Selamat Datang

Ahad, 6 September 2009

Khutbah Nuzulul Quran

Disampaikan di Masjid Kuala Muda. 4 September 2009.

Marilah bersempena ramadhan ini, kita pertingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan menjunjung dan melaksanakan segala titah perintahnya dan menjauhi segala larangannya di samping menegakkan syiar membesarkan Allah s.w.t selari dengan matlamat asal kita mengharungi bulan ramadhan yang mulia ini utnuk akhirnya nanti kita tergolong dalam golongan Muttaqin.

Firam Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183:

“Wahai orang-orang yang beriman, Difardhukan Puasa kepada kamu wahai ummat Muhammad sepertimana difardhukan juga kepada umat sebelum kamu semoga kamu akan tergolong dalam golongan orang-orang yang bertaqwa (yakni jika kamu mengerjakan ibadah ramadhan dengan sempurna)”

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana telah menganugerahkan kepada kita kesempatan untuk melalui fasa ke dua Ramadhan pada tahun ini, dan harapan kita semoga biarlah kesempatan ini kita isikan dengan erti sebenar seperti apa yang dituntut Ramadhan. InsyaAllah, dengan izin Allah s.w.t kita juga bakal bertemu lagi dengan tarikh keramat antara peristiwa besar dalam ramadhan ini. Apa yang saya maksudkan tersebut ialah peristiwa Nuzulul Quran iaitu penurunan al-quran yang menjadi Kitab Perlembagaan untuk Umat Islam



Melalui madrasah Ramadhan ini jika kita amati, sebenarnya bukan sahaja mengandungi ruh mengawal kehendak nafsu, malah lebih dari itu ialah mentarbiah dan mengarahkan nafsu supaya tunduk dengan kebesaran Allah s.w.t. lalu patuh dengan segala perintah larangannya.

Oleh kerana Allah swt Maha mengetahui bahawa manusia ini sering berbolak balik, maka diturunkannya Alquran sebagai petunjuk dan panduan kepada manusia untuk sepanjang zaman.

Allah s.w.t berfirman

“ Bulan Ramadhan yang kami telah turunkan di dalamnya Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan menerangkan petunjuk tersebut serta menerangkan apa yang membezakan haq dan batil”
Al-Baqarah ayat : 185

Jika kita membuat sedikit tinjauan terhadap sejarah nuzulul quran, maka kita akan dapati bahawa al-quran ini diturunkan melalui 2 tahap penurunan. Pertama ditirunkan dari lauhul mahfuz ke langit dunia dan kedua dari langit dunia kepada nabi Muhammad s.a.w.

Para Ulama bersepakat pendapat bahawa Proses penurunan yang pertama iaitu dari lauhul mahfuz ke langit dunia berlaku pada Lailatul qadar dalam bulan Ramadhan diamana ia diturunkan secara keseluruhannya dengan sekali gus.

Bagi Proses kedua pula iatu penurunan Al-Quran daripada lauhul mahfuz kepada Rasulullah saw berlaku dalam masa 20 tahun di waktu kenabiannya atau 23 tahun mengikut riwayat yang lain di mana ia diturunkan secara berdikit-dikit mengikut keadaan. Dalam tempoh 20 tahun ini pula, Alquran diturunkan dalam 2 peringkat iaitu apa yang disebut sebagai Makki dan Madani. Ayat Makki ialah ayat-ayat yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah Rasulullah saw dan Ayat Madani pula ialah ayat-ayat yang diturunkan selepas peristiwa hijrah Baginda.

Ayat-ayat Makki banyak berlegar dalam konteks penanaman aqidah suci dengan beberapa perkara berkaitan dengan iman.

Manakala Ayat-ayat madani pula banyak berlegar dalam konteks hukum hakam ibadat, muamalat, Undang-undang jenayah, politik dan kenegaraan serta sebagainya yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia.

Demikian secara ringkasnya pengenalan tentang peristiwa nuzululquran.

Hadirin Mukminin yang dirahmati Allah sekelian.

