lagi dapat menerima perjuangan di desa belantara.
Di sinilah Ustaz Niamat mula menyelami dan menghayati segala pengalaman yang pernah diperolehinya ketika bersama ayahanda beliau sebelum ini. Kewibawaan yang bukan hanya pada kata-kata tetapi sikap dan pendekatan yang membina. Pembinaan Maahad adalah satu lagenda kerana sekian dekad penerokaan hutan belantara menjadi kampung dan bandar tidak berlaku satu waktu. Syeikh Niamat adalah seorang peribadi yang mengembalikan tradisi keilmuan Islam yang bermula di hutan belantara sehingga terbentuknya kampung dan bandar yang diteroka melalui peranan ulama’.
Setelah Maahad ditubuhkan, bermulalah peringkat kehadiran tenaga-tenaga penggerak secara sukarela. Diperingkat ini beliau dengan kewibawaannya memikul tugas menyatukan tenaga-tenaga petugas yang hadir dari pelbagai latarbelakang hidup dan bidang pendidikan kearah satu kesatuan dalam menjayakan cita-cita pendidikan Islam. Petugas-petugas ini terdiri dari pelbagai latarbelakang samada dari bidang agama, teknokrat, profesional dan sebagainya. Di sinilah bermulanya cogan kata Maahad “Gandingan diantara keilmuan Islam yang mantap dan teknologi moden yang bermanfaat” sebagai halatuju kepada pembentukan Maahad.
Langkah demi langkah Maahad bersama Syeikh Niamat dan pendokong yang di bawah pimpinan beliau telah dapat merealisasikan sebuah sekolah yang pertama di Malaysia menyediakan pendidikan Islam peringkat rendah aliran arab secara berasrama penuh.
Kemampuan ini lebih unik apabila tarikan petugas pendokong baru maahad bukan didasarkan kepada janji-janji “gaji lumayan” malah tenaga Maahad terpaksa menempuh kesusahan bersama beliau serta pengorbanan ketika mana masyarakat belum memahami hakikat bahawa perlaksanaan pusat pendidikan Islam adalah tanggungjawab seluruh umat Islam, samada tanggungjawab berbentuk moral atau material.
Oleh kerana itu, walaupun beliau pada awalnya tidak memiliki modal yang besar, tanpa tenaga guru yang sanggup menyertainya, tanpa memiliki tanah dan kawasan untuk dibangunkan serta peralatan mengajar yang lengkap secara kasarnya tidak mungkin dapat difikirkan pengwujudan sebuah sekolah agama persendirian tanpa bantuan dari kerajaan. Namun inilah hakikat yang memulakan penubuhan Maahad di bawah teraju beliau. Segala kepeluan tersebut menyusul di belakangnya. Tidak hairanlah kebaktian di bidang pendidikan telah mendapat perhatian dari pihak Kerajaan Negeri Kedah sehingga beliau diberi penghormatan menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Darulaman pada tahun 1989.
KEMBALINYA SEBUTIR MUTIARA
Beliau kembali kerahmatullah tepat jam 10.20 pagi hari rabu tanggal 13 Rejab 1424 bersamaan 10 September 2003 di Hospital Alor Setar disisi kedua-dua isteri serta anak-anak beliau. Pada waktu-waktu akhir beliau dijemput Allah, beliau sedang mengusahakan ke arah memajukan lagi Maahad ini dengan pembentukan Perancangan Fasa Kedua Pembangunan Maahad serta beberapa buah puisi yang amat menyusuk kalbu.
p/s: catatan ini meluahkan rasa rindu kpd sang Murabbi yg telah memberi kami dakap tarbiahnya..
sila layari :
http://maahadderang.com/
http://www.facebook.com/home.php#!/MaahadTarbiahIslamiahDerang
Jumaat, 30 Oktober 2009
MERENUNG KEBIJAKSANAAN SYEIKHUR RAHIL, ALMARHUM USTAZ FADHIL NOOR

Sahabat baik saya, Saudara Muhaimin Sulam pada masa ini sedang menulis tesis Phd beliau mengenai mantan Presiden PAS iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.
Mahathir memberitahu Muhaimin bahawa beliau amat menghormati Almarhum dan mengakui bahawa meskipun Almarhum adalah pemimpin pembangkang namun beliau banyak belajar dari Almarhum.
Seorang lagi pemimpin yang ditemubual oleh Muhaimin adalah Lim Keng Yeik iaitu mantan presiden Gerakan. Lim Keng Yeik juga menghormati kebijaksanaa Almarhum.
Dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang dua insiden yang saya pernah lalui bersama dengan Almarhum . Dua insiden itu bagi saya menunjukkan ketelitian dan kebijaksanaa Ustaz Fadzil Mohd Noor.
Insiden pertama adalah apabila saya menjadi penterjemah beliau semasa beliau ditemubual oleh seorang wartawan Austria. Temubual itu berlangsung di Pejabat Harakah di Jalan Pahang. Memandangkan saya secara kebetulan ada di situ Almarhum mengajak saya untuk hadir di temubual itu sekaligus menjadi penterjemah beliau.
Banyak soalan yang diajukan oleh wartawan tersebut kepada Almarhum. Dalam banyak jawapan yang diberikan oleh Ustaz Fadzil, saya amat tertarik dengan jawapan yang beliau berikan kepada satu soalan yang saya kira satu soalan untuk memerangkap beliau.
Wartawan Austria itu bertanya kepada Ustaz Fadzil apakah yang PAS akan lakukan kepada pernigaan judi di Genting Highland jika PAS ditakdirkan memerintah Malaysia ?
Sebelum Ustaz Fadzil menjawab soalan tersebut saya tertanya-tanya bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Saya dapat merasakan bahawa wartawan Austria itu mahukan Ustaz Fadzil Noor menjawab bahawa PAS akan menutup pusat judi di Genting Highland kerana judi adalah haram menurut Islam. Saya percaya jika begitulah jawapan Ustaz Fadzil Noor maka itulah yang dimahukan oleh wartawan barat itu bagi menunjukkan bahawa gerakan Islam seperti PAS adalah ekstrim dan jika memerintah maka kononnya hak orang bukan Islam akan tergugat.
Saya jenuh memikirkan bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Sebelum Ustaz Fadzil ditanya soalan itu saya ada membaca di akhbar the star yang diterbitkan sebelum temubual itu tentang jawapan yang diberikan oleh pemimpin PAS yang lain bahawa PAS akan menutup pusat perjudian itu jika PAS memerintah Malaysia. Saya merasakan meskipun jawapan itu tidak salah dari sudut agama namun menjawab secara sebegitu akan menguatkan persepsi di kalangan orang bukan Islam yang tidak memahami Islam bahawa itulah PAS sebuah parti yang ekstrem.
Mari kita lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil menjawab soalan yang saya nyatakan di atas.
Beliau menjawab lebih kurang begini : “ Bagi kita ( PAS ) ada isu yang lebih besar dari isu yang kamu bangkitkan tersebut. Bagi kita ( PAS ) isu tentang penyalahgunaan kuasa, isu rasuah , isu pencabulan hak asasi dan isu pencabulan sistem demokrasi dalam negara ini adalah isu-isu besar yang rakyat mahukan kita ( PAS ) membuat perubahan jika kita ditakdirkan mengambil alih kuasa dari Barisan Nasional.”
Sebaik sahaja saya mendengar jawapan itu saya berkata dalam hati memang layaklah Ustaz Fadzil menjadi pemimpin saya. Jawapan yang amat bijaksana. Beliau tidak kata beliau tidak akan haramkan judi oleh itu tidak boleh dituduh PAS sudah menggadai prinsip. Cara beliau mengalih ( divert ) persoalan yang dibangkitkan amat menakjubkan.
Dalam satu insiden yang lain saya kebetulan berkesempatan makan tengah hari bersama beliau di kantin Parlimen. Semasa makan tersebut beliau menceritakan kepada saya tentang isu yang berlaku di Parlimen. Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak begitu senang hati dengan cara ahli-ahli Parlimen Umno menyerang pentadbiran Taliban di Afghanistan. Ustaz Fadzil memberitahu cara Umno menyerang Taliban adalah dengan cara yang tidak adil kerana tidak langsung menceritakan aspek positif pemerintah Taliban khususnya kejayaan Taliban menyelesaikan isu dadah di negara itu.
Ustaz Fadzil memberitahu saya pada mulanya beliau ingin bangun dan membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno. Namun beliau menyatakan bahawa beliau berfikir panjang sebelum meneruskan hasratnya itu. Beliau menyatakan bahawa beliau amat khuatir dan bimbang jika beliau bangun membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno, PAS akan dilihat membela Taliban . Apabila PAS dilihat membela Taliban, ujar Ustaz Fadzil, maka rakyat negara ini akan dimomokkan oleh Umno bahawa PAS adalah sama dengan Taliban. Dan ini , dari segi politik, akan menyukarkan PAS untuk menangkis serangan Umno itu dalam keadaan Umno menguasai media massa. Maka beliau mengambil keputusan tidak bangun untuk membela Taliban.
Sekali lagi saya lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil. Beliau amat teliti dan cermat dalam mengambil satu-satu pendirian. Meskipun apa yang beliau ingin buat itu betul ( membela pihak yang diserang secara tidak adil ) namun sebagai pemimpin beliau memikirkan kesan apa yang beliau buat itu. Inilah antara lain kualiti seorang pemimpin – sentiasa memikirkan kesan sesuatu tindakan yang ingin dilakukan.
Apa yang Ustaz Fadzil lakukan tersebut, bagi saya, adalah mencontohi apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Bagi kita yang menekuni sirah Rasulullah s.a.w pasti akan tahu bagaimana kisah Rasulullah s.a.w. dan pemimpin Munafiq Abdullah bin Ubay bin Salul .
Kita lihat juga peristiwa penaklukan bumi Palestine pada tahun 637 Masihi oleh Syaidina Umar . Semasa Syaidina Umar berada di dalam gereja waktu solat pun tiba. Paderi menyuruh beliau bersembahyang dalam gereja tersebut. Syaidina Umar dengan penuh hikmah menolak pelawaan tersebut . Umar jelaskan pada Paderi tersebut sekiranya beliau sembahyang di situ kaum muslim akan ingin mengingati peristwa bersejarah itu dengan mendirikan masjid di tempat itu ( gereja itu ) dan jika itu berlaku kaum muslim akan memusnahkan gereja itu.
Lihatlah sikap seorang pemimpin. Sentiasa memikirkan kesan apa yang ingin dilakukan. Moga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah di atas.
Isnin, 14 Julai 2008
Alfatihah untuk Syeikh Niamat Yusof

Jasadnya sudah tiada lagi, tetapi roh perjuangannya masih segar mengalir dalam uarat-urat generasi seterusnya..
Jumaat, 1 Februari 2008
Dr. Mustafa Said Khin telah kembali ke Rahmatullah
Syeikh Dr. Mustafa Said Khin telah kembali ke Rahmatullah ketika sedang di dalam masjid untuk solat Jumaat.
Syeikh yang mempunyai bilangan murid yang ramai di seluruh dunia itu merupakan amid pertama Kuliah Syariah di Universiti Damascus serta mempunyai karangan yang banyak dalam kepelbagaian bidang ilmu agama. Beliau merupakan salah seorang pakar Usul Fiqh di Syria.
Seorang tokoh ulama kontemporari yang luas karya karangannya terutama dalam ilmu usul fiqh dan ilmu fiqh..
Seorang lagi bintang duniaIslam telah kembali kepada Kekasihnya......
Al-Fatihah !
Rabu, 30 Januari 2008
Kembalinya Pejuang ke pangkuan Kekasihnya - Takziah buat keluarga SS Dato Ishak Baharom
Ramai manusia menangisi dan menyesali pemergian seseorang ulama' tetapi sedikit manusia yang menghargai kewujudannya semasa hidup.
Sahibus Samahah Dato' Seri Utama DiRaja Dato' Haji Ishak bin Haji Baharom Tahun yang pernah berkhidmat sebagai Mufti Negeri Selangor 1985 - 1997 merupakan tokoh agamawan tersohor di Tanah Melayu khususnya. Ketegasan dalam kelembutan pribadi beliau menggentarkan musuh-musuhnya. Pandangan dan nasihatnya yang jarang sekali menyrang mana-mana individu selain tidak pernah menggunakan kata-kata kesat dan kasar menjadikan beliau ulama negara yang disegani dan dihormati oleh semua pihak. Sikap lemah lembutnya amat memukau. Tutur bicaranya yang penuh sopan dan tertib itu acap kali menyentuh hati-hati yang mendengarnya. Tidak hairanlah kenapa majlis beliau yang walaupun tidak berapi itu mampu bertahan dengan jumlah pendengar yang selalu ramai.
Semoga Allah tempatkan beliau bersama para solihin dan pejuang-pejuangnya yang dimudahkan urusan hisab diakhirat kelak.
Pelajar-pelajar Maahad Tarbiah Islamiah Derang (PMTIS) akan menganjurkan solat jenazah ghaib ke atas almarhum Sohibus Samahah pada hari Khamis 31/1/2008 jam 8 malam di rumah pentadbiran PPMS. Semua pelajar Malaysia dijemput hadir !
* Dimaklumkan kepada bayu, Dato Syeikh Azmi bin Hj Ahmad ( Bekas Mufti dan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Pulau Pinang ) sedang tenat. Sama-samalah kita doakan semoga beliau sihat dan ummat masih sempat mengambil manfaat darinya.

sedikit biodata Sohibus Samahah Dato' Ishak Baharom (sumber : Harakahdaily)
Almarhum Dato' Ishak Baharom dilahirkan pada 1 Januari 1928 di Kampung Batu 22, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Ayahnya Haji Baharom bin Jabar, berasal dari Banjarmasin, Sumatra. Manakala ibunya Hajah Fatimah bt Haji Junid berasal dari Melaka. Beliau mempunyai 5 orang adik-beradik. Allahyarham meninggalkan balu, Datin Khalijah Abdullah serta tiga orang anak.
-->
Almarhum mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 - 1941. Semasa pemerintahan Jepun, beliau tidak dapat meneruskan persekolahan selama 2 tahun. Pada tahun 1945, Almarhum menyambung pelajaran di di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India.
Jawatan terakhir Almarhum sebelum dilantik menjadi Mufti Negeri Selangor pada 1985 ialah sebagai Mudir Sekolah Menengah Agama Batu 38, Sabak Bernam. Bagaimanapun pada 1997, ekoran fatwa yang dikeluarkannya yang menegaskan pertandingan ratu cantik adalah haram, beliau telah dipecat daripada jawatan mufti walaupun perkhidmatannya baru sahaja di sambung.
Selepas pemecatan tersebut, Almarhum meneruskan perjuangannya dengan turun ke padang sebagai penceramah dan pendakwah bebas. Almarhum bergiat serius dalam PAS bermula pada 2003 setelah dilantik menjadi Ahli Majlis Syura Ulama' PAS sehingga 2007
Isnin, 25 Jun 2007
Ustaz Fadhil dalam Kenangan...
Beliau merupakan pemimpin yang bayu anggap sebagai idola. Fikrah dan pandangan siasinya (politik) terlalu menakjubkan. Ucapannya penuh dengan ilmu dan sinis melalui uslub mantik yang sangat berkesan. Senda guraunya dalam ucapan terlalu menghiburkan. Isi ceramahnya bisa menggelegakkan darah perjuangan. Kesanggupannya terjun bergelumang bersama keperitan perjuangan sangat mengharukan. Tuanya dan sakitnya tak pernah menghalang beliau turun ke panas remang jalanan menentang kezaliman.
Tarikh 23 jun 2002 itu, Malaysia mencatatkan sejarah tersendiri. Ratusan ribu manusia hadir membanjiri bumi Pokok Sena bagi mengiringi penghantaran jasad Al-marhum kepada Pemiliknya Yang Maha Agung. Dalam kesibukan dan banjir manusia di pokok Sena ketika itu, bayu wujud di celah-celahnya. Bayu dapat menyaksikan betapa cintanya manusia dan pengikut-pengikutnya kepada Almarhum. Kedatangan ribuan manuisa yang tidak bertujuankan apa-apa kepentingan, menyaksikan keikhlasan dan pengorbanan serta jasa yang telah beliau taburkan ketika hidupnya.
Bayu semasa belajar berpidato suatu ketika dahulu pernah dipesan oleh guru, "Berpidatolah mengikut cara Ustaz Fadhil...."
Hadiahkanlah doa dan pahala bacaan ayat2 suci Al-Quran untuk roh manusia agung, Pemimpin Melayu Ulung tersebut...