Selamat Datang

Ahad, 5 September 2010

Alhamdulillah.. Ramadan ini dan Umrah

“Ya Allah, Bersihkanlah hati ku dari riyak, ujub, suma’h dan syuhrah..amin”

Aku rafa’kan setinggi syukur buat Tuhan kerana diberi nikmat dan kesempatan yang sangat besar menjadi tetamu Haramain di dalam Ramadan tahun ini.

Letih disebabkan perjalanan lebih kurang 38 Jam menaiki bas dari Damascus menuju Mekah itu terubat tatkala dikurnia nikmat melihat Kaabah buat kali pertama mubasyarah dengan ummi ain ( mata kepala sendiri ).

Hadis sohih dengan banyak riwayatnya menyebut,

“ Tidak perlu bersusah payah musafir untuk ibadat kecuali menuju 3 tempat sahaja, iaitu Masjid Haram, Masjid Nabawi dan Masji Aqsa” –HR Bukhari

“Solat di Masjid aku (masjid nabawi) adalah lebih baik daripada seribu solat di tempat lain melainkan Masjid Haram” HR Bukhari


Pengalaman dan kesempatan berada 7 hari di Mekah dan 6 hari di Madinah Rasul saw itu tidak mampu saya ungkap dengan kata, Melainkan cuma tahmid syukur yang mampu saya luahkan.

Alhamdulillah, kesempatan yang ada telah saya lunasi satu kefarduan umur (wajib sekali seumur hidup) iaitu umrah.


Ibadah umrah ini walaupun ada sesetengah mazhab (hanafi dan maliki) mengatakannya sunat, namun saya berpegang dengan mazhab syafie (dan hanbali) dengan mengatakannya adalah wajib seperti haji. Iaitu sekali seumur hidup apabila berkemampuan.

Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah “Sempurnakanlah Haji dan Umrah”

Aisyah ra pernah bertanya kepada Nabi saw, ‘wahai Rasulullah adakah wajib keatas perempuan itu Jihad?’ jawab rasul saw, “ ya, wajib ke atas perempuan itu jihad yang tidak ada peperangan padanya iaitulah Haji dan Umrah” HR ibnu Majah

Abu daud dalam Sunannya meriwayatkan bahawa ibnu Razin rodhiallahu anhu pernah datang kepada Rasul saw lalu berkata wahai rasulullah, sesungguhnya bapa aku seorang yang sangat tua, dia tidak lagi mampu mengerjakan manasik haji atau umrah dan juga tidak mampu untuk pergi. Maka berkata Rasul saw “ buatlah olehmu (ayat arahan) haji dan umrah bagi nya (bapamu)”

Imam Nawawi menakalkan dari Imam Baihaqi dalam kitab Majmuknya, beliau (baihaqi) berkata Imam Muslim bin Hajjaj berkata ‘aku (Imam Muslim) mendengar Ahmad bin Hanbal berkata ; Aku (imam ahmad) tidak tahu ada hadis yang lebih kuat dan lebih sahih tentang kewajipan umrah selain dari hadis ibnu razin ini.

Begitu juga hadis Subai bin ma’bad yang datang kepada saidina Umar, amirul mukminin, yang menyatakan tentang keghairahannya berjihad. Syahid yang diambil dari hadis itu, beliau datang meminta fatwa dari saidina umar, ‘sesungguhnya aku dapati haji dan umrah itu wajab ke atasku maka adakah boleh aku bertahallul dari keduanya (ketika dipanggil perang sedangkan masih dalam ihram?’ - Riwayat Nasai.


Apa pun, terima kasih Tuhan di atas anugerah ini. Anugerah umrah. Anugerah Tawaf. Anugerah beri’tikaf di Masjid Haram dan Masjid Nabawi, Anugerah melihat Kaabah, Anugerah menziarahi dan bersalam dengan Rasul, anugerah menziarahi Baqie, Anugerah solat di Masjid Quba’, Anugerah menziarahi tapak-tapak sirah rasul, Anugerah minum zamzam, anugerah mengisi masa di tempat yang sangat mulia dan lain2 yang tak mampu disebutkan.

Semoga setiap detik saat yang saya lalui di sana ditimbangi dengan kebaikan, bukan sia-sia. Antara alamat tanda umrah atau haji itu diterima Tuhan, manusia yang kembali dari ibadat haji/umrah itu berubah menjadi lebih baik dan dia tidak lagi dengan sikap buruknya yang lama. Manusia yang diterima ibadat dan taatnya itu akan berpindah dari ibadat kepada ibadat dan dari taat kepada taat lain dengan lebih semangat dan hebat.


Ku pohon ya Allah, terima lah segala ibadat dan taat ku. Dan kurniakanlah aku alamat penerimaan segala ibadat ku itu.


Bersabda Nabi saw,
“ satu umrah ke satu umrah yang lain itu menjadi kaffarah dosa buat antara keduanya” HR Bukhari.

“ Sesungguhnya Umrah dalam ramadhan itu seperti haji (ganjarannya) “ HR Bukhari. Dalam riwayat lain yang juga sohih “ seperti Haji bersamaku (nabi saw) “


Maka doaku ketika wida’ Haramain.. “Ya Allah kurniakanlah aku haji pula, kurniakanlah aku ziarah kembali ke Baitullahil Haram ini, kemudian lagi kembali, kemudian lagi kembali, dan lagi kembali.. dan kurniakan aku juga ziarah maqam Nabi saw berkali-kali kerapnya..”

Tiada ulasan: