dipetik dari Utusn Malaysia.
KUALA LUMPUR 6 Dis. – Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mengesa kerajaan mengharamkan Hindu Rights Action Force (Hindraf) serta mengambil tindakan tegas terhadap para pemimpin pergerakan itu sebelum sentimen agama dan perkauman menjadi tidak terkawal di negara ini.
Jurucakap Pembela, Zainur Zakaria berkata, para pemimpin pertubuhan itu adalah pengkhianat negara dan kerajaan tidak wajar melayan sebarang tuntutan Hindraf melalui perbincangan atau perjumpaan.
“Tuduhan-tuduhan terhadap kerajaan dan masyarakat Islam bukan sahaja tidak berasas, tetapi juga membakar emosi dan menggugat keharmonian antara kaum dan agama di kalangan rakyat Malaysia.
“Malah, pergerakan ini berani mengugut bahawa kaum India di Malaysia akan bertindak ganas sebagaimana yang berlaku di Sri Lanka jika kerajaan tidak melayan tuntutan mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Pembela adalah pertubuhan yang dianggotai oleh 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Peguam Syarie.
Zainur yang merupakan seorang peguam terkenal berkata, perbuatan khianat pergerakan itu jelas melalui surat yang dihantar penasihat Undang-undang Hindraf, P. Uthayakumar kepada Perdana Menteri Britain, Gordon Brown bertarikh 15 November lalu.
Begitu juga dengan tuduhan-tuduhan yang dibuat dalam saman yang difailkan oleh seorang lagi pemimpin pergerakan itu, P. Waythamoorthy di Mahkamah Tinggi England pada 30 Ogos lalu.
Malah, Waythamoorthy kini menggunakan tuduhan dan dakwaan yang tidak berasas itu untuk meraih sokongan dari luar negara khususnya dari India.
“Hindraf menuduh kerajaan Malaysia dan masyarakat Islam melakukan kekejaman terhadap kaum India dan merayu kerajaan Britain membangkitkan usul di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengecam Malaysia.
“Pertubuhan itu juga merayu agar Malaysia diheret ke Mahkamah Dunia dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas kesalahan melakukan pembersihan etnik terhadap kaum India,” jelasnya.
Menurut Zainur, kegagalan membendung masalah ini dibimbangi akan menimbulkan kekacauan kerana tindakan Hindraf sekarang hampir sama dengan tindakan-tindakan yang membawa kepada tragedi 13 Mei 1969.
p/s: Bahaya isu Hindraf hanya dapat dilihat dan dianalisa oleh manusia yang cerdik...
Bayu Senja bersama pendirian PEMBELA !!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan