Selamat Datang

Sabtu, 30 Disember 2006

Selamat Aidil Adha..

Selamat Aidil Adha untuk kalian semua. Semoga ruh Pengorbanan Saidina Ibrahim dan Saidina Ismail alaihimasSalam akan menyaluri urat nadi kita.

Bayu menyambut Aidil Adha kali ini dengan tidak mendengar suara mama dan baba. InsyaAllah 3 - 4 minggu nanti bayu akan kembali mendengar suara kasih dari mereka:)
Bukan itu sahaja, bayu rasakan agak lain juga raya kali ni..
Selalu pagi raya, ada orang istimewa akan hantar sms mengucapkan "Selamat Hari Raya.. Maaf Zahir dan Batin", tapi kali ni tidak. Agaknya kredit tak sempat nak top up kot.

Raya kali ni, bayu tidak berasa sangat susana raya. Mana tidaknya.. banyak hal yang selalu bayu siapkan untuk raya, bayu langsung tak kisah kali ni.
Bayu tak pun kemas rumah untuk raya, kesian rumah tu..macam tak raya jugak jadinya..tetap macam rumah bujang yang malas :)
Kali ni bayu jugak tak potong rambut..awat tak tau? mungkin malas.. ataupun mungkin jugak, kot kot orang suka kite berambut panjang.. ntah la:)
Bayu tak bercadang nak pakai baju raya kali ni, walaupun baju coklat pemberian istimewa.. mungkin tak ada mood nak beraya kot. Baju baju baru, seluar seluar baru semua dalam almari.. buat tak reti je:)
Selalu pagi raya bayu akan ambil sunnat mandi sunnat raya, tapi pagi tadi.. Wow!! cuaca sejuk sangat, air pula lambat sangat nak panas.. jadi terpaksa la korbankan mandi sunnat:) semalam bila tak sempat mandi sunat jumaat disebabkan kawan dengan selamba menghabiskan air panas yang bayu panaskan, bayu bercadang biarkan saja supaya boleh mandi sunnat pagi sabtu ni.. sunnat raya.. tapi dua dua bayu tak dapat. maka tak mandilah bayu untuk dua hari ni :)

Untuk teman teman di Malaysia, Selamat Aidil Adha.. sambut hari ahad kan? maknanya kami makan daging dulu la noo ;)

Isnin, 25 Disember 2006

Salam Bayu mengingati Tsunami

salam kasih buat semua pengunjung dan teman2 yang sentiasa menemani Bayu berhembus..

lusa (27/12/2006) saya akan menghadapi paper pertama (Fiqh Muawadhat) untuk peperiksaan penggal pertama di Universiti. kemudian cuti selama seminggu dan akan sambung semula peperiksaan sampai hujung bulan januari tahun 2007.. 2 tahun kan saya periksa.. wow! lama tu :)

entahla, sekrang ni hembusan Bayu agak tak keruan.. BaYu bimbang akan menggangu bayu di kala periksa kali ni.. apa pun harapan baYu dari kalian sudi sudi lah selalukan mendoa baYu di sini..

Sempena ni jugak, bayu mohon maaf kepada teman2 yang biasa dengan baYu kerana lama tidak menyapa kalian.. mungkin jugak akan begini sehingga hujung bulan depan. Bayu selalu mengikuti perkembangan kalian cuma bayu tak kesempatan menyapa kalian.. maaafkan baYu ok?

teman,
esok genap 2 tahun peristiwa Tsunami..
harapan bayu..
biarLah Bayu sentiasa tenang berhembus demi mendamaikan jiwa yang disapa, harapan jugak Bayu tidak mengikut resam Tsunami yang terlalu ganas bertamu :)

Ahad, 17 Disember 2006

Gerimis ini..

Tabahi saja gerimis yang menitis,
menjadi resam maya,
cerah pasti bertamu mendung jua..
sekuyup mana pun kita,
masih ada mentari nan memberi sinar..
biarlah aku pimpinMu tempuhi jua,
bersama meredah mewaja,
kerana kita mahukan pelangi di sana...

Khamis, 14 Disember 2006

Bayu tersegar dek Ruqaya

Walaupun Bayu masih tak sesegar bayu bertiup.. tetapi bayu terpanggil mengungkap tahniah buat pelari Bahrain, Ruqaya al-Ghasara dalam sukan Asia tahun ini. Beliau begitu menarik mengungkap sirah sukan dunia dengan membuka mata kelompok pelekeh islam. Saya yakin kalian telah pun baca petikan akhbar di Berita Harian seperti yang telah saya iringkan tulisan saya ini. Semoga kita juga tidak silu untuk perjuangkan agama kita di setiap pelusuk pentas hidup di dunia biar apa ketika sekali pun..
Tahniah buat Ruqaya al-Ghasara!!

Petikan dari Berita Harian Khamis 13Disember 2006..

Ruqaya buktikan memakai tudung bukan masalah untuk berjaya dalam sukan

PADA zaman wanita Muslim kian mendapat perhatian kerana memakai tudung penutup kepala, pelari Bahrain, Ruqaya al-Ghasara membuktikan hijab bukan penghalang untuk memecut di trek.

Ruqaya yang memenangi gangsa acara 100m Sabtu lalu selepas melakukan pelepasan semula, memastikan emas Sukan Asia acara 200m kelmarin, mencipta larian hebat di 10 meter terakhir bagi menamatkan saingan dengan catatan 23.19 saat.

Penonton di Stadium Al-Khalifa bergema ketika Ruqaya bergerak ke garisan, kepala terhangguk-hangguk ketika dia memerah setiap inci kudratnya daripada berat badan 65kg untuk memenangi perlumbaan berkenaan.

Sebagai seorang Muslim yang patuh, dia segera sujud di trek selepas melepasi garisan dan menyentuh bibirnya sebelum kembali ke trek, memakai hijab putih yang menjadi tanda kehadirannya – menampakkan tanda jenama barangan sukan Amerika Syarikat – yang diikat kukuh dengan pin dibawah dagunya bagi perlumbaan itu.

Kaki dan tangannya juga ditutup sepenuhnya dengan pakaian berwarna merah dan putih Bahrain selain singlet di bahagian atas badannya.

“Syukur kepada Allah saya menang,” kata pelajar berusia 24 tahun itu, yang tidak seperti atlit import lain dalam pasukan olahraga Bahrain yang sebenarnya berasal dari Negara Teluk yang lain.

“Saya memang berhak menang emas acara 200m. Saya adalah yang terkuat dan terbaik,” kata Ruqaya sambil menambah dia tidak bermasalah memakai penutup kepala.

“Saya memiliki keinginan hebat untuk menunjukkan tiada masalah apabila memakai pakaian seperti ini,” katanya.

“Saya mahu katakan saya amat bertuah kerana menjadi seorang Muslim – ia satu rahmat. Memakai pakaian konservatif memberi galakan kepada saya. Memakai hijab membuktikan wanita Muslim tidak berdepan halangan dan menggalakkan mereka untuk menyertai sukan.

“Ini adalah kemenangan buat semua wanita Muslim.

“Saya menasihatkan semua wanita Muslim untuk menyertai sukan. Ia amat bagus untuk kesihatan dan negara anda.”

Ruqaya yang dilatih oleh jurulatih Algeria, Nooruddin Tajin, berkata emas Sukan Asia miliknya adalah kemenangan terbesar sepanjang kariernya.

Dia memenangi tiga perak dalam acara 60m, 200m dan 400m Kejohanan Dalam Dewan Asia di Tehran pada 2004, dan berlari dalam dua acara pada Kejohanan Pan-Arab di Amman setahun sebelumnya.

“Harap-harap saya akan dapat memenangi sesuatu pada Kejohanan Dunia di Osaka, tahun depan,” katanya. – AFP

Ahad, 10 Disember 2006

Buat Mama dan Baba

Selamat segala selamat saya doakan untuk mama dan baba yang telah pun bermusafir pagi tadi (8.00 pg waktu Malaysia) memenuhi Lambaian Kaabah demi menyempurnakan rukun Islam pada tahun ini. Saya doakan mereka selamat dalam perjalanan dan selamat sepanjang berada di sana serta didoakan semoga mereka diselamatkan dari segala keburukan dunia dan akhirat di sepanjang umur yang masih Allah bakikan kepada mereka.
Semalam dan dua hari sebelumnya saya telefon ke Malaysia dan sempat juga ber'chat' dengan mama dan baba. 3 hari ini saya hanya mahu mendengar suara orang tua saya yang tercinta ini. Entah kenapa saya tak pasti, jiwa yang lemah di kala ini terlalu merindui baba dan mama. Perasaan inilah yang saya rasai semenjak seminggu dua kebelakangan ini.
Mama akan menyambut hari lahir yang ke 55 di Mekah esok (11 hb Disember).. "Selamat menyambut hari lahir mama.. semoga mama akan bahagia di dunia dan Akhirat".
Naluri seorang ibu sangat hebat. Sebenarnya saya terasa menyesal ketika ini kerana tidak sengaja membuatkan mama mungkin terasa gundah.. 3 hari lepas saya menelefon Mama dan Baba.. saya bersembang, rupanya dari suara saya bercakap mama tahu yang saya sedang susah hati. Mama tak suarakan pada masa tu, tapi esoknya semasa kami chat.. mama tanya "Bayu(bukan panggilan sebegini mama panggil saya, hanya sekadar diisi di ruang ini) ada masalah ka? mama dengar suara semalam tak ceria pun. Mama harap bayu buat la elok2. ada apa2 selesaikan dengan baik" saya tidak menafikan malah tidak juga mengiyakan.. hanya diam saja.
Rupanya, bukan setakat itu naluri mama, semalam hari terakhir mama sebelum berlepas ke Mekah hari ni, mama bercakap lagi dengan saya dan mama nak bersembang juga dengan seorang insan yang mama tahu kerana dia hidup saya sebegini.. tapi malang insan tersebut, agak sibuk dengan urusan lain, lalu tidak berkesempatan bersama mama. Mama cakap saja dengan saja dan suatu motivasi sangat bermakna untuk hidup ini di kala ini.. baba jugak rupanya mengerti perasaan ku sekarang.. Baba tak banyak bercakap, cuma baba kata " bayu, memang manusia ni macam tu diuji, selagi tiada apa2 ikatan manusia akan seronok sahaja, tapi bila sudah dibuat ikatan..dugaaan sangat banyak dan terlalu mencabar. Siapa yang dapat menghadapi dan berjaya dengan ujian ini..itulah kemenangan dan kebahagiaan hidup kita.". baba cakap lagi.. "jaga lah insan ini elok2, baba dan mama dah suka"

Saya sebenarnya terlalu mengkagumi naluri seorang ibu dan seorang ayah.. terlalu hebat perasaan mereka terhadap anak2 ini. Saya yang berada beribu batu jauh dari mereka juga masih terikat dengan suatu perasaan yang Allah sahaja yang maha mengetahui. tidak diberitahu keadaan diri ini, mereka juga seperti dapat suatu mesej dengan naluri mereka keadaan anak anak mereka.. hebat kan?

Sekarang saya akan menghadapi hari hari saya tanpa lagi berita dan ungkapan ungkapan kata bermakna dari mama dan baba.. hampir dua bulan mendatang sesuatu yang agak sukar juga kalau difikirkan, sebab saya akan keseorang dalam tempoh yang mencabar ini.. teman yang saya perlukan sedang ber"cuti" agaknya..
dalam tempoh ini, saya akan hadapi exam dan sesungguhnya saya tak pernah hadapi sebarang peperiksaan kecuali saya akan mendengar suara mama terlebih dahulu. dalam tempoh ini juga, Raya aidilAdha akan datang.. dan dalam tempoh ini saya akan ditinggal lagi oleh kawan2 yang lain sebab semua akan sibuk juga menghadapi peperiksaan..

apa pun..
Selamat hari lahir buat mama..
dan Selamat segala selamat sya doakan buat mama dan baba..
memang betul, mama dan baba fikirkan.. mereka tahu saya sedang kesunyian dengan sebab seorang insan.

Khamis, 7 Disember 2006

Bayu Sambut Hari Lahir..

6 hb Disember, Bayu sekali lagi diberi anugerah Tuhan menyambut ulang tahun kelahiran untuk kesekian kalinya. Bayu diberi rezeki untuk mengadakan sedikit kenduri kesyukuran secara kecil kecilan buat teman teman terdekat di sini. Alhamdulillah, kenduri ini Bayu khaskan buat mensyukuri Nikmat Umur yang diberi Allah kepada Bayu dengan harapan umur yang mendatang akan sentiasa disuluh jalan dengan cahaya ilahi di samping Allah kafaratkan segala dosa dosa yang telah Bayu lakukan selama dan sebelum ini. Kenduri tersebut juga Bayu adakan sempena memohon kepada Allah supaya diselamatkan perjalanan pergi dan pulang baba dan mama Bayu ke Tanah Suci Mekah dan selamatkan mereka sepanjang berada di sana disamping anugerahkan kepada mereka Haji yang mabrur dan dimaqbulkan segala doa mereka di tempat tempat yang dijanjikan akan dimustajabkan doa. Baba dan Mama akan bertolak pada 10 hb Disember ini. Mama akan menyambut ulangtahun ke 55 kelahiran beliau di tanah suci Mekah pada 11 hb disember. Harapan benar agar doa baba dan mama buat anak anak ini akan diberi segala kebaikan dan jadikan kami anak anak yang soleh, dan mama cakap akan doakan juga buat menantu menantu dan bakal bakal menantu agar diberi kekuatan membawa anak anak mama dan zuriat seterusnya ke arah ridho Tuhan semesta Alam.

Di sini sempena ulang tahun 6 Disember, tarikh kelahiran Bayu semenjak lebih 20 tahun lalu, bayu akan mengungkap sedikit Perutusan Terbuka buat teman teman sebagai janji dan luahan suara hati diri sendiri:

"Alhamdulillah, semoga umur yang diberi Allah kepada saya tidak dibiar saja malah diberi petunjuk yang berpanjangan dan di suluh jalan kebenaran serta dibimbing dalam menentukan setiap keputusan.

Sempena ulangtahun kelahiran saya pada tahun ini, saya mengucapkan terimakasih buat semua yang telah berkorban dan berfikir demi kehidupan saya, terutama kepada mama dan baba, adik beradik serta seluruh sahabat yang sentiasa bersama saya senang dan susah. Sebenarnya ucapan terimaksih khas harus saya tujukan kepada seorang insan yang seakan telah mengambil tempat mengganti mama dan baba semasa saya berada di bumi Syria ini. walaupun tak mampu menandingi kasih mama dan baba, tapi cukuplah buat saya rasa ditemani di kala saya amat memerlukan mama dan baba dengan kehadiran insan ini. Kepada semua sahabat yang amat menghargai saya, andalah teman saya. saya bersyukyur kerana dikenalkan tuhan kepada anda.

Dikesempatan ini, saya sesungguh sungguh hati memohon ampun dan maaf buat semua yang mengenali diri ini. Dan saya mohon maaf khas buat inan yang paling rapat dengan saya..kerana bila semakin rapat semestinya semakin banyak dugaan dan semakin hebat pula rintangan. sudah pasti terlalu banyak kesilapan.

Andai kata tahun ini adalah ulangtahun terakhir kelahiran saya, saya memohon kepada Allah agar tamatkan tempoh umur saya pada tahun ini dengan taqwa padaNya. Andai kata tahun hadapan tiada lagi sambutan ulangtahun kelahiran saya, saya mintak maaf buat semua insan. Saya juga memohon agar dihalalkan segala galanya. Jika ada saya berhutang tuntutlah dengan waris nanti. Jangan dibiar Saya kembali kepada Tuhan dengan penuh berhutang kepada kalian samada berbentuk material mahupun kesilapan fizikal. Ampunkanlah segalanya. Jika benar saya tak berpeluang lagi menyambut ulangtahun kelahiran selepas ini, saya harap kalian takkan lupa diri ini untuk disedekahkan doa dan pahala kepada roh yang amat lemah ini. Sentiasalah ingatkan saya dalam doa kalian.
Kepada insan insan tersayang, iringlah nanti pemergianku dengan kudus doa dan mungkin itu taqdir terbaik buat kita..

teman yang saya sayangi,
saya juga mengharapkan doa khas dari teman untuk mama dan baba saya yang akan berangkat menunaikan Haji pada 10 hb Disember ini. Pandulah mereka dan peliharalah mereka sepanjang perjalanan pergi dan balik serta selamatkanlah mereka dari segala keburukan sepanjang mereka berada di sana dan setelah mereka pulang ke Malaysia. Kurniakan mereka haji yang mabrur dan terimlah segala doa mereka.

Ya Allah.. dengan amanah umur ini, aku pohon kepada Mu berikanlah umur yang barakah kepadaKu dengan diberi umur ini dalam taat dan Ibadah tanpa sebarang kesyikiran dalam aqidahKu kepada Mu dan Agama Mu. Ya Allah jika hidupku terlalu menyusahkan hamba hamba mu yang lain terutama menyusahkan insan yang teramat bermakna dalam hidupku dan jika ilmu Mu mengatakan adalah baik untuk aku dikembalikan ke samping Mu, Aku ridho. dan aku pohon kau Matikanlah aku dalam aqidah yang masih bersih dan matikanlah aku dengan semulia kematian. Matikanlah aku dalam husnul khatimah.
Ya Allah berikanlah kekuatan untuk terus berjuang dengan umur yang masih berbaki entah berapa detik lagi, dan berikan aku pertolongan dari Mu dalam menempuhi umur mendatang. Ya Allah, jika sudah tiada lagi sebarang kekuatan untuk hidup, kau berikanlah aku kekuatan tersebut. dan jika aku terlalu lemah untuk hidup di Alam ini, Kau pindahkanlah aku ke Alam yang kekal dengan penuh maghfirah dan rahmah dari Mu.
Ya Allah, selagi umur bersama diri ini, Kau berikanlah aku semula segala semangat yang telah terbang melayang.. Capaikanlah segala cita cita Ku. Berikan aku segala kebaikan dan jauhi aku dari segala Keburukan.
Ya Allah terimalah doa hambaMu ini.. Amin.

Saya mengharapkan saya menjadi orang baik dan memahami orang lain serta pandai menghargai orang lain di samping difahami juga oleh orang lain.
Saya terlalu bercita cita agar diberi segala kejayaan.. tapi terus terang saya mengatakan melihat orang yang tersayang berjaya sebenarnya dah cukup menggembirakan hati ini.

Terimakasih kepada semua..
Kullu Am Wa Antum Bi Khair Jami'an..
Wassalamu Alaikum Warahmatullah Wabarokatuh.."

3.30 petang,
6/12/2006 ,
Bilik peribadi,Mujtahid, Damascus, Syria
sempena ulangtahun kelahiran Bayu.

Isnin, 4 Disember 2006

nak Periksa tapi...

Kurang lebih tak sampai lagi sebulan saya akan hadapi peperiksaan semester pertama tahun ini. Semua doktor pensyarah sedang bertungkus lumus menghabiskan sukatan dan sedang bersiap siaga untuk menyediakan soalan soalan untuk peperiksaan kali ini. Pelajar pula saya melihat sedang sibuk menelaah dan mengulangkaji pelajaran. Bagi pelajar yang tak pernah nampak muka masa kelas berlangsung pun sudah mula kelihatan bermundar mandir di kawasan kelas untuk sibuk mencari dan bersoal tentang soalan soalan ramalan. universiti tempat saya belajar tak wajib hadir ke kelas.. peratus kedatangan langsung tak ada.

Dalam keadaan bahang peperiksaan yang terlalu dekat ini, saya pula lain ceritanya. Saya mulakan sesi pengajian tahun ini dulu dengan penuh semangat dan saya fikir.. sayalah pelajar melayu terakhir serajin ini..
namun sekrang, entah mengapa.. Semangat yang dikendong selama ini telah pun melayang.. melayang yang dinanti kepulangannya..

Ini lah semangat saya di bumi bertuah ini.. ini lah inspirasi saya.. ini lah peransang pemberi motivasi kepada saya selama ini.. Semangat yang teramat penting ini telah pergi.. kuharap perginya hanya sementara.

Jumaat, 1 Disember 2006

Mandi di musim Sejuk

mandi adalah suatu yang menggerunkan manusia di musim sejuk. Bagi manusia berwarganegara Malaysia atau sekutunya, sekurang2nya mandi 3 hari sekali adalah menjadi rutin di sini di kala musim sejuk. Ada kawan kita yang lebih dari itu jenis manusia yang cepat rimas akan mandi setiap hari macam biasa. Tapi bagi bangsa arab di sini dan lain2 bangsa seminggu sekali itu pun dah dianggap kerap. Bila mereka tau saja kita mandi sekerap ini, terkejutnya mengalahkan bertemu alien. Rupanya tersingkap kepada kita kenapa syariat sunnatkan mandi hari jumaat.. kalau tak, pakat tak mandila depa ni kan?!

Mandi di musim sejuk amat enak bila air itu panas. Tapi amat siksa tiba2 air panas habis tanpa ada amaran awal..aduh siksanya sehebat dibakar api.. oh, mau mati kata orang. Pasti terloncat sehebat disambar elektrik.. tak percaya? cuba la sekali...
Mandi dengan air panas di musim sejuk amat melekakan. mana tak nya,nanti bila ditutup air cuaca sejuk langsung menikam diri. Biar saja air panas itu membalut diri. Ah..nyaman sekali.

Tapi ingat la oi..kawan2 ramai lagi tak mandi.. orang dah nak azan jumaat :)

untuk siapa AIR MATA ini..

Air mata suatu anugerah Allah yang sungguh jauh berharga tidak ternilai kepada manusia. Air mata selalunya menjadi lambang kepada perasaan. Namun banyak juga air mata yang dipalsukan lalu dipanggil air mata buaya.
Air mata ini Selayaknya ditumpahkan kepada Allah taala lantaran penyesalan terhadap dosa yang pernah dilakukan. Namun bila air mata ini ditumpahkan pada seseorang, maka pastilah orang itu sungguh bermakna pada kita. Jernih air mata melambangkan jernihnya hati itu memohon taubat dari Allah. dan jika jernih air mata ini tumpah kerana seseorang, inilah lambang jernihnya hati itu mengasihi dan menyayangi orang yang ditangisi.
Rasululullah pernah tangisi kematian anakandanya Ibrahim dan pernah juga menangisi pemergian Sdtna Khadijah RadhiaAllahu anha.. Demekianlah lambang cintanya baginda kepada dua insan ini, juga menjadi lambang bahawa dua insan ini cukup penting dan membawa makna yang besar kepada hidup baginda.

Bila jiwa kerdil seumpama kita mencabar jiwa jantan, merobek kelasakan seorang hero sehingga tidak lagi mampu menahan desakan arus perasaan lalu menumpahkan air mata, hanya kerana insan...
Insan itu Amat Penting dan insan Itu insan Paling memberi makna dalam erti sebuah hidup. Percayalah!!!

Rabu, 29 November 2006

Surat buat FarSha

Menjadi pemendam rasa..

Sebulan menjadi pemendam amat memedihkan naluri dan emosi. Namun desakan dan keadaan membuatkan saya terpaksa menanggung bebanan ini.

Saya bukanlah jenis manusia yang kuat dan tabah menyimpan rasa. Bila hati berbicara pasti lidah mengungkap kata.

Sebulan ini kurang lebih saya telah bertukar rupa. Terpaksa menjadi manusia jadian lain peranan. Kalau ikutkan hati ini, mahu saja dibiar barah memakan rasa. Tapi akal menjanjikan suatu logikal bahawa selagi dipendam semakin diperkasam.. keadaan yang harum mendikit menjadi masam. bicara akal, luahkan saja..biar pedih sekarang,namun menjamin kemanisan berpanjangan.

Namun terfikir sekarang, bila keadaan sudah agak lewat, bila bebanan rasa telah diungkap kata, kadang kadang menjadi pemendam rasa adalah lebih baik dari suka melafaz kata. Biar terpaksa berpura. Kerana diri ini lemah amat menanggung derita ini. Mata yang berat pun tak mau lagi berehat. perut yang lapar juga tak dipeduli lagi. Kaki melangkah ke merata tanpa ada tujuan. Diri berasa keseorangan. Semangat melayang tak pulang pulang.

Saya menanggung duka derita bila hati terlalu berat menanggung pelbagai persoalan tanpa penjelasan.
Sekarang menanggung pula derita bila Kesal meminta penjelasan.

Selasa, 28 November 2006

Perkahwinan orang Muda

18 haribulan baru ni, saya menghadiri kenduri perkahwinan seorang sahabat di sini.. kenduri kalau nak dikira suasana di sini, nampaknya agak meriah la jugak walaupun tergesa-gesa. Hanya 2 hari membuat jemputan kepada seluruh tetamu.. tapi jika nak dibandingkan dengan susana Malaysia, nampaknya kenduri tersebut adalah sepaling simple. Namun yang penting bukan kenduri.. yang pentingnya jemputan kenduri dan matlamatnya mahu dihebahkan berita mulia ini.. kan?