Dari rentetan tersebut, jelas kepada kita bahawa hubungan kedatangan ramadhan tidak mahu tidak kita harus mengisisnya dengan penghayatan al-quran.

Oleh sebab itu kita boleh lihat betapa Rasulullah menyarankan supaya puasa itu diisi dengan membaca al-quran dalam sabdanyamelalui Hadis riwayat Muslim dari Abi Umamah r.a:

“bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya al-quran akan datang pada hari kiamat nanti memberi syafaat kepada orang yang memenuhi haknya”

Hadirin mukminin sekelian,

Antara mesej penting yang dibawa oleh ramadhan ialah mengajak manusia kembali kepada isi kandungan Al-Quran secara keseluruhannya. Maka oleh itulah, Ramadhan ini harus menjadi titik mula kita mendekatkan diri dengan Al-Quran bermula dari bacaan sendiri, tadarus, memahami tafsirnya seterusnya melaksanakan apa yang dibawa oleh Al-Quran. Banyak Hadis Nabi s.a.w mewasiatkan motivasi untuk kita mendampingi al-Quran sempena ramadhan ini.



Nabi s.a.w bersabda sempena dengan ramadhan ini melalui satu hadis sahih riwayat Tirmizi dari ibnu masu’d r.a :

“ Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka baginya satu kebaikan. Dan untuk satu kebaikan itu dibalasi dengan sepuluh kali ganda kebaikan. Aku tidak maksudkan alif lam miim itu satu huruf, tetapi yang aku maksudkan ialah alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan miim itu satu huruf.”

Sidang jumaat sekelian,

Saranan untuk merebut peluang membaca quran bukan sahaja untuk golongan yang sudah lancar membaca sahaja, Malah mereka yang gagap dengan quran juga berpeluang besar merebut bonus ini. Malah Nabi juga berjanji bahawa satu lagi ganjaran ekstra untuk mereka yang tidak fasih dan tidak lancar membaca jika mereka berusaha untuk membaca al-quran:

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.anha bahawa nabi s.a.w bersabda :

“Orang yang mahir membaca al-Quran, maka dia bersama para malaikat yang mulia, dan bagi orang yang merangkak dalam membaca quran, malah baginya untuk membaca itu merupakan kesusahan maka baginya 2 pahala.”

Sebab itu di dalam Ramadhan ini, kita juga diajak dan dikempen supaya menyertai tadarus al-Quran. Nabi sendiri mengisi ramadhannya dengan bertadarus al-quran bersama Jibril alaihis salam.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas ada menceritakan perihal tersebut:


“Nabi s.a.w merupakan manusia yang paling pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah di dalam bulan Ramadhan ketika mana Baginda bertemu dengan Jibril alahissalam. Nabi akan bertemu dengan Jibril pada setiap malam Ramdhan dan baginda bertadarus dengan Jibril. Sesungguhnya rasululullah itu adalah orang yang lebih pemurah dengan kebaikan berbanding angin yg membawa rahmat.”

Sidang Jumaat yang dikasihi sekelian.

Saya
mengingatkan diri saya dan hadirin sekelian supaya Jangan pula bila habis ramadhan, Al-Quran terus ditinggalkan. Tiada bacaan malah tiada juga perlaksanaan. Sudah tentu alQuran yang dijanjikan akan memberi syafaat pada hari akhirat nanti tidak diberi mudah begitu sahaja. Alquran haruslah sentiasa dibaca. Isi kandungannya haruslah difahami seterusnya dipraktikkan dan dilaksanakan dalam urusan kehidupan kita. Mana mungkin al-quran akan memberi syafaat kepada orang yang menentang isi al-Quran!! Sebab itu kita disaran berdoa semoga Al-quran itu menjadi hujah menyelamatkan kita bukan hujjah yang akan membinasakan kita di akhirat nanti.
Allahummaja’lil qurana hujjatan lana la hujjatan alaina ya robbal alamiin.


Hadiri sidang jumaat yang dikasihi sekelian,

Dalam mengimani kesucian dan kesahihan al-Quran kita harus mengetahui bahawa Al-Quran telah melaui proses yang sangat meyakinkan dalam sejarah sebarannya dan warisannya dari generasi ke generasi yang lain. Al-quran yang kita miliki sekarang bebas dari segala syak wasangka terhadap kesahihannya.

Firman Allah dalam surah al-baqarah ayat 2

“Demikianlah kitab yang sempurna yakni al-Quran yang tidak ada padanya sebarang keraguan malah menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.”

al-Quran telah melaui proses yang disebut ulama sebagai ‘tawatur’ iaitu periwayat yang ramai di semua peringkat sehingga ayat yang dinaqalkan kepada kita itu mustahil boleh berlaku walau sedikit pun pembohongan, penambahan, penguranagn atau pengkhianatan kepada asal al-Quran. Oleh itu, sesiapa yang meragui kesahihannya walaupun satu huruf adalah dibimbangi telah rosak imannya. Begitu juga sesiapa yang mempertikaikan apa yang dibawa oleh Al-quran, amat dibimbangi tergolong dalam golongan kufur yang mengingkari rukun iman yang ke-tiga iaitu beriman dengan segala kitab samawi.

Hadirin mukminin sekelian.

Seperkara yang harus disedari bahawa tanggungjawab memikul amanah dan mesej al-Quran bukannya mudah. Allah telah menceritakan bagaimana makhluknya yang lain tidak sanggup memikul al-Quran kerana terlalu besar amanahnya.

“Sekiranya aku turunkan Quran ini kepada bukit bukau dan gunung ganang, nescaya kamu akan lihat takut dan bergementar kerana terlalu takut kepada Allah, Demikianlah perumpamaan yang kami buatkan kepada manusia supaya mereka mengambil peringatan.” Surah alhasyr ayat 21
Namun manusia yang digelar ahlul kilfah sanggup pula untuk memikul amanah ini kerana manusia merupakan khalifah di muka bumi Allah swt.

Oleh itu, jangan sesekali memandang remeh terhadap isi kandungannya. Jangan sebarangan memperkecilkan apa yang diturunkan oleh Allah tersebut. Ulama bersepakat, mereka yang mempersendakan isi al-quran sebagai manusia yang kufur kepada Allah swt. Namun, dalam tanggungjawab yang besar itu, Al-Quran bakal membantu kita dalam urusan di akhirat nanti.

Nabi s.a.w bersabda:

“Puasa dan Quran akan memberi syafaat di hari kiamat nanti kepada hamba Allah”
Riwayat Imam Ahmad daripada Abdullah bin Umar r.a.


Tidak hairanlah bila kita mendengar betapa Al-quran nanti bakal memberi syafaat kepada orang melaksanakan segala tuntutannya, kerana tuntutan al-quran memerlukan kepada orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah swt.

Saidina Ali r.a berkata Rasulullah saw. Bersabda;

Maksudnya;

Saidina ali berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda, nanti akan berlaku fitnah! Lalu aku bertanya, apakah jalan keluarnya?
Jawab Nabi : Kitab Allah. Di dalamnya ada berita tentang kaum terdahulu, ada juga khabar apa yang akan berlaku. Ada di dalamnya hukum buat kamu. Dialah kitab yang membezakan kebenaran dari kebatilan bukan kitab lawak.
Sesiapa yang meninggalkannya kerana samseng dang angkuh, Allah akan hancurkannya. Dan sesiapa yang mengharapkan hidayah dari selainnya, nescaya Allah akan sesatkannya. Dialah kitab yang menjadi tali Allah yang padu. Dialah kitab azzikrul hakim. Dialah kitab siratul mustaqim. Dialah kitab yang tidak akan diterberbangkan angin. Tidak akan tersamar oleh lidah. Tidak akan berani denggannya oleh para ulama. Tidak menjadi buruk walaupun dengan sebab banyak penolakan. Dialah yang tidak akan habis segala keajaibannya.

Hadirin mukminin sekelian,

Al-Quran merupakan dustur atau perlembagaan kepada umat Islam. Perlembagaan ini merangkumi semua aspek kehidupan. Soal social, undang-undang, hukum-hakam, urusan pentadbiran, urusan penguatkuasaan, urusan jual beli, pengurusan negara dan semuanya disebut dan diberi panduan oleh Al-quran. Maka orang yang menolak walaupun salah satu dari ajaran alquran merupaka mereka yang sombong dengan Allah s.w.t.

Ambillah Pengajaran dari Surah Almaidah ayat 42-49.

secara ringkasnya Allah memberi amaran kepada umat nabi Muhammad supaya tidak lari dari al-quran sepertimana bani israil meninggalkan taurat. Allah menyebut:




“Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang ditetapkan oleh Allah, maka mereka dari golongan Kafirun.” (ayat 44)

Dan ayat seterusnya Allah menceritakan perihal Qisas atau undang-undang jenayah balas.

Lalu diberinya lagi peringatan kepada umat Muhammad supaya melaksanakan hukum yang diperintahkan dalam kitabnya,

“bahawa sesiapa yang melaksanakan Qisas maka itu adalah kaffarah bagi dosanya sedangkan orang yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan melalui kitabnya, maka mereka dari golongan manusia yang Zalim!” (ayat 45)

Allah juga mewajibkan ahlul injil melaksanakan apa yang allah turunkan dalam ayat selepasnya. Maka bagi sesiapa yang tidak melaksakan apa yang Allah turunkan maka mereka tergolong dalam golongan Fasiq!

Sidang jumaat sekelian,

Bila kita menyebut bahawa al-quran itu sebagai perlembagaan, maka tidak dapat tidak ia mesti dipatuhi oleh semua manusia. Perlembagaan semestinya tidak akan dilanggar malah mesti dipatuhi oleh semua pihak samada rakyat biasa atau pemerintah. Tetapi hanya manusia samseng sahaja yang berani melanggar perlembagaan walaupun dicipta oleh manusia.

Begitu juga dengan perlembagaan Allah. Hanya manusia samseng sahaja yang melanggar apa yang di bawa oleh al-quran. Malah yang lebih samseng dari itu, lagi mereka sanggup menghina dan memperkecilkan pula undang-undang yang dibawa oleh al-quran. Orang Islam yang tidak beramal dengan ketetapan tuhan merupakan muslim yang berdosa tetapi orang yang sombong sehingga menghina apa yang dibawa oleh al-quran ialah orang yang dihukum kufur oleh para ulama.

Hadirin mukminin sekelian,

Akhirnya, marilah bersempena Ramadhan ini kita perbetulkan apa yang salah terutamanya tanggapan kita terhadap al-Quran. Kembalilah kita kepada al-Quran secara menyeluruh. Jangan pula menerima sebahagian dan mengkufuri sebahagian yang lain.

Firman Allah s.w.t:


“ Apakah kamu beriman dengan sebahagian dari Al-quran dan kamu kufur pula dengan sebahagian yang lain? ” - Albaqarah ayat 85

Sesungguhnya jika kita kembali kepada al-quran, nescaya bersuluhlah hidup kita kearah keredhoan Allah di dunia dan akhirat. Ingat, al-quran bukan sahaja untuk dibaca, tetapi lebih jauh dari itu ialah untuk dilaksankan.

Bismillahirrahmanirrahim

“Ha mim. Demi kitab Al-Quran yang menerangkan kebenaran. Sesungguhnya kami (ALLAH) menurunkan al-quran itu pada malam yang berkat (lailatul qadar), kami berbuat demekian kerana Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (supaya kamu tidak diazab). Di dalam kitab ini dijelaskan setiap perkara yang mempunyai hikmah. Iaitu perkara yang terbitnya dari hikmah kebijaksanaan Kami, sesungguhnya sudah menjadi sunnah kami, kami mengutuskan rasul. Sebagai rahmat dari tuhanmu kepada umat manusia. Sesungguhnya Allah maha mendengar lagi maha mengetahui.

Tiada ulasan: