Selamat Datang

Khamis, 18 Februari 2010

Pendisiplinan Semula Jemaah-Jemaah Islam

Hakikat keadaan yang berlaku sekarang, tiada siapa pun dapat menafikan bahawa imprealisme barat masih kuat mendominasi dunia islam keseluruhannya walaupun dunia islam sudah diisytihar merdeka secara amnya. Secara keseluruhan, Umat islam seantero dunia bagai terasing dari penghayatan islam dalam dunia Islam sendiri. Dalam waktu yang sama pula negara-negara minoriti umat islam semakin hebat mendiskriminasi dan mencengkam ummat Islam. Namun, sekurang-kurangnya, kita masih boleh mengakui keadaan islam di Malaysia masih boleh dianggap baik jika dibandingkan negara-negara Islam yang lain. Namun apa yang amat dibimbangi, keadaan tersebut semakin tercabar. Symptom2 pencabulan kehormatan ummat mula menggejala dalam banyak ruang di negara kita.

Dalam kegawatan umat yang hebat berlaku, aktivis sering pula pantas memberi alasan ketidakupayaan memperbaiki keadaan. Tidak cukup petugas sepenuh masa, tidak mempunyai sumber dan kemudahan yang sempurna dan anggota-anggota organisasi yang hanya bekerja secara sukarela adalah alasan yang kerap didengari. Namun begitu dalam masa yang sama, mereka jugalah yang bercakap soal iltizam, komitmen dan pengorbanan. Mereka jugalah yang terus menyatakan gerakan Islam perlu ditingkatkan kecekapan dan keberkesanannya.

Secara hakikatnya, organisasi Islamlah yang masih ketara menunjukkan ketidakcekapan dan kelembapan dalam bertindak. Sementara dunia bergerak pantas, isu kemanusiaan semakin kompleks dan rumit, gerakan Islam masih ketinggalan dalam menampilkan pengurusan yang amat asasi untuk mengenengahkan kewibawaannya sebagai badan yang boleh membawa impak melalui penyataan mahupun tindakan.

Demikian beberapa keadaan Ummat dan organisasi Islam yang sangat ketara dan menampakkan kelonggaran untuk mencapai natijah yang sama-sama kita impikan. Zaman berganti zaman, generasi berganti generasi dengan melihat bilangan gerakan Islam yang semakin bertambah banyak dengan pelbagai nama, namun kita tidak melihat keadaan ummat semakin bertambah baik. Apakah puncanya? Apa yang boleh kita simpulkan ialah, kemungkinan kegaga;lan ini ialah ketidakberkesanan uslub yang diguna, kegagalan pendekatan, kelemahan pengurusan serta ketandusan bekerja dan bertindak dalam proses dakwah. Berdasarkan hal tersebut, setiap organisasi Islam harus menyusun semula organisasi dengan baik bermula dari dalam dengan pengurusan yang baik lalu berusaha membawa kepada penerimaan masyarakat terhadap organisasi-organisasi Islam sebagai penyelamat dalam setiap keadaan dan isu.

Oleh itu beberapa faktor organisasi Islam harus diperkemaskan dan disusun semula untuk menapak dengan lebih berjaya dalam urusan dakwah mereka. Beberapa disiplin harus diberi penekanan. Antaranya ialah;

1. Disiplin Pengurusan Keahlian :

1) Tarbiah dan usrah :
Wujud suatu keadaan di mana anggota-anggota tidak mempunyai kefahaman yang jelas mengenai tanggungjawab dan amanah yang terbeban ke atas mereka apabila mereka bersetuju untuk bersama dalam organisasi. Oleh itu, melalui proses tarbiyah ahli yang kemas dengan membudayakan system usrah di semua peringkat, mampu menanam beberapa etika dan kefahaman terhadap tanggungjawab dan keperluan mereka menyertai jamaah. Selain itu, melaui tarbiyah juga, sifat wala’ kepada pimpinan, mahabbah dan ukhuwwah sesama ahli harus diberi penekanan penting dalam merapatkan dan mengukuhkan saf dalam jamaah.

2) Disiplin pengumpulan yuran keahlian :
Seringkali disiplin ahli di dalam organisasi Islam tidak dapat dikawal dengan rapi dalam hal ini. Di satu pihak pengurusan dalam gerakan Islam tidak punya sistem yang berkesan, di satu pihak yang lain pula anggota-anggota kerap tidak mengambil tanggungjawab untuk membayar yuran sebagaimana yang diwajibkan. Ini berpunca dari disiplin pengurusan dan disiplin keanggotaan yang mengamalkan sikap tidak bersungguh dan acuh tak acuh dalam berorganisasi. Sebenarnya, pengumpulan yuran ini amat penting untuk menyatakan kesungguhan, disiplin, keikhlasan, kesanggupan serta pengorbanan kepada organisasi.

3) Disiplin dan sistem saluran maklumat ke peringkat akar umbi dalam organisasi :
Di dalam organisasi-organisasi Islam, seringkali didapati anggota-anggota terputus hubungan dari maklumat dan perkembangan semasa sehingga ramai pula yang ‘menganggur’ ketika berada dalam organisasi. Ekoran dari itu anggota yang sebegitu ramai bukan lagi menjadi asset tetapi menjadi liabiliti kepada organisasi. Ketidakseragaman fahaman dan perspektif dalam menanggapi sesuatu isu kerana tidak dilengkapkan dengan maklumat yang kemaskini menyebabkan anggota-anggota terus bersimpang siur dalam berfikir dan bertindak. Pendisiplinan sistem saluran maklumat kepada ahli ini harus diperkemaskan agar setiap ahli berjaya membawa imej yang kemas mewakili organisasi tersebut, lalu setiap gerakan yang besar dengan bilangan ahli yang ramai tidak lagi menjadi beban dengan calitan-calitan tohmah, sebaliknya menjadi duta kepada gerakan untuk membawa misi yang digagaskan oleh gerakan tersebut. Justeru, disiplin mengedar dan mengemaskinikan maklumat untuk diguna oleh anggota menjadi suatu usaha pengukuhan yang amat penting kepada sesebuah organisasi gerakan Islam. Tatkala berlaku kelonggaran dalam disiplin ini, organisasi tersebut akan terungkai ikatannya untuk menjalinkan hubungan antara pengurusan, kepimpinan dan anggota-anggotanya. Akibat seterusnya gerakan Islam itu sendiri tidak dapat mewakili apa-apa makna dari kewujudannya.

4) Disiplin pembangunan diri oleh anggota:
Dalam disiplin pengurusan keahlian juga, Organisasi islam harus memberi penekankan penting dan menanam disiplin pembangunan diri kepada setiap anggota organisasinya. Disiplin pembangunan diri ini merangkumi beberapa aspek penting iaitu, membina ruh Islam, membina thaqafah, menambah ilmu pengetahuan, menguasai isu semasa, menambah pengalaman bekerja dalam organisasi, meningkatkan komitmen dan dedikasi. Program pembangunan diri ini merupakan suatu usaha penting dalam membentuk jamaah yang lebih kuat dengan keupayaan memanfaatkan semua ahlinya dalam penyertaan gerakkerja.

2. Disiplin pengurusan struktur :

Di satu sudut lagi, disiplin yang memerlukan pengukuhan ialah pengurusan semua cawangan dan sumber anggota-anggota di setiap cawangan. Kelaziman yang diperhatikan ialah wujud suatu keadaan di mana struktur ahli-ahli di peringkat akar umbi tidak ditadbir dengan berkesan. Disiplin mengutamakan lapisan anggota diperingkat bawah sering terabai sehingga mengakibatkan wujud lompong yang menjurangi antara struktur teratas dengan struktur di bawah.

Pendisiplinan perjalanan jentera organisasi Islam di semua peringkat memerlukan kesungguhan yang amat tinggi. turun kelapangan, berdamping dan memberi bimbingan secukupnya agar setiap lapisan gerakan berjalan serentak, berkembang seirama dan bergerak senada hendaklah dilaksanakan dengan komitmen yang tulen dan bukan hanya slogan dan retorik semata.

Selain itu, fungsi cawangan harus dimaksimakan sebagai mewakili jamaah diperingkat pusat. Oleh itu, penyegaran semua petugas di semua peringkat amat membantu melancarkan jamaah dan membantu menyeragamkan proses dakwah di semua peringkat dan semua cawangan. Pengurusan struktur yang dapat menyeragamkan semua cawangan dengan program yang sama dapat menutup lompong-lompong yang dibimbangi akan menjadi barah kepada jamaah.

.
3. Disiplin Masa :

Kegagalan dalam menepati masa, menyiapkan tugasan dan menyempurnakan agenda bertindak, amat ketara di kalangan anggota gerakan Islam. Hasilnya amat mendukacitakan, banyak masa yang diguna ketika keputusan hendak dicapai tetapi sebahagian besarnya tidak pula terlaksana. Kalaupun ada yang terlaksana ia tidak pula berkesan dan berkesinambungan. Selain itu, sikap menunda-nunda dan melengahkan-lengahkan kerja juga seakan membudaya di kalangan petugas-petugas dakwah. Apa yang lebih mendukacitakan, sesebuah organisasi islam seakan tidak mampu mengubati hal ini, malah seakan menutup mata melihat kegagalan organisasi mereka mendisiplan masa dengan baik.

Sementara sudah berlaku pelbagai tahap perubahan dan perombakan dalam masyarakat kini sehingga keadaan umat semakin tenat dan gawat, namun organisasi gerakan Islam masih berdolak-dalik untuk menunda-nunda tindakan. ‘Tunggu sehingga kita cukup kuat’, ‘biar sesudah ahli kita faham’, ‘nanti sehingga kita dapat peluang’, adalah ungkapan-ungkapan yang kadang-kadang bukan dikeluarkan untuk benar-benar merancang dan bertindak tetapi lebih untuk menyatakan alasan demi melindungi kelemahan organisasi sendiri.

4. Disiplin Bekerja :

Harus ada keikhlasan, kesedaran, amanah, kesungguhan, strategi, system laporan dan muhasabah, system pembahagian tugas yang baik, istiqamah dan berterusan (tidak hanya sekerat jalan), kemahuan, penghayatan dan kesabaran yang tinggi. Oleh itu, ahli harus ditarbiyah dengan disiplin kerja yang baik. Disiplin kerja ini bukan sahaja harus ditekankan kepada ahli di peringkat bawahan, malah mereka yang berada di peringkat atasan harus lebih ditekankan dengan disiplin kerja tersebut. Apabila lebih besar jawatan, maka harus lebih besar disiplin kerja dan amanah kepada Allah s.w.t.

Dalam soal disiplin bekerja dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anggota organisasi Islam, sudah kelihatan keadaan yang semakin longgar dan rapuh. Sudah ada kecuaian yang ketara apabila berlaku ahli-ahli gerakan Islam yang tidak mencerminkan watak dan kesungguhan bekerja dalam masyarakat. Telah wujud penyakit memperhitungkan habuan dan laba apabila melaksanakan gerakerja memperbaiki masyarakat.

Dengan yang demikian disiplin ahli-ahli menurun bukan sahaja dalam konteks cara bekerja malah sudah mulai memperlihatkan kelunturan dalam ciri-ciri keperibadian seperti kurang amanah dalam urusan kewangan, budaya konsumerisme dan hidup bermewah-mewahan, tidak menepati janji, kurang prihatin terhadap kesusahan dan masalah-masalah orang yang dizalimi, tidak aktif terlibat menggerakkan institusi-institusi masyarakat, bersikap bebal dan tidak boleh bekerjasama dengan orang lain serta hilang semangat pengorbanan untuk mengembalikan maruah umat. Oleh itu, disiplin kerja ini harus segera diberi penekanan serius oleh semua organisasi Islam. Kursus-kursus, tazkirah, tamrin dan pelbagai program harus dilaksanakan di semua peringkat untuk menjamin sesebuah organisasi itu memiliki anggota-anggota yang mempunyai disiplin kerja yang baik demi menjamin keberkesanan dakwah dan gerakerja organisasi yang direncanakan.


Pemupukan ciri-ciri yang dikehendaki dalam mengubat masyarakat

Salah satu aspek lain yang harus diberi penekanan juga ialah diri petugas dakwah itu sendiri. Kita beranggapan, setiap anggota dakwah samada berjamaah atau persendirian mempunyai peluang yang cerah untuk mengubah masyarakat jika setiap anggota dakwahnya memiliki dan bersifat dengan ciri-ciri petugas dakwah yang sebenar. Ciri-ciri tersebut telah disarankan oleh Teras Pengupayaan Melayu seperti berikut;

1. Semangat mengubah

Setiap sukarelawan perlu mempunyai semangat dan keyakinan untuk mengubah kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Hanya dengan semangat yang tinggi untuk terus mencetuskan perubahan ke arah masyarakat yang lebih adil dan penyayang akan menjadikan seseorang aktivis sukarelawan itu terus berjuang di medan masyarakat.

2. Sikap dan kesedaran kritikal

Seorang sukarelawan yang tidak kritikal iaitu kurang mampu melihat kepincangan masyarakat dengan tajam akan membantutkan keupayaan membawa perubahan. Sikap dan kesedaran kritikal bermaksud ciri seorang yang cukup halus dan teliti ketika menganalisis masalah masyarakat. Ertinya pemikiran yang dangkal serta hanya mengikut arus tidak boleh menjadikan seseorang sukarelawan itu mampu membawa idea-idea bernas untuk perubahan.

3. Bersungguh dan konsisten

Disiplin yang tinggi bagi seorang sukarelawan sangat penting ketika ia bergiat dalam masyarakat. Hanya degan itu kesungguhan dan daya bertahan untuk berjuang dalam masyarakat dapat dihidupkan dalam diri seorang sukarelawan. Bersungguh dan konsisten dalam prinsip kebenaran dan keadilan sangat penting jika seorang sukarelawan mahu dihormati oleh masyarakat.

4. Berkemahiran dan berketrampilan

Ketika perubahan mahu dicetuskan, seorang sukarelawan semestinya perlu dilengkapi dengan kemahiran bekerja dan berorganisasi yang sempurna. Tanpa kemahiran, kerja-kerja sosial dalam masyarakat akan menjadi tidak berkesan dan juga tidak mampu memberi impak seperti yang diharapkan.

5. Peka dan berfikiran analitikal

Kepekaan merupakan sifat awal yang mesti dipupuk dalam diri seseorang sukarelawan. Tanpanya rasa peduli dan ambilberat terhadap kepincangan yang berlaku dalam masyarakat, perubahan tidak akan dapat dicetuskan. Berikutan dengan sifat peka dan sensitif akan membina fikiran yang analitikal iaitu yang mampu merungkai masalah masyarakat dengan berkesan. Fikiran yang dangkal akan melemahkan daya kreativiti untuk mencari penyelesaian kepada krisis yang berlaku dalam masyarakat.

6. Mengutamakan contoh tauladan

Seorang sukarelawan yang tidak menghayati dan menjiwai sifat-sifat diri yang boleh dicontohi oleh masyarakat seperti hidup sederhana, berjimat dan berhemat, mengutamakan kualiti berfikir yang tinggi, berkeperibadian yang mulia umpama rendah diri, jujur, serta tidak mementingkan diri semata-mata akan mengakibatkan perubahan sukar dicetuskan. Watak seorang sukarelawan perlu sentiasa menjadi model kepada masyarakat sehingga apa yang dibawa olehnya akan menggerakkan masyarakat untuk turut menyokong dan mendokong idea-ideanya.

7. Mengutamakan keadilan

Bagi sukarelawan yang berprinsip, keadilan adalah kemuncak kepada perjuangannya memperbaiki dan membela masyarakat. Seorang sukarelawan semestinya menjadikan keadilan sebagai darah daging perjuangannya sehingga ia sanggup berkorban apa saja untuk memastikan keadilan sosial ditegakkan.

8. Sikap membela

Membela yang lemah, melindungi yang dizalimi serta membina yang terpinggir merupakan gerakerja seorang sukarelawan dimana saja ia berada. Seorang sukarelawan harus bersedia menghulurkan bantuan serta bertindak untuk membela mereka yang teraniaya agar masyarakat tidak terbiasa dengan penganiayaan. Sikap membela sesiapa sahaja dan dimana sahaja mereka yang dizalimi perlu dihayati oleh setiap sukarelawan.

9. Sikap berkorban dan mementingkan kebajikan masyarakat

Berkorban dalam pelbagai bentuk dan dimensi demi menegakkan yang benar dan yang adil hendaklah menjadi sifat diri yang mesra dalam peribadi setiap sukarelawan. Mendahului dalam berkorban dan mementingkan orang lain lebih dari kepentingan diri merupakan sifat mulia yang perlu dihidupkan dalam diri setiap sukarelawan.

10. Mengutamakan disiplin dan kejujuran

Dalam gerakerja sukarelawan, sistem dan disiplin yang didokong oleh peribadi yang jujur akan menjadi kekuatan kepada perubahan yang hendak dibawa olehnya. Seorang sukarelawan tidak wajar mengharap habuan, pangkat dan ganjaran jika ia benar-benar menjadi pencetus kepada perubahan masyarakat yang murni. Harus ada sikap tidak mementingkan ganjaran dalam melaksanakan gerakerja memperbaiki masyarakat

Seperkara lain yang amat penting ialah kewaspadaan dalam bekerja. Kita amat bimbang setiap petugas dakwah dan organisasi dakwah terpalit dengan sindrom “syok sendiri” yang akhirnya hanya mengakibatkan para pendakwah berada dalam keadaan yang sangat selesa tetapi sebenarnya pembawakan dakwah mereka tidak mencapai matlamat asal dakwah. Mereka bangga dengan program-program yang mega tetapi lupa kepada tahap kesannya pada masyarakat. Mereka bersuka ria dengan dana yang banyak, tetapi leka saluran aulawiyat yang harus diutamakan. Mereka bangga dengan bilangan ahli yang ramai, tetapi lupa bahawa ahli yang ramai hanya menjadi beban dan tidak membantu. Mereka bangga dengan kuantiti yang datang mendengar ceramah, tetapi terleka apakah ceramah mereka benar-benar membawa kesedaran kepada masyarakat.

Oleh itu, setiap pertubuhan Islam perlu membuat analisis yang mendalam untuk mengukur pencapaian masing-masing dalam menangani masalah umat jika ia benar-benar mahu mewakili perjuangan umat. Pendekatan-pendekatan baru harus dicipta agar apa yang dibawa oleh petugas-petugas dakwah berjaya mejadi alternatif kepada masyarakat. Pendakwah bukan sahaja melarang atau menyuruh semata-mata, tetapi dapat memberi kepada masyarakat alternatif yang lebih baik. Muktamar tahunan, mesyuarat agung tahunan dan sebagainya harus menjadi medium muhasabah dan pembaik-pulihan kepada pelaksanaan yang telah dilakukan serta menjadi perancangan dan penyeragaman pelaksanaan yang bakal disusun.

Selain itu, suatu perkara yang amat penting juga ialah gerakan Islam harus bersedia bergelumang di dalam jenuh-perit isu-isu masyarakat. Retorik mengenai Islam semata tidak akan dapat menangani dan memenangi sokongan masyarakat. Sesebuah gerakan Islam perlu siap mendepani pelbagai masalah umat bukan sahaja dengan ungkapan dan pernyataan tetapi dengan aksi dan penyelesaian alternatif.

Gerakan Islam perlu menjadi anggota masyarakat. Mereka harus menyertai masyarakat dalam semua isu kehidupan samada agama, sosial, alam sekitar, ekonomi, sosio budaya dan sebagainya. Mereka harus bersedia merasai susah senang masyarakat. Menghayati isu-isu masyarakat. Bersama berjuang ditengah-tengah masyarakat dan memimpin masyarakat ke arah yang lebih baik. Mereka harus keluar dari sikap yang membezakan mereka dari masyarakat. Lazimnya, anggota-anggota gerakan islam hanya sinonim dalam lapangan-lapangan tertentu dan musim-musim tertentu sahaja.
Oleh itu, anjakan harus dibuat agar masyarakat merasakan gerakan Islam merupakan duta penting dalam segala isu dan segala aspek kehidupan. Gerakan Islam bukan sahaja menyertai isu-isu masyarakat dengan kenyataan-kenyataan dan ceramah-ceramah tetapi terjun bersama tindakan dan jalan penyelesaian. Sudah tiba masanya untuk golongan remaja didekati dan dirawati, golongan yang terlanjur dipimpin kembali, golongan susah dibantu, golongan yang tertindas dibela, pihak yang terpinggir diangkat dan ditempatkan ke posisi yang bermaruah.
Gerakan Islam seharusnya turun ke lapangan memberi suara kepada mereka yang dirampas hak untuk bersuara, memperkasa mereka yang lemah, membantu golongan yang menderita, bersama mempertahankan hak mereka yang dinafikan hak, menuntut keadilan bagi mereka yang dizalimi, memulihkan golongan terlanjur, memurnikan golongan belia yang tersasar, mencerdaskan umat dengan kepekaan sekeliling, memperkasa mahasiswa, menyemarakkan aliran agama dalam masyarakat dan mengeluarkan masyarakat dari kekeliruan agama dan politik.

Sudah sampai waktunya gerakan-gerakan islam yang wujud meminimakan perselisihan antara gerakan. Keseragaman yang kita maksudkan ialah keseragaman matlamat dan tujuan walaupun berbeza pendekatan dan lapangan. Gerakan-gerakan islam harus saling memahami dan saling membantu, bukan saling bermusuhan dan saling bercanggahan. Semua gerakan harus mula memahami dan meraikan perbezaan. Semua gerakan Islam harus mencari titik temu untuk bersama dalam dakwah dan usaha pembaikpulihan di samping menjauhi sikap menyerang sesama gerakan. Sepatutnya, kita mengambil dan menerima peluang prebezaan lapangan yang pelbagai sebagai suatu keistimewaan dakwah.
Sudah tiba waktunya kita menyedari hakikat di lapangan lebih mendambakan waktu dan tenaga yang banyak dari setiap aktivis. Kita amat bimbang perselisihan yang berlaku membudayakan permusuhan sesama gerakan sedangkan dalam waktu yang sama umat semakin jauh dari landasan. Apa yang penting kita perlu menolak fikrah sempit yang mengecilkan konsep wahdatul fikr kepada satu jemaah dan satu kepimpinan yang hanya membuahkan perbalahan antara gerakan dakwah.

Keinginan kita melihat negara yang berakyatkan “khaira ummah” hanya akan menjadi mimpi jika para aktivis dan gerakan tidak dapat mendisiplilkan semula gagasan d
akwah mereka.

1 ulasan:

Zolkharnain Abidin berkata...

Blog bongkarsauh telah berpindah ke alamat baru seperti berikut:

http://sauhdibongkar.blogspot.com/

Pohon update link tuan. Terima kasih.