Selamat Datang

Ahad, 17 April 2011

Sejarah Kemasukan Berhala Ke Kota Suci Mekah

Hubungan Jahiliyah Dengan Agama Hanifiyah


Hanifiyah merupakan nama dari nama-nama Islam. Masyarakat Arab pada zaman Jahiliah menggelar manusia yang beragama dengan agama Ibrahim alaihissalam sebagai Hanif.

Oleh itu, fahamlah kita bahawa sisa baki dan kesan dari akidah, prinsip dan adab dari agama yang murni ini sentiasa wujud dan dikenali di semenanjung Arab ketika kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w.

Dari itu, adakah jahiliyah juga berasal dari agama hanif yang dengan peralihan zaman yang panjang merubah pegangan mereka dari agama hanif kepada menyembah berhala?

Kita akan rungkai masalah ini dengan penerangan sejarah peralihan zaman tersebut...

Bagaimana tersebarnya Berhala dan penyembahannya di Semenanjung Arab?

Sudah menjadi makluman bahawa bangsa arab merupakan keturunan Ismail Alaihissalam. Maka sudah tentu mereka mewarisi tauhid, suluk serta syariat yang dibawa oleh moyang mereka itu. Semua itu terbukti dengan sikap mereka yang mengagungkan Baitullah Al-haram. Sikap ini yang menjadi kewajipan semua orang di Mekah ketika kelahiran Nabi, menjadi bukti kesan pewarisan millah atau jalan yang dibawa oleh moyang mereka Ibrahim dan Ismail alaihimassalam.

Bagaimanapun, pertukaran zaman demi zaman yang panjang menyaksikan percampuran arab dengan bangsa lain yang berbilang sehingga pengaruh agama Hanif tersebut telah terkesan kebatilan-lebatilan dari sumber luar. Dengan pengaruh luar yang berdikit menjangkiti umat arab dari semasa ke semasa sehingga akhirnya telah merubah akidah generasi-generasi yang lewat kepada akidah yang batil dan cara hidup yang songsang. Bukan setakat itu, malah yang lebih parah mereka memerangi pula akidah dan cara hidup asal yang dibawa oleh moyang mereka sehingga memasyarakatkan cara hidup yang tidak bertamadun dan penuh kejahilan. Demikianlah masyarakat yang menerima kelahiran Penghulu Segala Rasul.

Amru ibnu Luhai merupakan orang pertama membawa masuk berhala ke Mekah :

Orang pertama yang membawa masuk syirik dan berhala ke Mekah ialah Amru ibnu Luhai ibnu Qama'h yang merupakan moyang kepada kabilah Khuzaa'h.

Diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam (Pakar Sejarah Islam) dengan sanadnya menceritakan bagaimana Amru membawa masuk pengaruh sembahan berhala ke Mekah. Ketika beliau keluar ke Syam atas beberapa urusannya, beliau singgah di Maab suatu tempat di kawasan balqa' dan beliau terlihat di sana masyarakatnya menyembah berhala bertanya "apakah benda yang kamu sembahkan ini?" mereka menjawab "inilah Yuhan yang kami sembah. Bila kami meminta hujan, diberinya kami hujan. Bila kami meminta pertolongan, dia menolong kami." kata Amru pula selepas terpengaruh "tidakkah kamu mahu berikan aku satu patung ini? Aku ingin membawa pulang ke Tanah Arab maka masyarakat arab juga boleh menyembahnya," maka mereka memberikannya satu berhala yang dikatakan bernama 'habal' lalu dia membawa pulang dan masyarakat arab selepsa itu mula menyembahnya.

Inilah permulaan kemasukan berhala ke Mekah. selepas beberapa lama ketika itu tersebarlah pengaruh sembahan berhala ini ke serata Mekah dan terus merubah akidah ahli Mekah sedikit demi sedikit sehingga bertambahnya berhala dari waktu ke waktu yang akhirnya ketika Nabi dilahirkan, bilangan berhala di sekeliling Kaabah sahaja mempunyai sebanyak 360 jenis berhala.

Apa yang berlaku merupakan proses pensyirikan bangsa arab sewaktu itu. Tetapi tidak dapat dinafikan,apa yang dibawa oleh Ibrahim dan Ismail a.s masih menjadi pegangan mereka. Cuma cara mereka sahaja yang telah mengubah mereka menjadi bangsa yang songsang. Ini terbukti apabila mereka masih mempercayai Allah tetapi dalam waktu yang sama mereka sembahkan berhala dengan alasan berhala tersebut menjadi pengantara dengan Allah. Mereka percaya dengan hari pembalasan dan balasan syurga neraka tetapi mereka nafikan kebangkitan Utusan Akhir Zaman.

Oleh itu, boleh dikatakan kecelaruan akidah yang terjadi kepada bangsa Arab di Mekah itu telah menrosakkan akidah dan cara hidup mereka tetapi dalam masa yang sama pengaruh tauhid dan akidah yang dibawa oleh moyang mereka tetap menular. Hal ini dikuatkan lagi dengan kewujudan beberapa orang yang masih pegang kukuh dengan agama Hanif ketika Nabi dilahirkan.

Berdasarkan keterangan tersebut, keadaan sebegitu menjadi satu hikmah kenapa Nabi dipilih dari kelompok arab sebegitu. Sejarah menerangkan, walau sebegitu tidak bertamadunnya hidup masyarakat mekah ketika itu tetapi sebenarnya mereka merupakan masyarakat yang paling sedikit menyimpang dari ajaran Islam yang asal dari masyarakat dan bangsa lain yang lebih jauh dari Islam. Oleh sebab pengaruh Akidah Hanif yang masih wujud di sanalah menjadi salah satu hikmah pemilihan Masyarakat Jahiliyah Mekah menerima kelahiran Rasul Akhir zaman.

Tiada ulasan: