Selamat Datang

Khamis, 5 November 2009

Biarlah kematian menjadi didikan!

Akhir-akhir ini, terasa dekat benar dengan kematian.

Hati tidak menangisi pemergian si mati, tetapi amat gementar melihat kujur-kujur badan yang keras, pucat dan tidak bernyawa itu.. saat perhitungan akan bermula. Maka bermulalah kehidupan yang sebenarnya.. Kekal!

Aku bukan gementar kerana 'mayat akan bertukar hantu'. Tetapi aku takut melihat bila saja si makhluk bergelar mayat, maka habislah peluang merebut amal dan takwa. Diri lagi tidak mampu berbuat apa-apa, sehingga mandi yang terlalu peribadi itu pun akan diurus orang. menunjuk betapa lemahnya makhluk apatah yang mati mahu berhadapan dengan Allah. Lagi diri tidak mampu bergerak seinci pun, apakah manusia mampu mengelat dan mengelak ketika disoal siasat oleh munkar nakir apatah menepis azab yang bakal dilalui di alam barzakh itu.. oh, cukup menggerunkan!

Tahlil orang yang hidup tak mampu menambah berat amalan untuk ditimbangkan di mizan-Nya pun. Talqin yang diajar selepas si mati disimpan di perut bumi, tidak akan mampu pun membantu si mati menjawab dengan petah soalan malaikat jika di atas bumi tidak mengikut ajaran Tuhan. Oh, tidak senang rupanya!


Apakah pakej kematian yang berkelas 'a', duit solat empat kepak dengan rm 4-5 mampu menempatkan kita di mahligai di syurga kalau ketika hidup, kita sangat kedekut dengan jariah.. ya benar sekali, solat yang didirikan ke atas si mati sama sekali tidak akan meredakan Murka Allah terhadap solat-solat fardhu yang ditinggalkan ketika hidupnya. Solat jenazah cuma tuntutan fardhu kifayah kepada mereka yang masih hidup.

Aku melihat karenah orang-orang yang hidup, yang mengelilingi si mati... Apakah mereka mengambil peristiwa kematian ini sebagai peringatan atau cuma kesedihan kerana yang disayangi sudah tiada lagi? Amat rugilah kalau kematian seseorang tidak mendidik mereka yang hidup.


Aku lebih hairan melihat ghairahnya kumpulan-kumpulan mencari keuntungan dengan kematian orang lain. Adanya pakej urus jenazah mengikut kelas dan harga, ada kumpulan-kumpulan yang pusing meronda mencari orang mati untuk solat kerana upahnya yang bernilai rm5, malah ada pondok yang dapat beli van hasil wang kematian! wah, industri jenazah namanya ni!

Sayangnya, yang beria-ria pusing solat jenazah itu, semuanya sudah berumur. Apakah mereka tidak sedar, secara sunnah alamnya, mereka akan dipanggil oleh tuhan seperti si mati yang mereka solatkan itu pada bila-bila detik sahaja. Mau solat itu bagus, uruskan jenazah itu juga satu tuntutan, tetapi bila fardhu kifayah ini dicabuli dengan tangan-tangan yang mahu mencari kepentingan dan mahu buat bisnes dengan kematian, maka tercemarlah ibadah ini.

Aku juga bingung dengan fahaman masyarakat kita. Menutup aurat depan si mati, tetapi tidak depan mereka yang hidup. Mereka tidak bertudung seharian, tetapi akan bertudung bila ziarah kematian. Mereka berseluar pendek malah tidak berbaju pun keluar rumah, tetapi akan berbaju melayu siap berkopiah putih bila menziarahi kematian.. Ah, lebih malu dengan mayat yang tidak boleh berbuat apa-apa berbanding yang hidup rupanya!

biarkanlah.. moga satu hari nanti, Allah memberi hidayah kepada mereka. Semoga Allah menjadikan mereka orang yang mengambil berita kematian sebagai signal peringatan.

Aku bersyukur, kerana Allah memberikan aku peringatan ini. Boleh kata saban hari ada saja berita kematian yang ku terima seminggu-dua ini. Pelbagai kelas kematian ditunjukkan. Ada yang mati kerana usia tua, ada yang mati kerana tragedi, ada yang mati kerana sakit / penyakit dan ada yang mati bukan kerana itu semua.. muda, tidak berpenyakit malah tidak terlibat dengan apa-apa tragedi pun mati.

Benarlah, 'setiap yang akan datang itu adalah dekat'. Yang sudah berlalu terlalu dan terlalu jauh. kita tak mampu lagi kembali. Tetapi yang akan datang itu teramat dekat. Berapa kesempatan yang kita ada, gunakanlah dengan ibadah dan manfaatkannya dengan amalan yang mampu memberatkan mizan kita di hadapan Allah nanti.


Satu, jangan lupa perbanyakkan doa memohon agar kita mendapat redho Allah swt. Amalan kita tak mampu memasukkan kita ke syurga Allah. cuma redhonya sahajalah kunci kehidupan yang kekal bahagia di alam yang hakiki.


'Ya Allah, Tamatkanlah kehidupan kami dengan Husnul Khatimah'

P/s : Semua gambar di atas cuma sebagai hiasan.

3 ulasan:

Knowledge Behavior berkata...

hai nice to meet you in your blog, nice blog... visited back in my blog and to be follower if yuo want to be famous, do you want to exchange link with me, if yes please confrim in my blog

yOnnA berkata...

salam bayu senja. still ingat yonna? :)

Bunga Rampai berkata...

Subhanallah! Kebenaran tulisanmu menggetar jiwa dan menginsafkan. Terima kasih Bayu.

Salam :)