sempena Sehari Bersama KKDS,
“PRIHATIN, PROGRESIF, KOMPREHENSIF”
Bismillahirrahmanirrahim
MUKADDIMAH
Ketika mengambil alih pentadbiran melalui muktamar agung baru-baru ini, KKDS sehingga hari ini merupakan Badan Kebajikan Anak Negeri (Bakan) yang terbesar dengan bilangan ahli yang paling ramai di Syria. Dengan itu, secara sunnahnya, KKDS merupakan Bakan yang paling berat cabarannya.
Namun pun begitu, ini merupakan cabaran yang harus kami pikul demi meneruskan kelangsungan jangka hayat KKDS dengan lebih cemerlang. Apa yang ditinggalkan kepada kami oleh generasi-generasi lepas dari segi ukhuwwah, perpaduan, gerakkerja, keyakinan, kejayaan dan permasalahan akan kami warisi. Oleh itu, kami mengharapakan semua ahli dapat membantu dengan menghulurkan segala bentuk sumbangan samada idea, dana, tenaga dan lain-lain untuk sama-sama kita meneruskan kejayaan dan kecemerlangan KKDS disamping memperbaiki segala kelemahan yang sedia ada.
Alhamdulillah, sedar atau tidak, tahun ini KKDS akan berumur 14 tahun. Samada ulangtahun ini disambut dengan sesuatu majlis atau tidak, seharusnya kita generasi yang baru ini melahirkan rasa syukur yang tinggi kepada Allah dan berterimakasih diatas jasa dan tapak yang telah diasaskan oleh generasi terdahulu lalu ketika ini kita dapat meneruskan nikmat kesejahteraan ini.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
UMMAT DI DALAM KRISIS
Sebagai sebuah badan pelajar Islam yang sudah berusia baligh, selayaknya bicara kita tidak hanya tertumpu dalam konteks dan kotak pemikiran yang dekat sahaja. Saya ingin mengajak para hadirin membuka mata cuba melihat di luar jendela KKDS tentang kegawatan Ummat.
Ar.Raad: 11”
Sekiranya kita menganalisa keadaan Ummat di saat ini, kita akan saksikan sebuah tamadun yang pernah unggul dan gemilang suatu ketika dahulu, kini sedang berkocak kuat. Kemalapan umat Islam sangat terasa hampir dalam setiap aspek. Kelemahan ekonomi, perpecahan politik, kelunturan daya intelektual dan kekacauan akhlaq sudah menjadi wajah umat yang sangat meruncing. Jika analisis ini dijalankan pasti hasilnya menunjukkan keadaan umat masa kini sangat terdedah kepada kehancuran dan kelemahan.
Melihat keadaan ummat Islam di Palestin, seharusnya kita insaf dan bertindak sesuatu. Golongan Zionis telah menguasai Palestin secara haram sejak berdekad-dekad lamanya. Jutaan warga Palestin yang diusir oleh Zionis telah hilang tempat tinggal dan hidup sebagai pelarian dalam keadaan yang sangat sulit. Setiap hari hak asasi manusia dilanggari, kanak-kanak yang membaling batu ditembak mati secara zalim, rumah dimusnahkan, hukuman secara beramai-ramai dipaksa ke atas orang awam, kebun dimusnahkan serta bekalan makanan dan ubatan dinafikan.
Begitu juga tragedi kemanusiaan yang berlaku di Chechnya, Kashmir, Afghanistan, Gujarat dan tempat-tempat lain. Amerika Syarikat juga secara haram menceroboh dan menguasai Iraq, sebuah Negara berdaulat yang pernah menjadi anggota PBB. Pencerobohan itu telah mengakibatkan kekurangan bekalan makanan, ubatan dan keperluan asas. Lebih dari 100,000 rakyat Iraq telah mati sejak pencerobohan haram AS. Malah krisis di Iraq tidak pernah terhenti sehingga sekarang.
Di Selatan Thailand, iaitu wilayah kaum Muslimin yang sangat hampir dengan kita, eskploitasi dan penindasan ke atas orang Islam berterusan tanpa henti. Ratusan orang awam hilang disebabkan oleh penangkapan dan pembunuhan oleh pihak keselamatan. Pada Oktober 2004, 78 orang telah ditahan ketika berdemonstrasi dan terbunuh ketika dalam tahanan pihak askar namun mereka yang bertanggungjawab tidak pernah didakwa dan dihukum. Pembunuh Somchai Neelaphaijit sehingga hari ini masih belum dibawa ke pengadilan.
Di Mindanao, perjuangan pembebasan berdekad-dekad golongan Muslimin untuk mendapat hak memerintah sendiri masih belum tercapai untuk menuntut kebebasan dan kemerdekaan untuk rakyatnya. Disebabkan ketiadaan atau sangat sedikit pembangunan yang dapat diwujudkan , terdapat kemiskinan yang sangat meruncing di Mindanao. Penindasan dan kemiskinan telah memaksa ribuan untuk lari meninggalkan kampung mereka dan mencari perlindungan di Sabah.
Bagi negara-negara ummat Islam majoriti dan mempunyai kekuasaan sendiri pula, rakyatnya tetap juga tertindas. Anak-anak mudanya parah terlibat dengan pelbagai krisis akhlak. Jauh dari nilai syakhsiah islam. Selain itu, kepentingan-kepentingan agama turut tidak mendapat tempat dalam negara-negara sendiri.
Menginsafi keadaan ini, Selayaknya kita menyedari bahawa krisis-krisis yang dihadapi Umat Islam saat ini disebabkan mereka terkongkong dalam 2 krisis yang sangat parah iaitu kemiskinan dan kebodohan. Dua penyakit kronik ini hendaknya menjadi prioriti perjuangan para ulama, tokoh Islam, dan pemimpin umat. Hal yang harus kita sedari, kemurungan umat Islam saat ini disebabkan mereka telah jauh dari sumber wahyu, yakni Al-Qur’an dan hadis. Justeru, kita harus menggerakkan kembali kehidupan masyarakat yang berpegang teguh dan berpedomankan dengan kedua-dua sumber tersebut.
Hadirin Mukminin yang dirahmati Allah,
UMMAT KITA TANGGUNGJAWAB KITA
Attaubah : 122
Saya percaya, setiap dari kita menyedari tentang betapa harapan yang diletakkan oleh masyarakat kepada setiap anak yang terpilih belajar di rantauan supaya kembali memimpin dan membimbing masyarakat. Harapan yang tinggi ini, janganlah kita runtuhkan. Bersiaplah untuk memberi sumbangan dalam membangunkan masyarakat Islam.
Menginsafi keadaan ummat yang lesu dan berkrisis seperti yang disebutkan di awal tadi, seharusnya kita berkoreksi diri dan bermuhasabah mencari formula mengubati krisis ummat. Ini adalah tugas kita kerana ini adalah ummat kita. Sebagai Ummatan Wahidah, adalah celaka sekiranya kita tidak peduli keadaan masyarakat kita dan nasib sauadara seagama kita yang lain. Krisis umat Islam walaupun di mana sahaja adalah menjadi tanggungjawab kita.
Mahasiswa islam seharusnya tidak kalah dalam memupuk keprihatinan terhadap perkembangan masyarakat. Keperluan masyarakat harus diisi. Keperitan mereka harus dibela. Kemajuan mereka harus dipandu. Malah kehidupan dunia mereka harus diajak mengimbangi keperluan lain yang lebih utama untuk kekal di akhirat. Selain itu, bagi kita yang mengaku pejuang dan mengambil berat tentang ummat, berapa ramai dari kita yang tidak pernah lupa dan bosan dengan doa-doa agar digahkan kembali ummat ini, diangkat fitnah kehancuran ke atas umat ini, diselesaikan segala krisis ummat, dikembalikan tanah al-quds, diampunkan dan dielokkan kelakuan saudara-saudara seislam, diberikan taufiq hidayah kepada yang sesat, diberikan istiqamah dan kekuatan kepada yang benar, dan kembalikan Islam untuk memimpin.
Al-Quran mengajar kita tentang peranan setiap individu dalam membina sebuah masyarakat yang terbaik. Allah menamakan masyarakat itu sebagai “Khaira ummah” bila setiap ahli masyarakat bertanggungjawab dalam persoalan-persoalan masyarakatnya. Justeru, marilah kita bangunkan masyarakat kita dengan iman dan budaya amar maaruf nahi munkar yang menjadi kunci sukses kepada Khaira Ummah.
Hadirin Mukminin yang dirahmati Allah,
SISWA ISLAM SEBAGAI AGEN ISLAH
Islam merupakan agama transformasi sosial. Membawa misi mengeluarkan manusia dari gelap kejahilan dan kerosakan kepada sinar cahaya iman dan hakikat kehidupan.
Sejarah menceritakan kepada kita bagaimana Nabi Muhammad saw dibangkitkan dalam suasana manusia sudah terlalu jauh hanyut dengan kesesatan. Begitulah juga sunnah kebangkitan para rasul yang lain. Mereka dilantik ketika mana Ummat tidak punya pembimbing. Mereka diutus di tengah-tengah masyarakat yang berkrisis.
Oleh itu, Menjadi misi kita sebagai manusia yang digelar pewaris para nabi, mengembalikan ummat islam dan manusia secara amnya kepada ajaran islam yang asal. Biar apa pun yang bakal digelar kita nanti, samada ulama, tokoh, pemimpin, warga biasa, rakyat biasa, orang pekan atau desa, kita harus mempromosikan Islam sebagaimana agama dengan sifat yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad Saw yang boleh diterima oleh semua pihak, kaya atau miskin, bangsawan atau hamba, raja atau rakyat, badawi (golongan hulu atau kampong) atau hadhari (golongan yang moden dan pekan), semuanya menerima islam yang sama. Islam itu ialah islam yang tidak ada khurafat dan tidak ada tokok tambah agama yang melampau, serta dalam masa yang sama tidak juga jumud, sempit dan terkonkong. Islam yang jauh dari nilai ganas tetapi tidak lemah. Islam yang berprinsip dan sangat tegas tetapi ada ruang rundingan. Islam yang hikmah. Justeru, gerakkanlah kehidupan beragama seperti nabi menggerakkan kehidupan beragama di kalangan para sahabat iaitu dengan penuh keyakinan, optimis, istiqamah, bangga, cerdas dan beramal dengan ikhlas.
Oleh kerana demikianlah, melalui jalur pendidikan dan dakwah, kita harus bersedia dan beraksi mempersiapkan diri setiap dari kita terlebih dahulu menjadi agen islah yang berkualiti, sebelum kualitas keagamaan umat dapat dibangunkan. Kita patut menjadi kader-kader kepada agenda ini. Seterusnya kita pula harus menyediakan kader-kader lain untuk mewarisi agenda menyambung risalah nubuwwah ini yang tidak akan putus-putus kewajipannya sehinggalah bumi ini dihancurkan Tuhan.
Hadirin yang dirahmati Allah,
MENGGERAKKAN MISI RAHMATAN LILALAMIN
Sebagai penyambung perjuangan para Nabi, kita mesti bercita-cita akan membawa Islam merentasi setiap ceruk alam. Biar segala permasalahan dunia dan alam diselesaikan oleh Islam, kerana Islam sifatnya adalah rahmat buat seluruh alam.
Syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad merobohkan pemisah-pemisah yang berjenama bangsa, sempadan peta, bahasa dan warna kulit. Semuanya disatukan atas nama Islam. Tatkala Islam pula mengajak semua manusia harus saling menghormati walaupun berbeza agama malah islam juga mengajar agar menjaga akhlak dengan tumbuhan dan haiwan. Islam memerangi sebarang bentuk kezaliman dan penindasan.
Bagi sesama Islam pula secara khusus, kita diajar dan ditanam sifat persaudaraan. Malah semangat kesatuan dan persaudaraan kita digambarkan seperti bila dicubit paha kanan, paha kiri turut terasa. Bukankah kita Ummatan Wahidah. Ummat yang satu? Tapi malangnya kita pada hari ini, ummat islam kini merupakan Ummat yang paling teruk menghadapi perpecahan.
Oleh itu, ayuh wahai generasi muda islam, kita harus mencari dan mengenal pasti titik persamaan dan penyatuan ummat. Pasakkan perpaduan, suburkan persaudaraan. Malah, turut menjadi hasrat KKDS agar perselisihan antara gerakan-gerakan Islam dapat diredakan supaya sasaran dakwah lebih tertumpu dan tidak terbazir dengan pertelingkahan yang tidak menguntungkan Ummat. Jangan terlalu ghairah mengorek cari perbedaan. Kadang-kadang kepentingan Ummat harus diutamakan melebihi kepentingan jemaah. Penyatuan Ummat islam dengan minda dan jiwa yang merdeka merupakan harapan untuk kita melihat kehinaan yang dihadapi ummat islam selama ini dapat disucikan semula seterusnya dapat menyuburkan kembali peranan Islam dalam melahirkan tamadun umat terbaik.
Untuk langkah awal dalam membentuk minda daie yang bakal membawa misi rahmatan lil alamin ini, tiga agenda utama harus mula ditenung dan dinilai oleh masyarakat siswa iaitu pembelaan masyarakat, kepentingan pendidikan serta keprihatinan terhadap isu sosial dan pembangunan manusia. Kita harus prihatin dan serius mengamati semua isu ini secara mendalam.
Hadirin Mukminin yang dirahmati Allah,
MENEROKA MEDIUM DAKWAH
Para penggerak dakwah harus ada anjakan dalam misi dakwah mereka. Seandainya mereka memilih untuk meneruskan dakwah melalui medium-medium warisan seperti surau, masjid dan sekolah, mereka harus memikirkan dan membuat anjakan yang lebih dalam memastikan sasaran tercapai.
Masjid sebagai contoh, amatlah baik sekiranya ustaz-ustaz tidak hanya berperanan sejam dua sahaja dalam seminggu, tetapi mampu lebih dari itu dengan menguasai dan mentadbir satu-satu masjid supaya fungsi masjid sebagai pengkalan dakwah dan kegiatan masyarakat dapat dikembalikan. Lihatlah ulama di Syam, setiap dari mereka akan menguasai satu-satu masjid sebagai pengkalan dakwah mereka. Fungsi masjid sangat penting dalam berperanan membina sesebuah masyarakat.
Tetapi, jalan-jalan dakwah tidak semata-mata itu. Banyak lagi ruang yang mampu dimanfaatkan dalam dakwah. Para ustaz tidak harus menjadi golongan klasik dengan aktiviti-aktiviti warisan dan tradisional semata-mata. Penggerak dakwah harus meneroka jalan-jalan baru dan pelbagai dalam dakwah mereka.
Media seperti televisyen dan akhbar harian umpamanya, merupakan mekanisme penting yang terlalu rapat dengan kehidupan harian masyarakat malah merupakan satu medium yang sangat berpengaruh dalam membentuk pemikiran dan budaya masyarakat dunia hari ini. Sekiranya media dapat dimanfaatkan dalam urusan dakwah, tidak mustahil Ia juga mampu membina pengaruh besar dalam membentuk generasi ‘khaira ummah’. Persoalannya, adakah kakitangan dakwah kita berupaya menguasai media perdana hari ini? Kita harus bergerak ke arah itu. Setidak-tidaknya, para penggerak dakwah perlu bersedia menguasai media-media baru dan alternative seperti blog-blog dan seumpamanya.
Hadirin Mukminin yang dirahmati Allah,
JADIKAN KKDS TAPAK SEMAI KESUBURAN ISLAM
Dalam kesempatan kita bersama di bawah KKDS ini, marilah kita mengambil peluang menyemai benih-benih kesuburan Islam. Bermula dari sinilah kita harus wujudkan erti sebenar kesatuan Ummat. Pupuk Perpaduan dan binalah ukhuwwah islamiyah yang tulen. Kesempatan kita berada di Syria ini juga jangan lepaskan peluang merangsang penguasaan ilmu turas dan ilmu zaman kerana dunia hari ini amat memerlukan kombinasi antara keduanya. (aljam’u bainal qadimis soleh wal jadidin nafie’). Sedarlah, kita adalah kunci kepada kegemilangan Islam.
Hadirin mukminin yang dirahmati Allah,
MISI DAN HARAPAN
1. Ukhuwwah dan perpaduan
KKDS amat menitik beratkan persoalan ukhuwwah persaudaraan. Dalam memenuhi misi ini, kita membuat penimbangan yang sangat berhati-hati agar setiap agenda yang kita lakukan mampu menyuburkan nilai perpaduan dan penyatuan sesama kita. Namun, sunnah alam pasti akan ada perbezaan. Oleh itu, KKDS mengambil pendirian meraikan perbezaan, KKDS mendokong kebebasan besuara, berfikir, berpandangan dan bermazhab selama mana tidak menyalahi syariat. Segala perbezaan harus diurus dengan baik supaya dapat dimanfaatkan sebagai kelebihan.
Selain itu, kita juga pengambil pendirian bebas di mana kita tidak sama sekali dibayangi oleh mana-mana pihak politik atau badan-badan lain. Kerana kita tidak mahu hubungan harmoni antara kita selama ini disekat oleh tembok2 pemisah atas nama kepartaian atau sebagainya. Jangan jadikan perbezaan antara kita batu api perpecahan.
2. Kebajikan
KKDS ditubuhkan dengan matlamat memperjuangkan kebajikan anak-anak Kedah di Syria samada dengan mewujudkan budaya bantu membantu sesama ahli atau mengangkat masalah-masalah kebajikan yang dihadapi oleh ahli kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab. Misi ini merupakan misi asas dan rutin yang mesti dilangsungkan oleh sesiapa sahaja yang menerajui KKDS. Namun malangnya, kesedaran dari kalangan ahli terhadap budaya peduli kepada rakan-rakan dilihat semakin terhakis dan hambar tahun-tahun kebelakangan ini. Oleh yang demikian, hari ini KKDS akan melancarkan beberapa projek kebajikan yang akan melibatkan semua ahli untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga kebajikan rakan-rakan yang memerlukan.
3. Memperbanyakkan program-program nilai tambah.
KKDS sentiasa menyokong dan membantu dalam memperkasakan kesarjanaan ilmu setiap ahli. Oleh itu, kita amat bersedia menghulurkan segala bantuan akademik kepada ahli sekiranya diperlukan. Selain itu, adalah merupakan aspirasi KKDS untuk menjadi sebuah wadah yang akan melahirkan siswa siswi yang komprehensif dengan pakej pendakwah yang diperlukan dan diterima oleh masyarakat. Bukan sekadar menguasai ilmu dari sumber muktabar sahaja, tetapi dapat juga menguasai ilmu zaman. Justeru, KKDS tahun ini merancang untuk memperbanyakkan beberapa program nilai tambah sebagai bekalan yang sedikit sebanyak mampu memenuhi aspirasi ini insyaAllah.
4. Menaiktarafkan upaya dan fungsi Helwi.
Atas aspirasi tadi juga, KKDS tahun ini secara khusus mensasarkan usaha merembeskan upaya Helwi supaya peranan Helwi dapat disegar-bugarkan semula. Kenyataan yang harus kita faham ialah ahli-ahli Helwi KKDS merupakan siswi-siswi yang ada kemampuan dan karisma, namun ironisnya Helwi KKDS sering dilihat lesu. Bukan sekadar itu, pimpinan pada tahun ini melihat adalah sangat perlu persiapan menyediakan pimpinan pelapis di kalangan Helwi KKDS mula digerakkan. Kami berhasrat, program menggilap permata-permata baru yang berharga ini dapat diaktifkan supaya KKDS tidak miskin dengan pimpinan-pimpinan pelapis khususnya dari kalangan Helwi.
Bayangkanlah betapa menjadi kebanggan kepada KKDS sekiranya ada ahli-ahli Helwi KKDS mampu menjadi generasi penerus kepada kepimpinan wanita yang sangat diperlukan oleh masyarakat di negeri dan negara kita. Oleh itu, kami sangat mengharapkan seluruh akhawat Kedah di Syria bersedia membawa perubahan dan sanggup menggalas cabaran ini. Kami juga meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada semua pihak agar dapat memperkemaskan usaha-usaha yang lebih efektif dalam menjaga kebajikan helwi.
Sahabat-sahabat sekelian,
PENUTUP
Akhirnya, adalah menjadi hasrat kami untuk mewujudkan budaya progresif dalam pentadbiran supaya mutu kerja, kepimpinan, pengurusan dan kebajikan ahli dapat ditingkatkan. Namun semua ini tidak hanya terbeban di bahu kami, justeru semua dari kita harus memikul bersama.
Marilah sama-sama kita robohkan tembok pemisah antara status pemimpin dan ahli biasa. Semua kita bertanggungjawab memastikan KKDS berada di landasan yang betul. Untuk tujuan itu, AMT telah memutuskan bahawa agenda Pimpinan bertemu dan ziarah ahli akan dilancarkan pada tahun ini insyaAllah. KKDS akan terus berusaha menyemai ukhuwwah, memadamkan jurang, mendengar aduan secara terus dari ahli, membuka ruang dialog yang lebih berkesan supaya setiap dari kita bertanggungjawab terhadap KKDS. Kami dari pimpinan sentiasa terbuka untuk dikritik kerana bagi kami, wala’ itu tidak bererti pengikut tidak boleh mengkritik pemimpin.
InsyaAllah, Harapan ahli yang mahukan KKDS lebih maju dan matang berdepan suasana baru di era hujung dekad pertama millennium ini pasti akan menjadi cabaran kepada kami untuk lebih progresif menyahut cabaran menjadi wadah yang turut bersama menjunjung cita-cita melahirkan warga Kedah Sejahtera.
Sekian, terima Kasih.
Wassalamualaikum wrt wbt
Tiada ulasan:
Catat Ulasan