Selamat Datang

Jumaat, 15 April 2011

Taubat - Nota sebelum tidur

Nota Sebelum Tidur. Moga Sempat kembali ke jalan benar.


Allah berfirman, Maksudnya : dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nur : 31)

Nabi saw bersabda :
“Orang yang bertaubat daripada dosa seperti orang yang tidak punya dosa. Dan Apabila Allah mencintai seseorang hamba, sebarang dosa tidak akan memudaratkannya. – lalu Nabi membaca ayat ini – Mafhum ayat: sesungguhnya Allah mencintai orang yang gemar bertaubat dan Allah juga mencintai orang yang sering bersuci.” (Al-baqarah 122) – Baginda ditanya, wahai Rasulullah, apakah alamat Taubat? Jawab baginda : “Penyesalan”.
(HR Tirmizi, Ibn Majah dan Al-Baihaqi)

Berkata Syeikh Abu Ali Ad-Daqqaq :
Taubat itu 3 peringkat, pertamanya taubah, kedua inabah dan ke-tiga aubah. Taubah itu permulaannya, Aubah itu kemuncaknya dan inabah itu tengahnya. Sesiapa yang taubat kerana takut akan balasan Allah maka itu Tubat. Sesiapa yang taubat kerana tamak dengan ganjaran pahala, maka itu Inabah. Sesiapa yang bertaubat kerana melaksanakan perintah Allah dan rasa tanggungjawab, maka itu ialah Aubah”.
Beliau mengambil dalil;
1. At-Taubat : Sifat mukmin – Firman Allah;
Maksudnya : dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nur : 31)

2. Al-Inabah : Sifat auliya’ dan muqarrabin – Firman Allah;
Maksudnya : "(Iaitu) orang Yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah) Dengan hati Yang tunduk taat". (Qaf : 33)

3. Al-Aubah : Sifat para nabi dan rasul – Firman Allah;
Maksudnya : “Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat).” (Sod : 30)

(Nota: ketiga-tiga istilah tersebut membawa makna yang sama dari segi bahasa, iaitu pulang)


Berkata pula Imam Ibnu Athoillah As-sakandari;
Taubat itu 2 macam,
1. Taubatul Inabah : Taubat seseorang kerana takut balasan Allah
2. Taubatul Istijaabah : Taubat kerana malu dengan kemuliaannya


Al-Imam Abul Qasim Al-Qusyairi menaqalkan bahawa, para imam usul dari kalangan Ahlus Sunnah menyatakan bahawa syarat taubat itu ada 3;
1- Penyesalan di atas salahlakunya.
2- Tinggalkan, tanggalkan dan cucikan diri dari kesalahan tersebut. (jika kesalahan tertakluk dengan makhluk, maka pulangkan setiap haq mereka)
3- Azam tidak mahu ulangi lagi kesalahan tersebut.

Berkata Imam as-Suyuthi: “Taubat Nasuha itu ialah taubat yang tidak meninggalkan kesan maksiat kepada si pelakunya samada dalam keadaan tersembunyi ataupun terang-terangan”.

Berkata Imam zun Nun : “Istighfar tanpa menanggalkan dosa adalah taubat golongan penipu”

Ditanya syeikh al-Busyanji tentang taubat, lalu dijawabnya : “Apabila diingati tentang sesuatu dosa, sambil dia tidak lagi berasa manisnya dosa itu, maka itulah Taubat”

Imam As-Syairazi menaqalkan dengan riwayatnya bahawa Iman Al-Junaid pernah diceritakan oleh seseorang bahawa orang itu didatangi oleh seorang pemuda bertanyakan tentang taubat. Lalu orang itu menjawab : Taubat itu adalah bahawa engkau tidak lagi mengingati dosa lampau. Lalu si pemuda itu membantah cakapnya. Pemuda itu berkata : Bahkan taubat itu ialah mengenangkan dosa.
Lalu Imam Al-Junaid berkata : “Aku beranggapan sama dengan pemuda tersebut”. Orang tadi lalu bertanya, kenapa? Jawab Imam Al-Junaid : “sekiranya aku berada dalam keadaan gersang (memerlukan), kemudian aku berpindah kepada keadaan yang selesa (serba ada), maka mengingati keadaan gersang tadi di ketika selesa merupakan kegersangan juga (bermaksud : masih mengharap walaupun dalam keadaan selesa – tidak lupa diri dalam keselesaan) . Maka diam si pencerita tersebut.

Maha Suci Tuhan, Ingatlah, keampunan Allah dan Kasih sayangnya kepada makhluk jauh lebih luas dari murkanya kepada makhluk.

Firman Allah,
“Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang Yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi Yang Luas ini terasa sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin Bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan kembali bertaubat kepadanya, kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.”
(At-Taubah : 188)


Petikan Risalah Al-Qusyairiah, Imam Abul Qosim Abdul Karim ibn Hawazin Al-Qusyairi

Tiada ulasan: