Selamat Datang

Isnin, 2 Mei 2011

Hukum Menggulig Pemerintah

Asal kepada melantik seseorang pemerintah untuk mentadbir negara atau negeri adalah kewajipan ummah. Itu yang terkandung dalam perbincangan baiah, imamah dan seumpanya.

Oleh kerana wajib melantik segera pemerintah, maka wajiblah juga mentaati pemerintah selama mana pemerintah itu tidak melanggari usul-usul (perkara-perkara pokok) di dalam Islam.

Ibnu Kholdun berkata;
“Ketahuilah sesungguhnya Baiah ialah satu perjanjian di atas ketaatan seperti penjual dan pembeli (menyerahkan haknya), dia menyerahkan kepada pemerintah itu untuk melihat (membuat keputusan) pada urusan dirinya dan urusan sekelian muslimin. Jangan melawan, dan harus mentaatinya pada urusan tersebut” [ Al-Muqaddimah, Ibn Kholdun]

Allah swt pula berfirman,
“Wahai orang-orang yang beriman, wajiblah kamu mentaati Allah dan mentaati Rasul serta pemerintah kamu” [An-Nisa’, 59]

Berkata Imam Al-Mawardi ;
“Kepimpinan merupakan urusan menggantikan kerasulan (tugas rasul) pada memelihara agama dan menguruskan dunia dengan agama”

Allah swt berfirman;
“dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi pemimpin kepada sebahagian yang lain, mereka menyeru dengan maaruf dan mencegah dari mungkar” [At-Taubah, 71]


DALIL MEMBOLEHKAN RAKYAT MENGGULING PEMERINTAH.

Allah swt menceritakan bagaimana perihal rakyat yang mengikut pemimpin mereka secara membabi buta tanpa melihat haram-halal, baik-buruk ketika di akhirat nanti.

Firman Allah swt;
“dan mereka pun berkata: wahai tuhan kami, sesungguhnya kami mentaati ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kami lalu merekalah yang menyesatkan kami. Wahai tuhan kami, (oleh itu) berikanlah kepada mereka 2 kali ganda azab (berbanding kami) dan laknatilah mereka dengan laknat yang besar” [ Al-Ahzab, 67-68]

Allah juga berfirman;
“ dan ketika itu berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut : alangkah eloknya jikalau kami dikembalikan semula ke dunia, kami akan berlepas diri dari mereka (pemimpin zalim) sepertimana mereka melepaskan diri dari kami sekarang ini” [Al-Baqarah, 167].

2 ayat ini menunjukkan bahawa kewajipan berpisah dan mengingkari pemerintah apabila mereka melanggari prinsip-prinsip agama terutama apabila mereka menolak apa yang menjadi maklum di dalam agama secara dhorurah.


Nabi saw juga memberi garis panduan tentang batas-batas taat kepada pemimpin.

“Wajib ke atas setiap individu muslim dengar dan taat pada apa-apa yang dia suka ataupun tidak suka, kecuali apabila disuruh kepada maksiat. Sekiranya diseru kepada maksiat, maka tidak ada lagi dengar dan taat” [HR Imam Muslim]

Saiduna Abu Bakar di dalam ucapan sulungnya selepas dilantik menjadi khalifah rasul, beliau berkata;
“ Wahai sekelian manusia, sesungguhnya aku dilantik menjadi pemimpin kamu sedangkan aku bukanlah yang terbaik dari kalangan kalian, maka sekiranya aku betul kalian bantulah aku, adapun sekiranya aku salah maka perbetulkanlah aku”.

Beliau berkata lagi;
“Taatilah aku pada apa yang aku taati Allah dan Rasulnya, Sekiranya aku melanggari ketaatan terhadap Allah dan rasul, maka tidak lagi wajib kamu taati aku”


HAK MENGGULING PEMERINTAH;

1. Ahlul Halli wal aqdi (syura): sekiranya wujud sistem ini dalam pentadbiran. Kerana syura ialah lantikan dan persetujuan ummat. Mereka dipilih untuk memantau dan melihat. Mereka lebih faham dan faqih dalam masalah tersebut.

2. Ummat : ini bukan bermakna ummat secara keseluruhannya menjadi kuasa kedua menggulingkan pemerintah, bahkan kuasa itu adalah milik ummat lebih utama dari suara Ahlul halli wal aqdi. Ini kerana ummat bukan sahaja memilih pemimpin, bahkan ummatlah juga yang merestui sesuatu lantikan syura. Oleh itu, kuasa langsung majoriti ummat diambil kira dalam proses ini.



ADAB DAN CARA MENGGULING PEMIMPIN.

Disebut di dalam Nizam Al-Islam, karangan Dr. Ahmad Abd Jalil Az-zabibi dan Dr. Taisir Al-Umar bahawa kaifiyat itu haruslah dengan cara apa pun yang tidak menimbulkan fitnah kepada ummat, juga tidak melepaskan kekuasaan kepada bukan Islam. Mereka boleh menggunakan hak mereka pada urusan menggugurkan pemerintah dan melantik pemerintah. [cetakan Damascus University]

Sepastinya cara yang patut menjadi pilihan utama ialah dengan nasihat. Orang yang tidak rugi itu ialah “orang-orang yang berpesan dengan kebenaran dan kesabaran”.
Pilihan yang seterusnya sudah pastilah memilih sesuatu yang telah diterima oleh masyarakat menjadi uruf. Seperti dunia sekarang, sistem pilihanraya adalah jalan yang terbaik.

Namun, sekiranya jalan tersebut tidak diurus dengan baik, maka ummat kena memilih jalan-jalan lain yang mampu meruntuhkan pemerintahan yang zalim itu.

Sejarah Islam juga memperlihatkan bagaimana pemerintah yang zalim diperangi sehingga tertegaknya keadilan dan kemakmuran yang sebenar.

Penggulingan secara kekerasan atau kelembutan dalam usaha dan proses menggantikan pemerintahan yang zalim dengan yang adil harus dilihat secara waqie (realistik).

Oleh itu, cara yang perlu digunakan untuk menggulingkan sesuatu pemerintahan zalim adalah berdasarkan keperluan.


SEBAB YANG DIIZINKAN UNTUK MENGGULING PEMIMPIN.

1. Pemerintah bertanggungjawab secara syarie ‘memelihara agama dan menguruskan dunia dengan agama’. Justeru mana-mana pemerintah yang tidak bertanggungjawab dengan agama dan menguruskan dunia tanpa panduan agama telah melanggari prinsip itu. Oleh yang demikian, masyarakat islam dilarang melantik pemerintah seumpama itu. Dan sekiranya dia sudah menjadi pemerintah, ummat Islam kena menasihatinya dan jika tidak berubah, maka wajib menggantikannya dengan orang lain.

2. Al-Mawardi menyebut 2 faktor lain yang membolehkan rakyat menggulingkan pemerintah. Pertamanya, kecacatan terhadap keadilan pemerintah. Oleh itu, riddah (murtad) menjadi sebab yang sangat kuat untuk seseorang pemerintah itu digulingkan.

3. Keduanya, kecacatan pada tubuh badan yang menghalang urusan pentadbirannya.

Tiada ulasan: