Selamat Datang

Rabu, 13 Mac 2013

Rabiul Akhir : Mengenang Pembunuhan As-Syahid Hassan Al-Banna


PEMBUNUHAN AS-SYAHID AS-SYEIKH HASAN AL-BANNA (PENGASAS JAMAAH IKHWAN MUSLIMIN) 14 RABIUL AKHIR 1368

Beliau bernama Hasan bin Ahmad bin Abdir Rahman Al-Banna, merupakan pengasas, perancang dan juga penggerak dakwah Jamaah Ikhwan Muslimin. Beliau dilahirkan di “Al-Mahmudiah” berhampiran Bandar Iskandariah, Mesir. Lepasan Darul Ulum Kaherah pada tahun 1346 hijrah / 1927 ini sibuk dengan urusan mengajar dan menjadikan sebuah sekolah di Bandar Ismailiah sebagai tempat permulaan usaha penyebaran dakwahnya. Dakwah beliau cemerlang melalui persembahan dan pendekatan dakwah yang sangat memukau. Beliau meletakkan awal batu asas penubuhan jamaah Ikhwanul Muslimin bersama enam orang saudara seislam yang lain pada bulan Syawal  tahun 1346 hijrah bersamaan bulan Mac 1928 masihi.

Kemudian Syeikh berpindah ke Kaherah pada tahun 1351 hijri bersamaan 1932 masihi dan menjadikan Markaz Pusat Ikhwanul Muslimin di Kaherah.

Beliau bergerak merata-rata dan melawat pelbagai kawasan menyampaikan dakwah sehingga ramai orang mula menerima dakwahnya. Beliau juga merupakan Khatib yang hebat yang dapat membangkitkan kesedaran dan menyuluh panduan di dalam khutbahnya. Ucapan beliau yang sentiasa basah dengan Al-quran tersusun baik dan terasa sangat tenang. Dalam usia yang muda, Hassan al-Banna dikagumi kerana penyampaiannya yang jelas dan terang apabila menyampaikan khutbah di masjid. Beliau dapat meyakinkan para pendengar dengan kebenaran yang dibawa, matlamat dan keikhlasannya. Beliau mampu meyakinkan golongan intelektual dan orang biasa.

Berdasarkan kepimpinannya, Hassan al Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad, seterusnya melaksanakan cita cita perjuangan dengan tegas.

Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas Perang Dunia Kedua apabila pertubuhan ini turut bertanding dalam perebutan kuasa politik. Para penentangnya menyifatkan Ikhwan Muslimin sebagai negara di dalam negara. Sehingga tahun 1934, Ikhwan telah menubuhkan lebih 50 cawangannya di Mesir. Pertubuhan ini telah menubuhkan beberapa buah sekolah, masjid dan kilang. Pada penghujung Perang Dunia Kedua, Ikhwan mempunyai lebih setengah juta pekerja yang aktif dan setengah juta penyokong (sesetengah sumber menyebut sekitar 3 juta). Lebih 3000 cawangan kesernuanya telah wujud di Mesir dan 50 di Sudan hasil kerja Ikhwan yang melangkaui batas negara.

Dalam satu jawapan yang diberikan oleh wartawan barat terhadap dirinya yang bertanyakan siapakah dia, Hassan Al Banna menjawab, saya adalah pelancong yang mencari kebenaran, dan insan yang mencari erti kemanusiaan di kalangan manusia, dan warganegara yang inginkan kemuliaan, kebebasan, kestabilan, hidup yang baik untuk negara dan berjuang untuk menaikkan Islam.

Sebelum As-Syahid Syeikh Hasan dibunuh, berlaku konflik antara kerajaan Mesir dengan Ikhwanul Muslimin ketika itu yang telah menyebabkan 2 bandar besar Kaherah dan Iskandariah tidak dapat dikuasai oleh kerajaan lagi. Maka Perdana Menteri Mesir ketika itu Mahmud Fahmi An- Noqrashi Pasha dari Parti al-Safdi membuat keptusan menutup kumpulan Ikhwanul Muslimin dan mengharamkannya. Kesemua cawangannya yang berjumlah lebih 3000 diarahkan supaya dibubarkan. Sekiranya masih beroperasi, mereka akan dikira sebagai pertubuhan haram, pelampau dan pengganas. Unit-unit tentera Mesir dan tentera Ikhwan Muslimin yang berjuang di Palestine dipanggil balik. Berbagai-bagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap Ikhwan Muslimin. Pemburuan kepada anggota Ikhwanul muslimin berlaku secara besar-besaran sehingga ramai dari pimpinan Ikhwan dan ahlinya tertangkap dan terbunuh

Tidak lama kemudian Perdana Menteri Mesir telah dibunuh di hadapan pengawal dan tenteranya sendiri dan Gerakan Ikhwan telah dipersalahkan atas kejadian itu. Pada bulan yang berikutnya harta benda dan aset Ikhwanul Muslimin telah dirampas dan beribu ribu penyokong beliau telah disumbatkan ke dalam penjara.

Dengan alasan untuk mengendurkan ketegangan antara Ikhwan Muslimin dan kerajaan, pihak kerajaan menjemput Hassan al-Banna untuk berunding di Pejabat Jam'iyyah al-Syubban al Muslimin. Sebenarnya jernputan itu hanyalah sebagai helah untuk membunuh beliau.

Setelah Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan tidak kunjung tiba, syeikh keluar dari Bangunan tersebut untuk pulang. Beliau ditembak sejurus keluar dari bangunan tersebut. Selepas  ditembak, beliau bangun meminta bantuan ambulans. Setibanya di hospital Qasral 'Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Syeikh Hasan al Banna. Pada pukul 12.50 tengah malam, Hasan al-Banna menghembuskan nafas yang terakhir akibat tumpahan darah yang banyak. Peristiwa hitam ini berlaku pada 14 Rabiul Akhir 1368 bersamaan 12 Februari 1949.

Tiada ulasan: