tiba-tiba terasa mahu dikongsi cerita ini. bukan apa, cuma menyedari, sebenarnya kerana ketidaksempurnaan kita lah mengajar kita untuk bersedia menjadi manusia sempurna.
Cerita Pengalaman Mula Berceramah.
Ketika itu suasana mahu pilihanraya umum 2008. mendapat suatu berita yang agak penting dari keluarga. Rasa gembira tetapi sikit menggerunkan. Alhamdulillah, Ada rezeki balik Malaysia. 3 hari sebelum pilihanraya saya beli tiket dan terus berangkat keesokannya. Petang sehari seblum hari penamaan calon saya tiba di Malaysia. Alhamdulillah.
Kehendak Allah, dapat ikuti penuh selok-belok pilihanraya Umum 2008.
Dulu di sekolah, pernah berpidato. Pernah juga jadi guru pidato sekolah rendah. Pernah dapat Naib Johan pidato sempena jublimas Pas Kedah. Pernah menang beberapa pertandingan pidato. Itu cerita dulu.. Di Syria, saya selalu saja berpeluang berucap di hadapan khalayak mahasiswa. Ketika pulang bercuti, selalu juga diminta untuk mengisi kuliah-kuliah agama terutamanya sepanjang Ramadhan. Alangkah giannya melihat mikrofon di pentas-pentas ceramah sempena pilihanraya ketika itu. Kalau diberi peluang, memang terlalu bersemangat mahu berceramah.
Dalam pengalaman pilihanraya sebelum-sebelum itu, saya masih belum pernah diberi peluang berceramah, malah mungkin tak pernah terfikir pun. Pilihanraya 2004, saya cuma diminta menjadi pengerusi di sekitar MTD batu 2, Dun Sidam, namun ceramah masih belum lagi diberi peluang. Ketika itu memang seronok sangat dengan kerja-kerja pilihanrya lain seperti pasang poster, siapkan pentas ceramah kelompok, menyertai aktiviti-aktiviti kempen Pemuda, malah oleh kerana kelemahan PKR pada pilihanraya 2004 saya juga pernah diberi tugas mengiringi dan menemani calon di dun Sidam (yang sekarang ini menjadi Adun Kulim). Bangteh menjadi pengiring merangkap pemandunya ketika itu.
Pada hari-hari dalam tempoh kempen pilihanraya umum 2008 itu, saya selalu ke Markaz Tarbiyah Pas Sungai Petani untuk membantu apa yang perlu, sekiranya tidak ada kerja maka saya suka lepak bersama petugas lain. Meriah suasana pilihanaya.
Selepas beberapa hari saya berulang alik ke Markaz, akhirnya saya diberi peluang untuk berceramah kelompok. Pas Sungai Petani pada tahun 2008 banyak menumpukan usaha kerja di Dun Pantai Merdeka sahaja memandangkan calonnya (YDP Pas Sungai Petani) bertanding di Dun tersebut, sedangkan 2 lagi Dun dalam Sungai Petani diserahkan kepada PKR. Jadual pertama saya ialah di Kampung Tsunami, tetapi di saat-saat akhir bertukar menjadi pengerusi..huhu
Malam keesokannya, saya diatur lagi 1 jadual ceramah. Dengan persiapan yang agak baik saya hadir di majlis tersebut. Saya datang ke pentas melalui jalan belakang. Cuma lori sederhana besar 4 tayar menjadi pentas ceramah di majlis tersebut. Tempat penceramah-penceramah menunggu giliran pula di dalam rumah. Saya tidak dapat melihat keadaan majlis. Saya tidak tahu apa keadaan di hadapan pentas.
Saya tiba di saat Ust Shahril Long sedang agak panas berceramah. Audien sangat menumpukan kepada ceramah beliau. Saya menunggu giliran. Tapi mood yang sangat baik tadi mula bertukar gemuruh.
Sebelum Ust Shahril Long menutup ceramahnya, beliau sempat memperkenalkan saya. Kebetulan dia memang mengenali saya. Sebenarnya ketika itu saya agak tertekan kerana terpaksa mengambil alih ceramah dari seseorang yang hebat ceramahnya. Bagaimana mampu saya meneruskan mood majlis pada malam itu? Saya bertambah tertekan bila audien mula mengenali saya dan latarbelakang saya. Aduh, satu cabaran hebat!
Dalam mengelamun itu, tiba-tiba pengerusi ceramah (Tuan Rumah) menjemput saya meneruskan agenda majlis tersebut. Saya menaiki lori yang dijadikan pentas itu. Wah, tinggi benar. Sebaik berada di pentas, minda saya terus menjadi kosong. Rupanya majlis pada malam itu di hadapan kubu besar Barisan Nasional. Lori itu betul-betul di hadapan khemah BN. Pendengar-pendengar yang memakai kopiah (disangka pas) berada di celah-celah pokok dan tepi-tepi jalan sahaja. Jauh dari pentas. Yang saya nampak Cuma petugas-petugas BN di bawak khemah mereka. Ramai. Saya jadi gabra.. masyaAllah.. sangkaan saya berceramah kepada penyokong pas dan orang-orang di atas pagar, rupanya berhadapan terus dengan kem musuh pilihanraya!
Apa yang dirangka untuk disampaikan dalam ceramah hilang dalam semakan minda. Saya usaha mencari, tetapi tidak ketemu.
Oleh kerana sudah berada di pentas, saya mulakan juga ucapan saya. Allah sahajalah yang tahu betapa malunya saya berhadapan dengan audien ketika itu. Cakap saya kosong tidak berisi. Merapu dan tidak bersasar. Entah apa yang saya bebelkan pun saya tidak ingat. Lutut menggeletar bagai tak mampu lagi nak menampung saya berdiri di pentas tersebut. Agak-agak 10 minit berucap, tiba penceramah yang seterusnya. Oleh kerana memikirkan ketikusan saya di pentas tersebut, saya terus menamatkan ceramah saya yang pastinya itu ditunggu-tunggu oleh pendengar. Saya turun pentas dan penceramah berikutnya menyambung majlis. Saya bersalam dengan tuan rumah, lalu terus naik kereta dan pergi dari majlis tersebut.
Demikian pengalaman pertama dalam arena ceramah politik.
Bermula dari situ, saya merangka ceramah yang lebih tersusun. Saya mencatat nota bersama ceramah saya. Minda dan emosi saya siapkan lebih kuat. Saya tidak tidak mahu peduli lagi buat sementara samada ceramah saya sedap didengar atau tidak, tetapi yang penting ketika itu ialah saya mahu seesa di pentas dan saya berkeyakinan dengan pidato saya.
Alhamdulillah, malam-malam berikutnya, saya mula berasa selesa dengan ceramah saya. Tidak hanya di Dun Pantai Merdeka, saya juga sempat berkelana membantu 2 hari jentera Pakatan Rakyat di Dun Anak Bukit, Kubang Rotan dan Bakar Bata. Dengan kesempatan bertemu penceramah-penceramah lain sepanjang tempoh kempen pilihanraya itu, saya mula berkeyakinan dengan ceramah-ceramah politik saya. Tidak hanya dengan agenda ceramah kelompok, tetapi sempat juga diberi peluang mengisi ceramah-ceramah khas untuk kaum ibu dan ceramah perdana malam terakhir kempen.
Namun apa yang boleh saya simpulkan rupanya pentas politik tidak seperti surau dan masjid. Tazkirah, mengajar (baca kitab) dan ceramah adalah 3 pentas yang berbeza. Alhamdulillah, pengalaman mengajar kita erti kehidupan.
1 ulasan:
pengalaman sebuah cerita yang kita cipta tiap masa..
Catat Ulasan