Selamat Datang

Khamis, 18 Ogos 2011

Manfaatkan Baki Ramadhan mencari Pembebasan dari Dosa dan Neraka




Dalam satu riwayat Nabi saw telah mengaminkan doa Jibril “ Barangsiapa yang bertemu Ramadhan tetapi dia tidak diampunkan dosanya, maka setelah dia mati dia akan masuk neraka lalu jauhlah dia dari rahmat Allah” [HR Ibnu Hibban, At-Thobrani, alBaihaqi dan Al-Hakim. kata Hakim: Baik isnadnya]

Nabi saw bersabda : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dalam Iman dan keikhlasan akan diampunlah segala dosanya yang telah lalu, dan sesiapa yang menghidupkan Lailatulqadar dalam keimanan dan keikhlasan akan diampunlah dosanya yang telah lalu” [HR Bukhari, Muslim]

Justeru, carilah pengampunan di dalam bulan yang sepatutnya Hamba Allah mendapat pengampunan dan maghfirah dari Tuhan yang maha Pengampun itu.

Sangat luar biasa bebalnya nafsu andai Ramadhan ini tidak bisa menebuskan diri kita dari Neraka, dan dosa-dosa kita tidak terampun sedangkan janji Allah dan Rasulnya itu bahawa Tuhan sangat pemurah dengan pengampunan, apatah lagi di saat-saat Ramadhan.

Muhammad saw bersabda “ Ramadhan sehingga Ramadhan, Jumaat ke Jumaat, dan solat ke solat menjadi pengkifarah dosa diantaranya selama mana menjauhi dosa-dosa besar” [HR Muslim]

Aisyah bertanya kepada Rasul saw, apakah yang seharusnya didoakan sekiranya bertemu lailatul qadar. Jawab Baginda saw “Ya Allah, sesungguhnya engkau maha pemaaf, sukakan pula kemaafan, maka maafkanlah aku” [ HR Tirmizi: sahih]

Nabi juga berdoa “ Aku berlindung dengan redho-Mu daripada kemurkaan-Mu, dan dengan pengampunan-Mu daripada pembalasan-Mu” [HR Muslim]

Firman Jalla wa A’la : “ Bersegeralah kalian mencari maghfirah (pengampunan) dan Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, disediakan maghfirah dan syurga itu untuk golongan muttaqin (orang-orang yang bertakwa)” [ surah Ali Imran :133]
Ayuh segeralah jadi manusia bertaqwa.

Wasiat penghulu kita Muhammad saw : “bertakwalah kamu ketika apa sekali pun, dan tutupilah kejahatan dengan kebajikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan tersebut dan berkakhlaklah dengan manusia akhlak yang baik” [HR Tirmizi : Hasan]

Ramadhan masih berbaki. Walaupun sesaat ia tetap saat yang paling berkat. Doa dan pengharapan di dalamnya tidak sama seperti selain Ramadhan. Maka manfaatkanlah setiap saat Ramadhan sehinggalah peluang saat terakhir. Moga jangan terjadi dari golongan yang rugi.

Syeikh Abdul Aziz bin Muhammad as-sarkhan berkata di dalam kitabnya Mukhalafat Ramadhan – Kesilapan dalam Ramadhan;

Manusia itu ada 5 jenis apabila bertemu Ramadhan:
1 – Orang yang soleh. Menunggu-nunggu Ramadhan. Apabila bertemu dengannya mereka sambut dengan gembira dan mengambil faedah daripadanya semaksima mungkin. Lalu di bawa ke luar ramadhan. ~ ini adalah sebaik-baik golongan.

2 – Orang yang kedatangan ramadhan dan pemergiannya sama sahaja (tidak teransang mahu menambah amal) ~ Golongan yang rugi kerana berada dalam peluang tetapi tidak mengambil peluang.

3 – Orang yang Cuma kenal Allah pada bulan Ramadhan sahaja. Apabila selesai ramadhan dia kembali kepada tabiat jahatnya semula. ~ Imam Ahmad dan Fudhail mengatakan : Seburuk-buruk manusia mereka hanya kenal Allah cuma ketika ramadhan sahaja.

4 – Orang yang hanya puasa perut sahaja. Lain anggotanya tidak turut taat kepada Allah. ~ Nabi sebut bahawa ini golongan yang tidak dinilai sikit pun Oleh Allah puasanya dari makan minum [Riwayat Bukhari dan Abu Daud]

5 – Orang yang di dalam bulan Ramadhan pun tidak kenal dan taat kepada Allah, apatah lagi jika di luar Ramadhan. ~ Ini adalah sejahat-jahat jenis manusia, paling bahaya dan sangat terancam. Moga Allah lindungkan kita dari jenis ini.

Pesan Imam Al-Ghazali : “Hiduplah apa kehidupan yang kamu mahu, sesungguhnya engkau mati juga. Cintailah sesiapa pun yang kamu mahu, sesungguhnya engkau tetap berpisah dengannya juga. Buatlah apa kerja yang kamu mahu, sesungguhnya kamu tetap akan dibalas juga.” [Ayyuhal walad : wahai anakku]
Moga Ramadhan Ini menjadikan kita manusia yang lebih berani menghadapi kematian.

1 ulasan:

Bunga Rampai berkata...

Alhamdulillah.

Mudah-mudahan kita diberiNya peluang lagi untuk menunaikan ibadah Ramadhan pada tahun yang akan datang.

Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin :)