Selamat Datang

Khamis, 1 Oktober 2009

Isu Kartika: Umat Islam harus bangkit pertahankan hukuman sebat dan Lawan SIS!!

Tercabar dan terus tercabar.

Islam sengaja dicabar. Gerakan kufur dan munafik takkan berhenti mengganggu Islam. Kumpulan sesat seperti golongan liberal akan ada sahaja mahu mencabar kuasa Allah. Aku hairan, apakah mereka tidak takut azab Allah swt.

Nabi telah peringatkan kita,
"Tidaklah akan dibiarkan maksiat berleluasa terang-terangan ditengah-tengah suatu kaum, kecuali mereka akan ditimpa penyakit tha'un dan beraneka penyakit yang belum pernah ada pada generasi-generasi sebelum mereka yang telah lalu."
(Hadis sahih R.Ibnu Majah dan al-Hakim)

Sekarang, nah pelbagai musibah bala dan penyakit yang Allah kirim mencabar ego manusia. Walaupun pelbagai versi (samada bencana, penyakit dan sebagainya) namun ia tetap bala dari Allah. Tetapi manusia sombong dan samseng dengan Allah akan terus sombong dan tidak akan akui bala ini dari Allah kerana dosa manusia. Bala ini tidak mahu dinisbahkan kepada Allah yang menghantar peringatan dari kemaksiatan berleluasa manusia.

kita harus mengaku berdasarkan hadis tersebut, bahawa puncanya ialah manusia telah jauh dari rahmat Allah swt. Dengan sebab jauh inilah, Allah tidak kasihan lagi mahu menghina manusia dan mengazabkan manusia. Manusia juga terlalu menjauhkan diri dari Allah. Aturcara hidup dan syariat yang Allah turunkan, kita tinggalkan. Kita pilih cara thaghut mengisi kehidupan kita.

Antara aturcara dan syariat yang terang kita tinggalkan malah kita tentang ialah tidak menguruskan sistem hidup berdasarkan hidayah dari Allah. Paling jelas maksiatnya, Kita tidak melaksanakan undang-undang menurut kehendak Allah SWT. Ekoran daripada itu, Allah SWT mencabut rasa takut dari hati manusia terhadap ancaman AzabNya yang pedih dalam melakukan maksiat. Sekalipun terdapat undang-undang yang dikuatkuasakan, namun selagi tidak berlandaskan syariat Allah SWT, ia sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah.

Firman Allah yang Mafhumnya :

”Dan hendaklah kamu jatuhkan hukuman di antara mereka berdasarkan apa yang telah diturunkan dan ditetapkan olehAllah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang Telah diturunkan Allah kepadamu. jika mereka berpaling (dari hukum yang Telah diturunkan Allah), Maka Ketahuilah bahawa Sesungguhnya Allah mahu menurunkan mushibah kepada mereka disebabkan antara dosa-dosa mereka. dan Sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.” (Surah al-Maidah, ayat 49)

Allah swt telah menetapkan cara berundang-undang mengikut hidayat Allah. Pastinya dengan hukuman yang mengikut kebijaksanaan Allah ini ada hikmah penyelesaian kepada setiap gejala kerosakan masyarakat, hikmah manusia akan takut melakukan dosa jenayah dan pasti ada hikmah mengeluarkan manusia dari kemurkaan Allah. Ruh inilah yang kita tidak akan dapat dari undang-undang selain dari undang-undang Allah.

3 hukum yang disebut oleh syariat ialah HUDUD, QISAS dan TAAZIR. salah satu yang akan saya bicarakan di sini ialah HUDUD.

Hukum Hudud ertinya hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH dalam Al Quran dan Hadis kadar hukumannya (seksaannya) ke atas kesalahan-kesalahan jenayah tertentu, yang tidak dibolehkan manusia mengubah, menambah atau mengurangkannya. Seperti, hukum potong tangan kepada pencuri, hukum pancung kepala si murtad, hukuman sebat kepada pembuat fitnah (qazaf), hukuman rotan kepada peminum arak, hukuman rejam sampai mati kepada penzina yang sudah pernah berkahwin dan rotan 100 kali kepada penzina yang belum kahwin dan lainnya.

Semua hukuman harus dijatuhkan selepas sesi perbicaraan. Hukuman yang tidak melaui perbicaraan akan tetap ZALIM walaupun ianya betul, kerana falsafah penghakiman di dalam Islam, 'tersilap maaf adalah lebih baik dari tersilap Hukum'. Oleh sebab itu dalam islam, segala bentuk keraguan (syubuhat) yang timbul dalam perbicaraan, hudud atau qisas akan digugurkan demi mengelak berlakunya kezaliman.

Namun, hukum mesti dijalankan sekiranya kesalahan sabit dan terbukti dengan pengsaksian yang menolak keraguan atau pesalah membuat pengakuan terhadap dosa dan jenayahnya.

Hari ini, bising sangat manusia samseng berkokok mencabar Allah. Manusia dajjal yang tidak lagi takut dengan Allah. Manusia yang tertipu dengan intelek mereka. Manusia yang tidak langsung yakin dan mengimani suruhan dan janji Allah.

Isu Kartika, seorang model sambilan di Pahang yang dijatuhkan hukuman sebat sebanyak 6 kali oleh Mahkamah Syariah setelah mengaku bersalah meminum arak baru-baru ini mendedahkan bagaimana sikap sebenar sebahagian manusia terhadap pelaksanaan undang-undang Islam . Tahniah kepada model ini kerana sudah insaf, dan meyakini bahawa cara hukuman dengan cara Allah sahajalah mampu menebus dosanya di akhirat dan di dunia.

Orang yang memberi komen mengancam tidndakan sebat ini mengaku kononnya beriman tetapi sebenarnya angkuh dan samseng dengan Allah swt. Padahal hukuman sebat yang dijatuhkan itu tidaklah seratus peratus berlandaskan syariat, namun ia sekurang-kurangnya mempunyai sedikit sebanyak semangat undang-undang Islam.

Puak liberal dan kuffar akan meneruskan usaha menggagalkan hukuman yang ada ruh syariat ini. Mereka berhimpun, bersidang, bertindak ke mahkamah dan sebagainya bagi menggagalkan usaha ini. Namun, saya cuma melihat pertubuhan-pertubuhan Islam sekarang tidak lebih cuma dari memberi komen balas. Itu sahaja.

Saya rasakan, dengan kebodohan dan kedajjalan pihak samseng ini terus mencabar Allah, Pihak berkuasa, Kerajaan Malaysia (sebuah negara Islam seperti didakwa), Jabatan Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan, IKIM, JAKIM dan selainnya yang punya kuasa dan suara harus segera bertindak. Jangan dibiarkan puak ini terus menghina Islam. Jangan cuma berfungsi menjadi boneka dalam beberapa isu sahaja. Isu ini besar. Ini melibatkan maruah Islam. Mereka yang mempersoalkan undang-undang Islam atas alasan hak asasi manusia, jelas SESAT! Saya fikir, ramai umat Islam akanmenyokong kalaulah SIS dan sekutunya diharamkan dan dilabel sesat oleh pihak yang berwajib. Saya melihat, SIS dan Rasul kahar sama sahaja sesatnya.


Dari sudut lain pula, pertubuhan-perubuhan Islam harus bangkit mengambil tindakan terhadap Ajaran sesat tersebut yang dipimpin oleh SIS. Umat Islam harus bangkit, menyatakan ketakutan kita kepada Allah dan membantah kebiadaban SIS.

Kalaulah hindraf boleh ke jalan demi agama mereka, kalaulah rakyat boleh berhimpun menyatakan suara padu rakyat terhadap kezaliman ISA, kalaulah rakyat berhimpun lagi kerana ketidakadilah SPR... saya rasa Ummat Islam yang sayangkan Allah bersedia juga ke jalan bagi melawan kedajjalan SIS dan rakan sekutunya. Umat islam di Malaysia juga sedia bertempur demi kemaksiatan yang berleluasa ini dapat dinoktahkan! Kita juga sedia bersahut, untuk turun berhimpun malah jutaan umat Islam akan berhimpun menyatakan sokongan terhadap hukuman sebat ke atas pesalah minum arak!

Saya harap, ada tindakan paling dekat akan diambil oleh Pas, Ngo-ngo islam, pertubuhan-pertubuhan melayu islam dan semua gerakan yang atas nama Islam demi tidak membiarkan pembantaian berterusan pihak sesat ini terhadap ketetapan Allah.

Kalaulah tidak ada lagi manusia yang mahu pertahankan undang-undang islam ini, Kita amat bimbang Allah tidak lagi melihat kita di Malaysia dengan pandangan Rahmat. Azab Allah ke atas sesuatu kaum pasti dihantarnya. Di dalam kaum itu, semuanya bakal merasai azab Allah, samada dia orang Soleh atau sebaliknya.

1 ulasan:

mat_kilau berkata...

itu bukan SIS, sisters in islam.....tapi SOS, "sister out of islam"