Selamat Datang

Isnin, 25 Jun 2007

Ustaz Fadhil dalam Kenangan...

Al-Fatihah bayu hadiahkan khusus buat Idola hati Al-marhum Al-Fadhil Ustaz Fadhil bin Mohd. Noor. Pemergiannya 5 tahun yang lalu bagai masih belum temui pengganti. Keperibadiannya sebagai Tokoh merangkumi nilai Ulama', pemimpin politik, guru dan pendidik, ketua keluarga yang cemerlang serta ahli masyarakat yang sentiasa disenangi.

Beliau merupakan pemimpin yang bayu anggap sebagai idola. Fikrah dan pandangan siasinya (politik) terlalu menakjubkan. Ucapannya penuh dengan ilmu dan sinis melalui uslub mantik yang sangat berkesan. Senda guraunya dalam ucapan terlalu menghiburkan. Isi ceramahnya bisa menggelegakkan darah perjuangan. Kesanggupannya terjun bergelumang bersama keperitan perjuangan sangat mengharukan. Tuanya dan sakitnya tak pernah menghalang beliau turun ke panas remang jalanan menentang kezaliman.

Tarikh 23 jun 2002 itu, Malaysia mencatatkan sejarah tersendiri. Ratusan ribu manusia hadir membanjiri bumi Pokok Sena bagi mengiringi penghantaran jasad Al-marhum kepada Pemiliknya Yang Maha Agung. Dalam kesibukan dan banjir manusia di pokok Sena ketika itu, bayu wujud di celah-celahnya. Bayu dapat menyaksikan betapa cintanya manusia dan pengikut-pengikutnya kepada Almarhum. Kedatangan ribuan manuisa yang tidak bertujuankan apa-apa kepentingan, menyaksikan keikhlasan dan pengorbanan serta jasa yang telah beliau taburkan ketika hidupnya.

Bayu semasa belajar berpidato suatu ketika dahulu pernah dipesan oleh guru, "Berpidatolah mengikut cara Ustaz Fadhil...."

Hadiahkanlah doa dan pahala bacaan ayat2 suci Al-Quran untuk roh manusia agung, Pemimpin Melayu Ulung tersebut...

Jumaat, 15 Jun 2007

Meroboh Tembok Pemisah

Agamawan merupakan aset paling penting dalam membina masyarakat harmonis dan islamis. Hidup yang penuh dengan kebahagiaan dan kesaksamaan di bawah Kerajaan Islam Madinah di zaman Nabi dulu pastinya menjadi suatu sejarah agung kehidupan umat terbaik walaupun Kerajaan Islam tidak pernah mengisytiharkan Islam Hadhari. Satu faktor penting yang perlu disedari terhadap kejayaan pembinaan Masyarakat Islam ketika itu ialah keberkesanan peranan yang dilakukan sentiap individu muslim dalam membina Ruh Islam dalam kehidupan terutama oleh mereka yang bergelar Agamawan.

Namun suatu pahit yang terpaksa ditelan sekarang ialah apabila melihat realiti Agamawan sering duduk terpelosok dalam kepompong sendiri. Sikap mudah bersuka hati dengan kerja agama sering menimpa individu-individu bergelar ustaz dan tok lebai. Tidak menyertai banyak bidang sosial juga seakan sinonim dengan agamawan.

Dengan keadaan umat yang semakin meruncing kini, para agamawan harus segera sedar akan peranan dan penyertaan yang ditagih masyarakat kepada mereka untuk memimpin proses pemulihan. Peranan para ustaz dan tok lebai bukan hanya di dalam sempadan kawasan masjid-masjid atau surau-surau sahaja. Wadah mereka bukan hanya isu haidh nifas, isu nikah kawin, atau isu-isu kenduri tahlil tetapi sebenarnya ruang lingkup perbatasan perbahasan dan penyertaan para ustaz dan tok lebai harus menjangkau isu-isu yang lebih global. Isu-isu sosial lain seperti alam sekitar, kemiskinan, politik pemerintahan, moral, sukan, kebudayaan, dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan harus disertai. Semua jenis masyarakat harus digauli.

Para Agamawan harus mula bersedia menjadi jaguh dalam semua aktiviti kehidupan manusia demi memurnikan semula kekaratan pelbagai bahaya pemikiran liberal sekarang. Kepesongan yang berpunca dari tiupan halus dakyah kristianisasi dan liberalisme bersama fahaman-fahaman lain yang berbahaya dalam semua detik kehidupan masyarakat Islam, menjadikan keadaan terlalu memerlukan para agamawan memimpin proses meneutralkan kembali keadaan seperti kehendak syariat.

Misi meroboh tembok pemisah antara agamawan dan masyarakat harus bermula, dan segera menjadikan title ustaz dan tok lebai sebahagian dari masyarakat biasa yang akan tanggung semua kisah hidup. Segala tribulasi sama-sama hadapi. Segala susah senang sama-sama rasai. Waktu yang 24 jam sehari itu, berikanlah sebahgian untuk berkongsi kisah masyarakat. Bukan setakat mendengar, tetapi lebih dari itu bersama-samalah membuka jalan penyelesaian.

Bayangkan betapa puluh-ribuan lepasan Universiti Al-Azhar dan seluruh Universiti Islam Timur Tengah selain Ribuan lepasan jurusan agama pusat-pusat pengajian tempatan yang ada di Malaysia sekarang. Namun keadaan masyarakat tak pula menjadi baik, malah semakin kronik pula. Dengan sebegitu banyak bilangan lepasan jurusan agama yang berada di malaysia, keadaan masyarakat Malaysia sepatutnya tidaklah berada dalam suasana hadhari yang menakutkan lagi menggubrakan. Tetapi sayang, keadaan memang begitu.

Bermula dari diri seorang agamawan yang mengerti batasan pergaulan dan hukum hakam kehidupan, segeralah menuju ke hadapan memimpin perubahan. Seharusnya lepasan jurusan agama malu dengan pengorbanan dan kesanggupan individu yang tidak mengkhususi pengajian Islam tetapi terlalu ghairah bersama gerakan perubahan. Sepertimana keperlukan golongan profesional dalam jentera dakwah, sebenarnya Islam dan Haraki Dakwah lebih memerlukan penyertaan semua orang dari golongan lepasan agama dengan pelbagai pengkhususan berada dalam satu saf yang jitu.

Tidaklah senang bekerja untuk Islam. Tetapi sedarilah, kesusahan itu natijahnya di Syurga nanti. Islam tidak memerlukan kita untuk menang kerana sudah dijanjikan kemenangannya. Tetapi kitalah yang rugi jika tidak langsung menjadi sebahagian batu bata kejayaan Islam yang dijanjikan tersebut. Para Ustaz, keluarlah menjengah luar kepompong anda. Robohkan tembok pemisah antara anda dengan aktiviti masyarakat. Kehadiran kita sebagai penyumbang kepada keharmonian gerakan dakwan amat diperlukan. Janganlah bersikap cepat berpuas hati dengan kerja Islam kita...


Papan Iklan : bayu mengucapkan Selamat Pulang dan Selamat dengan segala aktiviti untuk semua tetamu bayu yang berada selama 4 hari di sini. Tetamu seramai 16 orang tersebut terdiri dari 4 student Malaysia di Jordan dan 12 di Ireland. bayu memohon maaf kerana tak banyak ruang masa yang sempat diluangkan bersama mereka. Hanya mengurus mereka sekadar yang mampu. Tetapi apapun, 4 hari tersebut terlalu menyenangkan hati bayu. Menjadikan hidup bayu gembira dalam gusar. Gembira dengan cerita karenah2 mereka menyebabkan hati terhibur dalam keadaan gusar berperang dengan peperiksaan yang sangat genting.. hehehe

Pesanan Penaja : Bayu sekarang sedang berehat selepas tamat separuh masa pertama musim peperiksaan. 19hb jun akan kembali ke separuh masa ke dua... semakin GENTING !!!
alahai.....