Selamat Datang

Memaparkan catatan dengan label haraki. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label haraki. Papar semua catatan

Rabu, 13 Mac 2013

Rabiul Akhir : Mengenang Pembunuhan As-Syahid Hassan Al-Banna


PEMBUNUHAN AS-SYAHID AS-SYEIKH HASAN AL-BANNA (PENGASAS JAMAAH IKHWAN MUSLIMIN) 14 RABIUL AKHIR 1368

Beliau bernama Hasan bin Ahmad bin Abdir Rahman Al-Banna, merupakan pengasas, perancang dan juga penggerak dakwah Jamaah Ikhwan Muslimin. Beliau dilahirkan di “Al-Mahmudiah” berhampiran Bandar Iskandariah, Mesir. Lepasan Darul Ulum Kaherah pada tahun 1346 hijrah / 1927 ini sibuk dengan urusan mengajar dan menjadikan sebuah sekolah di Bandar Ismailiah sebagai tempat permulaan usaha penyebaran dakwahnya. Dakwah beliau cemerlang melalui persembahan dan pendekatan dakwah yang sangat memukau. Beliau meletakkan awal batu asas penubuhan jamaah Ikhwanul Muslimin bersama enam orang saudara seislam yang lain pada bulan Syawal  tahun 1346 hijrah bersamaan bulan Mac 1928 masihi.

Kemudian Syeikh berpindah ke Kaherah pada tahun 1351 hijri bersamaan 1932 masihi dan menjadikan Markaz Pusat Ikhwanul Muslimin di Kaherah.

Beliau bergerak merata-rata dan melawat pelbagai kawasan menyampaikan dakwah sehingga ramai orang mula menerima dakwahnya. Beliau juga merupakan Khatib yang hebat yang dapat membangkitkan kesedaran dan menyuluh panduan di dalam khutbahnya. Ucapan beliau yang sentiasa basah dengan Al-quran tersusun baik dan terasa sangat tenang. Dalam usia yang muda, Hassan al-Banna dikagumi kerana penyampaiannya yang jelas dan terang apabila menyampaikan khutbah di masjid. Beliau dapat meyakinkan para pendengar dengan kebenaran yang dibawa, matlamat dan keikhlasannya. Beliau mampu meyakinkan golongan intelektual dan orang biasa.

Berdasarkan kepimpinannya, Hassan al Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad, seterusnya melaksanakan cita cita perjuangan dengan tegas.

Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas Perang Dunia Kedua apabila pertubuhan ini turut bertanding dalam perebutan kuasa politik. Para penentangnya menyifatkan Ikhwan Muslimin sebagai negara di dalam negara. Sehingga tahun 1934, Ikhwan telah menubuhkan lebih 50 cawangannya di Mesir. Pertubuhan ini telah menubuhkan beberapa buah sekolah, masjid dan kilang. Pada penghujung Perang Dunia Kedua, Ikhwan mempunyai lebih setengah juta pekerja yang aktif dan setengah juta penyokong (sesetengah sumber menyebut sekitar 3 juta). Lebih 3000 cawangan kesernuanya telah wujud di Mesir dan 50 di Sudan hasil kerja Ikhwan yang melangkaui batas negara.

Dalam satu jawapan yang diberikan oleh wartawan barat terhadap dirinya yang bertanyakan siapakah dia, Hassan Al Banna menjawab, saya adalah pelancong yang mencari kebenaran, dan insan yang mencari erti kemanusiaan di kalangan manusia, dan warganegara yang inginkan kemuliaan, kebebasan, kestabilan, hidup yang baik untuk negara dan berjuang untuk menaikkan Islam.

Sebelum As-Syahid Syeikh Hasan dibunuh, berlaku konflik antara kerajaan Mesir dengan Ikhwanul Muslimin ketika itu yang telah menyebabkan 2 bandar besar Kaherah dan Iskandariah tidak dapat dikuasai oleh kerajaan lagi. Maka Perdana Menteri Mesir ketika itu Mahmud Fahmi An- Noqrashi Pasha dari Parti al-Safdi membuat keptusan menutup kumpulan Ikhwanul Muslimin dan mengharamkannya. Kesemua cawangannya yang berjumlah lebih 3000 diarahkan supaya dibubarkan. Sekiranya masih beroperasi, mereka akan dikira sebagai pertubuhan haram, pelampau dan pengganas. Unit-unit tentera Mesir dan tentera Ikhwan Muslimin yang berjuang di Palestine dipanggil balik. Berbagai-bagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap Ikhwan Muslimin. Pemburuan kepada anggota Ikhwanul muslimin berlaku secara besar-besaran sehingga ramai dari pimpinan Ikhwan dan ahlinya tertangkap dan terbunuh

Tidak lama kemudian Perdana Menteri Mesir telah dibunuh di hadapan pengawal dan tenteranya sendiri dan Gerakan Ikhwan telah dipersalahkan atas kejadian itu. Pada bulan yang berikutnya harta benda dan aset Ikhwanul Muslimin telah dirampas dan beribu ribu penyokong beliau telah disumbatkan ke dalam penjara.

Dengan alasan untuk mengendurkan ketegangan antara Ikhwan Muslimin dan kerajaan, pihak kerajaan menjemput Hassan al-Banna untuk berunding di Pejabat Jam'iyyah al-Syubban al Muslimin. Sebenarnya jernputan itu hanyalah sebagai helah untuk membunuh beliau.

Setelah Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan tidak kunjung tiba, syeikh keluar dari Bangunan tersebut untuk pulang. Beliau ditembak sejurus keluar dari bangunan tersebut. Selepas  ditembak, beliau bangun meminta bantuan ambulans. Setibanya di hospital Qasral 'Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Syeikh Hasan al Banna. Pada pukul 12.50 tengah malam, Hasan al-Banna menghembuskan nafas yang terakhir akibat tumpahan darah yang banyak. Peristiwa hitam ini berlaku pada 14 Rabiul Akhir 1368 bersamaan 12 Februari 1949.

Selasa, 31 Januari 2012

HIKMAH DALAM BERDAKWAH

Oleh:
Mohd Rumaizuddin Ghazali

PDFPrintE-mail
Sering kali kita mendengar orang mengatakan hendaklah berdakwah dengan cara berhikmah. Mereka berdalilkan firman Allah yang bermaksud : “ Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Nahl, ayat 125).

Ayat ini mengandungi petunjuk bagi para rasul dan pendakwah bagaimana cara menyampaikan dakwah kepada manusia yang bermacam-macam jenis itu. Para pendakwah akan menghadapi pelbagai golongan manusia yang berbeza dari segi latar belakang, ilmu dan perangai.

Kepelbagaian jenis ini harus dihadapi dengan cara yang sesuai dengan tahap kecerdasan, sepadan dengan iklim budaya fikirnya dan tabiat masing-masing. Ini merupakan dasar-dasar dakwah yang telah digariskan oleh ajaran Islam iaitu mengajak manusia meniti jalan kebenaran yang diperintahkan oleh Allah dengan jalan dakwah terbaik yang sesuai dengan kondisi manusia. Ajaklah kaum cendekiawan yang memiliki pengetahuan tinggi untuk berdialog dengan kata-kata bijak sesuai dengan tingkat kepandaian mereka. Terhadap orang awam, ajaklah mereka dengan memberi nasihat dan perumpamaan yang sesuai dengan taraf mereka sehingga mereka sampai kepada kebenaran.

Debatlah dengan ahli kitab yang menganut agama-agama terdahulu dengan logika dan retorika yang halus, melalui pendekatan yang baik, lepas dari kekerasan agar mereka merasai puas dan menerima dengan lapang dada. Itulah metode berdakwah yang benar kepada agama Allah sesuai dengan kecenderungan setiap manusia.

Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dari ayat di atas bahawa seorang pendakwah akan menghadapi tiga jenis manusia iaitu golongan cendekiawan yang dapat berfikir secara kritis dan mendalam, cepat dapat menangkap sesuatu persoalan. Mereka ini harus didakwah dengan berhikmah, iaitu dengan alasan, dalil dan hujah yang dapat diterima oleh kekuatan akal mereka. Kedua adalah golongan orang awam yang kebanyakkannya belum dapat berfikir secara kritis, belum dapat menangkap pengertian yang tinggi-tinggi. Mereka hendaklah didakwah dengan nasihat dan pengajaran yang baik iaitu melalui pendidikan yang baik dan mudah difahami. Ketiga adalah golongan yang tingkat kecerdasannya diantara yang tersebut diatas. Mereka ini hendaklah didakwah dengan bertukar-tukar pandangan dan fikiran yang boleh mendorong untuk berfikir secara sihat dalam mencari kebenaran. Oleh itu, dakwah yang berkesan adalah mengikut kondisi orang yang didakwahnya.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “ Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing” (riwayat Muslim)

Walaupun begitu Mohd. Natsir dalam bukunya Fiqhud-dakwah menyebutkan bahawa hikmah itu lebih dari semata-mata ilmu. Ia adalah ilmu yang sihat, yang sudah dicernakan; ilmu yang padu dengan rasa-periksa, sehingga menjadi daya penggerak melakukan sesuatu yang bermanfaat lagi berguna. Kalau dibawa kepada bidang dakwah ia bermaksud melakukan sesuatu tindakan yang berguna dan efektif. Inilah yang lebih benar kepada memahamkan maksud hikmah dalam erti kata yang lebih luas daripada membatasi erti hikmah kepada alat atau cara menyampaikan dakwah kepada golongan cendekiawan.

Oleh itu, hikmah dalam bidang dakwah diperlukan dalam semua golongan, baik golongan cendekiawan, orang awam atau golongan yang suka bersoal jawab dan berdebat. Perkara ini membawa erti bahawa hikmah itu meliputi cara atau taktik berdakwah yang diperlukan dalam menghadapi golongan tersebut. Dalam bahasa Melayu hikmah membawa erti kepandaian dan kebijaksanaan.

Di dalam al-Quran hikmah disifatkan sebagai anugerah Allah yang paling berharga kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud :

“Dia (Allah) mengurniakan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan barang siapa diberi hikmah, maka sesungguhnya dia telah memperoleh kebaikan yang amat besar. ” (al-Baqarah, ayat 269)

Menurut al-Quran lagi semua nabi telah diajar hikmah oleh Allah. Keistimewaan hikmah yang dimiliki oleh para nabi inilah yang menyebabkan mereka yang paling istimewa dan yang paling berilmu. Hadis nabi juga menyebutkan bahawa hikmah merupakan barang mukmin yang hilang. Ertinya manusia yang betul-betul layak untuik memiliki hikmah adalah dari kalangan orang yang beriman. Nabi juga menasihatkan orang mukmin supaya mengambil hikmah di mana-mana sahaja hikmah itu ditemui kerana hikmah itu adalah barang mukmin yang hilang.

Dalam konteks dakwah, Allah telah menjelaskan hikmah dalam beberapa makna mengikut kondisi keadaan yang berlaku. Antaranya hikmah dalam erti kemampuan memilih saat bila harus berbicara dan bila harus diam. Para pendakwah seharus mengetahui saat ia harus berbicara dalam menyampaikan dakwah supaya dakwahnya mudah diterima. Hikmah dalam erti memilih dan menyusun kata-kata. Seorang pendakwah perlu menggunakan bahasa yang baik, tepat dan padat. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan berkatakanlah dengan kata-kata yang tepat.” (al-Ahzab, ayat 70)

Para ulamak menyebutkan qaulan sadida dengan kata –kata yang lurus, kata yang benar dan kata yang tepat iaitu berbicara dengan penuh kejujuran kerana di situlah terletak unsur segala kebahagiaan dan pangkal dari segala kesempurnaan kerana yang demikian itu berasal dari kemurniaan hati.

Islam menyarankan supaya pendakwah berhikmah dalam cara perpisahan supaya perpisahan itu benar-benar memberi kesan dalam hatinya atau menjauhi mereka dengan cara terbaik. Dalam hal demikian, Allah berfirman yang bermaksud :

“ dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.” (al-Muzammil, ayat 10)

Ayat ini menjelaskan bahawa pendakwah tidak perlu bersusah hati dan sesak nafas dengan tingkah laku yang bengis dan ucapan-ucapan mereka yang kasar. Berpisahlah dengan mereka dengan tingkah laku yang memperlihatkan budi pekerti yang tinggi dan akhlak yang mulia. Apabila berlakunya sesuatu perdebatan dan diskusi hendaklah berakhir dengan cara terbaik supaya hubungan dakwah tetap terjalin jangan ditutup salurannya untuk menyambung pada suatu saat yang lebih sesuai. Firman Allah yang bermaksud :

“ Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka dan berikanlah mereka pelajaran dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berkesan kepada jiwa mereka.” (al-Nisa’ , ayat 63)

Allah telah merakamkan kisah nabi Musa berdialog dengan kaumnya yang menyembah Firaun. Firman Allah yang bermaksud :

“ Wahai kaumku, bagaimanakah kamu, aku menyeru kamu kepada keselamatan tetapi kamu menyeru aku ke neraka. Kamu menyeru aku supaya kafir kepada Allah dan mempersekutukanNya dengan apa yang tidak aku ketahui padahal aku menyeru kamu beriman kepada Yang Maha Perkasa lagi Maha pengampun. Sudah pasti bahawa apa yang kamu seru supaya aku beriman kepadanya tidak dapat memperkenankan seruan apa-apapun baik di dunia maupun di akhirat. Dan sesungguhnya kita kembali kepada Allah dan sesungguhnya orang-orang yang melampaui batas, mereka itulah penghuni neraka. Kelak kamu akan ingat kepada apa yang kukatakan kepada kamu. Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya.”
(al-Mukmin, ayat 41-44)

Ini merupakan dialog antara nabi Musa yang menyeru ke arah kebaikan dan keselamatan sementara kaum Firaun menyeru ke arah syirik kepada Allah. Akhirnya nabi Musa mengingatkan mereka bahawa pasti mereka akan mengetahui kebenaran apa yang ia perkatakan dan berlakunya perpisahan dengan kaumnya dengan cara terbaik. Ini juga termasuk dalam berhikmah dalam berdakwah. Hikmah dalam berdakwah juga bermaksud dakwah harus mengikut keutamaan dari segi kerja-kerja yang akan dilakukan.Perlu memfokuskan kepada sesuatu isu dan aktiviti yang dapat memberi sumbangan kepada umat Islam sehingga dakwah dapat tampil di tengah masyarakat dengan kehadiran yang dinanti-nantikan. Misalnya keutamaan mendidik umat adalah satu keutamaan kepada gerakan dakwah.

Keutamaan lainnya adalah melihat isu semasa dan mencari jalan keluar yang dapat mengembangkan pengaruh di tengah masyarakat misalnya kerja dakwah dalam mengatasi kemiskinan, hak-hak asasi manusia dan agenda penyatuan ummah. Hikmah dalam berdakwah juga bererti dakwah harus sesuai dengan realiti setempat. Dakwah mesti membumi di tempat mana ia berpijak, bukan melangit sehingga tidak dapat diamalkan di dalam kehidupan manusia.

kredit untuk mindamadani

Khamis, 28 Julai 2011

Almarhum Syeikh Niamat Yusof - nota rindu dakapan tarbiahnya..


MENATAP PERIBADI PENGASAS MAAHAD
ALMARHUM SYEIKH NIAMAT YUSOFF
DERANG YANG PERMAI



Sebuah kampung yang bernama Derang tidak mugkin terkenal tanpa dikaitkan dengan seorang tokoh agama bernama Al-Fadhil Syeikh Niamat Bin Yusoff. Pertalian bukan kerana tempat kelahiran, tetapi disebabkan teras sebuah pusat pendidikan Islam yang pertama mewujudkan pengajian dari peringkat rendah ke peringkat tinggi berasrama penuh dibawah pimpinan beliau. Di sebalik keupayaan menerokai sekolah yang bernama Maahad Tarbiyah Islamiah ini, terungkap sejarah pengalaman dan keilmuan yang mendasari keperibadian dirinya. Beliau dilahirkan pada tanggal 22 Februari 1940 di Kepala Batas, Pulau Pinang, Sebuah daerah yang ketika itu terkenal dengan sekolah-sekolah yang masyhur di Nusantara.

Inilah kelahiran anak kedua dari empat orang anak hasil perkongsian hidup Tuan Guru Syeikh Yusof Bin Said dengan Che’ Tah Binti Abdul Hamid seorang tokoh yang disegani kerana pengalaman dan keterlibatan dalam masyarakat dalam membantu menerajui pusat pendidikan pondok di beberapa daerah dalam negeri Kedah ketika itu. Manakala anak menantu semuanya mewarisi usaha beliau di bidang kerjaya yang sama.

Kehidupan Tuan Guru Syeikh Yusof Bin Said amat sederhana. Ketika inilah Syeikh Niamat menerima pengalaman dari ayahnya yang sering berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Perpindahan yang pertama ialah dari Kepala Batas Seberang Perai ke Padang Sera Kedah, dimana beliau (Tuan Guru Syeikh Yusoff) telah mengasaskan sekolah agama An-Nahdhah Al-Hasanah Melele bersama seorang sahabat dari Indonesia bernama Ustaz Ali Bustamam. Kemudian beliau berpindah ke Kubur Panjang untuk menggantikan Tuan Guru Haji Husin Misri sebagai mudir di Pondok Madrasah At-Tarbiyah Al-Auladiyah. Akhirnya pada tahun 1952 beliau berpindah ke Alor Setar untuk mengembangkan ilmu pengetahuannya kepada masyarakat umum menerusi masjid-masjid, surau-surau dan parsatuan-persatuan. Suasana kehidupan yang sederhana dan perpindahan yang berlaku sewaktu inilah telah banyak membantu Syeikh Niamat dalam memahami aspek-aspek kemasyarakatan dan tanggungjawab diri.

Disamping pengalaman dan pendidikan informal yang diperolehi dari ayahnya, beliau juga mendapatkan pendidikan formal dari beberapa buah sekolah. Pertama, beliau dihantar belajar di sekolah Melayu pada tahun 1947 sehingga 1948 sehingga darjah dua, kemudian menuntut di Madrasah At-Tarbiyah Al-Auladiyah, Kubur Panjang sehingga darjah tiga pada tahun 1952. Beliau kemudian mendapat kesempatan melanjutkan pelajaran di Maktab Mahmud Alor Setar dan lulus Syahadah Nihaiyah(menengah) di Sekolah tersebut pada tahun 1960.

Laluan pengajian diselarikan dengan latihan mengajar yang dipertanggungjawabkan oleh ayah beliau. Walaupun dalam usianya yang terlalu muda, beliau telah menimba pengalaman menjadi guru Al-Quran dan tajwid di rumah-rumah dan di surau-surau sejak tahun 1954 sehingga 1960 ketika usia baru menjangkau umur 14 tahun. Kemudian beliau telah berkesempatan mengajar bahasa arab di beberapa buah sekolah agama rakyat di negeri Kedah pada tahun 1960 sehingga 1964. Sebelum berangkat ke Mesir, beliau juga telah sempat menjadi guru agama dan guru bahasa kebangsaan di sebuah sekolah swasta Darul Aman English School, Alor Setar dan di kelas khas Maktab Mahmud.

PENULISAN

Disamping itu, beliau juga memiliki minat yang mendalam di bidang penulisan, sejak usianya 17 tahun lagi tulisan-tulisan beliau telah termuat di dalam pelbagai majalah dan akhbar yang ringan. Mulai tahun 1958 tulisan-tulisan beliau telah mula tersiar dalam majalah Mastika yang dianggap paling popular ketika itu. Dari tahun 1957 hingga 1960 sahaja, beliau telah menghasilkan 50 buah sajak, 5 buah cerpen dan 2 buah cerpen terjemahan, beberapa artikel tentang sejarah dan 2 buah drama. Di saat-saat inilah beliau terlibat dengan Badan Seni Seri Budaya Kedah sebagai Ahli Jawatankuasa pada tahun 1963/1964. Selepas tahun 1964 beliau lebih berkecenderungan menulis artikel-artikel yang menyentuh persoalan agama, falsafah, sejarah dan pendidikan. Manakala selepas tahun 1974 ketika arus kebangkitan Islam melanda, tulisan yang dihasilkan beliau lebih bercorak dakwah dan tarbiyah sehinggalah ke saaat terakhir kehidupan beliau.

PERKAHWINAN & KELUARGA

Beliau mendirikan rumahtangga pada tahun 1961 dengan Puan Khadijah Binti Othman dan dikurniakan 14 orang anak (8 orang lelaki dan 6 orang perempuan) dan Puan Engku Faizah Engku Mohsin pada November 1990 dan dikurniakan seorang anak lelaki. Sebelas orang daripada anak-anak beliau telah berumahtangga sementara 4 orang masih bersekolah.

MELANJUTKAN PELAJARAN

Pada tahun 1964 beliau telah berangkat melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar di Mesir dengan dokongan dan sokongan masyarakat. Kemiskinan yang melatari kehidupan beliau dan keluarganya adalah satu-satunya sebab yang mendorong beliau terpaksa merayu belas kepada masyarakat. Dengan bekalan yang sangat terbatas beliau telah berangkat ke Mesir dengan menaiki sebuah kapal laut dari Singapura dengan meninggalkan seorang isteri dan seorang putera yang masih kecil bernama Muhammad Naim yang pada masa itu baru berusia 10 bulan.

Dugaan kedua mengiringi beliau apabila sampai ke Singapura, perjalanan beliau tergendala oleh peristiwa peperangan kaum yang sedang berlaku di sana pada waktu itu. Akhirnya, setelah dua hari terkepung di rumah sahabatnya, En. Rahman Bee, perjalanan beliau dapat diteruskan sehingga pada tanggal 16 Oktober 1964 beliau tiba dengan selamat di Kaherah. Beliau mendaftarkan diri dalam pengajian di bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar.

Untuk membiayai keperluan pengajian, beliau juga terpaksa bekerja sambilan sebagai pengedar buku-buku dan kitab-kitab agama ke tanah air. Beliau adalah seangkatan dengan Dato’ Syeikh Yusof Haji Ismail, bekas Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah, dan almarhum Al-Fadhil Ustaz Fadhil Muhammad Noor, mantan Presiden PAS. Semasa di Kaherah, beliau turut terlibat di dalam mengendalikan Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu ( PMRAB ) sebagai anggota badan pengurus. Antara tahun 1967 hingga 1968 hakikat pahit getir dan laluan yang serba tercabar akhirnya membawa natijah yang amat bermakna. Tepat pada tanggal 18 Oktober 1968 beliau telah kembali ke tanah air dengan segulung ijazah di bidang usuluddin dari Universiti Al-Azhar.

KETERLIBATAN DENGAN MASYARAKAT

Setelah kembali ke tanah air nama beliau mula terserlah di mata masyarakat kerana penglibatan beliau dalam kerjaya pendidikan Islam disamping keterlibatan beliau dalam wadah-wadah Islam dan gerakan sosial. Beliau mula terlibat sebagai Penolong Setiausaha Persatuan Mahasiswa Timur Tengah Bahagian Negeri Kedah pada tahun 1970. Dalam masa yang sama, beliau juga terlibat dalam Persatuan Kebajikan Islam (PERKIM) Bahagian Negeri Kedah sebagai Ketua Biro Pendidikan.

Beliau juga adalah diantara peribadi yang bertanggungjawab mengasaskan Angkatan Belia Islam (ABIM) cawangan Negeri Kedah pada tahun 1972. Penubuhan cawangan ini merupakan diantara yang pertama ditubuhkan setelah diasaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan sahabat-sahabatnya di Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Beliau menjawat jawatan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Kedah yang pertama setelah diasaskan. Di peringkat ABIM pusat, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Syuro yang merupakan induk kepada pertubuhan tersebut. Namun, atas alasan mahu menumpukan perhatian terhadap proses penubuhan sebuah sekolah agama, maka beliau telah mengundurkan diri sebagai Yang Di-Pertua ABIM Kedah pada tahun 1978. Walaupun begitu, disebabkan kepimpinan beliau masih lagi diperlukan, maka jawatannya dalam Exco ABIM negeri Kedah masih lagi dikekalkan sebagai Naib Yang Di-Pertua sehinggalah menjelang tahun 1989. Inilah wadah yang dipilih olehnya untuk berperanan di dalam masyarakat dalam bidang dakwah dan tarbiyah.

Pada awal tahun 70-an ini juga beliau terlibat secara aktif dalam Persatuan Ulama’ Kedah. Satu persatuan yang menjadi tunggak aspirasi seluruh ulama’ Negeri Kedah sejak ia ditubuhkan pada tahun 1948. beliau menjawat jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa dari tahun 1971 hingga 1987. kemudian dipilih sebagai Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Ulama’ Kedah sejak dari tahun 1987 hingga ke akhir hayat beliau.

Pada akhir 90an beliau mula melibatkan diri secara serius dengan parti politik iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan menjawat jawatan sebagai Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Kedah serta Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan Pokok Sena.

Beliau serta beberapa orang rakan telah mengasaskan Nadwah Persuratan Islam Malaysia (NAFIS) satu wadah dalam mengumpul serta membangunkan penulisan-penulisan bercorak Islam.

Penglibatan beliau di arena pertubuhan Islam memberi peluang untuknya bukan sahaja melawat ke seluruh pelusuk tanah air, malah ke beberapa buah negara luar. Diantara lawatan rasmi beliau ialah ke Amerika Syarikat pada tahun 1983, Arab Saudi pada tahun 1983, Indonesia pada tahun 1985, Kuwait dan Mesir pada tahun 1988, Pakistan dan India pada tahun 1987, ke United Kingdom pada tahun 1989 dan 1990, ke Sudan yang dilawatinya pada bulan September 1990, dan beberapa buah negara Timur Tengah serta di Eropah pada awal hingga akhir 90 an, yang mana melalui lawatan inilah beliau banyak menimba pengalaman untuk melanjutkan usaha ke arah melangsungkan pendidikan yang beliau pelopori itu.

KERJAYA

Di bidang pendidikan beliau telah diterima menjadi guru penolong di Maktab Mahmud, Alor Setar sejak dari tahun 1969. Pada tahun 1972 hingga tahun 1978 pula, beliau telah dipilih menjadi Pensyarah dalam Darjah Latihan Perguruan Guru-guru Agama Kedah. Tahun 1981 merupakan tahun yang merubah suasana kehidupannya dalam kerjayanya. Pada tanggal 5 Jun 1982 dengan rasminya meletakkan jawatan sebagai guru di Maktab Mahmud setelah berkhidmat selama 12 tahun. Perletakan jawatan yang didorong atas kesedaran tentang keperluan menubuhkan sebuah sekolah agama yang mendokong aspek keilmuan Islam tradisional yang mampu berinteraksi dengan suasana semasa sebagai teras pendidikan generasi akan datang.

MAAHAD TARBIAH ISLAMIYAH

Lantas kerana itu pada awal tahun 1980 tertubuhnya Maahad Tarbiyah Islamiah di bawah pimpinan dan ilham dari beliau. Penerokaan ini merupakan yang pertama di Malaysia memandangkan pengajian bermula dari peringkat rendah berasrama penuh. Berbanding dengan skolah-sekolah agama yang lain, pengajian hanya dimulakan di peringkat menengah rendah.

Penerokaan ini oleh beliau adalah satu perkara yang di luar dugaan. Ketika mana keputusan ini dibuat, beliau sedang berkhidmat di bawah payung Maktab Mahmud dengan skim gaji terakhir RM 2000 sebulan, tetapi dengan kekuatan yang ada pada dirinya, langkah ke hutan belantara bernama Derang, atas nama tanggungjawab survival pendidikan bangsa, dengan penuh keyakinan yang lebih kuat dari segala halangan yang merintanginya. Antara halangan-halangan tersebut adalah saraan hidup yang belum menentu, suara-suara dari rakan gaulan yang tidak pernah merasa yakin dengan perjuangannya tanpa modal dan wang ringgit serta suasana sekitar yang belum lagi dapat menerima perjuangan di desa belantara.

Di sinilah Ustaz Niamat mula menyelami dan menghayati segala pengalaman yang pernah diperolehinya ketika bersama ayahanda beliau sebelum ini. Kewibawaan yang bukan hanya pada kata-kata tetapi sikap dan pendekatan yang membina. Pembinaan Maahad adalah satu lagenda kerana sekian dekad penerokaan hutan belantara menjadi kampung dan bandar tidak berlaku satu waktu. Syeikh Niamat adalah seorang peribadi yang mengembalikan tradisi keilmuan Islam yang bermula di hutan belantara sehingga terbentuknya kampung dan bandar yang diteroka melalui peranan ulama’.

Setelah Maahad ditubuhkan, bermulalah peringkat kehadiran tenaga-tenaga penggerak secara sukarela. Diperingkat ini beliau dengan kewibawaannya memikul tugas menyatukan tenaga-tenaga petugas yang hadir dari pelbagai latarbelakang hidup dan bidang pendidikan kearah satu kesatuan dalam menjayakan cita-cita pendidikan Islam. Petugas-petugas ini terdiri dari pelbagai latarbelakang samada dari bidang agama, teknokrat, profesional dan sebagainya. Di sinilah bermulanya cogan kata Maahad “Gandingan diantara keilmuan Islam yang mantap dan teknologi moden yang bermanfaat” sebagai halatuju kepada pembentukan Maahad.
Langkah demi langkah Maahad bersama Syeikh Niamat dan pendokong yang di bawah pimpinan beliau telah dapat merealisasikan sebuah sekolah yang pertama di Malaysia menyediakan pendidikan Islam peringkat rendah aliran arab secara berasrama penuh.

Kemampuan ini lebih unik apabila tarikan petugas pendokong baru maahad bukan didasarkan kepada janji-janji “gaji lumayan” malah tenaga Maahad terpaksa menempuh kesusahan bersama beliau serta pengorbanan ketika mana masyarakat belum memahami hakikat bahawa perlaksanaan pusat pendidikan Islam adalah tanggungjawab seluruh umat Islam, samada tanggungjawab berbentuk moral atau material.

Oleh kerana itu, walaupun beliau pada awalnya tidak memiliki modal yang besar, tanpa tenaga guru yang sanggup menyertainya, tanpa memiliki tanah dan kawasan untuk dibangunkan serta peralatan mengajar yang lengkap secara kasarnya tidak mungkin dapat difikirkan pengwujudan sebuah sekolah agama persendirian tanpa bantuan dari kerajaan. Namun inilah hakikat yang memulakan penubuhan Maahad di bawah teraju beliau. Segala kepeluan tersebut menyusul di belakangnya. Tidak hairanlah kebaktian di bidang pendidikan telah mendapat perhatian dari pihak Kerajaan Negeri Kedah sehingga beliau diberi penghormatan menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Darulaman pada tahun 1989.

KEMBALINYA SEBUTIR MUTIARA

Beliau kembali kerahmatullah tepat jam 10.20 pagi hari rabu tanggal 13 Rejab 1424 bersamaan 10 September 2003 di Hospital Alor Setar disisi kedua-dua isteri serta anak-anak beliau. Pada waktu-waktu akhir beliau dijemput Allah, beliau sedang mengusahakan ke arah memajukan lagi Maahad ini dengan pembentukan Perancangan Fasa Kedua Pembangunan Maahad serta beberapa buah puisi yang amat menyusuk kalbu.


p/s: catatan ini meluahkan rasa rindu kpd sang Murabbi yg telah memberi kami dakap tarbiahnya..

sila layari :
http://maahadderang.com/
http://www.facebook.com/home.php#!/MaahadTarbiahIslamiahDerang

Isnin, 18 April 2011

10 Sifat Gersang!!!

Diriwayatkan daripada Imam As-Thauri, seperti disebut oleh Imam As-Samarqandi di dalam kitabnya Tanbihul Ghofilin, bahawa Imam As-Thauri pernah berwasiat;

10 perkara dari sifat orang yang gersang (bakhil dan rugi);

1. Seseorang yang berdoa untuk dirinya, sedangkan tidak berdoa juga untuk orang tuanya dan sekelian mukminin.

2. Seseorang yang membaca quran, sedangkan dia tidak mampu membaca 100 ayat setiap hari.

3. Seseorang yang masuk ke masjid dan keluar, tetapi tidak pula solat dua rokaat.

4. Seseorang yang melintasi perkuburan, namun tidak memberi salam kepada ahli kubur dan tidak juga berdoa untuk mereka.

5. Seseorang yang memasuki sesuatu pekan pada hari jumaat, kemudian dia keluar tetapi tidak solaat jumaat.

6. Seseorang yang datang tinggal di temptanya oleh seorang yang alim, tetapi dia tidak pergi bertemu dengan si alim itu untuk belajar sesuatu ilmu darinya.

7. Dua orang yang saling berteman, tetapi tidak pernah bertanya nama temannya itu.

8. seseorang yang diundang menjadi tetamu, tetapi tidak pula dia memenuhi undangan tersebut.

9. Pemuda yang mensia-siakan masa mudanya tanpa belajar ilmu dan adab.

10. Seseorang yang kekenyangan sedangkan jirannya dalam kelaparan, dan tidak pula dia memberikan sedikit pun makanannya buat jirannya itu.


p/s : 10 wasiat ini sekurang-kurang perlu menjadi sandaran peribadi daie. Setiap petugas dakwah harus mencorak dunia dengan lisanul hal. Inilah cerminan cara hidup yang prihatin.

Ahad, 17 April 2011

Pesan Umar ra buat pejuang!

Umar ibn Al-Khattab ra di dalam suratnya kepada Saad bin Abi Waqqas dalam peristiwa pembukaan qodisiah, Beliau berwasiat

"Sekiranya kita tidak tewaskan mereka dengan ketaatan kita, nescaya kita tidak akan mampu kalahkan mereka dengan kekuatan kita"


Wadiah al-Ansari pernah berkata, beliau pernah mendengar Umar menasihati seseorang dengan katanya;

" Janganlah berbicara apa yang tidak memberi makna kepadamu, Kenalilah musuhmu, berhati-hatilah dengan kawanmu kecuali seorang yang amanah, dan tidaklah dia itu amanah kecuali dia orang yang takut kepada Allah, janganlah kamu berjalan dengan orang jahat nanti dia akan ajar kamu tentang kejahatannya, janganlah kamu membongkar rahsiamu, dan jangan pula kamu berbincang tentang urusanmu kecuali dengan orang yang takut kepada Allah sahaja"

Sumber :
Sifatus Sofwah dan Tafsir Dr Wahbah Az-Zuhaili

Khamis, 18 Februari 2010

Pendisiplinan Semula Jemaah-Jemaah Islam

Hakikat keadaan yang berlaku sekarang, tiada siapa pun dapat menafikan bahawa imprealisme barat masih kuat mendominasi dunia islam keseluruhannya walaupun dunia islam sudah diisytihar merdeka secara amnya. Secara keseluruhan, Umat islam seantero dunia bagai terasing dari penghayatan islam dalam dunia Islam sendiri. Dalam waktu yang sama pula negara-negara minoriti umat islam semakin hebat mendiskriminasi dan mencengkam ummat Islam. Namun, sekurang-kurangnya, kita masih boleh mengakui keadaan islam di Malaysia masih boleh dianggap baik jika dibandingkan negara-negara Islam yang lain. Namun apa yang amat dibimbangi, keadaan tersebut semakin tercabar. Symptom2 pencabulan kehormatan ummat mula menggejala dalam banyak ruang di negara kita.

Dalam kegawatan umat yang hebat berlaku, aktivis sering pula pantas memberi alasan ketidakupayaan memperbaiki keadaan. Tidak cukup petugas sepenuh masa, tidak mempunyai sumber dan kemudahan yang sempurna dan anggota-anggota organisasi yang hanya bekerja secara sukarela adalah alasan yang kerap didengari. Namun begitu dalam masa yang sama, mereka jugalah yang bercakap soal iltizam, komitmen dan pengorbanan. Mereka jugalah yang terus menyatakan gerakan Islam perlu ditingkatkan kecekapan dan keberkesanannya.

Secara hakikatnya, organisasi Islamlah yang masih ketara menunjukkan ketidakcekapan dan kelembapan dalam bertindak. Sementara dunia bergerak pantas, isu kemanusiaan semakin kompleks dan rumit, gerakan Islam masih ketinggalan dalam menampilkan pengurusan yang amat asasi untuk mengenengahkan kewibawaannya sebagai badan yang boleh membawa impak melalui penyataan mahupun tindakan.

Demikian beberapa keadaan Ummat dan organisasi Islam yang sangat ketara dan menampakkan kelonggaran untuk mencapai natijah yang sama-sama kita impikan. Zaman berganti zaman, generasi berganti generasi dengan melihat bilangan gerakan Islam yang semakin bertambah banyak dengan pelbagai nama, namun kita tidak melihat keadaan ummat semakin bertambah baik. Apakah puncanya? Apa yang boleh kita simpulkan ialah, kemungkinan kegaga;lan ini ialah ketidakberkesanan uslub yang diguna, kegagalan pendekatan, kelemahan pengurusan serta ketandusan bekerja dan bertindak dalam proses dakwah. Berdasarkan hal tersebut, setiap organisasi Islam harus menyusun semula organisasi dengan baik bermula dari dalam dengan pengurusan yang baik lalu berusaha membawa kepada penerimaan masyarakat terhadap organisasi-organisasi Islam sebagai penyelamat dalam setiap keadaan dan isu.

Oleh itu beberapa faktor organisasi Islam harus diperkemaskan dan disusun semula untuk menapak dengan lebih berjaya dalam urusan dakwah mereka. Beberapa disiplin harus diberi penekanan. Antaranya ialah;

1. Disiplin Pengurusan Keahlian :

1) Tarbiah dan usrah :
Wujud suatu keadaan di mana anggota-anggota tidak mempunyai kefahaman yang jelas mengenai tanggungjawab dan amanah yang terbeban ke atas mereka apabila mereka bersetuju untuk bersama dalam organisasi. Oleh itu, melalui proses tarbiyah ahli yang kemas dengan membudayakan system usrah di semua peringkat, mampu menanam beberapa etika dan kefahaman terhadap tanggungjawab dan keperluan mereka menyertai jamaah. Selain itu, melaui tarbiyah juga, sifat wala’ kepada pimpinan, mahabbah dan ukhuwwah sesama ahli harus diberi penekanan penting dalam merapatkan dan mengukuhkan saf dalam jamaah.

2) Disiplin pengumpulan yuran keahlian :
Seringkali disiplin ahli di dalam organisasi Islam tidak dapat dikawal dengan rapi dalam hal ini. Di satu pihak pengurusan dalam gerakan Islam tidak punya sistem yang berkesan, di satu pihak yang lain pula anggota-anggota kerap tidak mengambil tanggungjawab untuk membayar yuran sebagaimana yang diwajibkan. Ini berpunca dari disiplin pengurusan dan disiplin keanggotaan yang mengamalkan sikap tidak bersungguh dan acuh tak acuh dalam berorganisasi. Sebenarnya, pengumpulan yuran ini amat penting untuk menyatakan kesungguhan, disiplin, keikhlasan, kesanggupan serta pengorbanan kepada organisasi.

3) Disiplin dan sistem saluran maklumat ke peringkat akar umbi dalam organisasi :
Di dalam organisasi-organisasi Islam, seringkali didapati anggota-anggota terputus hubungan dari maklumat dan perkembangan semasa sehingga ramai pula yang ‘menganggur’ ketika berada dalam organisasi. Ekoran dari itu anggota yang sebegitu ramai bukan lagi menjadi asset tetapi menjadi liabiliti kepada organisasi. Ketidakseragaman fahaman dan perspektif dalam menanggapi sesuatu isu kerana tidak dilengkapkan dengan maklumat yang kemaskini menyebabkan anggota-anggota terus bersimpang siur dalam berfikir dan bertindak. Pendisiplinan sistem saluran maklumat kepada ahli ini harus diperkemaskan agar setiap ahli berjaya membawa imej yang kemas mewakili organisasi tersebut, lalu setiap gerakan yang besar dengan bilangan ahli yang ramai tidak lagi menjadi beban dengan calitan-calitan tohmah, sebaliknya menjadi duta kepada gerakan untuk membawa misi yang digagaskan oleh gerakan tersebut. Justeru, disiplin mengedar dan mengemaskinikan maklumat untuk diguna oleh anggota menjadi suatu usaha pengukuhan yang amat penting kepada sesebuah organisasi gerakan Islam. Tatkala berlaku kelonggaran dalam disiplin ini, organisasi tersebut akan terungkai ikatannya untuk menjalinkan hubungan antara pengurusan, kepimpinan dan anggota-anggotanya. Akibat seterusnya gerakan Islam itu sendiri tidak dapat mewakili apa-apa makna dari kewujudannya.

4) Disiplin pembangunan diri oleh anggota:
Dalam disiplin pengurusan keahlian juga, Organisasi islam harus memberi penekankan penting dan menanam disiplin pembangunan diri kepada setiap anggota organisasinya. Disiplin pembangunan diri ini merangkumi beberapa aspek penting iaitu, membina ruh Islam, membina thaqafah, menambah ilmu pengetahuan, menguasai isu semasa, menambah pengalaman bekerja dalam organisasi, meningkatkan komitmen dan dedikasi. Program pembangunan diri ini merupakan suatu usaha penting dalam membentuk jamaah yang lebih kuat dengan keupayaan memanfaatkan semua ahlinya dalam penyertaan gerakkerja.

2. Disiplin pengurusan struktur :

Di satu sudut lagi, disiplin yang memerlukan pengukuhan ialah pengurusan semua cawangan dan sumber anggota-anggota di setiap cawangan. Kelaziman yang diperhatikan ialah wujud suatu keadaan di mana struktur ahli-ahli di peringkat akar umbi tidak ditadbir dengan berkesan. Disiplin mengutamakan lapisan anggota diperingkat bawah sering terabai sehingga mengakibatkan wujud lompong yang menjurangi antara struktur teratas dengan struktur di bawah.

Pendisiplinan perjalanan jentera organisasi Islam di semua peringkat memerlukan kesungguhan yang amat tinggi. turun kelapangan, berdamping dan memberi bimbingan secukupnya agar setiap lapisan gerakan berjalan serentak, berkembang seirama dan bergerak senada hendaklah dilaksanakan dengan komitmen yang tulen dan bukan hanya slogan dan retorik semata.

Selain itu, fungsi cawangan harus dimaksimakan sebagai mewakili jamaah diperingkat pusat. Oleh itu, penyegaran semua petugas di semua peringkat amat membantu melancarkan jamaah dan membantu menyeragamkan proses dakwah di semua peringkat dan semua cawangan. Pengurusan struktur yang dapat menyeragamkan semua cawangan dengan program yang sama dapat menutup lompong-lompong yang dibimbangi akan menjadi barah kepada jamaah.

.
3. Disiplin Masa :

Kegagalan dalam menepati masa, menyiapkan tugasan dan menyempurnakan agenda bertindak, amat ketara di kalangan anggota gerakan Islam. Hasilnya amat mendukacitakan, banyak masa yang diguna ketika keputusan hendak dicapai tetapi sebahagian besarnya tidak pula terlaksana. Kalaupun ada yang terlaksana ia tidak pula berkesan dan berkesinambungan. Selain itu, sikap menunda-nunda dan melengahkan-lengahkan kerja juga seakan membudaya di kalangan petugas-petugas dakwah. Apa yang lebih mendukacitakan, sesebuah organisasi islam seakan tidak mampu mengubati hal ini, malah seakan menutup mata melihat kegagalan organisasi mereka mendisiplan masa dengan baik.

Sementara sudah berlaku pelbagai tahap perubahan dan perombakan dalam masyarakat kini sehingga keadaan umat semakin tenat dan gawat, namun organisasi gerakan Islam masih berdolak-dalik untuk menunda-nunda tindakan. ‘Tunggu sehingga kita cukup kuat’, ‘biar sesudah ahli kita faham’, ‘nanti sehingga kita dapat peluang’, adalah ungkapan-ungkapan yang kadang-kadang bukan dikeluarkan untuk benar-benar merancang dan bertindak tetapi lebih untuk menyatakan alasan demi melindungi kelemahan organisasi sendiri.

4. Disiplin Bekerja :

Harus ada keikhlasan, kesedaran, amanah, kesungguhan, strategi, system laporan dan muhasabah, system pembahagian tugas yang baik, istiqamah dan berterusan (tidak hanya sekerat jalan), kemahuan, penghayatan dan kesabaran yang tinggi. Oleh itu, ahli harus ditarbiyah dengan disiplin kerja yang baik. Disiplin kerja ini bukan sahaja harus ditekankan kepada ahli di peringkat bawahan, malah mereka yang berada di peringkat atasan harus lebih ditekankan dengan disiplin kerja tersebut. Apabila lebih besar jawatan, maka harus lebih besar disiplin kerja dan amanah kepada Allah s.w.t.

Dalam soal disiplin bekerja dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anggota organisasi Islam, sudah kelihatan keadaan yang semakin longgar dan rapuh. Sudah ada kecuaian yang ketara apabila berlaku ahli-ahli gerakan Islam yang tidak mencerminkan watak dan kesungguhan bekerja dalam masyarakat. Telah wujud penyakit memperhitungkan habuan dan laba apabila melaksanakan gerakerja memperbaiki masyarakat.

Dengan yang demikian disiplin ahli-ahli menurun bukan sahaja dalam konteks cara bekerja malah sudah mulai memperlihatkan kelunturan dalam ciri-ciri keperibadian seperti kurang amanah dalam urusan kewangan, budaya konsumerisme dan hidup bermewah-mewahan, tidak menepati janji, kurang prihatin terhadap kesusahan dan masalah-masalah orang yang dizalimi, tidak aktif terlibat menggerakkan institusi-institusi masyarakat, bersikap bebal dan tidak boleh bekerjasama dengan orang lain serta hilang semangat pengorbanan untuk mengembalikan maruah umat. Oleh itu, disiplin kerja ini harus segera diberi penekanan serius oleh semua organisasi Islam. Kursus-kursus, tazkirah, tamrin dan pelbagai program harus dilaksanakan di semua peringkat untuk menjamin sesebuah organisasi itu memiliki anggota-anggota yang mempunyai disiplin kerja yang baik demi menjamin keberkesanan dakwah dan gerakerja organisasi yang direncanakan.


Pemupukan ciri-ciri yang dikehendaki dalam mengubat masyarakat

Salah satu aspek lain yang harus diberi penekanan juga ialah diri petugas dakwah itu sendiri. Kita beranggapan, setiap anggota dakwah samada berjamaah atau persendirian mempunyai peluang yang cerah untuk mengubah masyarakat jika setiap anggota dakwahnya memiliki dan bersifat dengan ciri-ciri petugas dakwah yang sebenar. Ciri-ciri tersebut telah disarankan oleh Teras Pengupayaan Melayu seperti berikut;

1. Semangat mengubah

Setiap sukarelawan perlu mempunyai semangat dan keyakinan untuk mengubah kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Hanya dengan semangat yang tinggi untuk terus mencetuskan perubahan ke arah masyarakat yang lebih adil dan penyayang akan menjadikan seseorang aktivis sukarelawan itu terus berjuang di medan masyarakat.

2. Sikap dan kesedaran kritikal

Seorang sukarelawan yang tidak kritikal iaitu kurang mampu melihat kepincangan masyarakat dengan tajam akan membantutkan keupayaan membawa perubahan. Sikap dan kesedaran kritikal bermaksud ciri seorang yang cukup halus dan teliti ketika menganalisis masalah masyarakat. Ertinya pemikiran yang dangkal serta hanya mengikut arus tidak boleh menjadikan seseorang sukarelawan itu mampu membawa idea-idea bernas untuk perubahan.

3. Bersungguh dan konsisten

Disiplin yang tinggi bagi seorang sukarelawan sangat penting ketika ia bergiat dalam masyarakat. Hanya degan itu kesungguhan dan daya bertahan untuk berjuang dalam masyarakat dapat dihidupkan dalam diri seorang sukarelawan. Bersungguh dan konsisten dalam prinsip kebenaran dan keadilan sangat penting jika seorang sukarelawan mahu dihormati oleh masyarakat.

4. Berkemahiran dan berketrampilan

Ketika perubahan mahu dicetuskan, seorang sukarelawan semestinya perlu dilengkapi dengan kemahiran bekerja dan berorganisasi yang sempurna. Tanpa kemahiran, kerja-kerja sosial dalam masyarakat akan menjadi tidak berkesan dan juga tidak mampu memberi impak seperti yang diharapkan.

5. Peka dan berfikiran analitikal

Kepekaan merupakan sifat awal yang mesti dipupuk dalam diri seseorang sukarelawan. Tanpanya rasa peduli dan ambilberat terhadap kepincangan yang berlaku dalam masyarakat, perubahan tidak akan dapat dicetuskan. Berikutan dengan sifat peka dan sensitif akan membina fikiran yang analitikal iaitu yang mampu merungkai masalah masyarakat dengan berkesan. Fikiran yang dangkal akan melemahkan daya kreativiti untuk mencari penyelesaian kepada krisis yang berlaku dalam masyarakat.

6. Mengutamakan contoh tauladan

Seorang sukarelawan yang tidak menghayati dan menjiwai sifat-sifat diri yang boleh dicontohi oleh masyarakat seperti hidup sederhana, berjimat dan berhemat, mengutamakan kualiti berfikir yang tinggi, berkeperibadian yang mulia umpama rendah diri, jujur, serta tidak mementingkan diri semata-mata akan mengakibatkan perubahan sukar dicetuskan. Watak seorang sukarelawan perlu sentiasa menjadi model kepada masyarakat sehingga apa yang dibawa olehnya akan menggerakkan masyarakat untuk turut menyokong dan mendokong idea-ideanya.

7. Mengutamakan keadilan

Bagi sukarelawan yang berprinsip, keadilan adalah kemuncak kepada perjuangannya memperbaiki dan membela masyarakat. Seorang sukarelawan semestinya menjadikan keadilan sebagai darah daging perjuangannya sehingga ia sanggup berkorban apa saja untuk memastikan keadilan sosial ditegakkan.

8. Sikap membela

Membela yang lemah, melindungi yang dizalimi serta membina yang terpinggir merupakan gerakerja seorang sukarelawan dimana saja ia berada. Seorang sukarelawan harus bersedia menghulurkan bantuan serta bertindak untuk membela mereka yang teraniaya agar masyarakat tidak terbiasa dengan penganiayaan. Sikap membela sesiapa sahaja dan dimana sahaja mereka yang dizalimi perlu dihayati oleh setiap sukarelawan.

9. Sikap berkorban dan mementingkan kebajikan masyarakat

Berkorban dalam pelbagai bentuk dan dimensi demi menegakkan yang benar dan yang adil hendaklah menjadi sifat diri yang mesra dalam peribadi setiap sukarelawan. Mendahului dalam berkorban dan mementingkan orang lain lebih dari kepentingan diri merupakan sifat mulia yang perlu dihidupkan dalam diri setiap sukarelawan.

10. Mengutamakan disiplin dan kejujuran

Dalam gerakerja sukarelawan, sistem dan disiplin yang didokong oleh peribadi yang jujur akan menjadi kekuatan kepada perubahan yang hendak dibawa olehnya. Seorang sukarelawan tidak wajar mengharap habuan, pangkat dan ganjaran jika ia benar-benar menjadi pencetus kepada perubahan masyarakat yang murni. Harus ada sikap tidak mementingkan ganjaran dalam melaksanakan gerakerja memperbaiki masyarakat

Seperkara lain yang amat penting ialah kewaspadaan dalam bekerja. Kita amat bimbang setiap petugas dakwah dan organisasi dakwah terpalit dengan sindrom “syok sendiri” yang akhirnya hanya mengakibatkan para pendakwah berada dalam keadaan yang sangat selesa tetapi sebenarnya pembawakan dakwah mereka tidak mencapai matlamat asal dakwah. Mereka bangga dengan program-program yang mega tetapi lupa kepada tahap kesannya pada masyarakat. Mereka bersuka ria dengan dana yang banyak, tetapi leka saluran aulawiyat yang harus diutamakan. Mereka bangga dengan bilangan ahli yang ramai, tetapi lupa bahawa ahli yang ramai hanya menjadi beban dan tidak membantu. Mereka bangga dengan kuantiti yang datang mendengar ceramah, tetapi terleka apakah ceramah mereka benar-benar membawa kesedaran kepada masyarakat.

Oleh itu, setiap pertubuhan Islam perlu membuat analisis yang mendalam untuk mengukur pencapaian masing-masing dalam menangani masalah umat jika ia benar-benar mahu mewakili perjuangan umat. Pendekatan-pendekatan baru harus dicipta agar apa yang dibawa oleh petugas-petugas dakwah berjaya mejadi alternatif kepada masyarakat. Pendakwah bukan sahaja melarang atau menyuruh semata-mata, tetapi dapat memberi kepada masyarakat alternatif yang lebih baik. Muktamar tahunan, mesyuarat agung tahunan dan sebagainya harus menjadi medium muhasabah dan pembaik-pulihan kepada pelaksanaan yang telah dilakukan serta menjadi perancangan dan penyeragaman pelaksanaan yang bakal disusun.

Selain itu, suatu perkara yang amat penting juga ialah gerakan Islam harus bersedia bergelumang di dalam jenuh-perit isu-isu masyarakat. Retorik mengenai Islam semata tidak akan dapat menangani dan memenangi sokongan masyarakat. Sesebuah gerakan Islam perlu siap mendepani pelbagai masalah umat bukan sahaja dengan ungkapan dan pernyataan tetapi dengan aksi dan penyelesaian alternatif.

Gerakan Islam perlu menjadi anggota masyarakat. Mereka harus menyertai masyarakat dalam semua isu kehidupan samada agama, sosial, alam sekitar, ekonomi, sosio budaya dan sebagainya. Mereka harus bersedia merasai susah senang masyarakat. Menghayati isu-isu masyarakat. Bersama berjuang ditengah-tengah masyarakat dan memimpin masyarakat ke arah yang lebih baik. Mereka harus keluar dari sikap yang membezakan mereka dari masyarakat. Lazimnya, anggota-anggota gerakan islam hanya sinonim dalam lapangan-lapangan tertentu dan musim-musim tertentu sahaja.
Oleh itu, anjakan harus dibuat agar masyarakat merasakan gerakan Islam merupakan duta penting dalam segala isu dan segala aspek kehidupan. Gerakan Islam bukan sahaja menyertai isu-isu masyarakat dengan kenyataan-kenyataan dan ceramah-ceramah tetapi terjun bersama tindakan dan jalan penyelesaian. Sudah tiba masanya untuk golongan remaja didekati dan dirawati, golongan yang terlanjur dipimpin kembali, golongan susah dibantu, golongan yang tertindas dibela, pihak yang terpinggir diangkat dan ditempatkan ke posisi yang bermaruah.
Gerakan Islam seharusnya turun ke lapangan memberi suara kepada mereka yang dirampas hak untuk bersuara, memperkasa mereka yang lemah, membantu golongan yang menderita, bersama mempertahankan hak mereka yang dinafikan hak, menuntut keadilan bagi mereka yang dizalimi, memulihkan golongan terlanjur, memurnikan golongan belia yang tersasar, mencerdaskan umat dengan kepekaan sekeliling, memperkasa mahasiswa, menyemarakkan aliran agama dalam masyarakat dan mengeluarkan masyarakat dari kekeliruan agama dan politik.

Sudah sampai waktunya gerakan-gerakan islam yang wujud meminimakan perselisihan antara gerakan. Keseragaman yang kita maksudkan ialah keseragaman matlamat dan tujuan walaupun berbeza pendekatan dan lapangan. Gerakan-gerakan islam harus saling memahami dan saling membantu, bukan saling bermusuhan dan saling bercanggahan. Semua gerakan harus mula memahami dan meraikan perbezaan. Semua gerakan Islam harus mencari titik temu untuk bersama dalam dakwah dan usaha pembaikpulihan di samping menjauhi sikap menyerang sesama gerakan. Sepatutnya, kita mengambil dan menerima peluang prebezaan lapangan yang pelbagai sebagai suatu keistimewaan dakwah.
Sudah tiba waktunya kita menyedari hakikat di lapangan lebih mendambakan waktu dan tenaga yang banyak dari setiap aktivis. Kita amat bimbang perselisihan yang berlaku membudayakan permusuhan sesama gerakan sedangkan dalam waktu yang sama umat semakin jauh dari landasan. Apa yang penting kita perlu menolak fikrah sempit yang mengecilkan konsep wahdatul fikr kepada satu jemaah dan satu kepimpinan yang hanya membuahkan perbalahan antara gerakan dakwah.

Keinginan kita melihat negara yang berakyatkan “khaira ummah” hanya akan menjadi mimpi jika para aktivis dan gerakan tidak dapat mendisiplilkan semula gagasan d
akwah mereka.

Sabtu, 13 Februari 2010

Teks Ucaptama YDP KKDS

sempena Sehari Bersama KKDS,



“PRIHATIN, PROGRESIF, KOMPREHENSIF”

Bismillahirrahmanirrahim

MUKADDIMAH

Ketika mengambil alih pentadbiran melalui muktamar agung baru-baru ini, KKDS sehingga hari ini merupakan Badan Kebajikan Anak Negeri (Bakan) yang terbesar dengan bilangan ahli yang paling ramai di Syria. Dengan itu, secara sunnahnya, KKDS merupakan Bakan yang paling berat cabarannya.

Namun pun begitu, ini merupakan cabaran yang harus kami pikul demi meneruskan kelangsungan jangka hayat KKDS dengan lebih cemerlang. Apa yang ditinggalkan kepada kami oleh generasi-generasi lepas dari segi ukhuwwah, perpaduan, gerakkerja, keyakinan, kejayaan dan permasalahan akan kami warisi. Oleh itu, kami mengharapakan semua ahli dapat membantu dengan menghulurkan segala bentuk sumbangan samada idea, dana, tenaga dan lain-lain untuk sama-sama kita meneruskan kejayaan dan kecemerlangan KKDS disamping memperbaiki segala kelemahan yang sedia ada.

Alhamdulillah, sedar atau tidak, tahun ini KKDS akan berumur 14 tahun. Samada ulangtahun ini disambut dengan sesuatu majlis atau tidak, seharusnya kita generasi yang baru ini melahirkan rasa syukur yang tinggi kepada Allah dan berterimakasih diatas jasa dan tapak yang telah diasaskan oleh generasi terdahulu lalu ketika ini kita dapat meneruskan nikmat kesejahteraan ini.


Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

UMMAT DI DALAM KRISIS

Sebagai sebuah badan pelajar Islam yang sudah berusia baligh, selayaknya bicara kita tidak hanya tertumpu dalam konteks dan kotak pemikiran yang dekat sahaja. Saya ingin mengajak para hadirin membuka mata cuba melihat di luar jendela KKDS tentang kegawatan Ummat.


Ar.Raad: 11”
Sekiranya kita menganalisa keadaan Ummat di saat ini, kita akan saksikan sebuah tamadun yang pernah unggul dan gemilang suatu ketika dahulu, kini sedang berkocak kuat. Kemalapan umat Islam sangat terasa hampir dalam setiap aspek. Kelemahan ekonomi, perpecahan politik, kelunturan daya intelektual dan kekacauan akhlaq sudah menjadi wajah umat yang sangat meruncing. Jika analisis ini dijalankan pasti hasilnya menunjukkan keadaan umat masa kini sangat terdedah kepada kehancuran dan kelemahan.
Melihat keadaan ummat Islam di Palestin, seharusnya kita insaf dan bertindak sesuatu. Golongan Zionis telah menguasai Palestin secara haram sejak berdekad-dekad lamanya. Jutaan warga Palestin yang diusir oleh Zionis telah hilang tempat tinggal dan hidup sebagai pelarian dalam keadaan yang sangat sulit. Setiap hari hak asasi manusia dilanggari, kanak-kanak yang membaling batu ditembak mati secara zalim, rumah dimusnahkan, hukuman secara beramai-ramai dipaksa ke atas orang awam, kebun dimusnahkan serta bekalan makanan dan ubatan dinafikan.
Begitu juga tragedi kemanusiaan yang berlaku di Chechnya, Kashmir, Afghanistan, Gujarat dan tempat-tempat lain. Amerika Syarikat juga secara haram menceroboh dan menguasai Iraq, sebuah Negara berdaulat yang pernah menjadi anggota PBB. Pencerobohan itu telah mengakibatkan kekurangan bekalan makanan, ubatan dan keperluan asas. Lebih dari 100,000 rakyat Iraq telah mati sejak pencerobohan haram AS. Malah krisis di Iraq tidak pernah terhenti sehingga sekarang.
Di Selatan Thailand, iaitu wilayah kaum Muslimin yang sangat hampir dengan kita, eskploitasi dan penindasan ke atas orang Islam berterusan tanpa henti. Ratusan orang awam hilang disebabkan oleh penangkapan dan pembunuhan oleh pihak keselamatan. Pada Oktober 2004, 78 orang telah ditahan ketika berdemonstrasi dan terbunuh ketika dalam tahanan pihak askar namun mereka yang bertanggungjawab tidak pernah didakwa dan dihukum. Pembunuh Somchai Neelaphaijit sehingga hari ini masih belum dibawa ke pengadilan.
Di Mindanao, perjuangan pembebasan berdekad-dekad golongan Muslimin untuk mendapat hak memerintah sendiri masih belum tercapai untuk menuntut kebebasan dan kemerdekaan untuk rakyatnya. Disebabkan ketiadaan atau sangat sedikit pembangunan yang dapat diwujudkan , terdapat kemiskinan yang sangat meruncing di Mindanao. Penindasan dan kemiskinan telah memaksa ribuan untuk lari meninggalkan kampung mereka dan mencari perlindungan di Sabah.
Bagi negara-negara ummat Islam majoriti dan mempunyai kekuasaan sendiri pula, rakyatnya tetap juga tertindas. Anak-anak mudanya parah terlibat dengan pelbagai krisis akhlak. Jauh dari nilai syakhsiah islam. Selain itu, kepentingan-kepentingan agama turut tidak mendapat tempat dalam negara-negara sendiri.

Menginsafi keadaan ini, Selayaknya kita menyedari bahawa krisis-krisis yang dihadapi Umat Islam saat ini disebabkan mereka terkongkong dalam 2 krisis yang sangat parah iaitu kemiskinan dan kebodohan. Dua penyakit kronik ini hendaknya menjadi prioriti perjuangan para ulama, tokoh Islam, dan pemimpin umat. Hal yang harus kita sedari, kemurungan umat Islam saat ini disebabkan mereka telah jauh dari sumber wahyu, yakni Al-Qur’an dan hadis. Justeru, kita harus menggerakkan kembali kehidupan masyarakat yang berpegang teguh dan berpedomankan dengan kedua-dua sumber tersebut.


Hadirin Mukminin yang dirahmati Allah,

UMMAT KITA TANGGUNGJAWAB KITA


Attaubah : 122

Saya percaya, setiap dari kita menyedari tentang betapa harapan yang diletakkan oleh masyarakat kepada setiap anak yang terpilih belajar di rantauan supaya kembali memimpin dan membimbing masyarakat. Harapan yang tinggi ini, janganlah kita runtuhkan. Bersiaplah untuk memberi sumbangan dalam membangunkan masyarakat Islam.

Menginsafi keadaan ummat yang lesu dan berkrisis seperti yang disebutkan di awal tadi, seharusnya kita berkoreksi diri dan bermuhasabah mencari formula mengubati krisis ummat. Ini adalah tugas kita kerana ini adalah ummat kita. Sebagai Ummatan Wahidah, adalah celaka sekiranya kita tidak peduli keadaan masyarakat kita dan nasib sauadara seagama kita yang lain. Krisis umat Islam walaupun di mana sahaja adalah menjadi tanggungjawab kita.

Mahasiswa islam seharusnya tidak kalah dalam memupuk keprihatinan terhadap perkembangan masyarakat. Keperluan masyarakat harus diisi. Keperitan mereka harus dibela. Kemajuan mereka harus dipandu. Malah kehidupan dunia mereka harus diajak mengimbangi keperluan lain yang lebih utama untuk kekal di akhirat. Selain itu, bagi kita yang mengaku pejuang dan mengambil berat tentang ummat, berapa ramai dari kita yang tidak pernah lupa dan bosan dengan doa-doa agar digahkan kembali ummat ini, diangkat fitnah kehancuran ke atas umat ini, diselesaikan segala krisis ummat, dikembalikan tanah al-quds, diampunkan dan dielokkan kelakuan saudara-saudara seislam, diberikan taufiq hidayah kepada yang sesat, diberikan istiqamah dan kekuatan kepada yang benar, dan kembalikan Islam untuk memimpin.

Al-Quran mengajar kita tentang peranan setiap individu dalam membina sebuah masyarakat yang terbaik. Allah menamakan masyarakat itu sebagai “Khaira ummah” bila setiap ahli masyarakat bertanggungjawab dalam persoalan-persoalan masyarakatnya. Justeru, marilah kita bangunkan masyarakat kita dengan iman dan budaya amar maaruf nahi munkar yang menjadi kunci sukses kepada Khaira Ummah.


Hadirin Mukminin yang dirahmati Allah,

SISWA ISLAM SEBAGAI AGEN ISLAH

Islam merupakan agama transformasi sosial. Membawa misi mengeluarkan manusia dari gelap kejahilan dan kerosakan kepada sinar cahaya iman dan hakikat kehidupan.

Sejarah menceritakan kepada kita bagaimana Nabi Muhammad saw dibangkitkan dalam suasana manusia sudah terlalu jauh hanyut dengan kesesatan. Begitulah juga sunnah kebangkitan para rasul yang lain. Mereka dilantik ketika mana Ummat tidak punya pembimbing. Mereka diutus di tengah-tengah masyarakat yang berkrisis.

Oleh itu, Menjadi misi kita sebagai manusia yang digelar pewaris para nabi, mengembalikan ummat islam dan manusia secara amnya kepada ajaran islam yang asal. Biar apa pun yang bakal digelar kita nanti, samada ulama, tokoh, pemimpin, warga biasa, rakyat biasa, orang pekan atau desa, kita harus mempromosikan Islam sebagaimana agama dengan sifat yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad Saw yang boleh diterima oleh semua pihak, kaya atau miskin, bangsawan atau hamba, raja atau rakyat, badawi (golongan hulu atau kampong) atau hadhari (golongan yang moden dan pekan), semuanya menerima islam yang sama. Islam itu ialah islam yang tidak ada khurafat dan tidak ada tokok tambah agama yang melampau, serta dalam masa yang sama tidak juga jumud, sempit dan terkonkong. Islam yang jauh dari nilai ganas tetapi tidak lemah. Islam yang berprinsip dan sangat tegas tetapi ada ruang rundingan. Islam yang hikmah. Justeru, gerakkanlah kehidupan beragama seperti nabi menggerakkan kehidupan beragama di kalangan para sahabat iaitu dengan penuh keyakinan, optimis, istiqamah, bangga, cerdas dan beramal dengan ikhlas.

Oleh kerana demikianlah, melalui jalur pendidikan dan dakwah, kita harus bersedia dan beraksi mempersiapkan diri setiap dari kita terlebih dahulu menjadi agen islah yang berkualiti, sebelum kualitas keagamaan umat dapat dibangunkan. Kita patut menjadi kader-kader kepada agenda ini. Seterusnya kita pula harus menyediakan kader-kader lain untuk mewarisi agenda menyambung risalah nubuwwah ini yang tidak akan putus-putus kewajipannya sehinggalah bumi ini dihancurkan Tuhan.


Hadirin yang dirahmati Allah,

MENGGERAKKAN MISI RAHMATAN LILALAMIN

Sebagai penyambung perjuangan para Nabi, kita mesti bercita-cita akan membawa Islam merentasi setiap ceruk alam. Biar segala permasalahan dunia dan alam diselesaikan oleh Islam, kerana Islam sifatnya adalah rahmat buat seluruh alam.

Syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad merobohkan pemisah-pemisah yang berjenama bangsa, sempadan peta, bahasa dan warna kulit. Semuanya disatukan atas nama Islam. Tatkala Islam pula mengajak semua manusia harus saling menghormati walaupun berbeza agama malah islam juga mengajar agar menjaga akhlak dengan tumbuhan dan haiwan. Islam memerangi sebarang bentuk kezaliman dan penindasan.

Bagi sesama Islam pula secara khusus, kita diajar dan ditanam sifat persaudaraan. Malah semangat kesatuan dan persaudaraan kita digambarkan seperti bila dicubit paha kanan, paha kiri turut terasa. Bukankah kita Ummatan Wahidah. Ummat yang satu? Tapi malangnya kita pada hari ini, ummat islam kini merupakan Ummat yang paling teruk menghadapi perpecahan.

Oleh itu, ayuh wahai generasi muda islam, kita harus mencari dan mengenal pasti titik persamaan dan penyatuan ummat. Pasakkan perpaduan, suburkan persaudaraan. Malah, turut menjadi hasrat KKDS agar perselisihan antara gerakan-gerakan Islam dapat diredakan supaya sasaran dakwah lebih tertumpu dan tidak terbazir dengan pertelingkahan yang tidak menguntungkan Ummat. Jangan terlalu ghairah mengorek cari perbedaan. Kadang-kadang kepentingan Ummat harus diutamakan melebihi kepentingan jemaah. Penyatuan Ummat islam dengan minda dan jiwa yang merdeka merupakan harapan untuk kita melihat kehinaan yang dihadapi ummat islam selama ini dapat disucikan semula seterusnya dapat menyuburkan kembali peranan Islam dalam melahirkan tamadun umat terbaik.
Untuk langkah awal dalam membentuk minda daie yang bakal membawa misi rahmatan lil alamin ini, tiga agenda utama harus mula ditenung dan dinilai oleh masyarakat siswa iaitu pembelaan masyarakat, kepentingan pendidikan serta keprihatinan terhadap isu sosial dan pembangunan manusia. Kita harus prihatin dan serius mengamati semua isu ini secara mendalam.


Hadirin Mukminin yang dirahmati Allah,

MENEROKA MEDIUM DAKWAH

Para penggerak dakwah harus ada anjakan dalam misi dakwah mereka. Seandainya mereka memilih untuk meneruskan dakwah melalui medium-medium warisan seperti surau, masjid dan sekolah, mereka harus memikirkan dan membuat anjakan yang lebih dalam memastikan sasaran tercapai.

Masjid sebagai contoh, amatlah baik sekiranya ustaz-ustaz tidak hanya berperanan sejam dua sahaja dalam seminggu, tetapi mampu lebih dari itu dengan menguasai dan mentadbir satu-satu masjid supaya fungsi masjid sebagai pengkalan dakwah dan kegiatan masyarakat dapat dikembalikan. Lihatlah ulama di Syam, setiap dari mereka akan menguasai satu-satu masjid sebagai pengkalan dakwah mereka. Fungsi masjid sangat penting dalam berperanan membina sesebuah masyarakat.

Tetapi, jalan-jalan dakwah tidak semata-mata itu. Banyak lagi ruang yang mampu dimanfaatkan dalam dakwah. Para ustaz tidak harus menjadi golongan klasik dengan aktiviti-aktiviti warisan dan tradisional semata-mata. Penggerak dakwah harus meneroka jalan-jalan baru dan pelbagai dalam dakwah mereka.

Media seperti televisyen dan akhbar harian umpamanya, merupakan mekanisme penting yang terlalu rapat dengan kehidupan harian masyarakat malah merupakan satu medium yang sangat berpengaruh dalam membentuk pemikiran dan budaya masyarakat dunia hari ini. Sekiranya media dapat dimanfaatkan dalam urusan dakwah, tidak mustahil Ia juga mampu membina pengaruh besar dalam membentuk generasi ‘khaira ummah’. Persoalannya, adakah kakitangan dakwah kita berupaya menguasai media perdana hari ini? Kita harus bergerak ke arah itu. Setidak-tidaknya, para penggerak dakwah perlu bersedia menguasai media-media baru dan alternative seperti blog-blog dan seumpamanya.


Hadirin Mukminin yang dirahmati Allah,

JADIKAN KKDS TAPAK SEMAI KESUBURAN ISLAM

Dalam kesempatan kita bersama di bawah KKDS ini, marilah kita mengambil peluang menyemai benih-benih kesuburan Islam. Bermula dari sinilah kita harus wujudkan erti sebenar kesatuan Ummat. Pupuk Perpaduan dan binalah ukhuwwah islamiyah yang tulen. Kesempatan kita berada di Syria ini juga jangan lepaskan peluang merangsang penguasaan ilmu turas dan ilmu zaman kerana dunia hari ini amat memerlukan kombinasi antara keduanya. (aljam’u bainal qadimis soleh wal jadidin nafie’). Sedarlah, kita adalah kunci kepada kegemilangan Islam.


Hadirin mukminin yang dirahmati Allah,

MISI DAN HARAPAN

1. Ukhuwwah dan perpaduan

KKDS amat menitik beratkan persoalan ukhuwwah persaudaraan. Dalam memenuhi misi ini, kita membuat penimbangan yang sangat berhati-hati agar setiap agenda yang kita lakukan mampu menyuburkan nilai perpaduan dan penyatuan sesama kita. Namun, sunnah alam pasti akan ada perbezaan. Oleh itu, KKDS mengambil pendirian meraikan perbezaan, KKDS mendokong kebebasan besuara, berfikir, berpandangan dan bermazhab selama mana tidak menyalahi syariat. Segala perbezaan harus diurus dengan baik supaya dapat dimanfaatkan sebagai kelebihan.

Selain itu, kita juga pengambil pendirian bebas di mana kita tidak sama sekali dibayangi oleh mana-mana pihak politik atau badan-badan lain. Kerana kita tidak mahu hubungan harmoni antara kita selama ini disekat oleh tembok2 pemisah atas nama kepartaian atau sebagainya. Jangan jadikan perbezaan antara kita batu api perpecahan.

2. Kebajikan

KKDS ditubuhkan dengan matlamat memperjuangkan kebajikan anak-anak Kedah di Syria samada dengan mewujudkan budaya bantu membantu sesama ahli atau mengangkat masalah-masalah kebajikan yang dihadapi oleh ahli kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab. Misi ini merupakan misi asas dan rutin yang mesti dilangsungkan oleh sesiapa sahaja yang menerajui KKDS. Namun malangnya, kesedaran dari kalangan ahli terhadap budaya peduli kepada rakan-rakan dilihat semakin terhakis dan hambar tahun-tahun kebelakangan ini. Oleh yang demikian, hari ini KKDS akan melancarkan beberapa projek kebajikan yang akan melibatkan semua ahli untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga kebajikan rakan-rakan yang memerlukan.

3. Memperbanyakkan program-program nilai tambah.

KKDS sentiasa menyokong dan membantu dalam memperkasakan kesarjanaan ilmu setiap ahli. Oleh itu, kita amat bersedia menghulurkan segala bantuan akademik kepada ahli sekiranya diperlukan. Selain itu, adalah merupakan aspirasi KKDS untuk menjadi sebuah wadah yang akan melahirkan siswa siswi yang komprehensif dengan pakej pendakwah yang diperlukan dan diterima oleh masyarakat. Bukan sekadar menguasai ilmu dari sumber muktabar sahaja, tetapi dapat juga menguasai ilmu zaman. Justeru, KKDS tahun ini merancang untuk memperbanyakkan beberapa program nilai tambah sebagai bekalan yang sedikit sebanyak mampu memenuhi aspirasi ini insyaAllah.

4. Menaiktarafkan upaya dan fungsi Helwi.

Atas aspirasi tadi juga, KKDS tahun ini secara khusus mensasarkan usaha merembeskan upaya Helwi supaya peranan Helwi dapat disegar-bugarkan semula. Kenyataan yang harus kita faham ialah ahli-ahli Helwi KKDS merupakan siswi-siswi yang ada kemampuan dan karisma, namun ironisnya Helwi KKDS sering dilihat lesu. Bukan sekadar itu, pimpinan pada tahun ini melihat adalah sangat perlu persiapan menyediakan pimpinan pelapis di kalangan Helwi KKDS mula digerakkan. Kami berhasrat, program menggilap permata-permata baru yang berharga ini dapat diaktifkan supaya KKDS tidak miskin dengan pimpinan-pimpinan pelapis khususnya dari kalangan Helwi.

Bayangkanlah betapa menjadi kebanggan kepada KKDS sekiranya ada ahli-ahli Helwi KKDS mampu menjadi generasi penerus kepada kepimpinan wanita yang sangat diperlukan oleh masyarakat di negeri dan negara kita. Oleh itu, kami sangat mengharapkan seluruh akhawat Kedah di Syria bersedia membawa perubahan dan sanggup menggalas cabaran ini. Kami juga meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada semua pihak agar dapat memperkemaskan usaha-usaha yang lebih efektif dalam menjaga kebajikan helwi.

Sahabat-sahabat sekelian,

PENUTUP

Akhirnya, adalah menjadi hasrat kami untuk mewujudkan budaya progresif dalam pentadbiran supaya mutu kerja, kepimpinan, pengurusan dan kebajikan ahli dapat ditingkatkan. Namun semua ini tidak hanya terbeban di bahu kami, justeru semua dari kita harus memikul bersama.

Marilah sama-sama kita robohkan tembok pemisah antara status pemimpin dan ahli biasa. Semua kita bertanggungjawab memastikan KKDS berada di landasan yang betul. Untuk tujuan itu, AMT telah memutuskan bahawa agenda Pimpinan bertemu dan ziarah ahli akan dilancarkan pada tahun ini insyaAllah. KKDS akan terus berusaha menyemai ukhuwwah, memadamkan jurang, mendengar aduan secara terus dari ahli, membuka ruang dialog yang lebih berkesan supaya setiap dari kita bertanggungjawab terhadap KKDS. Kami dari pimpinan sentiasa terbuka untuk dikritik kerana bagi kami, wala’ itu tidak bererti pengikut tidak boleh mengkritik pemimpin.

InsyaAllah, Harapan ahli yang mahukan KKDS lebih maju dan matang berdepan suasana baru di era hujung dekad pertama millennium ini pasti akan menjadi cabaran kepada kami untuk lebih progresif menyahut cabaran menjadi wadah yang turut bersama menjunjung cita-cita melahirkan warga Kedah Sejahtera.


Sekian, terima Kasih.
Wassalamualaikum wrt wbt

Jumaat, 30 Oktober 2009

MERENUNG KEBIJAKSANAAN SYEIKHUR RAHIL, ALMARHUM USTAZ FADHIL NOOR

Oleh MOHAMED HANIPA MAIDIN




Sahabat baik saya, Saudara Muhaimin Sulam pada masa ini sedang menulis tesis Phd beliau mengenai mantan Presiden PAS iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.


Muhaimin memberitahu saya dalam menyediakan tesisnya beliau telah antara lain menemubual Tun Mahathir bagi mendapatkan pandangannya tentang Almarhum.

Mahathir memberitahu Muhaimin bahawa beliau amat menghormati Almarhum dan mengakui bahawa meskipun Almarhum adalah pemimpin pembangkang namun beliau banyak belajar dari Almarhum.

Seorang lagi pemimpin yang ditemubual oleh Muhaimin adalah Lim Keng Yeik iaitu mantan presiden Gerakan. Lim Keng Yeik juga menghormati kebijaksanaa Almarhum.

Dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang dua insiden yang saya pernah lalui bersama dengan Almarhum . Dua insiden itu bagi saya menunjukkan ketelitian dan kebijaksanaa Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Insiden pertama adalah apabila saya menjadi penterjemah beliau semasa beliau ditemubual oleh seorang wartawan Austria. Temubual itu berlangsung di Pejabat Harakah di Jalan Pahang. Memandangkan saya secara kebetulan ada di situ Almarhum mengajak saya untuk hadir di temubual itu sekaligus menjadi penterjemah beliau.

Banyak soalan yang diajukan oleh wartawan tersebut kepada Almarhum. Dalam banyak jawapan yang diberikan oleh Ustaz Fadzil, saya amat tertarik dengan jawapan yang beliau berikan kepada satu soalan yang saya kira satu soalan untuk memerangkap beliau.

Wartawan Austria itu bertanya kepada Ustaz Fadzil apakah yang PAS akan lakukan kepada pernigaan judi di Genting Highland jika PAS ditakdirkan memerintah Malaysia ?

Sebelum Ustaz Fadzil menjawab soalan tersebut saya tertanya-tanya bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Saya dapat merasakan bahawa wartawan Austria itu mahukan Ustaz Fadzil Noor menjawab bahawa PAS akan menutup pusat judi di Genting Highland kerana judi adalah haram menurut Islam. Saya percaya jika begitulah jawapan Ustaz Fadzil Noor maka itulah yang dimahukan oleh wartawan barat itu bagi menunjukkan bahawa gerakan Islam seperti PAS adalah ekstrim dan jika memerintah maka kononnya hak orang bukan Islam akan tergugat.

Saya jenuh memikirkan bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Sebelum Ustaz Fadzil ditanya soalan itu saya ada membaca di akhbar the star yang diterbitkan sebelum temubual itu tentang jawapan yang diberikan oleh pemimpin PAS yang lain bahawa PAS akan menutup pusat perjudian itu jika PAS memerintah Malaysia. Saya merasakan meskipun jawapan itu tidak salah dari sudut agama namun menjawab secara sebegitu akan menguatkan persepsi di kalangan orang bukan Islam yang tidak memahami Islam bahawa itulah PAS sebuah parti yang ekstrem.

Mari kita lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil menjawab soalan yang saya nyatakan di atas.
Beliau menjawab lebih kurang begini : “ Bagi kita ( PAS ) ada isu yang lebih besar dari isu yang kamu bangkitkan tersebut. Bagi kita ( PAS ) isu tentang penyalahgunaan kuasa, isu rasuah , isu pencabulan hak asasi dan isu pencabulan sistem demokrasi dalam negara ini adalah isu-isu besar yang rakyat mahukan kita ( PAS ) membuat perubahan jika kita ditakdirkan mengambil alih kuasa dari Barisan Nasional.”

Sebaik sahaja saya mendengar jawapan itu saya berkata dalam hati memang layaklah Ustaz Fadzil menjadi pemimpin saya. Jawapan yang amat bijaksana. Beliau tidak kata beliau tidak akan haramkan judi oleh itu tidak boleh dituduh PAS sudah menggadai prinsip. Cara beliau mengalih ( divert ) persoalan yang dibangkitkan amat menakjubkan.

Dalam satu insiden yang lain saya kebetulan berkesempatan makan tengah hari bersama beliau di kantin Parlimen. Semasa makan tersebut beliau menceritakan kepada saya tentang isu yang berlaku di Parlimen. Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak begitu senang hati dengan cara ahli-ahli Parlimen Umno menyerang pentadbiran Taliban di Afghanistan. Ustaz Fadzil memberitahu cara Umno menyerang Taliban adalah dengan cara yang tidak adil kerana tidak langsung menceritakan aspek positif pemerintah Taliban khususnya kejayaan Taliban menyelesaikan isu dadah di negara itu.


Ustaz Fadzil memberitahu saya pada mulanya beliau ingin bangun dan membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno. Namun beliau menyatakan bahawa beliau berfikir panjang sebelum meneruskan hasratnya itu. Beliau menyatakan bahawa beliau amat khuatir dan bimbang jika beliau bangun membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno, PAS akan dilihat membela Taliban . Apabila PAS dilihat membela Taliban, ujar Ustaz Fadzil, maka rakyat negara ini akan dimomokkan oleh Umno bahawa PAS adalah sama dengan Taliban. Dan ini , dari segi politik, akan menyukarkan PAS untuk menangkis serangan Umno itu dalam keadaan Umno menguasai media massa. Maka beliau mengambil keputusan tidak bangun untuk membela Taliban.

Sekali lagi saya lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil. Beliau amat teliti dan cermat dalam mengambil satu-satu pendirian. Meskipun apa yang beliau ingin buat itu betul ( membela pihak yang diserang secara tidak adil ) namun sebagai pemimpin beliau memikirkan kesan apa yang beliau buat itu. Inilah antara lain kualiti seorang pemimpin – sentiasa memikirkan kesan sesuatu tindakan yang ingin dilakukan.


Apa yang Ustaz Fadzil lakukan tersebut, bagi saya, adalah mencontohi apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Bagi kita yang menekuni sirah Rasulullah s.a.w pasti akan tahu bagaimana kisah Rasulullah s.a.w. dan pemimpin Munafiq Abdullah bin Ubay bin Salul .
Meskipun diminta oleh para sahabat untuk membunuh Abdullah bin Ubay namun Rasulullah s.a.w enggan melakukan hal tersebut. Rasullullah s.a.w menolak saranan para sahabat tersebut kerana tidak mahu dikatakan orang selepas itu bahawa Muhammad telah membunuh sahabatnya sendiri.

Kita lihat juga peristiwa penaklukan bumi Palestine pada tahun 637 Masihi oleh Syaidina Umar . Semasa Syaidina Umar berada di dalam gereja waktu solat pun tiba. Paderi menyuruh beliau bersembahyang dalam gereja tersebut. Syaidina Umar dengan penuh hikmah menolak pelawaan tersebut . Umar jelaskan pada Paderi tersebut sekiranya beliau sembahyang di situ kaum muslim akan ingin mengingati peristwa bersejarah itu dengan mendirikan masjid di tempat itu ( gereja itu ) dan jika itu berlaku kaum muslim akan memusnahkan gereja itu.

Lihatlah sikap seorang pemimpin. Sentiasa memikirkan kesan apa yang ingin dilakukan. Moga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah di atas.

Khamis, 1 Oktober 2009

Isu Kartika: Umat Islam harus bangkit pertahankan hukuman sebat dan Lawan SIS!!

Tercabar dan terus tercabar.

Islam sengaja dicabar. Gerakan kufur dan munafik takkan berhenti mengganggu Islam. Kumpulan sesat seperti golongan liberal akan ada sahaja mahu mencabar kuasa Allah. Aku hairan, apakah mereka tidak takut azab Allah swt.

Nabi telah peringatkan kita,
"Tidaklah akan dibiarkan maksiat berleluasa terang-terangan ditengah-tengah suatu kaum, kecuali mereka akan ditimpa penyakit tha'un dan beraneka penyakit yang belum pernah ada pada generasi-generasi sebelum mereka yang telah lalu."
(Hadis sahih R.Ibnu Majah dan al-Hakim)

Sekarang, nah pelbagai musibah bala dan penyakit yang Allah kirim mencabar ego manusia. Walaupun pelbagai versi (samada bencana, penyakit dan sebagainya) namun ia tetap bala dari Allah. Tetapi manusia sombong dan samseng dengan Allah akan terus sombong dan tidak akan akui bala ini dari Allah kerana dosa manusia. Bala ini tidak mahu dinisbahkan kepada Allah yang menghantar peringatan dari kemaksiatan berleluasa manusia.

kita harus mengaku berdasarkan hadis tersebut, bahawa puncanya ialah manusia telah jauh dari rahmat Allah swt. Dengan sebab jauh inilah, Allah tidak kasihan lagi mahu menghina manusia dan mengazabkan manusia. Manusia juga terlalu menjauhkan diri dari Allah. Aturcara hidup dan syariat yang Allah turunkan, kita tinggalkan. Kita pilih cara thaghut mengisi kehidupan kita.

Antara aturcara dan syariat yang terang kita tinggalkan malah kita tentang ialah tidak menguruskan sistem hidup berdasarkan hidayah dari Allah. Paling jelas maksiatnya, Kita tidak melaksanakan undang-undang menurut kehendak Allah SWT. Ekoran daripada itu, Allah SWT mencabut rasa takut dari hati manusia terhadap ancaman AzabNya yang pedih dalam melakukan maksiat. Sekalipun terdapat undang-undang yang dikuatkuasakan, namun selagi tidak berlandaskan syariat Allah SWT, ia sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah.

Firman Allah yang Mafhumnya :

”Dan hendaklah kamu jatuhkan hukuman di antara mereka berdasarkan apa yang telah diturunkan dan ditetapkan olehAllah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang Telah diturunkan Allah kepadamu. jika mereka berpaling (dari hukum yang Telah diturunkan Allah), Maka Ketahuilah bahawa Sesungguhnya Allah mahu menurunkan mushibah kepada mereka disebabkan antara dosa-dosa mereka. dan Sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.” (Surah al-Maidah, ayat 49)

Allah swt telah menetapkan cara berundang-undang mengikut hidayat Allah. Pastinya dengan hukuman yang mengikut kebijaksanaan Allah ini ada hikmah penyelesaian kepada setiap gejala kerosakan masyarakat, hikmah manusia akan takut melakukan dosa jenayah dan pasti ada hikmah mengeluarkan manusia dari kemurkaan Allah. Ruh inilah yang kita tidak akan dapat dari undang-undang selain dari undang-undang Allah.

3 hukum yang disebut oleh syariat ialah HUDUD, QISAS dan TAAZIR. salah satu yang akan saya bicarakan di sini ialah HUDUD.

Hukum Hudud ertinya hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH dalam Al Quran dan Hadis kadar hukumannya (seksaannya) ke atas kesalahan-kesalahan jenayah tertentu, yang tidak dibolehkan manusia mengubah, menambah atau mengurangkannya. Seperti, hukum potong tangan kepada pencuri, hukum pancung kepala si murtad, hukuman sebat kepada pembuat fitnah (qazaf), hukuman rotan kepada peminum arak, hukuman rejam sampai mati kepada penzina yang sudah pernah berkahwin dan rotan 100 kali kepada penzina yang belum kahwin dan lainnya.

Semua hukuman harus dijatuhkan selepas sesi perbicaraan. Hukuman yang tidak melaui perbicaraan akan tetap ZALIM walaupun ianya betul, kerana falsafah penghakiman di dalam Islam, 'tersilap maaf adalah lebih baik dari tersilap Hukum'. Oleh sebab itu dalam islam, segala bentuk keraguan (syubuhat) yang timbul dalam perbicaraan, hudud atau qisas akan digugurkan demi mengelak berlakunya kezaliman.

Namun, hukum mesti dijalankan sekiranya kesalahan sabit dan terbukti dengan pengsaksian yang menolak keraguan atau pesalah membuat pengakuan terhadap dosa dan jenayahnya.

Hari ini, bising sangat manusia samseng berkokok mencabar Allah. Manusia dajjal yang tidak lagi takut dengan Allah. Manusia yang tertipu dengan intelek mereka. Manusia yang tidak langsung yakin dan mengimani suruhan dan janji Allah.

Isu Kartika, seorang model sambilan di Pahang yang dijatuhkan hukuman sebat sebanyak 6 kali oleh Mahkamah Syariah setelah mengaku bersalah meminum arak baru-baru ini mendedahkan bagaimana sikap sebenar sebahagian manusia terhadap pelaksanaan undang-undang Islam . Tahniah kepada model ini kerana sudah insaf, dan meyakini bahawa cara hukuman dengan cara Allah sahajalah mampu menebus dosanya di akhirat dan di dunia.

Orang yang memberi komen mengancam tidndakan sebat ini mengaku kononnya beriman tetapi sebenarnya angkuh dan samseng dengan Allah swt. Padahal hukuman sebat yang dijatuhkan itu tidaklah seratus peratus berlandaskan syariat, namun ia sekurang-kurangnya mempunyai sedikit sebanyak semangat undang-undang Islam.

Puak liberal dan kuffar akan meneruskan usaha menggagalkan hukuman yang ada ruh syariat ini. Mereka berhimpun, bersidang, bertindak ke mahkamah dan sebagainya bagi menggagalkan usaha ini. Namun, saya cuma melihat pertubuhan-pertubuhan Islam sekarang tidak lebih cuma dari memberi komen balas. Itu sahaja.

Saya rasakan, dengan kebodohan dan kedajjalan pihak samseng ini terus mencabar Allah, Pihak berkuasa, Kerajaan Malaysia (sebuah negara Islam seperti didakwa), Jabatan Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan, IKIM, JAKIM dan selainnya yang punya kuasa dan suara harus segera bertindak. Jangan dibiarkan puak ini terus menghina Islam. Jangan cuma berfungsi menjadi boneka dalam beberapa isu sahaja. Isu ini besar. Ini melibatkan maruah Islam. Mereka yang mempersoalkan undang-undang Islam atas alasan hak asasi manusia, jelas SESAT! Saya fikir, ramai umat Islam akanmenyokong kalaulah SIS dan sekutunya diharamkan dan dilabel sesat oleh pihak yang berwajib. Saya melihat, SIS dan Rasul kahar sama sahaja sesatnya.


Dari sudut lain pula, pertubuhan-perubuhan Islam harus bangkit mengambil tindakan terhadap Ajaran sesat tersebut yang dipimpin oleh SIS. Umat Islam harus bangkit, menyatakan ketakutan kita kepada Allah dan membantah kebiadaban SIS.

Kalaulah hindraf boleh ke jalan demi agama mereka, kalaulah rakyat boleh berhimpun menyatakan suara padu rakyat terhadap kezaliman ISA, kalaulah rakyat berhimpun lagi kerana ketidakadilah SPR... saya rasa Ummat Islam yang sayangkan Allah bersedia juga ke jalan bagi melawan kedajjalan SIS dan rakan sekutunya. Umat islam di Malaysia juga sedia bertempur demi kemaksiatan yang berleluasa ini dapat dinoktahkan! Kita juga sedia bersahut, untuk turun berhimpun malah jutaan umat Islam akan berhimpun menyatakan sokongan terhadap hukuman sebat ke atas pesalah minum arak!

Saya harap, ada tindakan paling dekat akan diambil oleh Pas, Ngo-ngo islam, pertubuhan-pertubuhan melayu islam dan semua gerakan yang atas nama Islam demi tidak membiarkan pembantaian berterusan pihak sesat ini terhadap ketetapan Allah.

Kalaulah tidak ada lagi manusia yang mahu pertahankan undang-undang islam ini, Kita amat bimbang Allah tidak lagi melihat kita di Malaysia dengan pandangan Rahmat. Azab Allah ke atas sesuatu kaum pasti dihantarnya. Di dalam kaum itu, semuanya bakal merasai azab Allah, samada dia orang Soleh atau sebaliknya.

Khamis, 12 Mac 2009

Kami juga mahu berjuang!!

Baba,

Biar apa pun terjadi,
Biar apa pun yang terhidang,
Biar apa pun yang menghalang,
Jangan biar perjuangan terbang melayang.

Pertahankan prinsip agama,
Jadilah mujahid bermaruah!

Perjuangan kita bukan barang tebusan,
tetapi itulah darah daging yang akan memberatkan mizan IMAN.

Jika keluarga diancam,
itu baru satu dari episod perjuangan.

Andai sesuatu terjadi,
Ingatlah Tuhan tak akan mungkiri janji.

Tak usah kerana ancaman mahupun umpanan,
Habis maruah tergadai,
Habis perjuangan tersadai.

Kita ada Tuhan,
Biarlah Tuhan menjaga kita.

Keluarga kita keluarga pejuang,
Kita tetap akan terus berjuang,
Kita hadapi bersama segala rintangan atas nama JIHAD!

Anakmu impikan gelaran pejuang,
Anakmu juga idamkan mati sebagai PEJUANG!

Selasa, 27 Januari 2009

FITNAH KEMENANGAN dan Perjuangan Berterusan.

Tahniah kepada Adun Bota yang mengambil tindakan meninggalkan Umno menyertai PR terutama menguatkan lagi benteng kuasa PR di Perak. Umno merancang dan menyususn strategi serangan melampau ala Israel terhadap Pas dan rakan PR lain, Namun Allah punya rancangan membalas paku buah keras yang dibuat oleh mereka. Nah, sekarang pakat terduduk bingunglah pimpinan Umno termasuk Najib yang beria sungguh menunggu mac 2009 berserta kuncu-kuncu tuli Umno yang lain.

Nampaknya kejutan demi kejutan yang berlaku yang menunjukkan gelora tsunami politik 2008 masih berterusan. Tsunami yang telah melenyapkan kuasa BN di 5 negeri dan 1 wilayah persekutuan itu masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berhenti.

MasyaAllah, Hebatnya Allah mengatur. BN tidak menjadi sejarah dalam satu hari sahaja. Umno dan BN semakin hari semakin diaibkan oleh Allah. Jenuh kita baca krisis dalaman BN. MIC, Umno, MCA, Gerakan semuanya sama saja. Sedang bermasalah. Mungkin Allah mahu hilangkan kuasa BN dalam proses berdikit. Sedikit demi sedikit BN menjunam ke lahad. Allah mahu hinakan keangkuhan mereka. Maka berlakulah apa yang telah berlaku sekarang.

Saya tertarik melontar apa yang saya pandang terhadap tsunami ini. Apakah tsunami ini suatu kejayaan Mutlak kepada Pr dan Pas terutamanya yang membawa panji2 Islam melalui wadah politik? Atau kita melihat kemenangan kali ini sebagai silsilah (episode ) ujian?

Bagi saya Pas dan muslim lain harus bersyukur kerana pusingan dunia hari ini seperti menunjukkan kita sedang berada dalam pusingan kebangkitan semula Islam. Pusingannya sudah bermula di banyak Negara termasuk Turkey. Minoriti Islam di negara2 bukan Islam sudah mula ada tapak yang kukuh iaitu aqidah mempertahankan iman. Kumpulan2 Islam yang diserang semakin bertambah kuat dan masih belum ada kumpulan Islam yang hancur kerana berperang dengan kuasa kuffar

Di Malaysia, harapnya tempias pusingan itu yang sedang berlaku. Orang bukan Islam sudah mula melihat kehebatan Islam memerintah. Tidak lagi gerun dengan Islam kerana Islam bukan agama hantu yang menakutkan seperti yang digambarkan oleh Umno kuno dulu, tetapi Islam agama yang membawa rahmat buat seluruh alam.

Ya, memang benar bukan semua yang mengundi Pas dan PR mahukan Islam. Bukan semua yang memberi undi kepada Pas mahukan Islam ditegakkan. Bukan semua yang mengundi itu menyokong Pas. Kita harus percaya bahawa memang ada unsur undi protes iaitu memberi undi kepada Pas kerana protes dan tidak puas hati kepada satu dua orang dalam BN. Tetapi dia sebenarnya bukan berminat dengan pejuangan Pas.

Oleh itu, kita percaya, inilah perancangan Allah. Allah memberi izin kepada Pas dan PR untuk memerintah di 5 buah negeri dan Menjadi kuasa pengimbang yang sangat kuat di Parlimen. Peluang untuk buktikan kemampuan dan kesediaan kita mentadbir. Alhamdulillah.

Berbalik semula.

Saya melihat silsilah / episod tsunami politik yang berlaku di Malaysia sekarang sebagai satu Fitnah besar kepada Pas. Fitnah yang ertinya ujian, bukan mereka cerita jahat. Fitnah yang pernah kita tanggung hampir 50 tahun sebelum ini ialah fitnah yang berbentuk kesusahan dan penindasan. Sekarang Fitnah itu bertukar rupa menjadi sesuatu yang sangat menyenangkan. Fitnahnya ialah SELESA. Fitnah kesusahan, ramai yang mampu bertahan kerana bentuknya mendamba taqarrub (mendekatkan diri) dengan Allah. Tetapi Fitnah Kesenangan, ramai yang hanyut.

Saya melihat bila kita diuji dengan Fitnah kesenangan dan kemenangan besar ini, kita sebenarnya semakin hampir dengan Kemenagan yang telah dijanjikan Allah. Tidakkah kita melihat kepada episode perjuangan Rasulullah? 13 tahun diuji dengan pelbagai susah yang sukar dibayangkan. Sebaik hijrah, Allah menangkan Islam dengan kemenangan yang cukup besar dalam Perang Badar. Selepas itu, Bermulalah Fitah Kemenangan.

Dalam peperangan seterusnya, Perang Uhud, dengan prasaan selesa, dengan pengaruh kemenangan di Badar, Ghanimah dan sebagainya..perkara–perkara tersebut akhirnya menjerat Muslimin dalam fitnah yang sangar hebat. Uhud berpihak kepada musyrikin dengan kesilapan Muslimin.

Tidakkah kita melihat, bila Islam sudah memerintah maka ramai bukan Islam mengaku Islam. Ada Islam yang betul2 Mantap iman kepada Allah. Ada yang mengaku Islam tetapi sebenarnya pura-pura Islam yang kemudiannya dinamakan mereka ini golongan MUNAFIK! Mereka inilah ancaman paling besar dan menjadi duri dalam daging dalam sejarah Islam. Sedangkan sama sekali tidak pernah terbayang kewujudan munafik ketika ditindas di Makkah.

Inilah yang saya maksudkan dengan Fitnah Kemenangan.

Islam pastinya bermula dengan susah seperti di Mekah. Terlalu lama melalui jalan susah. Bila tiba ketika Allah mahu mengubah posisi Islam dari kelompok yang ditindas kepada kelompok yang sangat kuat, Allah berikan ujian kemangan di Badar. Dengan sedikit kelalaian dengan fitnah kemenagan tersebut, Tentera Islam tidak menang di Uhud. Namun, selepas kembali bermuhasabah, Islam bangkit semula menjadi kuasa yang sangat kuat.

Begitulah kita. Semoga menyedari kemenangan ini sebagai satu Fitnah. Jika kita sedar dan sentiasa berwaspada dengan Fitnah ini, tidak mustahil kemenangan yang lebih besar akan kita kecapi dalam masa terdekat ini. Jika berjaya kita hadapi kedua-dua marhalah fitnah ini (fitnah kesusahan dan fitnah kesenangan), maka kita sudah bersedia untuk membawa panji Islam.

Namun, apa yang kita lihat ramai dari kalangan kita terlalu SELESA dengan Fitnah kemenangan yang Allah berikan ini. Ramai yang bercakap besar mengulas kemenangannya. Ramai yang terlalu tamak ghanimah (harta rampasan – saya gunakan untuk jawatan2, dan kepentingan2 lain). Bercakap dengan menghina musuh (umno) itu perkara biasa. Sedangkan mereka juga muslim. Ramai yang bongkak bicaranya. Tak usah ungkapkan kami akan buat itu ini pada tarikh sekian-sekian, tapi katalah kami akan buat jika Allah izinkan. Tak perlulah ungkap dengan penuh Bongkak mahu tukar kerajaan 16 september. Tak perlulah ungkap pelbagai strategi. Tak perlu ungkap dengan penuh bongkak ini-ini akan berlaku.

"Allah berfirman dengan erti; Janganlah kamu bercakap tentang sesuatu aku akan buat ini esok, melainkan kamu berkata aku akan buat ini-ini dengan izin Allah…." (al-kahf ayat 23-24)

Ramai juga yang sudah tinggalkan tahajjud, tinggalkan usrah, tinggalkan aktiviti jamaah lain. Kuliah-kuliah juga sudah kurang pendengarnya. Kerja-kerja jemaah sudah tidak mahu. Sedangkan itulah kunci kemenangan yang sebenar. Rupanya, kita tidak melihat Pas (dan PR) yang memang dalam pilihanraya lalu. Yang menang ialah kemarahan rakyat. Pas tidak nampak kuat dengan kemenangan ini. Petugas Pas tidak ambil kesempatan dengan situasi sebagai pemerintah untuk kuatkan Pas. Ahli pas semakin lesu dengan kemenangan ini. Ahli Pas sudah banyak melepaskan talinya dengan Allah. Doa sudah tidak sekerap dulu. Disiplin sudah longgar. Kritik mengkritik sudah tidak beradab. Jatuh menjatuhkan, serang menyerang, saling memperleceh hang aku sudah jadi budaya dalam era kemenangan pas 2008. Inilah perkara yang harus kita muhasabah semula.

Semoga sebelum menjelang PRU13, ketelanjuran2 ini dapat diperbaiki. Jika tidak, kita akan lihat Pas kembali ke posisi lama. Pilihanraya depan, semoga tidak berlaku budaya lobi melobi, minta meminta dalam proses memilih calon. Jangan sampai kemenangan ini membawa Pas melihat kepada ghanimah semata-mata. Tidak lagi kepada amanah dan peperangan.

Satu perkara lagi yang sangat mustahak disedari dalam kemenangan ini ialah kedudukan golongan Munafik dalam perjuangan. Di mana mereka? Di sof mana mereka? Apa tingkah mereka? Itu semua harus diperhati. Kita percaya dalam tempoh 4 tahun ini atau lebih Kemasukan ramai akan berlaku. Malah yang tak masuk juga menagku bersama dengan kita. Pimpinan harus memikirkan Bagaimana mengurus mereka. Jangan pula terlepas memberi panji-panji perang untuk dipegang oleh golongan ini.

Terakhir, kita harus ingat, Pas merupakan Parti Islam yang mendokong dasar Islam. Islam membawa rahmat untuk semua. Imej kita Islam. Oleh itu, Kita disokong kerana kita Pas. Kita dipilih kerana kita Pas. Kita disukai kerana kita Pas. Bila kita tidak lagi seperti Pas maka tidak bermakna lagi kita bersama dengan Pas.