saya terfikir.. macamana agaknya perasaan orang tua pengantin? kedua dua pihak pengantin masih ada ibu dan ayah.. tapi mereka membina ikatan perkahwinan yang merupakan suatu sunnah agung ini tanpa kehadiran orang tua.

saya pernah bersembang dengan ramai kawan kawan.. maka saya membuat kesimpulan bahawa kahwin di luar negara ini, terbahagi kepada dua mazhab: 1)Mazhab kira mudah 2) Mazhab orang tua..

bagi mazhab kira mudah ini, mereka mengatakan perkahwinan ini suatu keperluan. Keadaan amat mendesak dengan kehidupan di sini. Demi menjaga diri,perkahwinan seharusnya disegerakan.. kalau nak tunggu balik Malaysia.. jenuh la. Mereka tak akan tunggu balik Malaysia dah. Sudah ada depan mata, sambar terus. Kahwin di sini dulu, nanti balik perkenalkan pada keluarga.

bagi mazhab orang tua pulak, saya melihat mereka amat mementingkan perasaan orang tua. ye la, ibu dan abah masih ada.. sebagai anak perempuan yang selama ini dijaga oleh ibu abah dia..tiba2 si lelaki nak ambil alih tugas menjaga dan memberikan kehidupan kepada si perempuan ini tanpa ada orang tuanya bersama.. nampak saja sudah agak pelik. mereka akan balik berkahwin di Malaysia dan nanti akan datang bersama meneruskan kehidupan di sini.

Baru baru ni semasa berada di Jordan, saya sempat menziarahi seorang sahabat.. beliau ialah menantu kepada sdr. Shaari Sungib, seorang aktivis. katanya dia berkahwin dengan cara yang paling simple. Pak Shaari ni, sewaktu kedua orang tua sahabat lelaki saya ni nak pergi membuat perhitungan terakhir..pak Shaari cakap, bgtau ke ayah awak jgn bawa datang apa apa pun.. datang tangan kosong sudah memadai. Pak Shaari juga Tak banyak songeh menikahkan anaknya dengan pilihan sendiri.

saya pula terfikir.. Memang tanggungjawab ibu dan ayah mempermudahkan urusan anak anak mereka. Bagi la anak anak cepat menikah, terutama anak perempuan, tanggungjawab orang tua sudah terlepas..nantinya akan dipikul pula oleh si suami. Untuk anak anak, beranikah kite memberi jaminan mereka boleh terlepas dari asakan nafsu..ye la, bila air sudah penuh kepala :)

Apa pun kembali kepada mazhab tadi..
saya fikir kalau masih mampu bertahan lebih baik kahwin di Malaysia, biar ada bersama kedua ibu bapa kita.. sambut bersama keluarga. walaupun ibu bapa merestui perkahwinan di sini, tapi pasti terdetik juga dihati kecil mereka pabila mereka tiada bersama di suatu majlis yang sangat besar dan bermakna dalam hidup mereka.. dari kecil sampai besar mereka asuh, tiba2 orang ambil anak mereka..mereka tiada bersama.

tapi bagi mereka yang rambut semakin gugur dengan asakan suasana, silakan saja.. awak tu telah darurat..

Lamanya tak ada entri

maaf kpd semua sahabat..
setelah lebih kurang seminggu, saya baru berjaya tembusi gerbang masuk ke blog sendiri..
memang mencabar dan hampir putus semangat..
seminggu itu, saya penuh dgn modal..dan terlalu bercita cita memaparkan pada kalian,tapi malang usaha tak berjaya..
insyaAllah, jika punya masa saya akan masukkan entri yg saya sebut td. Tp mungkin sebahagian sudah tidak relevan lagi..
selamat membaca dan memberi komen kepada kalian sahabat maya saya..
dan kepada diri sendiri selamat mengaktifkan blog sendiri..
selamat segala selamat:)

Jumaat, 17 November 2006

Salamzzz

Salam taaruf buat teman di maya siber:)
berfikir untuk diri sendiri, berguna untuk diri..
berfikir untuk orang lain manfaatnya kita juga perolehi..
tapi jika tak berfikir untuk diri, tak relevan fikirannya untuk orang lain..
kalau tak berfikir untuk orang lain, hiduplah sndiri..
berunutnglah kalau ada orang lain fikirkan kita..
jangan sampai tak ada orang yang nak fikir pasal kita.....